Archive for the ‘Life’ Category

Cerita Cuti Nanti

Assalamualaikum wbt

2 hari yang lepas cukup memenatkan buat saya. Hari exam. Malamnya tidak boleh lelap mata. Sudahnya hanya tertidur barang sejam setengah saja. Selesai exam, saya dan Baiz ke Ismailovsky Park (rujuk entri ini untuk lihat suasana di sana). Mencari cenderamata untuk dibawa pulang nanti. Sudahlah tidak bersarapan, exam habis lewat, kami berdua sampai ketar lutut kerana kelaparan. Sudahnya selepas beberapa kali menawafi tempat tersebut, kami singgah makan di Teremok, restoran makanan segera tempatan yang menghidangkan Blinni (lempeng) sebagai menu utama. Baiz makan blinni pisang dan coklat. Saya pula blinni strawberry dan walnut. Lepas makan, Baiz pulang terus ke hostelnya. Saya pula ke Center. Sampai rumah, solat, telefon ayah dan emak, dan terus tidur.

Isnin ini saya ada exam yang terakhir. Tak sabarnya. Satu saja lagi. Lepas itu merdeka. Ops silap. Bukan merdeka. Saya akan bergelar pelajar tahun akhir! Waaa… Macam tak percaya. Sedikit saja lagi perjuangan saya di sini. Saya rasa saya tidak akan sempat untuk menulis tentang perancangan masa cuti saya nanti. Sementara masih ada masa untuk berehat, saya terasa nak cerita tentang apa yang saya rancangkan sepanjang cuti nanti.

Seawal cuti, saya akan ke Bangi. Sahabat baik saya dah nak kahwin. Huu… Gembiranya. Alhamdulillah sampai sudah jodoh mereka berdua. Juga hendak berjumpa dengan Kak Inah. Ada dating gitu. Kemudian, saya akan sibuk berulang-alik ke JHEOA di KL untuk menguruskan satu program. Kemudian saya kena ke Perak. Program yang dimaksudkan ialah Homestay di Perkampungan Orang Asli dan POS pilihan adalah di Sungai Siput. Tak sabar rasanya. Sebaik selepas program, saya akan terus ke Kelantan. Seorang lagi sahabat baik saya akan kahwin. Yang ini saya sengaja pergi awal sedikit. Nak memborong serunding di sana. Huhu. Lagi, saya mahu balik kampung di Penang. Ini wajib wajib wajib. Juga bertemu Bro Fisol dan Kak Mai di Jitra. Tak sabar rasanya. Di awal cuti sekolah Ogos nanti, seorang senior yang paling saya rapat akan berkahwin. Yang ini pun wajib saya hadiri. Hihi. Ini antara yang wajib dipenuhi. Lain-lain, mestilah saya hendak bermanja di rumah. Tak sabarnya dapat duduk-duduk rehatkan diri di rumah. Makan masakan emak, jogging dengan adik-adik, main dengan baby Mak Tam yang sudah tidak baby sangat, masak-masak, mencuba resepi baru dan kalau berkesempatan, saya nak tamatkan ilmu menjahit daripada Tok saya. Haa… Nanti bolehlah orang tempah telekung dengan saya =) Tok saya punya telekung jahit tangan cantik tau.

Manusia ini hanya merancang. Tapi segalanya Allah jua yang menentukan. Kalau ikutkan hati, ada beberapa lagi yang hendak saya senaraikan sebagai wajib, tapi saya takut untuk meletakkan harapan sebab tidak mahu nanti rasa terkilan. Yang penting, balik cuti kali ini saya tidak perlu buat praktikal (Sebenarnya malas sebab elektif saja. Cukuplah saya sudah terlalu penat dengan kepadatan masa di sini). Jadi saya ada lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga.

Tak sabarnya nak balik Malaysia. My Boleh-Land, nantikan kepulangan anak watanmu ini. Huhu~

Nota: Selamat Hari Lahir Kak Lina! Sempat ke kita jumpa nanti? Erm… Mahu itu Hafiy! Mahu tonyoh-tonyoh gomol-gomol dia 😀

Posted on June 13th, 2008 by Sarah  |  30 Comments »

Sepetang Di Tepi Para

Assalamualaikum wbt

Semalam, hampir seharian saya sendirian di rumah. Ahli rumah yang lain ada exam dan pulang lewat. Paling awal yang pulang adalah Emy dan Diba. Itupun mereka terus tidur selepas pulang. Saya memang sangat bosan kerana rumah sangat sunyi. Saya mengambil kesempatan untuk membuat persiapan intensif untuk exam pada hari esok. Selesai solat Asar, saya menyarung tudung dan memegang sedikit nota di tangan. Gayanya seperti hendak keluar saja kan. Tapi destinasi saya dekat saja. Di tepi tingkap bilik cuma.

Saya menurunkan langsir dan duduk di atas para di tepi tingkap. Sehinggakan, Emy dan Diba tidak tahu ke mana saya menghilang kerana tiada di bilik. Sedangkan, saya tersembunyi di sebalik langsir yang diturunkan. Rumah saya di tingkat dua. Sengaja saya duduk di situ. Boleh membaca sambil mengambil udara petang dan melihat orang lalu-lalang. Ada dua insiden terjadi.

Pertamanya, saya melihat sepasang suami isteri berjalan. Dari jauh, saya rasakan yang sebelah kiri dan mengikat rambut itu adalah si isteri. Bila sudah dekat dan mereka berhenti berbual dengan kawan yang ditemui di tengah jalan, baru saya tersedar rupa-rupanya saya tertukar. Yang berambut maha pendek itu adalah isterinya dan yang berambut panjang dan mengikatnya itu adalah suaminya. Kebetulan, si isteri sedang merokok dan bentuk badannya kurus sekeping seperti lelaki, sekali imbas terus saya rasakan dialah lelaki. Saya tersenyum seorang melihatkan keadaan itu. Saya terfikir, kan Islam itu sempurna. Lelaki dan perempuan dapat dibezakan kerana batas auratnya. Kalau dia bertudung dan cara berpakaian yang berbeza, dari jauhpun sudah boleh tahu yang mana lelaki, yang mana perempuannya.

Keduanya, sedang saya membaca-membaca di atas para di tepi tingkap itu, saya terlihatkan 3 orang anak muda lalu di kawasan luar bangunan. Sumpah, ketiga-tiganya kacak dan bergaya! Saya toleh melihat mereka. Dalam pada saya seakan mengelamun itu, baru saya sedar salah seorang daripada mereka sedang melihat saya di atas itu. Alamak. Saya terperangkap pula. Saya cepat-cepat alih pandangan ke arah nota. Tapi saya sudah tersenyum waktu itu kerana saya sedar lelaki yang memandang itu juga sedang tersenyum. Aduh. Malunya. Mengelamun punya pasal, saya tidak sedar saya telah merenung orang agak lama, dan direnung semula pula. Alah. Saya tahu lelaki itu jauh lebih muda. Jangan tertipu dek rupa dan ketinggian. Kalau itu yang menjadi ukuran, budak 10 tahun pun boleh saya anggap lebih dewasa daripada saya kerana ketinggiannya. Saya rasa, lelaki semalam itu umurnya sekitar 19-20 tahun saja.

Semalam suhu panas. 24’C. Terik sangat. Itu sebabnya saya duduk di tingkap. Bila panas, mata tidak mengantuk bila dengan niat duduk di bawah teriknya. Tapi angin kuat. Dari dalam bilik, saya boleh mendengar angin menderu-deru. Putik kapas pun kelihatan kencang dipikul angin berterbangan di udara. Sepanjang duduk di tepi tingkap semalam, saya dapat dengar bunyi anjing menyalak bermain-main dengan tuannya di luar sana, bunyi angin menderu dan bunyi dedaun berdesir tak henti-henti. Alam ini tak pernahnya sunyi.

Mereka semua sedang berzikir. Berzikir tak henti-henti. Lagu-lagu alam ini indah kerana semuanya melodi zikir. Tapi saya? Selepas Asar tadi duduk di atas sejadah hanya membaca Ma’thurat ringkas dan zikirnya juga sekejap saja. Sungguh, saya rasa malu pada alam dan lagu-lagu zikir mereka…

Melihat jam, sudah pukul 8.45 pm. Hari masih terang-benderang. Saya turun dari para tingkap, menyangkut tudung dalam almari dan kembali ke meja. Saya ambil buku sajak saya. Saya melukis. Gambar laut yang luas terbentang.

Posted on June 10th, 2008 by Sarah  |  18 Comments »

Kedekut Demi Berjimat

Assalamualaikum wbt

(Ups… Ini entri panjang. Sila jangan terperangkap. Hikss)

Dalam entri lepas saya ada sebutkan yang saya di sini pun pernah merasai zaman ikat perut. Mungkin tidak seperti keadaan di Malaysia sekarang tapi apa yang saya lalui di sini benar-benar mengajar erti hidup.

Saya merupakan kumpulan kedua yang dihantar JPA ke sini. Kumpulan pertama hanya setahun senior daripada saya dan mereka adalah sebenar-benar pejuang dalam erti kata pengalaman hidup di sini. Setibanya saya di sini dulu, biasiswa sara hidup yang kami perolehi adalah 200USD sebulan. Pada waktu itu, hostel dan yuran pengajian dibayar sepenuhnya oleh JPA. Berbekalkan 200USD sebulan untuk kehidupan kami di Moscow ini adalah cukup makan sahaja. 200USD lebih kurang 6600 Rubles tukarannya dalam matawang tempatan.

Ketika saya sampai di sini, umur saya 18 tahun, masih budak-budak. Manalah pernah sebelum itu saya mengurus perbelanjaan rumah. Tapi bila tiba di sini, semuanya menjadi tanggung jawab yang wajib diuruskan sendiri. Saya dan teman sebilik waktu itu, Eza, hanya berbelanja barang dapur di pasar bandar Yugo Zapadnaya atau di Ashan sahaja (hypermarket yang besar dan murah tapi jauh dari hostel). Demi berjimat, kami tidak akan makan di luar. Kami bergilir memasak setiap hari. Untuk menelefon keluarga pula, Eza mempunyai kenalan warga negara India yang menjalankan servis panggilan jarak jauh. Saya pula lebih senang ke bilik seorang warga Vietnam yang juga menjalankan servis yang sama. Ketika itu, simkad yang saya gunakan ada masalah. Kadar panggilan ataupun SMS yang saya lakukan akan dicaj 2 kali gandi lebih daripada yang lain. Bayangkan saja, di pagi raya, untuk menghubungi keluarga dalam masa 20 minit cuma, saya telah menghabiskan 20USD. Sedangkan kawan-kawan yang lain dapat bercakap selama 50 minit dengan cuma 20USD itu. Maka saya menukar simkad baru dan kekal ke hari ini (Kadar rendahnya masih kekal sehingga hari ini. Sebab itu saya boleh selalu menghubungi keluarga dengan panggilan terus).

Untuk membeli barang dapur, saya dan Eza akan bergilir ke pasar. Biasanya saya akan ke sana pada hari Isnin petang selepas pulang dari kelas. Eza pula akan singgah ke pasar pada hari Khamis petang. Jadi stok makanan kami akan sentiasa cukup. Cukup bulan, kebiasaannya kami memang tidak punya duit lebih. Paling banyak yang pernah ada rasanya sekitar 30USD seorang. Saya menambah nilai telefon sebanyak 10USD sebulan. Tapi bila saya agak lama tidak menghubungi rumah, emak memasukkan duit menyuruh saya supaya menghubungi rumah. Katanya, duit yang dimasukkan untuk perhubungan. Jangan berdiam terlalu lama. Orang di rumah risau. Itulah juga yang terjadi pada Eza. Ibu bapanya juga memasukkan duit untuk membolehkan dia lebih kerap menghubungi rumah.

Pada tahun itu, amat jarang sekali kami makan di luar. Boleh dibilang dengan jari saja. Tapi kalau setakat membeli pai di kiosk di tepi jalan sebelum atau pulang dari kelas, itu lain ceritalah. Dulu, sebiji pai (namanya pirazhok atau sloika di sini) boleh didapati dengan harga 9 Ruble cuma. Sekarang, tiada sejenis makanan pun yang boleh didapati bawah daripada 10 ruble. Semuanya 15 Ruble dan ke atas. Ketika itu, Eza selalu menyuruh saya memegangkan wangnya sekitar 1000 Ruble supaya jika dia sudah kehabisan duit dalam tangan, dia masih mempunyai duit kecemasan dalam simpanan saya. Saya pula lebih suka mengeluarkan duit secukupnya saja. Kalau habis padan muka. Saya tidak akan mengeluarkan duit lagi. Jadi, ini akan membuatkan saya lebih berjimat cermat. Jadi, cubalah bayangkan apa saja yang kami belanjakan untuk barang makan ketika itu. Lauk setiap hari hanya ada dua. Lauknya dan sayurnya. Itu saja. Kebiasaannya ayam. Daging hanya apabila kami menempah menyuruh pelajar lelaki membeli di masjid. Makanan laut jangan cakaplah. Berapa kali saja kami beli di tahun pertama dulu. Kedekut demi untuk berjimat.

Di tahun kedua, saya bertemankan Amnah sebagai rakan sebilik. Junior sejak di KISAS dan kini menjadi junior JPA di sini pula. Saya dengannya masak berasingan. Bukan seperti saya dengan Eza dulu. Ini kerana saya kurang makan nasi pada tahun itu dek kerana pelbagai masalah yang saya hadapi dan membuatkan selera makan saya berkurang. Studi pun gila-gila. Sampaikan saya ambil mudah bab-bab makan. Pada tahun itu, Meor dan Fizzy pula yang menjadi geng saya. Meor juga seperti Eza. Menyuruh saya memegangkan duit kecemasannya. Ketika cuti musim sejuk Januari 2005, duit biasiswa yang sepatutnya masuk pada hujung Januari tidak masuk-masuk. Saya sedikitpun tidak menceritakan hal ini kepada Amnah. Kami sesama pelajar tahun 2 ketika itu bersusah-payah bersama-sama. Kebetulan ketika cuti itu, rakan-rakan dari Volgograd datang ke Moscow untuk bercuti. Masya Allah. Bila hendak keluar dari hostel, kami asyik terfikir, cukupkah duit kalau tiba-tiba mereka ajak makan di luar? Kebetulan pada waktu itu, saya dan Meor yang banyak menguruskan rakan-rakan yang datang ini. Sudahnya, kami ambil keputusan begini. Hanya salah seorang antara kami saja yang akan keluar menemankan rakan-rakan pergi makan dan yang seorang lagi meminjamkan duit kepada yang seorang lagi. Sampai begitu sekali terdesaknya kami pada waktu itu. Tapi sedikitpun kami tidak memberitahu keluarga tentang hal ini. Masing-masing hendak berdikarilah kononnya. Dan setelah undi-mengundi, saya yang dipilih untuk menemankan kawan-kawan keluar. Mereka ada bertanya mana Meor. Saya hanya katakan yang dia tidak sedap badan (kebetulan musim sejuk tahun itu sangat teruk).

Dan di awal Februari, disebabkan duit masih belum masuk lagi dan kami kebanyakannya hanya tinggal beberapa puluh ruble saja dalam tangan. Saya mengambil keputusan memberitahu emak. Emak marahkan saya kenapa tidak memberitahunya dari awal. Emak memasukkan RM1000 untuk saya. Dengan duit yang emak masukkan ini, saya memberi pinjam pada rakan-rakan se-JPA dan MARA yang lain, sedikit seorang untuk digunakan buat sementara waktu ini. Kalau tidak silap, setiap orang mendapat 700 ruble waktu itu. Seminggu lebih selepas itu, barulah duit masuk. Waktu itu baru terasa lepas lelah di dada masing-masing. Setelah kawan-kawan memulangkan semula duit saya, saya ada lebihan simpanan dalam akaun. Di hujung sem itu, mereka merancang untuk berjalan ke Saint Petersburg di barat laut Russia. Emak menyuruh saya menggunakan saja duit yang diberinya dulu untuk berlibur. Terima kasih emak, ayah sebab izinkan saya membelanjakan duit itu untuk tujuan bercuti.

Sebenarnya bukan itu saja. Ketika di tahun 3, juga pernah berlaku lagi. Dan sekarang pula, duit biasiswa kami di sini telah dinaikkan setelah penilaian semula dibuat. 700USD nilainya. Tapi kami perlu membayar hostel (rumah) dengan sendiri. Bukan lagi bawah tanggungan JPA. Jadi daripada nilai yang kami terima, kami perlu memikirkan harga rumah yang perlu dibayar sebanyak 1450USD setahun. Mahal sungguh. Itu untuk 1 kepala. Kalau 6 orang duduk dalam 1 rumah, totalnya adalah hampir 9000USD serumah. Sangatlah mahal. Memang mencekik darah. Baru-baru ini, harga barang makan naik mendadak di sini. Atas usaha kononnya kami hendak memboikot pasar di sebelah rumah ini yang terlalu mahal (kawasan ini hampir dengan City Center, ini pasar terdekat dengan Center), adik-adik rumah saya sanggup keluar membeli barang dapur di sebuah pasaraya (Perekrestok di Kievskaya) yang terpaksa menggunakan bas untuk ke sana semata-mata untuk membeli beras yang berharga 25 ruble sepaket. Beras yang boleh dikatakan tidak berjenamalah kiranya (memang tak berjenama pun). Kerana di pasar berdekatan ini, harga beras Orient (beras yang selalu kami gunakan sebelum ini) telah naik mendadak sehingga 45 ruble sepaket (kira-kira RM7 untuk 900 gram sepaket)! 20 ruble bezanya. Jadi, mereka telah memborong 12 paket sekali gus di pasaraya tersebut.

Sejujurnya, ada banyak lagi kisah kami di sini berpada dalam membeli barang dapur. Semuanya memikirkan tentang ekonomi diri dan perbelanjaan serumah. Oh ya. Ketika saya duduk di luar bersama 2 orang rakan yang lain, saya perlu menguruskan bil elektrik sendiri. Perlu berjimat. Bila hendak tidur, satu rumah kami gelapkan dan hanya membiarkan lampu dapur saja yang menyala. Tambah-tambah pula ketika musim sejuk. Dengan penggunaan pemanas, lampu yang lagi lama (kerana malam lebih panjang) dan laptop yang diguna lama kerana sedang bercuti musim sejuk pada waktu itu, bil elektrik akan melambung jauh lebih tinggi. Apa caranya kami berjimat ketika itu? Tiada siapa boleh membasuh menggunakan mesin basuh, tidak boleh menonton TV jika laptop sedang digunakan dan jika hendak membuka pemanas sendiri, laptop pula tidak boleh digunakan. Kami berjaya mengurangkan perbelanjaan. Pokok pangkalnya, bijak dalam menangani masalah.

Haha. Inilah kisahnya kedekut demi berjimat. Banyak mengajar erti mengurus ekonomi diri dan pengalaman sebeginilah yang sangat berguna untuk masa depan nanti. Kadang-kala bersusah begini lebih membuatkan kita menghargai duit dan lebih cepat matang dalam kehidupan.

Posted on June 7th, 2008 by Sarah  |  35 Comments »

Chak! Saya Kembali!

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah saya masih diberi sedikit kelapangan untuk menulis. Maaf sebab agak lama saya berdiam diri. Bukannya saya merajuk atau apa. Ada banyak benda yang terjadi dalam masa 2 minggu ini.

Pertamanya, saya jatuh sakit sejak 2 minggu lepas. Mulanya saya kira demam biasa. Tapi makin lama makin teruk. Dengan batuk berdarah dan sesak nafasnya, akhirnya saya ambil keputusan untuk ke klinik (walaupun pada keesokan harinya saya ada exam!). Saya sebenarnya seakan dapat mengagak apa sakitnya tapi hanya X-ray yang boleh mengesahkan. Ya. Saya kena jangkitan kuman di paru-paru. Pneumonia. Di samping itu, saya turut mengalami progressive bronchitis (kesan daripada sakit teruk bulan Oktober dulu). Saya pun hairan kenapalah badan saya ni sangat mudah terkena jangkitan. Immuniti badan saya sangat rendah agaknya. Tapi kenapa ye?

Keduanya, saya sedang menjalani final exam autumn semester. Untuk sem ini, saya ada 8 subjek kesemuanya. 2 sudahpun diselesaikan ketika bulan 3 dan 4. Dan secara kolektif, ada 6 subjek yang perlu saya hadapi dalam masa 2 minggu lebih ini. Saya sudahpun selesai 3 lagi exam dalam keadaan sakit yang teruk. Dan kini tinggal lagi 3 subjek. Secara total, 5 subjek telah selesai, tinggal lagi 3 dan yang terdekat adalah pada hari esok. Wah. Sempat pula saya menulis di sini ye. Hihi.

Sebenarnya saya baru saja kembali dari klinik untuk temujanji susulan bersama doktor tadi. Alhamdulillah, secara keseluruhan keadaan saya semakin baik. Tapi belum sepenuhnya. Masih batuk (berdarah kadang-kadang), tidur tidak boleh baring (sesak nafas) jadi saya akan tidur menyandar di katil. Sakit belakang tau. Dah lah sepanjang hari duduk di kerusi untuk studi. Waktu tidur pun kena duduk juga. Sedih je. Makan pun perlu dicatu. Bukan semua benda saya lalu makan. Tekak sakit. Semalam Wanie buat bubur nasi. Wow. Saya makan bertambah 2 kali! Waktu tu dah tengah malam. Tak kira. Saya makan je banyak-banyak. Selesai makan, saya sambung studi tapi tidak lama selepas itu, tersyahid pula. Pukul 3 pagi baru bangun semula untuk menghadap nota. Ubat pula ada 7 jenis semuanya. Hampir setiap hari akan kedengaranlah suara Pena dan Emy mengingatkan saya suruh makan ubat. Huhu. Terasa macam budak kecil saja. Terima kasih Pena dan Emy sebab selalu ingatkan KS. KS tak pernah culas makan ubat tau.

Begitulah kiranya jadual saya kebelakangan ini. Exam dan sakit. Buku dan ubat. Hari-hari pun akan telefon emak. Sempat berbual 2-3 minit pun dah cukup. Tapi kalau ada cerita yang menarik, lamalah pula akan melekat di telefon dengan emak =) Saya minta maaf kepada beberapa pembaca yang secara kebetulan mendapat tahu yang saya sebenarnya ada menulis di blog sajak saya itu tapi tidak memberitahu di blog ini. Saya sengaja buat begitu sebab saya rasa bukan semua pun berminat dengan sajak-sajak semua ni kan. Maaf sangat-sangat. Kalau sesiapa rasa berminat, silalah baca di blog sajak tu.

Oh. Tadi ada sesuatu yang gembira terjadi. Sangat menggembirakan. Tapi saya tak mahu cerita sekarang. Kena tunggu sehingga exam selesai, baru saya akan cerita. Tentang exam pula, Alhamdulillah. Kesemua 5 exam yang telah berlalu berwarna-warni coraknya. Tinggal lagi 3. Doanya, semoga 3 yang baki ini, tiadalah cacat celanya. Apapun, apa yang kita usahakan, itulah rezeki kita. Kan? Macam mana saya urus diri dan studi sepanjang waktu sakit? Jawapannya satu saja. Jangan bertangguh. Mulalah dari awal. Saya selalu syaratkan begitu pada diri saya. Kalau saya tahu exam akan bermula sekitar 1 Jun, saya wajibkan diri saya bermula sebulan sebelum itu. Alhamdulillah saya bermula awal, jadi, ketika ujian sakit Allah datangkan, setidak-tidaknya saya telah membuat persiapan. Hamdallah. Hamdallah. Hamdallah.

Buat kamu semua, terima kasih atas doa yang diberikan. Saya tak balaslah ye komen di entri lepas. Apa-apapun, terima kasih tak terhingga sebab mendoakan kesihatan dan exam saya. Semoga Allah kurniakan yang terbaik untuk kamu semua juga. Oh ye. Isu minyak naik harga di Malaysia. Saya sebenarnya kasihan dengan warga Malaysia. Sungguhpun saya tak merasa kehangatan isu tersebut secara langsung, tapi saya kasihan dengan tanggungjawab yang semakin berat yang perlu dipikul oleh semua. Kuncinya sekarang ialah bijaklah mengurus ekonomi diri dan keluarga. Kalau nak minta diturunkan semula pun, takkanlah mungkin hal itu kan. Lainlah kalau ada demonstrasi besar-besaran 1 negara. Tapi demonstrasi bukanlah jalan penyelesaian. Kalau hendak diikutkan, kami di sini pun pernah berikat perut mengalami krisis harga barang yang naik mendadak. Apa penyelesaian kami waktu tu, tunggu dalam entri seterusnya ye =)

Hmm… Kasihanlah emak dengan ayah yang kena urus minyak untuk berapa biji besi berenjin di rumah tu ye… Dengar khabar, 1 Julai ni tarif elektrik pula akan naik. Oh. Janganlah ayah catu penggunaan internet di rumah nanti. Huhu.

Daa~ Salam.

Posted on June 5th, 2008 by Sarah  |  29 Comments »

Hilang Di Taman Khayalan

Assalamualaikum wbt

Saya tidak sedap hati. Badan pun tidak sihat. Sudah beberapa hari demam dan semakin memuncak pula di kala exam sudahpun tiba. Kepala berdenyut dengan teruk di saat ini. Tapi sakit bukan persoalannya. Yang utama, saya tidak sedap hati. Saya cuba untuk tidak menangis sepanjang beberapa hari ini. Tapi pagi ini, tewas juga saya dengan emosi. Saya ada lima lagi exam yang menanti. Jika dikira secara rasminya, ini merupakan final exam terakhir yang akan saya duduki kerana pada tahun hadapan, hanya State Exam yang menanti sebelum saya bergraduasi. Semoga tiada cacat cela mencoret keputusan final exam kali ini. Sekali telah bermula, biarkan molek sampai ke akhirnya. Saya minta maaf pada semua andai selama ini saya telah menyinggung perasaan sesiapa. Kalaulah saya ini Gusti Puteri, izinkan saya menghilang bersama Hang Tuah di taman khayalan buat seketika.

Wassalam.

Posted on May 28th, 2008 by Sarah  |  43 Comments »