Archive for the ‘Parenthood’ Category

Izz Zamani

Assalamualaikum wbt

Hari ini umur Izz sudah pun 19 hari. Terasa baru sangat lagi melahirkan Izz. Masih teringat lagi detik-detik hendak melahirkan dia. Ketika sedang meneran yang penghabisan di saat kepala Izz sudah hampir keluar, suami saya berkata: Sayang, rambut dia lebat! Wah. Saya pun apa lagi. Terus terasa bersemangat hendak meneran sekuat yang boleh. Dan memang selepas itu, kepala Izz pun keluar dan dengan sekali teran pula selepas itu, keluarlah Izz sepenuhnya.

Itu 19 hari yang lalu. Di saat dia lahir, rambutnya sangat lebat dan terpacak-pacak. Memang terujalah saya melihatnya. Pada sebelah malamnya pula saya tidak boleh lelap kerana asyik melihat dia nyenyak tidur di samping saya sambil menyusu. Rambut pacak, kulit cerah, mata sepet. Cukup sifat untuk jadi artis K-Pop, kata adik saya. Haha. Dan kini, rambut Izz yang terpacak itu sudah tiada. Izz botak. Licin. Dicukur dan ditahnikkan pada hari ke-9 yang lalu. Dan insya Allah pada cuti sekolah sempena Tahun Baru Cina ini, Izz akan diaqiqahkan pula.

Izz suka penyekkan mukanya ke bawah. Maksud saya, dia suka menekan bahagian dagunya ke dada. Jadi akan kelihatan mukanya menjadi penyek dan pipinya melebar. Sejak hari pertama lagi saya sudah memanggilnya Si Penyet. Hihi. Comel sungguh apabila dia membuat muka penyek begitu. Setiap kali melihat dia membuat muka begitu, saya akan memberitahu suami saya bahawa Izz sedang membuat muka asam kundur. Huhu. Err. Siapa pernah main permainan Plants vs Zombies? Kalau nak tahu bagaimana rupanya asam kundur yang saya maksudkan tu, rupanya ialah seperti buah yang digunakan untuk menghempap zombi yang datang yang berharga $50 dalam permainan itu. Huhu. Dan kadang-kala, apabila Izz menangis, dia akan mengeluarkan bunyi seperti zombi berdolfin pula! Huhu. Nampak sangat saya dan suami dipengaruhi oleh permainan itu! :mrgreen:

Yang saya sedar, Izz biasa terjaga sekitar jam 10 malam sama ada kerana hendak menyusu atau perlu menukar pampersnya. Jika hendak menukar pampers, suami saya akan membawanya ke tilamnya di hadapan TV di ruang rehat dapur. Dan pada ketika itu jugalah adik-adik saya sedang menonton rancangan 30 Minit Ustaz Don. Iya. Izz sukakan Ustaz Don! Setiap kali Ustaz Don mengaji lagilah Izz suka. Dia akan diam saja walaupun hakikatnya pampersnya ketika itu penuh! Huhu. Oleh itu, suami saya memamnggil Izz dengan nama Izz Don Zamani. Hihihi. Moga-moga Izz mendapat berkat ilmu yang ada pada Ustaz Don ya.

Setiap kali hendak menyusukan Izz, saya akan membacakan beberapa surah lazim dan doa untuk Izz. Al-Fatihah, doa makan, doa tidur (of course lepas menyusu tu dia akan terus tidur, kan), ayat Kursi, ayat 1000 dinar, 3 Qul dan syahadah. Jika dia masih berjaga juga, Izz sangat suka akan selawat Solla ‘alaikallah dan Tubna ilallah. Dodoi-dodoi, mesti dia akan tidur juga. Cuma, di waktu malam saja kadang-kala Izz akan meragam. Yang itu memang sangat mencabar kesabaran. Tidur duduk bersandar di kepala katil atau pun tidak cukup tidur itu memang perkara biasa bagi saya. Tapi saya sangat bersyukur. Suami saya sangat banyak membantu. Emak apatah lagi. Emak yang menyediakan tempat bersalai dan bertungku saya setiap pagi. Emak juga yang memandikan Izz. Emak menyediakan makanan orang berpantang untuk saya dan emak jugalah yang mendodoikan Izz pada masa-masa tertentu jika Izz menangis dan saya pula sedang mandi atau makan.

Suami saya pula yang menukarkan pampers Izz. Terutamanya di malam hari. Dia belajar segala selok-belok menjaga anak dengan emak. Dia juga yang menolong saya menyediakan perkakas untuk mengepam susu untuk dibuat stok. Dia tak jemu memberikan semangat ketika saya ada kalanya tertekan melihat stok susu yang sedikit ketika dipam. Dia juga yang mengurus dan menyusun stok-stok susu di dalam peti. Dia mengurut tapak kaki saya yang kelenguhan dan disebabkan keadaan kesihatan saya tidak berapa memuaskan, suami saya jugalah yang akan mendukung Izz untuk dibawa ke mana saja. Saya tidak dibenarkan untuk mengangkat benda berat sedikit pun. Dan jika ada masa lapang, suami saya jugalah yang akan menemani saya bermain game. Hehe.

Dan sememangnya benar. Sesusah-susah zaman mengandung, susah lagi apabila sudah bergelar ibu. Sebab itulah syurga itu letaknya di bawah telapak kaki ibu. Subhanallah. Kini, sudah 19 hari bersama Izz Zamani. I feel awesome:cool:

Izz Zamani kesayangan mama dan ayah, Izz terlalu comel di mata dan hati kami! Jadilah penyejuk mata dan hati kami juga ya, sayang.

Nota: Terima kasih atas ucapan tahniah daripada semua. Buat semua yang meninggalkan komen di entri lepas, terima kasih juga saya ucapkan! Tak sempat nak balas kesemuanya!

Posted on January 16th, 2012 by Sarah  |  28 Comments »

Selamat Datang, Sayang

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Saya telah selamat melahirkan anak sulung kami secara normal pada 29 Disember 2011 yang lalu tepat jam 6.09 petang seberat 3.26 kg. Anak lelaki! Gembiranya tak terkata. Saya dan suami kini telah bergelar mama dan ayah!

Bayi ini kami namakan Izz Zamani Bin Ahmad Thaariq. Izz bermaksud kekuatan. Zamani bermaksud sepanjang zaman. Dinamakan sempena segala susah-payah yang telah kami berdua lalui dengan penuh ketabahan. Moga-moga Izz mendapat berkat namanya ini agar kuat untuk menempuhi segala bentuk ujian hidup di dunia ini, insya Allah.

Izz Zamani, selamat datang dalam hidup kami, sayang. Membesarlah menjadi anak yang soleh lagi muslih, cerdas akal fikiran dan sihat tubuh badan. Mama dan ayah sayang Izz!

Untuk rakan-rakan pembaca yang sentiasa mendoakan keselematan saya dan bayi ini, terima kasih kami bertiga ucapkan. Hanya Allah yang dapat membalas segala kebaikan yang telah kalian kirimkan lewat doa itu. Terima kasih!

Nota 1: Entri yang tertangguh yang belum sempat saya kongsikan itu sebenarnya tentang pengalaman mengandungkan Izz. Sudah hampir siap diedit sehari sebelum bersalin. Tapi tetap tak sempat untuk dikongsikan sebab sudah mula sakit-sakit. Nanti saya tetap akan back date semula entri itu. Untuk tatapan Izz suatu hari nanti. ;-)

Nota 2: Akan saya kongsikan juga pengalaman bersalin anak sulung ini! ;-)

Nota 3: Update blog sambil Izz tidur di atas riba. Oh! :mrgreen:

Posted on January 7th, 2012 by Sarah  |  51 Comments »