Archive for the ‘Life’ Category

Khayal

Assalamualaikum wbt

Seharian saya duduk di rumah. Saya membelek buku-buku dan majalah-majalah pengantin milik Kaklong. Walaupun jemu jugalah berseorangan, tapi rasa terisi. Banyak maklumat dan ilmu baru yang saya perolehi. Spesifiknya tentang persiapan perkahwinan. Terlalu banyak rupanya yang perlu dipersiapkan sebelum berkahwin.

Kebetulan dalam majalah PENGANTIN Julai 2008, ada disediakan senarai semak yang boleh membantu bakal pengantin membuat persediaan. Terkejut juga saya kerana ada yang perlu dibuat seawal 8 ke 9 bulan sebelum majlisnya.

Teringat saya sekitar awal Mei lalu, saya ada online bersama Faaiqah, sahabat saya si cantik manis yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Dalam pada bercerita tentang persiapan exam, sempat saya menanyakan tentang persiapan perkahwinannya. Maka, tergatallah mulut saya bertanya tentang belanja yang diperuntukkan untuk majlis tersebut.

Menurut Faaiqah, untuk pakaian, fotografi dan hantaran, sudah hampir RM5000. Saya yakin, bagi orang lain, mungkin ada yang jauh lebih tinggi dari ini. Untuk kenduri nanti, hampir RM15 ribu kalau tidak silap. Banyak lagi info yang Faaiqah kongsikan. Waktu itu baru saya sedar bahawa saya tidak tahu apa-apa langsung tentang persiapan perkahwinan. Beberapa hari selepas itu, saya bawa berbincang dengan teman sebilik. Dia juga bersetuju jumlah ini adalah standard masa ini. Malah, kalau tidak pandai membuat anggaran, perbelanjaan akan jauh lebih tinggi daripada ini. Bagi pihak lelaki, mereka perlu memikirkan tentang wang hantaran pula. Ini pun satu perkara yang penting.

Jadi siang tadi, saya tegarkan juga mata menatap majalah-majalah tersebut. Paling kurang, saya dapat melihat fesyen-fesyen busana pengantin yang terkini dan sesuai untuk penampilan wanita bertudung. Juga persediaan barang hantaran. Ini yang paling kurang. Yang paling banyak yang saya serap ialah info tentang merangka majlis secara keseluruhan. Dahsyat rupanya. Terlalu banyak yang perlu difikirkan. Dari senarai jemputan, memilih kad, memilih tema dan baju pengantin, memilih cincin, menyediakan hantaran dan seribu satu macam yang lain. Oh terlupa. Juga mengikuti kursus perkahwinan dan membuat persiapan diri dan lain-lain yang perlu. Mandi lulurlah. Mandi susulah. Entah apa-apa lagi entah.

Saya lihat, sekarang sudah menjadi trend membuat lawan web untuk membuat jemputan secara virtual bagi pasangan pengantin. Menarik juga ya. Teringin juga satu hari nanti mahu membuat lawan web sebegitu juga. Hehe. Dan saya juga sempat meninjau-ninjau blog persendirian milik mereka yang bakal berkahwin. Asyik bercerita tentang persiapan dan bermacam-macam lagi. Teraca lucu pula apabila membayangkan suatu hari nanti blog saya pula yang seperti mereka. Cerita tentang baju pengantinlah, persiapan hantaranlah, berinailah, sesi fotografi pra-majlislah dan perasaan berdebar-debar serta bahagia amat yang mereka rasai. Ok. Tak boleh berangan banyak. Khayal nanti.

Sebenarnya seronok membelek-belek majalah begini. Yang menjadikan tak menariknya ialah KHAYAL! Lama betul saya memerap dalam bilik hari ini. Sehinggakan Mak Tam mengunci pintu rumah dari luar tengahari tadi kerana menyangka saya tiada di rumah. Dan petang tadi saya menyambung membelek-belek lagi. Kaklong ada banyak koleksi majalah-majalah ini kerana Kaklong berminat dalam seni hiasan barang hantaran. Berguna juga ada majalah-majalah ini. Sekurang-kurangnya tidaklah saya kosong idea tentang perkara ini dan sedikit sebanyak dapat membantu untuk membuat persiapan nanti.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Wanita yang paling banyak mendapat kurnia ialah wanita yang murah mas kahwinnya, yang senang nikahnya dan baik budi pekertinya. Dan wanita yang jahat ialah wanita yang mahal mas kahwinnya, payah nikahnya dan yang buruk budi pekertinya.”

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu.”

Amaran: Azwan, sila jangan tag saya tau. Nanti saya nangis. Huhu~

Posted on July 1st, 2008 by Sarah  |  33 Comments »

Ilmu Hisab

Assalamualaikum wbt

Soalan 1:
Saya bercuti di Malaysia kali ini selama 65 hari (terpaksa belek kalender untuk kira berapa hari :p). Saya telah berada di rumah selama 6 hari dan pada hari yang keenam, saya telah gembira sebanyak 3 kali sehari. Jika sekiranya saya masih berbaki 59 hari lagi dan setiap hari saya akan gembira 3 kali, berapa kalikah saya akan gembira sepanjang cuti ini?

Penyelesaian:
= (59 hari + 1 hari) x 3 kali
= 180 kali

Kesimpulan:
Pulang bercuti kali ini adalah sangat berbaloi dan menggembirakan jika kira-kira ini sama dengan yang dikirakan atau lebih dari itu.

Soalan 2:
Apakah penaakulan mantik yang boleh dikeluarkan daripada soalan 1? Jawapan mestilah mempunyai julat kesalahan kurang daripada 0.05%.

Soalan 3:
Apakah model graf yang mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk menerangkan jawapan soalan 1?

Saya seperti merapu saja. Tapi sungguh. Memang gembira. Ok. Nanti siang saya kemas kinikan blog. Sekarang mahu tidur dulu. Mahu bangun menonton EURO 2008 final jam 2.30 pagi nanti. Malam ini saya bertemakan hitam-kuning-putih. Selamat malam Malaya =)

Posted on June 30th, 2008 by Sarah  |  20 Comments »

Nostalgia Kecil-kecil Dulu

Assalamualaikum wbt

Sejak malam semalam, selepas makan malam, saya menyelongkar album-album lama untuk melihat semula gambar-gambar sewaktu kecil. Gembiranya hati. Banyak khazanah lama yang saya jumpa. Tapi yang sedihnya, gambar saya sewakti bayi tersangatlah sedikit. Sebenarnya nak je saya kata tiada langsung tapi siang tadi saya meneruskan pencarian gambar-gambar itu, akhirnya saya terjumpalah sekeping dua gambar ketika bayi. Yang banyaknya ialah gambar Kaklong. Saya mengomel-ngomel pada Mak Tam. Banyaknya gambar Kaklong ye. Gambar umur baru berapa hari. Gambar baru pandai meniarap. Gambar baru pandai merangkak. Gambar baru mula menapak. Gambar dengan buah petola yang jauh lebih panjang darinya. Gambar dia pandu lori. Gambar dia menyapu sampah (sapuan yang pertama agaknya) dan bermaca-macam aksi lagilah. Teori yang ada dalam kepala saya ialah: Anak sulung. Rasa berkobar-kobar untuk melihat anak itu membesar semestinya lebih lagi berbanding anak yang seterusnya kan. Tapi memang Kaklong tersangat comel. Saya rasa, jika saya ini orang luar dan terlihatkan Kaklong ketika kecil, saya dengan jujurnya akan mengatakan budak itu comel. Geram saya tengok pipi dan mata Kaklong. Rasa nak cubit-cubit je. Tapi kasihan saya tau. Memang gambar saya sikit sangat sewaktu bayi. Saya jumpa 2 saja. Rasa nak nangis je tau. Huhu.

Pagi tadi emak ke sekolah. Ada mesyuarat agung PIBG. Malam semalam saya tidak tidur sepicing pun. Memang tak boleh lelap. Sudahnya, selepas emak bertolak, saya terus beroperasi mengemas rumah secara besar-besaran. Termasuklah beroperasi di laci album-album lama ini. Dan ini hasilnya yang saya dapat kutip! Bersungguh saya scan gambar-gambar ni semua setelah selesai mengemas =)

Ini gambar saya berumur 2-3 bulan. Cuba lihat pandangan mata Kaklong terhadap bayi kecil molek itu? Bagaikan hendak menerkam bayi tu je kan? Entah-entah, saya menangis dibuat dek Kaklong kot. Huhu~

Ini ketika saya berumur 2 tahun 1 hari :p Yang kecil itu adalah Nan. Cuba lihat apa yang saya sedang lakukan. Kenakalan saya mengacau budak-budak sudah terserlah sejak kecil lagi rupanya. Hakhak =)

Saya seakan masih ingat suasana ini. Sedangkan waktu itu saya baru berumur 2 tahun lebih. Emak siapkan saya dan Kaklong di awal pagi kerana hendak bertolak ke majlis konvo ayah. Terasa bertuah dapat lihat ayah sendiri konvo waktu masih kecil lagi. Hehe. Ada satu gambar yang lain, Kaklong memakai topi konvo ayah dan memegang scroll ijazah itu. Tadi petang, saya tanya emak. Kenapa gambar saya tiada? Kata emak, saya yang tidak mahu. Adui. Rugi betul. Kalau tak, mesti saya ada gambar yang sama macam Kaklong. *ada unsur-unsur cemburu di sini* :p

Ini gambar di pagi raya kedua. Saya masih ingat suasana pagi raya ketika kecil-kecil dulu. Biasanya hari pertama kami berbaju kurung dan hari kedua kami akan dipakaikan sepersalinan mexi atau t-shirt begini. Cuba tengok kasut kami. Ini kasut favourite kami waktu kecil dulu tau. Saya rasa sampai umur 6 tahun saya suka memakai model kasut yang begitu. Dan rambut saya pula. Hahaha. Rambut cendawan! (Farah Ramlee, ni lah yang Kak Ngah cerita mushroom head waktu kecik-kecik tu. Sama macam kamu jugak kan. Hehehe.)

Inilah Nan, Kaklong dan saya. Kami bertiga sempat membesar bersama untuk jangka yang lama sebelum Lan lahir. Jadi, kami bertiga sangat rapat sehingga kini. Biasanya inilah ‘uniform’ kami di pagi raya. Sedondon je 3 beradik. Tudung memang wajib. Muka Kaklong memang tak berubah sehingga kini. Saya pula, hanya mata yang kekal sama sehingga sekarang. Tengok mata pun boleh cam itu saya. Tapi muka saya jauh berubah. Mungkin kerana dulu saya pernah terbakar (1993). Nan pula sejak kecil mukanya macam anak Mat Saleh sesat. Dia terkena genetik itu kot. Tapi semakin membesar, semakin Melayu mukanya. Huhu. (Farah Ramlee, awak sangat untung tau. Nanti anak awak dapat la kot genetik mixed Nan tu. Mesti comel gabungan Ayuni dan Nan. Huhu) :p

Saya dan Kaklong selalu memakai Mexi sewaktu kecil dulu. Jubah yang bercoraklah kiranya. Tok yang jahitkan untuk kami. Seingat saya, saya tidak pernah ada skirt pendek kecuali sehelai yang Tok belikan untuk kesemua cucu perempuannya ketika itu sewaktu pulang dari Mekah. Lain-lain, biasanya saya gemar bermexi dan berseluar track. Ketika ini saya berumur 4 tahun. Lokasi saya dan Kaklong berdiri inilah tempat di mana tumbuhnya Pokok Semarak di depan rumah Tok dan di situlah adanya buai yang selalu saya naiki itu =)

Gambar yang akhir ini, masih ingat saya cerita waktu Hari Graduasi Tadika, saya membaca Al-Quran untuk majlis pembukaan dengan tersekat-sekat seperti radio rosak? Haa…! Inilah gambarnya. Cuba tengok orang kat meja di tepi tu. Jahatnya. Dia gelakkan saya! Nak nangis!!!
Huhu. Entri ini ada berbaur cemburu pada Kaklong kan :p Tidak sebenarnya. Saya tak cemburu langsung. Sebenarnya saya sangat tak sabar menunggu siang kerana hari ini Kaklong akan balik ke rumah! Saya dapat berjumpa dengan my other half ini!!!

Kesimpulan entri ini ialah, saya sangat bulat waktu kecil dulu (~~,)v

Posted on June 29th, 2008 by Sarah  |  21 Comments »

Loghat Temerloh

Assalamualaikum wbt

Malam ini saya berjaga lagi. Tak boleh lelap. Kebetulan tengah dengar playlist lama ni, semuanya lagu orang putus cinta. Sabar ajelah kan. Terus saya tukar mendengar nasyid. Jauh lebih tenang. Tapi ada pula lagu Rapuh dendangan Opick. Tersentuh kembali hati.

Petang tadi seperti biasa duduk-duduk di buaian. Kemudian melihat adik-adik bermain badminton. Sebelum Maghrib, singgah ke rumah Tok. Minum petang di sana. Kemudian Iman merengek mahu didukung keluar sedangkan baru saja masuk ke rumah setelah dibawa berjalan tadi. Mak Tam berkata: Eh, mana boleh dik. Ni dah nak Allah Babat dah ni.

Mendengarkan perkataan Allah Babat, terus dia menggayakan cara orang mengangkat takbir. Dia faham itu tandanya waktu solat. Lalu Tok yang sedang bersiap untuk mengambil wudhuk menyampuk:

“Moh le kite ke semejid. Semayang Maghareb. Lepaih tu makan semekut empat semegi. Minum air merah melenggang.”

Tercengang saya mendengarnya. Masya Allah. Apa yang Tok saya cakapkan ini? Saya faham dua ayat pertama itu saja. Saya tanyakan Tok, apa makna ayat yang penyudah itu. Semekut empat semegi? Air merah melenggang? Saya yakin sepupu saya yang dua orang itu pun tidak faham. Kata Tok, inilah ayat Ayah Long suka sebut dulu-dulu. Maksudnya:

“Jomlah kita ke masjid. Sembahyang Maghrib. Lepas tu makan biskut empat segi (biskut tawar tu lah). Minum air sirap.”

Ya Rabbi. Tak terjangkau dek akal saya. Saya teringat entri tentang Bahasa Pahang yang saya tulis dulu. Ada yang kata kalau beginilah pekatnya loghat Temerloh asli, perlu ada terjemahan jika keluar di TV. Ya. Saya setuju amat. Hehe. Tapi saya suka betul mendengar perbualan orang tua di kampung saya atau di Pekan Sari (Pekan Sehari – pasar hari Ahad). Pekat sungguh loghatnya. Unik tau! Rugi kalau tak faham.

Ayah Long – Abang emak saya. Ayah kepada Nisa, sepupu saya yang paling disayangi. Nisa, sayangnya awak ‘gebar’ pun tak faham dulu waktu kita pergi Cherating kan. Hihik. Awak kena menuntut dengan Abah awak nampaknya ni. Dia sangat pakar bab-bab bahasa ni =)

Ok. Mahu menidurkan diri dulu. Esok pagi perlu ikut ayah ke klinik. Erm… Tak sukanya… Tapi harapnya segalanya dipermudahkan. Dan saya terkilankan satu perkara sebenarnya. Kenapa jadi begitu ye. Hmm…

Posted on June 28th, 2008 by Sarah  |  16 Comments »

Menjadi Nakal

Assalamualaikum wbt

Kelmarin kan saya dikenakan dek Iman dengan memanggil saya Tok. Nak tahu bagaimana saya mengenakannya semula?

Rumah saya di atas bukit. Ada empat buah rumah saja di atas bukit ini. Rumah saya, Tok, Tok Cik dan sebuah rumah emak saudara. Bagi saya dan Kaklong, kami tidak perlu bertudung di atas kawasan rumah kami ini kerana semua lelaki yang ada adalah muhrim. Kebetulan adik saya semua lelaki dan Ayah Tam pula adalah adik emak saya. Kecualilah jika ada adik saudara yang sudah besar di rumah emak saudara di sebelah rumah Tok itu. Kimi namanya. Tapi kebiasaannya Kimi tiada di rumah. Lainlah kalau mahu duduk-duduk di buaian. Wajib bertudung. Dari buai itu, boleh dilihat oleh kenderaan yang lalu-lalang di bawah.

Kebetulan petang semalam saya ke rumah Tok hanya berbaju kurung, tidak bertudung. Apabila hendak balik untuk solat Asar untuk keluar dengan emak, saya lihat ada kereta di hadapan rumah emak saudara di sebelah itu. Rupanya Ayah Su saya ada balik. Sepupu emak. Jadi saya masuk semula ke dalam rumah Tok dan meminjam tudung Hidayah. Ketika itu, Iman sedang berdiri di penghadang pintu tempat saya hendak keluar. Memang menjadi kebiasaan dia akan didukung keluar setiap petang. Sebaik melihat saya bertudung, dia mendepangkan tangan minta didukung.

Saya pun apa lagi. Menghulurkan tangan untuk mendukungnya. Tapi acah saja. Apabila dia hendak mencapai tangan saya, saya menarik semula tangan saya. Dua kali saya buat begitu. Dia mencebik mahu menangis. Ha… Tu lah. Panggil lagi Kak Ngah awak ni Tok. Kan dah tak dapat dukung. Huhuhu.

Sekian dari saya yang nakal :p

Posted on June 27th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »