Emak Panda
Saya tidak pernah merasa memiliki berat badan di bawah paras normal. Terlalu kurus adalah buruk. Tapi saya pernah merasa apa itu yang dikatakan gemuk, berisi, tembam, debab dan yang seumpama dengannya. Menjadi kurus itu memang pernah tapi selalunya tak kekal lama. Kekal dalam dua tiga bulan kemudian kembali menjadi berisi. Jika disusuli dengan senaman setiap hari, barulah akan kembali menjadi kurus.
Kegemukan paling dahsyat saya rasakan ialah ketika musim sejuk sewaktu tahun pertama dulu. Sesungguhnya musim sejuk adalah zaman kegemilangan untuk menyimpan lemak-lemak di badan dengan jayanya. Seperti beruang kutub, berat saya naik mendadak-dadak. Tambahan pula, cuti tahun itu kami semua tak kemana-mana. Duduk di hostel saja. Malam-malam main Uno Card sampai masuk Subuh dengan kawan-kawan se-batch. Biskut, air yang dibancuh, kadang-kadang ada bubur nasi dan macam-macam jenis makanan lagi mengiringi sesi persidangan Uno kami. Manalah tak naik badan.
Kekurusan yang paling dahsyat pula saya rasakan sepanjang tahun kedua dulu. Saya mengalami sedikit masalah peribadi. Adoi. Sangat menyeksa jiwa. Susah hendak berdepan dengannya. Sudahnya saya menjadi seorang yang sangat kuat belajar. Terperap dalam bilik saja. Kalaulah ada pelajar tahun dua yang membaca blog ini, kalau kamu nak tahu, saya dulu khatam buku Ganong untuk Physiology tu dan lunyai buku Biochemistry saya tu tau. Punyalah saya menghadap buku-buku tu. Nota peribadi Biochemistry sangatlah lengkap sehinggakan kalau siapa yang tiada buku besar tu, boleh ambil nota saya untuk dijadikan rujukan. Fail Physiology saya pula sangatlah tebal dan lengkap tapi sayangnya orang yang meminjam telah menghilangkan fail tu. Bengang petala kelapan. Tahun itu juga, insomnia saya sangat teruk. Pernah tidak tidur sehingga 6 hari berturut-turut. Mata macam panda, badan keremping macam papan lapis. Saya masak berasingan dengan rakan sebilik saya waktu itu kerana jadual kelas kami berbeza (Amnah, junior yang disayangi!). Jadi saya hanya masak bila terasa hendak makan. Tapi kalau dah menghadap buku, mana adanya saya rajin nak bangun ke dapur waktu tu.
Dan sekarang ni, disebabkan semakin dewasa barangkali, kadar peka-diri (baca: self-concious) saya semakin tinggi. Orang sekeliling saya rata-rata pandai melawa, pandai pakai tumit tinggi, pandai bersolek dan yang paling penting, mereka kurus dan cantik. Dan atas dasar peka-diri ini, saya rasa saya semakin gemuk sekarang ini. Sudah naik 3 kg daripada Ramadhan lepas. Musim sejuk pula tu. Saya rasa macam emak panda.
Saya mahu kurus semula. Saya hendak kembali ke berat normal berangka 4 di depan. Tapi bila mula skipping saja, kaki dah sakit sangat (kan saya konon-konon syak ada fracture di ibu jari kaki tapi masih belum ke klinik lagi). Bila buat sit-up, 10 kali sudah penat. Dulu-dulu buat 50 kali pun langsung tak rasa penat. Macam mana nak kurus kalau setakat buat regangan ringan setiap pagi. Tak berpeluh langsung.
Kalau ada sesiapa yang ke Mekah, tolonglah doakan saya kurus semula. Moga-moga makbul doanya. Aishh. Mana boleh begitu. Islam menyuruh kita berusaha. Maka, wajiblah saya berusaha. Matlamat jangka pendek saya ialah untuk Raya Haji ini (eh, dekatnya dah nak Raya Haji). Matlamat jangka panjang, mestilah untuk konvo saya nanti. Tak mahulah saya tengok muka saya bulat macam bulan dalam gambar konvo yang akan kekal seumur hidup! Kot nanti anak saya tanya, takkan saya nak jawab: Emak dulu-dulu bulat macam emak panda tau, Nasyra.
Eh, dah ada nama untuk anaklah pulak! Lariiiiiii =p