Izz Zamani

Assalamualaikum wbt

Hari ini umur Izz sudah pun 19 hari. Terasa baru sangat lagi melahirkan Izz. Masih teringat lagi detik-detik hendak melahirkan dia. Ketika sedang meneran yang penghabisan di saat kepala Izz sudah hampir keluar, suami saya berkata: Sayang, rambut dia lebat! Wah. Saya pun apa lagi. Terus terasa bersemangat hendak meneran sekuat yang boleh. Dan memang selepas itu, kepala Izz pun keluar dan dengan sekali teran pula selepas itu, keluarlah Izz sepenuhnya.

Itu 19 hari yang lalu. Di saat dia lahir, rambutnya sangat lebat dan terpacak-pacak. Memang terujalah saya melihatnya. Pada sebelah malamnya pula saya tidak boleh lelap kerana asyik melihat dia nyenyak tidur di samping saya sambil menyusu. Rambut pacak, kulit cerah, mata sepet. Cukup sifat untuk jadi artis K-Pop, kata adik saya. Haha. Dan kini, rambut Izz yang terpacak itu sudah tiada. Izz botak. Licin. Dicukur dan ditahnikkan pada hari ke-9 yang lalu. Dan insya Allah pada cuti sekolah sempena Tahun Baru Cina ini, Izz akan diaqiqahkan pula.

Izz suka penyekkan mukanya ke bawah. Maksud saya, dia suka menekan bahagian dagunya ke dada. Jadi akan kelihatan mukanya menjadi penyek dan pipinya melebar. Sejak hari pertama lagi saya sudah memanggilnya Si Penyet. Hihi. Comel sungguh apabila dia membuat muka penyek begitu. Setiap kali melihat dia membuat muka begitu, saya akan memberitahu suami saya bahawa Izz sedang membuat muka asam kundur. Huhu. Err. Siapa pernah main permainan Plants vs Zombies? Kalau nak tahu bagaimana rupanya asam kundur yang saya maksudkan tu, rupanya ialah seperti buah yang digunakan untuk menghempap zombi yang datang yang berharga $50 dalam permainan itu. Huhu. Dan kadang-kala, apabila Izz menangis, dia akan mengeluarkan bunyi seperti zombi berdolfin pula! Huhu. Nampak sangat saya dan suami dipengaruhi oleh permainan itu! :mrgreen:

Yang saya sedar, Izz biasa terjaga sekitar jam 10 malam sama ada kerana hendak menyusu atau perlu menukar pampersnya. Jika hendak menukar pampers, suami saya akan membawanya ke tilamnya di hadapan TV di ruang rehat dapur. Dan pada ketika itu jugalah adik-adik saya sedang menonton rancangan 30 Minit Ustaz Don. Iya. Izz sukakan Ustaz Don! Setiap kali Ustaz Don mengaji lagilah Izz suka. Dia akan diam saja walaupun hakikatnya pampersnya ketika itu penuh! Huhu. Oleh itu, suami saya memamnggil Izz dengan nama Izz Don Zamani. Hihihi. Moga-moga Izz mendapat berkat ilmu yang ada pada Ustaz Don ya.

Setiap kali hendak menyusukan Izz, saya akan membacakan beberapa surah lazim dan doa untuk Izz. Al-Fatihah, doa makan, doa tidur (of course lepas menyusu tu dia akan terus tidur, kan), ayat Kursi, ayat 1000 dinar, 3 Qul dan syahadah. Jika dia masih berjaga juga, Izz sangat suka akan selawat Solla ‘alaikallah dan Tubna ilallah. Dodoi-dodoi, mesti dia akan tidur juga. Cuma, di waktu malam saja kadang-kala Izz akan meragam. Yang itu memang sangat mencabar kesabaran. Tidur duduk bersandar di kepala katil atau pun tidak cukup tidur itu memang perkara biasa bagi saya. Tapi saya sangat bersyukur. Suami saya sangat banyak membantu. Emak apatah lagi. Emak yang menyediakan tempat bersalai dan bertungku saya setiap pagi. Emak juga yang memandikan Izz. Emak menyediakan makanan orang berpantang untuk saya dan emak jugalah yang mendodoikan Izz pada masa-masa tertentu jika Izz menangis dan saya pula sedang mandi atau makan.

Suami saya pula yang menukarkan pampers Izz. Terutamanya di malam hari. Dia belajar segala selok-belok menjaga anak dengan emak. Dia juga yang menolong saya menyediakan perkakas untuk mengepam susu untuk dibuat stok. Dia tak jemu memberikan semangat ketika saya ada kalanya tertekan melihat stok susu yang sedikit ketika dipam. Dia juga yang mengurus dan menyusun stok-stok susu di dalam peti. Dia mengurut tapak kaki saya yang kelenguhan dan disebabkan keadaan kesihatan saya tidak berapa memuaskan, suami saya jugalah yang akan mendukung Izz untuk dibawa ke mana saja. Saya tidak dibenarkan untuk mengangkat benda berat sedikit pun. Dan jika ada masa lapang, suami saya jugalah yang akan menemani saya bermain game. Hehe.

Dan sememangnya benar. Sesusah-susah zaman mengandung, susah lagi apabila sudah bergelar ibu. Sebab itulah syurga itu letaknya di bawah telapak kaki ibu. Subhanallah. Kini, sudah 19 hari bersama Izz Zamani. I feel awesome:cool:

Izz Zamani kesayangan mama dan ayah, Izz terlalu comel di mata dan hati kami! Jadilah penyejuk mata dan hati kami juga ya, sayang.

Nota: Terima kasih atas ucapan tahniah daripada semua. Buat semua yang meninggalkan komen di entri lepas, terima kasih juga saya ucapkan! Tak sempat nak balas kesemuanya!

28 Responses to “Izz Zamani”

  1. Zida says on :

    Kacak gila Izz, nak mengorat la nanti. #tetiba.

    Moga Izz jadi anak yang soleh dan mampu membanggakan mak ayah insyaALLAH. Moga pintar macam mak dan ayahnya juga!

    Salam Ziarah dari Cairo 🙂

    Reply

    Sarah Reply:

    Kacak? Hidung ala mamat Korea ni kemek. Nak ke? Hehe :mrgreen:

    Reply

  2. Syan_Neesa says on :

    wahhhh! comelnya Izz Zamani..(^_^) semoga dia membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh..amin~ KS nmpk berseri2 la..happy for you KS!

    Reply

  3. thia says on :

    izz tomey! harap nnt berkesempatan utk ke temerloh cuti winter nnt.

    jaga diri, ks 🙂

    Reply

  4. Zida says on :

    Hidung kemek ke? Haha takpe, nanti boleh belagak, “yeayyy dapat pakwe korea yang hensem!” hihi eh tapikan agak2 rambut dia yang tajam tu akan tumbuh balik ‘tajam’ jugak tak? sebab tu lagi menambahkan kehenseman dia. haha seyes.

    ps from frens : kirim salam ciuman pipi dari kitorang semua yek utk izz and doakan kitorang dapat jadi doktor macam akak ~ 😉

    Reply

  5. Nadiah Sidek says on :

    cantiknya kulit izz…putih merah! comel sangat!

    Reply

  6. aiena says on :

    slam akak sarah.. alamdulillah izz makin membesar dgn sihatnyea.. i know game Plants vs Zombies.. game dkala stress stady, hehe..
    hope, izz mnjadi smbody yg akan menyumbang sesuatu kepada islam… amin.. ^_^barakallah dan mabruk kak sarah!

    Reply

  7. marinahunny says on :

    alhamdulilla, lengkap sudah hidup mu sarah..

    Reply

  8. Aimisya says on :

    Kak Saraaaaaaahhhhh
    comelnyaa Izz! Hehehe 😀

    Banyak gila rambut dia o.
    Sebab rambut dia yang lebat tu lah KS makin semangat nak teran. Subhanallah!

    Selamat & happy selalu tau. 😉

    Reply

  9. Sarah says on :

    Sarah, let us enjoy the motherhood! 🙂

    Reply

  10. ain sabrina says on :

    assalam.. uwaa.. kak sarah dah kembali slim.. alhmdulillah.. thniah ats kelahiran izz yg comel n cute mute tu.,. hihi..

    seriously cam rmbut aidil zafuan n kmbar die.. pacak2 gitu.. hoho..

    tahniah dari sye.. n kwn sye jugak.. kami selalu follow ur story..:)

    Reply

  11. Senyum Manis says on :

    comel la izz ni sarah..muke sarah pon semakin berseri2 sejak bergelar ibu.. 🙂

    Reply

  12. Ana Rashidah says on :

    Assalamualaikum Sarah. Subhanallah Izz sangat comel. Geramnya tengok. Semoga Kak Ana juga akan segera dikurniakan zuriat dan akan menjadi jambatan kasih akak dengan suami.

    Minta Sarah share amalan-amalan semasa mengandung, semasa menyusukan baby, dan lain-lain lagi ye 🙂

    Reply

  13. farahadila says on :

    Izz yg kacak. kulit merah. comel!!
    tahniah kak sarah & keluarga. 🙂

    Reply

  14. anumfarida says on :

    chomeelll yer izz zamani kak sarah……

    Reply

  15. fanramli says on :

    wahhh bukak² tgk entry pasal anak kak sarah! alhamdulillah dah selamat bersalin! (haha lmbat 19 hari) tahniah kak sarah! 🙂

    Reply

  16. kakak says on :

    Plants vs Zombies?

    haha…sebijik la. patutla anak borek mama n ayahnya rintik..

    Reply

  17. Fiza says on :

    Kak Sarah & keluarga,

    Tahniah. Izz sangat comel! Moga Izz jadi anak yang soleh seperti Kak Sarah doakan. Terharu baca post ni.

    Kirim salam kat Izz 😉

    Reply

  18. annur says on :

    comelnya izz…suka sgt2…moga menjadi anak yang soleh 🙂

    Reply

  19. lea says on :

    subhanallah, comelnya izz! semoga menjadi anak yang soleh ye izz 😉

    Reply

  20. PELANGI says on :

    Waaaah:) memang tak leh nak kata apa-apa dah. Si izz comel sesangat. Eiii. dak botak plak sekarang. tak sabar nak tengok si penyet ni tumbuh rambut lebat plak. Bagusnya izz tak meragam cam baby lain 🙂
    Baiknya perangai budak ensem ni. Chewah ala-ala kpop dah si izz ni. tak besar lagi orang dah cakap ala-ala kpop. Hikhikhik 🙂

    semoga kak sarah dan baby sihat selalu 🙂
    flying kiss untuk baby izz comel tu. emmuahhhhhh 🙂

    Reply

  21. Solha says on :

    Mabruk Kak Sarah and Abg Thariq!!

    Izz sangat comel hokeh:) and Izz Don Zamani sangatttttt lagiii cumil kihkihhhh:)

    Take care sis…moga Izz jadi anak soleh dunya akhirat…aminn:)

    Reply

  22. Muhammad Iqbal says on :

    Serius comel! moga jadi anak soleh 🙂

    Reply

  23. DD says on :

    ooo bebe datang!
    Congratulations, good work doctor KS!

    slmz dari miami

    Reply

  24. SECRET IN THE HEART says on :

    Comelnya Izz Zamani, Si Penyet ni. he…he…

    Tahniah, Kak Sarah. Sudah ada satu permata hati dan lengkap kini menjadi sebuah famili.

    Reply

  25. Nurqasehaira says on :

    😛

    Reply

  26. mfadlimusa says on :

    salam,

    Sudah lama tak menjengok ke ‘dunia sarah’. Tahniah untuk dr Sarah sekeluarga kerana dikurnia anak yg sihat dan comel.

    Reply

  27. matdin says on :

    indahnya kehidupan dr sarah…ya Allah kurniakan aku jg khdupan spertinya.
    stiap kali sy bc blog dr sarah dada pasti sebak n nangis

    sy zombi n palnt gamer jgk hehe

    Reply

Leave a Reply