Dilema Seorang Anak

Assalamualaikum wbt

Setiap kali balik bercuti ke Malaysia, saya hanya akan terperap di rumah saja. Patah kaki ibaratnya. Pertamanya kerana di kawasan rumah saya, tiada kawan-kawan yang sebaya saya. Jika ada pun, hanya seorang. Lelaki pula tu. Sudah besar panjang ni, kuranglah kami berkomunikasi. Terserempak waktu kenduri pun tunduk-tunduk. Tapi di YM, rancaklah pula boleh bercerita perkembangan masing-masing.

Jika saya ada aktiviti di tempat lain, sebolehnya saya hendak pergi sendiri. Tidak mahu menyusahkan ayah untuk menghantar saya. Tapi, ayah pula sebaliknya. Sebolehnya dia hendak menghantar saya ke tempat yang saya perlu pergi. Sampai boleh merajuk dengan ayah sebab tidak mahu dihantar. Haha.

11

Contohnya ketika saya hendak ke Sungai Siput, Perak, untuk program Homestay di Perkampungan Orang Asli anjuran PPIM. Disebabkan saya AJK program, saya perlu bertolak awal ke sana. Saya sudah meninjau tiket bas ke Perak. Tapi majoriti bas malam akan sampai di sana pada pukul 3 pagi. Kalau bas siang, saya akan terlambat daripada masa yang dijanjikan bersama AJK yang lain. Ayah kata, buat apa cari tiket bas. Ayah akan hantarkan. Aduh. Menyusahkan ayah betullah saya ni. Maka, mengembaralah kami dua beranak. Kebetulan ayah ada kerja di sepanjang perjalanan ke sana. Kami singgah di banyak tempat. Ayah menggunakan laluan Kuala Lipis-Gua Musang-Cameron Highland untuk ke sana. Sempat saya dan ayah ke Cameron Highland dulu. Untuk balik dari Ipoh, saya terus mengambil bas pada malam tamatnya program itu. Saya tidak bertangguh. Terus balik rumah. Sampai di terminal bas, ayah juga yang datang menjemput.

21

Pada cuti yang lalu juga, seorang lagi kawan baik saya melangsungkan perkahwinan. Nun di Pengkalan Kubor, Kelantan. Dua hari sebelum majlisnya, saya meminta kebenaran emak untuk ke sana. Saya sedang mencakar sampah ketika itu. Emak kata, tanyalah ayah. Saya bukan tidak mahu bertanya kepada ayah dulu. Kalau saya memberitahu ayah, nanti ayah hendak menghantar saya pula. Kelantan bukannya dekat. Itu sebabnya saya memberitahu emak dulu. Emak kata, saya ni bukannya lama sangat dah di Malaysia. Tapi masih hendak ke sana sini lagi. Baru saja balik dari program di Perak, ni hendak ke Kelantan pula. Tapi akhirnya emak membuat kata putus: Mak bagi masa 72 jam je kalau Ngah nak ke mana-mana lagi.

72 jam itu maksudnya tiga hari cukup-cukup. Saya terus memandu ke bandar pada petang Khamis itu. Saya ke terminal bas. Saya membeli tiket ke Kota Bharu pada hari Jumaat malam. Bila ayah balik ke rumah petang itu, baru saya memberitahunya tentang hal itu. Saya siap kata: Ayah tak dapat hantar pun tak apa. Dah ada tiket dah. Huhu. Taktik saya menjadi.

Kenapa emak beri saya 72 jam? Mari kita lihat kenapa. Saya bertolak pada Jumaat malam. Sampai di KB pada hari Sabtu pagi. Berziarah ke rumah Kak Mawad di Pulau Melaka dan kemudian bertolak ke Pengkalan Kubor. Pada malam Sabtu itu juga, saya bertolak balik dari KB ke Temerloh. Di sepanjang perjalanan, saya hanya tidur saja. KB memang panas. Saya sakit kepala yang teramat sangat. Tambahan pula, dalam perjalanan ke sana, saya duduk di sebelah seorang lelaki yang kurang bertimbang rasa. Dia buat seperti dua-dua kerusi itu dia yang punya. Sudahnya, saya tidak bersandar di kerusi saya pun. Saya tundukkan kepala saya dan menyandarkan dahi saya pada kerusi depan. Saya tidak dapat tidur sepanjang malam. Bayangkanlah!

31

Apabila saya sampai ke rumah pada pagi Ahad itu, kami semua bersiap-siap untuk menhadiri majlis perkahwinan sepupu saya, Along Hafiz, di Shah Alam pula. Berkelanalah lagi saya pagi itu. Itu sebabnya emak agak berat hati untuk melepaskan saya ke KB kerana plan untuk ke Shah Alam sudah lama termaktub dalam perancangan ayah. Emak risau saya tidak dapat balik tepat pada masanya. Tapi, saya berjaya sampai ke rumah pada pukul 7 pagi Ahad itu. Seharian kami di Shah Alam. Kami pulang semula ke rumah pada pukul 10 malam.

4

Keesokannya, saya bertolak ke KL pula. Kali ini saya menaiki bas lagi. Saya ada janji bersama senior-senior bahas saya dulu; Abang Wan, Pacel dan kebetulan Abang Khairil yang akan berkahwin pun turut hadir. Ada reunion kecil pada hari itu. Setiap kali cuti, adalah mustahil jika agenda bertemu mereka semua tidak termasuk dalam perancangan. Disebabkan saya mengejar masa, petang itu juga saya bertolak balik ke Temerloh. Saya sampai semula ke rumah tepat jam 9 malam. Dengan itu, genaplah pengembaran 72 jam saya yang bermula pada Jumaat malam. Malam itu, barulah saya boleh lena dengan selena-lenanya. Penat Ya Rabbi badan waktu itu.

Ketika Abang Khairil dan Kak Salwa akan melangsungkan perkahwinannya di Teluk Intan, saya meminta izin untuk memandu sendiri ke sana (siapa yang telah mengikuti blog lama saya, mesti ingat dan tahu siapa Abang Khairil kan). Saya memberi jaminan, saya tidak akan berseorangan. Nanti di KL, saya akan mengambil Wanie untuk pergi bersama saya. Ayah tidak izinkan. Ayah lebih rela untuk menghantar saya sendiri ke sana. Saya lihat, ayah agak sibuk pada waktu itu. Saya tidak sampai hati hendak membiarkan ayah menghantar saya jauh-jauh ke sana. Sekali lagi, saya merajuk mogok dengan ayah.

Pada pagi hari kenduri itu, saya masih lagi belum mandi dan sedang bermalasan duduk melayan internet di dapur. Tiba-tiba ayah bertanya, kenapa tidak siap lagi. Saya ingatkan ayah ala kadar saja hendak menghantar saya tiga hari sebelum itu. Tengok-tengok, ayah sudahpun siap mandi dan mula memanaskan enjin kereta. Kata ayah, adik saya pun akan pergi sama. Saya membuat perkiraan. Kalau pergi, kasihan pada ayah. Semata-mata kerana saya hendak menghadiri kenduri kahwin kawan, ayah yang terpaksa bersusah payah. Saya terus memberi kata putus kepada ayah. Saya batalkan saja niat saya untuk ke sana. Ada rezeki, lain kalipun dapat jumpa dengan mereka berdua.

Ayah pun berkata, jangan menyesal sudah. Saya terkilanlah juga sebenarnya. Abang Khairil tu sahabat terbaik saya di Moscow ni dulu. Alih-alih tak dapat menghadiri majlis perkahwinannya pula. Tapi saya akan lagi terkilan kalau saya tetap menyusahkan ayah saya. Kasihan ayah. Disebabkan saya sudah membatalkan niat untuk ke Teluk Intan, maka ayahpun pergi kerja seperti biasa. Kalau Abang Khairil ada membaca entri ini, inilah kisahnya yang terjadi. Hehe.

Sebelum saya balik ke sini semula, ada satu program di PWTC bersama junior-junior yang akan terbang ke Rusia. Saya dijemput ke sana. Saya maklumkan pada ayah, saya akan ke KL menaiki bas saja. Silap perkiraan, tengahari itu, puas saya menunggu teksi di bawah bukit rumah saya. Satu pun tidak ada. Sekitar 11.45 tu ayah menelefon bertanyakan koordinat latitud dan longitud saya. Haha. Saya jawab, tengah terpacak lagi menunggu teksi di bawah bukit. Dan sudah rasa macam malas hendak pergi saja. Ayah jawab, pergi tunggu di rumah. Ayah akan balik mengambil saya. Saya pun apa lagi. Buka pagar dan terus naik semula. Sampai rumah, makan nasi dulu kemudian ayah sampai dan terus bertolak. Sekali lagi, ayah mengorbankan masanya untuk saya. Semata-mata untuk menghantar saya ke destinasi yang saya tuju.

Ikutkan hati, memang saya tidak mahu meyusahkan ayah. Macam perkara-perkara remeh yang boleh saya buat sendiri, pergi sendiri semua tu. Macam tidak logik untuk dihantar pun kan. Tapi ayah tetap mahu menghantar saya. Salah satu daripada alasannya, saya memang tidak berkereta sendiri lagi. Kaklong waktu itu boleh ke mana saja tanpa menyusahkan ayah kerana dia sudah berkereta. Tapi ayang memandang hal ini dari skop keselamatan. Dari satu sudut yang lain, saya suka bila dihantar oleh ayah. Saya rasa selamat dan badan tidak letih. Demi Allah. Perjalanan ulang-alik ke KB betul-betul menyeksa jiwa. Sakit habis satu badan. Pening kepala macam hendak meletup rasanya.

Jadi saya membuat kesimpulan. Bila lagi hendak merasa dihantar, dijemput dan dijaga oleh ayah sepenuhnya. Nanti sudah bekerja, sudah memiliki kenderaan sendiri dan mungkin tinggal berjauhan dengan keluarga, saya pun tidak dapat lagi merasa dimanjakan sebegini lagi.

Kesimpulan cerita hari ini, hargai masa yang diluangkan bersama ibu dan ayah kita. Mereka bertindak mengawal trafik keluar masuk kita di rumah (over protective) ini bukannya kerana hendak mengongkong atau apa. Tapi inilah cara mereka hendak menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kita. Tambahan pula, dalam tempoh dan jarak perjalanan yang lama dan jauh, ada macam-macam perkara yang boleh dilakukan bersama. Saya banyak berbual dengan ayah saya tentang hal dulu-dulu. Bertuah punya anak. Ada banyak perkara yang saya terlepas pandang tentang ayah saya. Saya baru tahu, dulu ayah bekerja dengan UN sebelum melepaskan kerjayanya di sana untuk balik menjaga arwah Tok Abah (ayah kepada emak saya) saya yang sakit pada ketika itu. Maka, kekallah kami sekeluarga menjadi Orang Pahang.

Kalau lepas ini ada yang bertanya, saya suka pergi sendiri dengan menaiki kenderaan awam atau dihantar oleh ayah, saya akan mejawab: Mestilah dihantar oleh ayah! Taklah sakit-sakit badan saya memikirkan untuk tak bersentuhan dengan orang sebelah saya di dalam bas tu. Huhuhu. Tapi sebolehnya, saya tidak mahulah ayah terpaksa menukar agendanya hanya kerana saya. Yang mana saya boleh berdikari, saya akan berkeras untuk buat sendiri. Tapi yang terdesak-terdesak atau dipaksa rela untuk dihantar, hehe, ayah tolong hantarkan, ya. 😉

Ayah, terima kasih kerana melayankan saja kerenah Ngah dan cuba memenuhi permintaan Ngah selama ini. Sayang ayah banyak-banyak! Ops.  Terima kasih juga kepada emak sebab selalu berkomplot dengan Ngah. Sayang emak juga!

Nota 1: Lain orang, lain ragamnya. Kamu pula bagaimana?

Nota 2: Kepada dia yang berkenaan, saya ada menerima mesej itu tapi saya tak dapat nak balas semula. Kalau boleh, tinggalkanlah email supaya saya boleh menghubungi semula. 🙂

Nota 3: Hari ni kami satu rumah sakit perut sebab makan sambal ikan bilis yang pedas. Oh. Pedas meletup. Tapi sangatlah sedap. 😀

24 Responses to “Dilema Seorang Anak”

  1. hawa says on :

    salam..

    anak ayah pun. manja pun.. masih boleh survive kat negara orang!

    Seriously tak sangka boleh terima tawaran luar negara sebab saya faham tahap kesihatan awak dulu.

    Tapi tahniah! dah nak konvo dah pun! 😉

    Reply

    Sarah Reply:

    Salam Hawa.

    Boleh survive tu sebab dari kecik memang selalu survive sorang2 kot. Huhu.

    Tu la. Saya pun rasa amazing saya dapat bertahan. Dan Alhamdulillah. Saya tak teruk macam dulu2 dah. Pandai2 la jaga diri, bak kata Dyana dulu2. Hehe. 😉

    Thanks Hawa!

    Reply

  2. epenlavia says on :

    ku tiada dalam gambar..sedih.. 🙁

    Reply

    Sarah Reply:

    Itu la. Akak terkejut yang kamu takde hari tu. Tak sangka pulak kamu tak dapat balik. Tapi seronok sangat waktu tu. Sebab keluarga Penang semuanya ada. Wiii~
    Insya Allah nanti kita mesti jumpa lagi kan. Erm… Waktu Maya kawin ke? Hehehe.

    Reply

  3. epenlavia says on :

    hehe kakmaya dah bertunang 14feb lepas..tapi kawen nye tahun dpan bak kata tuan punya badan..abes kne mrh ngan mak..ngade2 nk tunang awal2..haha.. 😀

    Reply

    Sarah Reply:

    Akak dah tau yang Maya dah bertunang. Itu pun sebab belek2 Facebook. Huhu. Uwaa. Maya dah tunang. Akak bila la pulak ye. 😆

    Reply

    epenlavia Reply:

    jeng jeng~ akak jwb la sndiri~ haha
    anip sanggup je jd askar pejuang akak nanti~ 😉

    Reply

  4. inah says on :

    alamak..rasa mcm dalam kehidupan yg sama..huhuhu.. :mrgreen:

    Reply

  5. Cinta says on :

    Salam Sarah,

    Wah Sarah, aktiviti balik Malaysia mengalahkan aktiviti lawatan Pak Menteri ke kawasan jajahan…hehehe..tp akak faham,sekali-sekala balik semua tempat pun nak pegi kan kalau berkesempatan…

    tak lama lagi boleh melawat semuanya…

    Reply

  6. sishoney says on :

    salam sarah,

    semoga sehat2 sll.best baca entri ni.teringat gak sis yg dikawal ketat oleh famili sbb sis satu2nya anak pompuan tetapi sis nakal.so selalu je bolos.cumanya nakal tetap nakal tapi jgn sesekali jahat.so walau kemana dan apa jua yg sis buat.sis tak akan pernah lupa bagi laporan pada mak.owh ya sarah.bila mau pulang ke penang lagi yea?

    Reply

  7. enar says on :

    hmm.. memang seronok dilindungi keluarga.dari kecil akak diajar berdikari tetapi mana pergi mesti mak tahu.dah besar, dah kerja walau ke mana mak akan tahu.bila zaman berubah dan ada teknologi handphone pula sampai dah ada anak pun bila jauh aje sikit mesti telefon mak beritahu dah sampai, dah nak balik walau mak akan marah bila dia congak2 kakak bawa kereta laju.bila mak dah tiada rasa hilang sangat, dah tak ada orang untuk ditelefon dan untuk kena marah!

    Reply

  8. akak says on :

    kasih seorang ayah..seronok kan dapat layanan macam tu. Ni je la masanya ..sementara ada kesempatan utk kita. Cuma harapnya manja tu tak la menyusahkan mereka. Akak sampai sekarang pun tak dapat lesen besar nak ke tempat jauh sorang².. :mrgreen: Anak ayah ngan mak jugak nie.. 😉

    Reply

  9. mahasiswa says on :

    salam.
    memang ayah pelindung kite. setia memandu membawa anaknya ke destinasi yang dituju. teringatkan ayah sy yang terhad pemanduannya akibat masalah kesihatan.
    same2 jadi driver untuk parents pulak ye. 🙂

    -rajin akak reunion ye. sy ade impian nak buat reunion pendebat2 kisas dari dulu hingga sekarang. buat championship ke. yg sy kenal sejak zaman kak anisah hingga adik2 sekarg ni. ramai tu.

    Reply

  10. zool says on :

    Baguslah tu disayangi ayah..
    Ada orang lain tak ber’ayah’ atau pun langsung tak dipedulikan ‘ayah’nya..
    Bersyukurlah.. dan berterima kasih ngan ayah yang prihatin..

    Reply

  11. Hazreen Rashid says on :

    salam.

    haha, saya tak boleh bapak nak hantar sana sini nanti saya rimas. tapi dah besar2 nie bapak saya pun dah percaya kat saya. kadang2 waktu summer kat malaysia saya jalan2 seminggu tak balik rumah pun dia tak tanya pegi mana.

    takpa KS skrg bapak hantar pasnie dah kawin laki hantar plak. hihihi.

    anyway jemput2 jenguk. http://blogerm.wordpress.com 🙂

    Reply

  12. feeza.yusoff says on :

    uik?homestay tu tahun lepas ek ks?
    bestnya kalau dapat pergi 😥

    Reply

  13. nihas says on :

    Salam.
    Mmg sangat beruntung punyai ayah dan ibu yang amat penyayang dan over protected. Tapi kesian juga kalau dapat padanan
    ayah dan ibu yang penyayang vs anak-anak yang tidak suka disayang dan dikongkong 😥

    Doc, sama la kita, pernah juga mogok tak mahu ayah hantar balik kampus sebab perjalanan nya jauh. 6 jam perak – jb ; one way. Terasa amat membebankan ayah yang bukannya muda lagi. Siap boleh mogok tak nak balik rumah kalau ayah tak bagi naik bas sendiri. Tapi mogokan selalu gagal. Final year baru ayah izinkan balik sendirian dengan bas.

    Seperti kata seorang teman, ayah ibu ni memang hobi diaorang “susah hati” dengan anak-anak…kita pesan macam mana jangan susah hati pun, diaorang tetap nak susah hati….hobi la katakan….plus: A father is a banker provided by nature.

    Moral of the story, sayangi dan hargai ibu dan ayah sementara mereka masih ada dan masih sempat menikmati rasa seronok dengan pemberian dan kasih sayang kita. If they are too old, disaat daya ingatan mungkin tidak begitu baik, pendengaran juga sudah sayup-sayup, tangan sudah tidak lagi kuat untuk melindungi kita seperti suatu masa dahulu, bersedialah untuk menghulurkan tangan, meluangkan masa dan bersabar bersama mereka. Buat mereka gembira selama mana mereka boleh merasai nikmat bergembira.

    F.A.M.I.L.Y. = Father Mother I Love You

    pesanan penaja ” if you would be loved, love and be lovable” (Benjamin Franklin).

    p/s: sorry panjang pula komennya 🙄

    Reply

  14. haritz says on :

    Ayah mana tak sayang anak, tambah perempuan. Risau dia kadang 2tahap tak masuk akal. Tp itulah sebenarnya sayang seorang ayah. Sanggup apa saja demi anak2.

    ps:rindu kat abah di Kedah 😥

    Reply

  15. Diya says on :

    KS jarang2 sgt balik rumah kan, mesti lah ayah dan mak KS rasa masa bersama2 dgn KS sangat2 precious =) okay. diya tak boleh komen pjg2 sbnrnya, nnt tersebak tiba2 pulak. huhu.

    Reply

  16. nabzie says on :

    salam kak sarah..besnyeee! tringt pada arwah ayah sy yg rajin menghantar ke mana2 dulu2. yg extra besnye kalo dgn arwah, die akan kasik extra duit belanja!!hehe.. oh and i am also blessed with a mother that trusts her daughter a lot. so long as anak perempuan dia reti nak balik rumah sebelum maghrib. homesicknye la plak tiba2.. 🙁

    Reply

  17. Nad says on :

    KS, ayah-ayah memang macam tu kot. 😉

    Teringat Abah Nad. Seboleh-bolehnya dia nak hantar depan pintu. Jemput pun depan pintu. Kalau dah janji nak amik kat tempat yang kena jalan sikit, jap lagi kang dia call balik. Tanya kat mana. Takyah Kakak jalan jauhla, nanti kena jalan tengah panas la, ape la. Kadang2 cakap je, dah on the way. Huhu. 😆

    Reply

  18. siti noor syazwana says on :

    salam alaik..

    ks, same situation here !! even kita lagi “teruk” kot. xkan pergi sendiri sebab xda pelepasan..lagi2 bongsu, semua kena berhantar n berambil.. x mak ayah, abg or kakak2.. org tgk mcm over manja tapi hakikatnya mereka terlalu berambil berat n menjaga keselamatan saja. ( sampai sekarang pon xda lesen lagi ;p )

    apepun, mereka adalah yang terbaik.. selamat hari guru juga buat mereka 🙂 kerana mereka lah guru pertama kita…

    Reply

  19. kak izzah says on :

    angah,
    sblum ni, ayah & mak yg jadi driver ke hulu ke hilir hantarkan.. sian juga bila teringat.. tapi sekarang, alhamdulillah, suami dah jadi penggantinya, even ada lesen sendiri, tapi ye lah, skang dia dah jadi pelindung kite.. & skang seronok juga, bila² ayah & mak yg nak ke mana², kita yang offer utk hantarkan pula.. dapat la rasa sebagaimana yg mereka rasa dulu².. 😉

    Reply

  20. "helpful site" says on :

    “hans blogg”

    “[…]r you can also give your baby some antibacterial baby socks to ensure that yo v4[…]”

Leave a Reply