Adik Izz

Assalamualaikum wbt

Kalau ikutkan, hampir tiada cerita tentang pengalaman mengandungkan anak kedua di blog ini. Hanya pernah sekali saya menyebut tentang anak kedua ini. Kasihan dia ye. Mama tak pernah cerita pasal dia di blog. Maafkan mama ye, adik. Mama sangat sibuk kali ni.

Hakikatnya, pengalaman mengandungkan anak kedua ini jauh lebih membuktikan anak ini juga kuat. Sekuat Izz dulu. Malah lebih banyak ujian yang kami sama-sama tempuhi.

Di awal-awal kehamilan, macam biasalah, saya punya hyperemesis tu sangatlah teruk. Sampai muntah darah berkoyan-koyan. Tapi kerja tetap kerja. Tak ada istilah MC apa bagai. Di OT, pasang IV drip untuk diri sendiri di sisi pesakit yang sedang dibius. Memang lembik habis badan. Di ICU pula, pernah saya terbaring di salah satu katil pesakit yang kosong dan menerima drip untuk hydrate diri sendiri. Bila sudah segar sikit, tiba-tiba pada malam yang sama suami memberitahu Izz tergeliat tangannya ketika bermain dengan ayahnya di rumah. Dalam pada lembik yang amat tu, saya menggagahkan diri ke bangunan lama hospital, bawa Izz untuk diperiksa di Kecemasan. Esoknya di rumah, saya ambil off pagi untuk memastikan Izz sudah kurang sakit, tiada fracture dan saya sendiri boleh berehat dulu sebelum meneruskan kerja.

Ya. Jabatan saya ni ada tiga orang MO saja waktu tu. Kawan seorang lagi pun mengandung. Kami bertiga memang tak menang tangan kalau ICU penuh dan kes OT penuh juga. Memang boleh menangis bila terlalu stress dengan kerja.

Dan seperti dulu juga, setiap kali muntah-muntah dengan teruk, muka saya akan dipenuhi petichae. Bintik-bintik pecah darah di seluruh muka. Memang muka tak siaplah kiranya. Kusam. Serabai. Tapi saya tak kisah. Lantakkan saja muka buruk. Huhuhu.

Episod muntah-muntah ni berlanjutan sehingga 20 minggu lebih. Yang paling terseksa ialah setiap kali hari yang oncall sebab bercampur dengan tekanan perasaan terpaksa meninggalkan Izz dengan suami di rumah atau kerana memikirkan Izz yang terpaksa tidur di rumah pengasuhnya jika di hujung minggu. Memang tak terkata stressnya. Saya stress sebab bilamana saya meletakkan diri saya di posisi Izz, saya merasakan Izz seakan kekurangan kasih sayang. Bila hujung minggu, ayahnya pergi kelas dan dia di rumah orang sebab mamanya pula oncall. Bukankah macam kanak-kanak terbiar saja bunyinya? T_____________T

Dan bila oncall di hujung minggu tu, memang lagi terasa kepenatannya sebab saya memang lintang-pukang bergegas menyiapkan sarapan dan lauk untuk Izz bagi dibekalkan ke rumah pengasuh dia. Petang-petang jika keadaan di ICU terkawal dan tiada kes OT, saya memang bergegas ke rumah pengasuh untuk melihat Izz. Biar sekejap dapat melihat dia, tapi saya tak mahu dia rasa dia dipinggirkan sepenuhnya. T____________T

Begitulah rutin saya. Lintang-pukang di rumah uruskan makan minum Izz sebelum ke rumah pengasuh, tunggang-langgang di OT dan ICU bersama pesakit, pergi-balik dengan pecutan F1 antara hospital dan rumah pengasuh Izz untuk melihat dia dan bila malam pula main cak-cak dengan hantu di bilik oncall. Eh???

Dan setiap senja Ahad, suami saya akan pulang dengan menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur. Saya akan membawa Izz pergi menjemputnya di terminal bas. Sebab itulah sampai sekarang ni pun, kalau Izz ternampak bas ekspres, dia akan menyebut: Ayah naik bas. Pergi belajar.

Syahdu hati…. T________T

Dalam tempoh mengandung kali ni juga, saya sangat banyak menempuh perjalanan jauh. Ada sesetengah tu sebab nak balik kampung atau pergi ke destinasi rutin bulanan kami yang lain. Tapi, banyak juga destinasi sampingan yang saya terpaksa pergi walaupun hati tersangatlah berat untuk ke sana. Sebab terpaksa berjauhan dengan anak. Saya tak sanggup. Tapi terpaksa. Dah tu nak buat macam mana.

Solusinya, contohnya ketika mewakili Hospital Kuala Lipis ke Konvensyen KIK peringkat Negeri Pahang tahun lalu di Bukit Gambang Resort, sebenarnya pengurusan hospital tak meluluskan untuk claim hotel di sana. Lantakkan. Saya usung juga suami dan anak sekali. Mahal pun mahallah. Saya tak sanggup tinggal anak berhari-hari semata-mata kerana terpaksa melibatkan diri dengan KIK ni. Sudahlah kita bersusah-payah menjayakan projek KIK itu, bila terpilih ke peringkat negeri, nak claim apapun tak boleh. Kedekut betul, dowh. *bak kata orang muda sekarang*. Walaupun ketika di sana saya memang sedang muntah-muntah dahsyat, Alhamdulillah setidak-tidaknya penyertaan sulung kami di sana membuahkan hasil. Dapat tempat kelima keseluruhan bagi kategori teknikal. Dan lebih puas hati sebab suami dan anak ada sekali di sisi.

Lagi contoh lain, bilamana saya terpaksa menghadiri cramped course persediaan untuk pengajian peringkat sarjana di Kuala Terengganu hujung bulan November dulu. Yang tu memang remuk-redam hati sebab 5 hari terpaksa meninggalkan Izz. 2 setengah hari di rumah pengasuhnya. Lagi 2 hari setengah di rumah emak ayah saya di Temerloh. Kebetulan waktu itu suami saya juga sedang sibuk dengan exam. Dia hanya dapat menghantar saya ke sana, kemudian balik ke KL dengan kapar terbang, kemudian balik ke Lipis dengan bas ekspres, kemudian emak ayah saya menjemput mereka berdua di Lipis untuk dibawa pulang ke Temerloh, seterusnya suami saya menaiki bas ekspres ke Kuala Terengganu untuk menjemput saya dan memandu pulang ke Temerloh untuk menjemput Izz, dan terus ke Kuala Lipis pada malam yang sama. Sebaik Izz melihat kami berdua tiba di perkarangan rumah emak, dia berlari sambil menjerit: Mama ayah!!!!

Menangis terus saya dan dan tu juga… T____T

Sebenarnya ada sedikit isu tentang sambung belajar ni. Hakikatnya hakikatnya hakikatnya, saya sangat berbelah bahagi untuk memohon master pada tahun lalu. Ada banyak faktor yang saya pertimbangkan. Suami masih belum habis pengajiannya, saya mengandung, keterbatasan waktu dengan keluarga, kesibukan yang pasti akan mengoyak mencarik jiwa dan terpaksa mengharungi semula stress zaman belajar dulu-dulu kala.

Saya yakin saya orang yang memang akan bersungguh-sungguh dalam apa yang saya lakukan andai kata terpilih ke program master tersebut. Macam saya yang dulu-dulu. Yang jenis pulun sampai habis. Tapi saya juga yakin, saya pasti akan mengorbankan sesuatu. Apalagi kalau bukan kualiti bersama keluarga. Dari segi masa, pengurusan anak-anak dan saya was-was bolehkah saya menjayakan penyusuan untuk anak kedua cukup sehingga dua tahun dengan keterbatasan waktu yang super dahsyat jika sedang membuat master nanti. Sudahlah oncall macam biasa, kena study lagi. Oh-hoi. Tak sanggup nak dibayangkan.

Tapi, saya teruskan juga permohonan master untuk Anestesiologi dan Rawatan Kritikal. Cita-cita nak jadi pakar tu memang sangat ada. Tapi waktu saya memohon program sarjana tu bukanlah atas sebab cita-cita saya. Tapi lebih kepada kerana saya tak tahan dengan desakan daripada konsultan saya dulu. HAHAHAHAHA. Jadi, untuk mengelakkan diri daripada dileter 24 jam, dipaksa dikerah untuk mengisi dan menghantar cepat-cepat borang permohonan, maka saya pun terpaksa buat semua itu untuk menenangkan jiwa. HAHAHAHA. Sedangkan hati tak rela pun. Harap-harap konsultan saya tak baca blog saya ni. Begitu juga dengan pakar-pakar saya yang lain. Muahaha.

Iyalah. Kalau dapat master, program akan bermula pada 1 Jun 2014. Due date bersalin pada 17 Mei 2014. Tak sanggup saya membayangkan saya hanya sempat betul-betul fokus pada anak kedua ini selama 2 minggu saja. 2 minggu tu terlalu kejap! Stok EBM lagi. Kualiti kesihatan diri sendiri lagi. Kualiti masa dengan anak-anak lagi. Kasihan suami pula yang terpaksa menanggung segala bebanan nanti. Dia pun mesti stress juga kalau tak kena gaya nanti.

Jadi, atas persetujuan bersama suami, saya isi juga borang permohonan, studi apa yang mampu untuk exam di Kuala Terengganu dan entrance exam di Kuala Lumpur, ikut saja apa yang konsultan saya harapkan tapi kalau tak dapat master ni, saya takkan kecewa walau sedikit pun. Malah gembira! Malah bahagia! Malah suami pun sebenarnya mengharapkan saya tak berjaya dulu untuk percubaan kali ini! Dan segalanya menjadi kenyataan! Sebaik keputusan saringan master peringkat kedua telah keluar, saya tidak berjaya untuk ke peringkat seterusnya. Dan saya sangat berterima kasih dengan Tuhan kerana menggagalkan saya untuk kali ini. Sebab saya ada banyak tanggung jawab lain yang lebih penting untuk saya laksanakan dulu. Sebab saya tahu kegagalan ini sangat bermakna dan besar hikmahnya buat saya dan keluarga.

Waa. Panjang dah entri ni. Tapi tak terasa nak berhenti lagi. Jadi mari sambung sikit lagi.

Dalam pada suami saya sedang bertungkus- lumus dengan semester akhir untuk pengajiannya di UPM ni, Alhamdulillah ada rezeki datang bergolek untuk kami sekeluarga. Dia telah ditawarkan bekerja dalam bidang yang sangat handy dan dekat di hatinya. Kerana bidangnya adalah 100% berkaitan remote sensing dan GIS yang sangat diminatinya. Dia bersetuju. Saya menyokong. Lalu bermulalah episod kehidupan baru untuk kami sekeluarga.

Suami saya akan memulakan kerjanya di Subang Jaya. Usia kandungan pula sudah 30 minggu lebih. Dia tidak sampai hati meninggalkan Izz dengan saya kerana natural kerja saya yang ada oncall dan terpaksa mengurus Izz seorang diri dalam keadaan sarat pasti memenatkan. Tambahan pula, sejak Izz berumur 2 tahun, kami sepakat mula menghantar Izz ke taska untuk memberinya lebih pendedahan hidup berkawan, berkomunikasi dan membuat aktiviti yang lebih educational di sana. Kebetulan pula taska itu tidak boleh menerima jagaan di waktu malam atas sebab-sebab tertentu.

Jadi, Izz pun dibawa tinggal bersama suami saya di rumah mertua di Putrajaya. Dia ke taska pada siang hari dan selebihnya Izz diuruskan oleh ayahnya setelah balik dari kerja.

Saya? Saya memang remuk-redam bermandian air mata hampir setiap hari sebab terlalu rindukan Izz. Terlalu rindu. Suami selalu memujuk: Tak apalah. Abang jaga Izz. Sayang jaga baby. Tak lama lagi kita duduk sama-sama dah.

Kadang-kadang terpujuklah juga sebab saya tahu Izz berada dalam jagaan tangan-tangan yang baik di sana. Ada ayah dia, atuk, nenek, mokde, paksu ketika di rumah dan ada teacher yang sangat berkarisma ketika di taska. Taska Izz juga sangat best. Ada pelbagai aktiviti untuk peringkat umur dia. Berkebun, lawatan ke Farm in the City, camping di MPOB dan banyak lagi. Banyak skil baru yang menyerlah pada Izz. Terutamanya dari segi komunikasi dan interaksi dengan kawan-kawan. Izz jauh lebih petah dan pandai menggunakan akal kritis. Terima kasih saya ucapkan kepada guru-gurunya di taska tersebut.

Dalam pada hidup berjauhan ini, di saat saya kembali tinggal seorang di Lipis, saya kembali muntah-muntah dengan teruknya. Setiap kali balik kerja memang melepeklah saya sebab terlalu lembik. Kalau hari oncall, terpaksa jugalah menggagahkan diri memandu di temgah malam untuk ke hospital kembali jika ada kes. Dan hampir setiap hujung minggu saya akan memandu ke Putrajaya untuk bertemu Izz dan suami. Pernah pada satu hari, suami saya kata dia hendak membawa Izz balik ke Lipis pada sebelah malamnya untuk bertemu saya. Tapi pada tengahari Jumaat itu, saya menerima panggilan telefon daripada ummi yang memberitahu Izz kurang makan di taska, badan agak dedar dan telahan ummi ialah, Izz rindukan saya.

Saya yang ketika itu baru saja selesai membeli barang keperluan untuk membuat mee goreng basah seperti yang di request oleh suami untuk dimakan bilamana dia sampai malam itu, terus menukar plan. Saya singgah di rumah, capai beg baju yang sentiasa tersedia untuk dibawa ke mana-mana dan terus memandu pulang ke Putrajaya. Penat memang tak terkata sebab saya postcall ketika itu. Saya bercakap dengan baby, kita kena bertahan, kena kuat untuk teruskan juga perjalanan itu sebab Abang Izz rindukan kita. Alhamdulillah. Di sepanjang perjalanan, adik baby tak meragam apapun dalam perut. Tak ada perut mengeras-ngeras pun. Saya selesa memandu. Walaupun hari hujan lebat yang amat sangat ketika di Bukit Tinggi, Genting Sempah sehinggalah masuk ke MRR2. Jam tak usah katalah. Tersengguk-sengguk kereta bergerak.

Sebenarnya saya masih trauma memandu dalam hujan lebat. Sebab kemalangan dulu terjadi ketika hujan lebat. Tapi apa lagi pilihan yang saya ada. Saya nak jumpa anak saya. Saya nekad nak menjemput sendiri Izz petang itu di taska. Supaya saya boleh bertemu dengan teacher di sana juga untuk bertanyakan tentang Izz. Alhamdulillah, lebih kurang 5.40 petang, saya tiba di sana. Sebaik Izz terlihatkan saya, dia datang memeluk dan berbisik “mama” di telinga saya.

Menangis terus saya di situ. T_____T

image

Dan hujung minggu itu kami habiskan bersama-sama. Bila tiba hari Ahad, selepas suami saya bertolak menuju ke kelas pada sebelah tengahari, saya pun menidurkan Izz. Selepas dipeluk cium sepuasnya, saya pun bertolak pulang ke Lipis. Ini rutin hujung minggu saya. Buat beberapa ketika. Sehinggalah pada satu hari, ketika sedang bekerja di OT, saya merasakan contraction. Semakin lama semakin regular. Pakar O&G mengarahkan saya untuk membuat CTG segera. Waktu itu saya baru hendak mencecah 35 minggu. Masih belum term lagi.

CTG reactive dan toco menunjukkan memang saya ada contraction. Masih mild. 1 in 10 saja. Tapi saya terpaksa ditahan di wad untuk tocolysis. Teringat Izz dulu pun saya mengalami prematyre contraction. Jauh lebih awal dan teruk. Alhamdulillah kali ini labor tidak progress dan os masih close. Tocolysis berjaya dan keesokannya saya dibenarkan pulang. Sepanjang dimasukkan ke wad, saya sendirian menguruskan diri sendiri dan baby. Memang di dalam kereta saya telah sediakan beg mama dan baby untuk ke hospital. Jadi saya hanya turun ke parking di basement hospital untuk mengeluarkan beg saya, beli sedikit bekalan makan minum untuk duduk di wad dan kemudian masuk ke wad dengan sendiri. Tiada yang meneman atau melawat. Sebab saya taknak susahkan suami dan keluarga saya. Saya tahu saya boleh uruskan semuanya sendiri. Sebab suami saya sendiri pun ada Izz untuk diuruskan dan emak ayah pula ada adik yang masih bersekolah untuk diuruskan.

Sebaik dibenarkan pulang dengan MC rehat seminggu, saya memandu sendiri balik ke rumah. Jiran saya ingatkan saya tak balik rumah sebab oncall tapi sebenarnya saya admitted. Senja itu saya bergerak pulang ke rumah emak ayah di Temerloh. Sampai sudah malam. Sudah sangat keletihan. Dan keesokannya suami saya sampai dengan membawa Izz bersama. Suami perlu outstation ke Sabah selama seminggu. Izz saya minta ditinggalkan dengan saya. Sebab saya hendak meluangkan masa bersamanya. Sepulangnya suami dari Sabah, barulah kami dapat berkumpul bertiga. Itupun cuma sehari saja. Pagi Ahad suami dan Izz telah bertolak balik kerana dia ada kelas di sebelah tengaharinya dan saya kembali ke Lipis kerana cuti telah tamat.

Dalam pada hidup berdua saja dengan adik baby yang sangat baik dalam kandungan, sepertimana Izz dulu, saya sempat mengkhatamkan dua kali Al-Quran. Saya teringat dulu pernah mengadu pada suami yang sangat banyak masa dihabiskan di hospital dengan kerja sehingga sangat kurang masa mengaji untuk anak kedua ini. Sampai pernah menangislah pada suami kerana isu ini. Rasa kurang pengisian rohani untuk adik baby dan diri sendiri. Rupanya, bila hiduo berasingan, Allah pulangkan semula peluang itu. Allah bagi masa banyak sangat pada mama untuk mengaji dengan adik baby, tau. Bravo adik baby! Allahummarhamna bil Quran!

Dan sebaik telah term saja usia kandungan, pada hari yang suami dan Izz ada balik ke Lipis (kerana suami saya tak bagi dah saya memandu jauh-jauh), saya merasakan baby kurang gerak. Reduced fetal movement. Memang pada hari Jumaat yang lepas di saat hanya tinggal dua orang MO saja di jabatan saya, kami super duper busy sehinggakan kami berdua bekerja sehingga ke tengah malam. Walaupun sudah mula reduced fetal movement pada malam itu, saya sedapkan hati dengan teori bahawa mungkin saya terlalu penat dan perlukan rehat.

Tapi keesokannya pada hari Sabtu, adik baby langsung tak gerak. Dari pagi sehinggalah ke petang. Selepas Asar, saya bertanyakan pendapat kawan-kawan O&G. Mereka suruh saya ke labor room stat untuk dibuat CTG dan scan. Pada mulanya CTG nampak sleeping pattern. Tapi selepas stimulation dan positioning dibuat, Alhamdulillah CTG sudah reactive. Saya dinasihatkan untuk masuk wad kerana memerlukan pantauan ke atas jantung bayi. Tapi dasar doktor keras kepala kan. Sebenarnya saya berat hati untuk masuk wad sebab suami dan Izz baru saja semalam tiba di Lipis. Tak puas lagi hadap muka mereka. Saya beri jaminan boleh datang bila-bila maaa aaja untuk repeat CTG. Pakar mengiziznkan memandangkan jarak rumah saya yang hanya 5 minit dari hospital.

Pada pukul 10 malam, saya kena ke labor room semula untuk pemeriksaan CTG. Tapi kali ini nasib tak menyebelahi saya. Keadaan jantung adik baby tidak reactive. Dah buat positioning dan stimulation pun masih suspicious lagi. Kebetulan tiada pakar Anesthesiologi yang cover pada hujung minggu kerana pakar kami yang betul sedang cuti bersalin. Dengan pasrah, saya terpaksa dirujuk ke HoSHAS kerana fetal distress.

Izz masuk ke labor room bersama ayahnya untuk menyerahkan barang-barang saya. Izz naik ke atas katil dan memeluk saya. Saya menerangkan kepadanya bahawa keadaan adik baby tidak stabil. Jantung adik baby nampak lemah. Jadi mama dan adik baby oerlu dihantar dengan ambulan ke HoSHAS dengan segera. Izz mengangguk dan berkata “okay”.

Tapi saya masih sangat sedih. Kerana baru sekejap saya bertemu mereka, saya pula yang perlu di admit. Keadaan masih 50-50 sama ada memerlukan pembedahan atau tidak di sana nanti. Dan saya juga rasa bersalah kerana kalau ikutkan, pada Ahad tengahari itu tiba giliran suami saya untuk membuat presentation thesisnya.

Dr. Maw, Pakar O&G di Lipis yang sangat keibuan itu memeluk saya. Dia menenangkan saya. Lagi cepat dapat dirujuk dan diteruskan dengan apa-apa intervention yang diperlukan segera, suami saya pun boleh cepat-cepat bergegas ke UPM untuk urusannya. Saya rasa sedikit terpujuk dan tenang. Suami saya pula berkata, dia sudah emailkan kepada pejabat dekan dan pensyarahnya berkaitan hal kecemasan yang terjadi dan meminta tarikh untuk presentation itu ditukarkan. Alhamdulillah. Maka saya pun berangkat dengan menaiki ambulans dan suami serta Izz menurut menggunakan kereta.

Sebaik tiba di HoSHAS, CTG pada mulanya masih tidak reactive. Tapi saya diberi peluang untuk makan dulu dan di hydrate dengan drip. Saya pun apa lagi. Bedal makan kurma yang ada sepaket penuh dalam beg saya ketika itu. Apabila CTG dibuat semula, Alhamdulillah sudah menunjukkan adanya acceleration dan saya tidak perlu menjalani pembedahan kecemasan caeserian section di awal pagi itu. Saya dimasukkan ke wad dan dipantau. CTG dibuat secara regular dan strick fetal kick chart. Alhamdulillah pada siang Ahad itu adik baby sudah aktif semula dan CTG juga sudah reactive.

Sebentar tadi ada satu CTG yang kurang memuaskan. Sleeping pattern. Tapi selepas diteliti oleh pakar bertugas yang suatu ketika dulu menjadi pakar idola hati saya di O&G, Dr. Jalilah, beliau membenarkan saya balik dulu, tapi masih perlu datang untuk membuat daily CTG di labor room. Lega sungguh rasa hati. Alhamdulillah.

Adik baby, setakat ni, inilah yang telah kita sama-sama lalui. Ada banyak lagi sebenarnya. Tapi mama dah tak boleh nak ingat semuanya. Tapi adik baby memang sangat baiklah. Mama pun tak ada mengidam apapun semasa mengandung kali ni. Senang ayah nak jaga kita. Haha.

Insya Allah saya mengharapkan proses bersalin kali ini juga akan dipermudahkan Allah. Dan saya berniat, berazam dan bertekad untuk menyusukan anak kedua ini dengan susu ibu sehingga genap 2 tahun seperti Izz dulu, insya Allah. Semoga Allah permudahkan segalanya!

Dan untuk yang terakhirnya, demi suami dan anak-anak tersayang, saya telah memohon pertukaran keluar daripada hospital ini. Dan pertukaran ini adalah satu perubahan besar yang akan mengubah hala tuju hidup dan kerjaya saya tapi saya yakin ia adalah yang terbaik untuk keluarga kecil kami ini.

Biarlah apa orang kata dengan perubahan yang saya buat itu. Yang pasti suami saya redha dan saya yakin pengorbanan itu yang terbaik untuk kami semua insya Allah.

image

Habis dah cerita. Nak tunggu ayah jemput keluar dari hospital dah. ^____^

27 Responses to “Adik Izz”

  1. dambakanbahagia says on :

    sebak bace..dr.sarah..my idole..wanna be like you soon..be strong doctor!! moga adik baby baik2 dgn mama ye:)
    -dr to be insyaAllah

    Reply

    Sarah Reply:

    Terima kasih atas doanya. 😉

    Reply

  2. Adzrul says on :

    Salam Sarah,

    Panjang entry kali ni dan memang dapat relate experience Sarah dengan pregnancy (husband and wive’s point of views). Semoga lepas ni baby-2’s progress uneventful sampailah delivery. Kami selalu follow progress Sarah dan Izz.

    Adzrul & Farhana

    Reply

    Sarah Reply:

    Thanks Adzrul and Farhana. Actually saya dalam proses nak mrnghilangkan kesibukan dunia untuk lebih fokus kepada anak-anak dan tanggung jawab hakiki. Tapi bukan resign dari gov macam awak la. Hehe. Soon to be shared, insya Allah. Saya doakan Aariz pun membesar dengan sihat dan sempurna insya Allah. Kirim salam kat Farhana. Teringat zaman houseman dengan dia. Haha. :mrgreen:

    Reply

  3. Yus says on :

    Assalamualaikum Sarah!

    1. Kyus sangat kagum dengan semangat sarah. Pernah terlintas, beratnya dugaan DIA kasi kat aku. Tapi skang kyus sedar, bukan kyus sorang! Sarah lebih lagi menanggung dugaan yg heat.

    2. Menangis, tersedu bila kyus baca blog ni. Kerinduan pada anak-anak betul2 buat jiwa dirobek-robek kan!

    3. Sarah muda lagi dowh! boleh jer guna ayat tu! Hehe..

    4. Sarah, kyus doakan, semoga segala yang sarah lakukan dapat ganjaran yang lebih baik untuk sarah sekeluarga! Tahniah Sarah.. Awak boleh bertahan smpai tahap macam ni.

    5. Peluk cium untuk Izz yang bijak tu untuk kyus. Belum berjodoh lg untuk berjumpa Izz..

    Reply

    Sarah Reply:

    Terima kasih atas doa-doanya Kak Yus. Insya Allah satu hari nanti kita reunion ramai2 ye. Time kenduri Wana nanti ke. Hehe.

    Reply

  4. rajazubaidah says on :

    Kak sarah…
    Menitik airmata saya. Tabah dan gagah kak sarah, dan pasti baby mesti sekuat mamanya.

    Semoga dipermudahkan segala urusan.

    Reply

    Sarah Reply:

    Terima kasih atas doanya, Zubaidah. 😉

    Reply

  5. Lynn says on :

    Menangis teresak2 dlm tren nih baca blog dr!!
    Dr kuat!!i/allah dr kuat
    Kak lin doa yang terbaik utk dr & keluarga.

    Hugs ketat2!!

    Reply

    Sarah Reply:

    Alamak. Kak Lynn nangis dalam train takde orang tengok ke. Hehe. Terima kasih atas doanya Kak Lynn. Jom kita sama2 kuat!!

    Reply

  6. Kasawari says on :

    Salam Dr Sarah…

    Lama x baca entri2 di sini.. bagus lah dah terus memblog..
    Nanti amik award kat blog saya ya hehe

    Reply

    Sarah Reply:

    Aik. Bukan Abg Azman dah stop blogging ke?

    Reply

  7. hanan says on :

    masya-Allah! Beratnya dugaan kak Sarah. Saya yg belum kawen, belum ada anak ni pun sebak baca. Boleh rasa sampai ke tangkai hati. Kuatkan semangat, kak.. Ingat Allah banyak2. In sha Allah..moga Dia kirimkan kekuatan buat akk dan keluarga kecil akak.

    moga dipermudahkan urusan melahirkan adik Izz nanti. amiN!

    Reply

    Sarah Reply:

    Hanan, terima kasih atas doa dan titipan semangat tu. Terima kasih sangat2!!

    Reply

  8. Amal says on :

    Dr.sarah, saya skrg week 35, saya berhenti master pada usia kandungan 20 minggu . Akibat tidak tahan dengan perjalanan jauh ke kelas dengan diri yang muntah2 dan dehydrate. Saya mmg x kuat. Smg Allah terus bagi kekuatan utk dr. Sarah

    Reply

    Sarah Reply:

    Takpe Amal. Nanti bila anak2 dah established dah besar sikit, kita sambung semula ye. Kita teruskan belajar lagi. Insya Allah kalau ada rezeki Allah akan berikan kita jalan. Kita kuat! Yoshhhh! :mrgreen:

    Reply

  9. najmi says on :

    Assalamualaikum kak.
    Seronoknya dapat membaca kembali penulisan kak. Saya doakan segalanya dipermudahkan ya. Seronok tengok gambar izz di Instagram kak, Izz sentiasa tersenyum ceria. Penulisan kak kali ini juga membakar semangat saya untuk menyambung master.

    Terima Kasih kak kerana sentiasa memberi inspirasi =)

    Reply

    Sarah Reply:

    Salam Najmi. Jangan putus asa. Teruskan nak sambung master. Insya Allah akak tetap akan sambung juga suatu hari nanti tapi definitely bukan sekarang. Bagi akak akak ada tugas hakiki lain yang lebih penting untuk masa ni. Teruskan belajar. Akak sokong sangat2. Terima kasih atas doa2nya ye. 😉

    Reply

  10. marinahunny says on :

    Insyaallah sarah. Akak doakan permohonan sarah berjaya. Allah maha mengetahui apa yg terbaik buat hambanya

    Reply

    Sarah Reply:

    Alhamdulillah Kak Marina. Baru pagi tadi saya dapat tau yang transfer dan diluluskan! Alhamdulillah sangat2! Soon gonna start a whole new life insya Allah. 😉

    Reply

  11. Nabihah Lokman says on :

    Sarah yang sangat tabah… Moga dipermudahkan segala urusan 🙂

    Terima kasih menjadi sumber inspirasi buat yang hidup berseorangan… malu dah saya nak merungut-rungut 😉

    Reply

    Sarah Reply:

    Bie, awak pun tabah jugak. Tinggal sorang2 sekarang. Semoga Allah permudahkan urusan awak jugak ye. 😉

    Reply

  12. Fiza Ab Rahman says on :

    Go Sarah go! Mesti boleh punya insyaAllah 😉

    Reply

    Sarah Reply:

    Thank you Fiza! Awak kat mana sekarang ni? Sorry dah lama tak ikuti perkembangan.

    Reply

  13. nur aida says on :

    semoga dr terus tabah. dan semoga saya terus tabah menyusukan anak hingga 2 tahun. ada baki 4 bulan . amat memcabar. susu kurang. tp gagah lagi pam susu. sy xnak kalah…sy nak berusaha. terima kasih…sbb jd inspirasi kpd says

    Reply

    Sarah Reply:

    Saya dulu pun untuk 3 bulan terakhir tu memang struggle jugak sebab trngah hyperem yang teruk. Muntak sampai badan dehydrated so susu pun bberkurang. Tapi Alhamdulillah ada stok susu lagi dalam deep freezer. Teruskan ye Aida. Saya doakan awak kuat untuk berjihad sampai cukup 2 tahun. 😉

    Reply

  14. Related Homepag says on :

    Related Homepag

    Adik Izz | Dunia Sarah

Leave a Reply