Archive for the ‘Life’ Category

5.24 Pagi

Assalamualaikum wbt

5.24 pagi. Saya masih belum lelap walau sepicingpun. Usaha saya naik ke katil barang sejam untuk menidurkan diri langsung tak berhasil. Indahnya malam bulan mengambang dengan ditemani bunyi rintik-rintik salji tak menjadi yang turun sebagai renyai di dini hari. Puas malam berbisik cuba menidurkan tapi sayangnya mata saya tak terpujuk. Tertekannya. Malam minggu sepatutnya saya nyenyak tidur beralaskan lengan dan hanyut diulit mimpi yang wardah. Sebaliknya saya terkebil-kebil di dalam pekat malam sendirian. Kalaulah dapur saya di sini kedap bunyi, sudah lama 20 biji kek tersedia rapi indah berhias dengan icing warna pelangi.

Heh. Mengarut sungguh. Kot ye pun, mana sempat siap 20 biji Sarahnya… Ah. Cubalah lelap wahai mata. Saya rindukan nikmat tidur…

Posted on November 16th, 2008 by Sarah  |  24 Comments »

Asing Itu Unik Dan Berharga

Assalamualaikum wbt

Pagi tadi, saya dan Wanie mengikut Mily yang diajak oleh seorang kawannya untuk ke Muslim Gathering. Kawan Mily ini merupakan wakil Rusia untuk Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. Gulnara namanya dan dia merupakan seorang bangsa Tatar. Berpakat berjumpa di Metro Novokuznetskaya dan lokasi program hari ini ialah di Tatar’s Cultural House. Letaknya berhampiran dengan Masjid Novokuznetskaya.

Sebaik sampai di sana, tetamu masih belum ramai dan sebenarnya program ini dianjurkan oleh para remaja Tatar yang berpegang kuat dengan agama. Program dimulakan dengan kupasan tafsir. Disebabkan kupasan diberikan dalam Bahasa Rusia, saya menjadi penterjemah untuk Wanie dan Mily. Sebenarnya kehadiran kami warga Malaysia di program itu disambut dengan sangat ramah oleh mereka. Mereka sangat gembira dengan kehadiran muslim berbangsa lain ke program tersebut. Kupasan tafsir tadi berkisar tentang hubungan sesama manusia dan aplikasinya. Pendek ceritanya, saudara Almaz yang membuat kupasan itu sangat pandai memberikan contoh-contoh dalam kehidupan harian kita, bagaimana tanpa sedar kita sebenarnya banyak tidak menjaga adam sesama manusia apatah lagi dengan Allah.

Program berehat seketika untuk solat Zohor dan kemudian disambung dengan persembahan lagu-lagu selawat oleh kanak-kanak Tatar yang lengkap berpakaian tradisional mereka. Serius, mereka sangat comel. Bahasa mereka juga unik. Kemudian ada permainan disediakan untuk para tetamu dan juga sesi kuiz tentang Islam di wilayah Rusia dan yang berkaitan dengannya. Sebelum balik, kami dijamu dengan hidangan ringan versi Tatar. Ada sejenis kuih yang kami dipelawa untuk rasa. Selepas menjamah, baru saya sedar ada daging sebagai intinya. Dalam perjalanan balik, saya sudah mula rasa gatal di bawah mata. Alahan saya sudah bermula. Sampai di rumah, terus saya makan ubat sebelum muka saya bertukar menjadi Doraemon.

Dalam program kali ini, saya lebih menikmati pengisiannya dan ukhwah yang dibentuk dengan muslim di sini. Dulu pernah saya ikut program-program begini tapi ketika itu masih di tahun 1 dan 2. Limitasi bahasa membataskan segalanya kerana saya mengikuti program anjuran masjid yang kebanyakannya tidak berbahasa Inggeris dan penguasaan Bahasa Rusia saya masih belum begitu lancar. Tapi, golongan muda Tatar ini rata-rata adalah pelajar universiti dan berkerjaya yang bagus. Ada peguam, ada usahawan dan beberapa daripada sedang menuntut dalam bidang Ekonomi dan Statistik juga Pedagogi Kanak-kanak. Yang lelakinya pula, serius saya kata, kalau berjumpa di jalanan, tak mungkin saya terfikir bahawa mereka itu muslim. Tidak nampak langsung unsur ke-Tatar-an pada wajah mereka. Mereka seperti bangsa Rusia yang lain. Mungkin ada di kalangan mereka itu memang berbangsa Rusia tapi tak dapat dibezakan sudah dengan bangsa Tatar yang lain.

Untungnya kali ini, saya dapat berkenalan rapat dengan Alina, Dina, Gulnara, Guzel, Dinya dan Benera. Alina ini asalnya dari Kazan, bandar Islam terbesar di Rusia. Dia mengajak kami berekspedisi ke sana satu hari nanti. Tunggu masa yang sesuai saja ni. Dina pula seusia dengan saya. Dia merupakan graduan Perundangan dan kini mengusahakan perniagaan bersama kakaknya. Dia juga merupakan pembekal pakaian muslimah versi Rusia yang harganya sangat berpatutan dan di hujung pertemuan kami, Dina yang fasih berbahasa Inggeris ini ada menawarkan saya satu perkara. Kalau dah terealisasi nanti, barulah saya kongsikan di sini. Oh ya. Dina ini sudah berkahwin dan menurutnya, setiap Sabtu, suaminya bercuti dan suaminya mengizinkannya beraktiviti bersama muslim yang lain supaya dia tak ketinggalan dalam bidang agama. Bagus betul. Dan tadi, sempat juga saya mengajar mereka memakai tudung versi Malaysia dan menerangkan fungsi anak tudung yang dipakai. Mereka juga bertudung tapi semestinya versi yang berlainan. Dan dalam program kali ini, saya betul-betul hargai erti ukhwah atas ikatan aqidah yang sama antara kami semua dan saya sangat menantikan aktiviti seterusnya yang dapat saya sertai. Dalam perjalanan pulang tadi, Alina yang menghala ke arah yang sama dengan kami telah banyak menceritakan masalahnya mengamalkan Islam sepenuhnya di universiti dan pandangan rakan-rakan Rusia lain yang menganggap aplikasi seorang yang bernama Islam itu adalah kolot. Dia tersepit kerana masih ramai bangsanya (Tatar) yang hanya Islam pada nama tapi kosong pada aplikasinya. Pendek kata, apabila dia cuba menerangkan situasi yang sebenar kepada kawan-kawan berlainan bangsa dan agama dek perbezaannya dengan bangsanya yang lain yang tidak beramal dengan Islam, dia jadi kalah dengan terjahan soalan-soalan yang akhirnya disimpulkan o leh mereka sebagai ‘Islam itu kolot’.

Situasi yang dihadapi olehnya itu sebenarnya tak jauh beza dengan muslim di Malaysia yang berstatuskan negara Islam. Ramai yang Islam pad a nama tapi tidak pada amalannya. Islam itu datang dalam keadaan asing dan kini terbukti telah kembali menjadi sesuatu yang asing. Semoga kita menjadi muslim yang dapat melihat dan menerima keasingan itu sebagai sesuatu yang istimewa. Menjadi terasing dan unik itukan bukti kita ini ada nilai dan harga yang tersendiri =)

Sekejap tadi saya baru tahu tentang isu ‘Sajak Kematian’ yang tengah hangat di Malaysia. Ini juga bukti, apa yang fitrah itu dipandang asing dan yang saya malukan, si puan doktor itu meminta agar pelajar-pelajar yang sudah menonton video itu dihantar untuk ujian clinical psychology. Hmm. Ini bukan masalah mental. Ini masalah hati. Keras atau lembut untuk menerima peringatan fitrah sebegini.

Nota: Selamat hari lahir buat sepupu terbaik saya, Nisa (16 November). Semoga Allah permudahkan segalanya untuk awak ye. Tak lama dah kita nak jadi seseorang untuk keluarga kita. Oh. Nampak gayanya, makan nasi minyak Serdang dululah kita semua ye 😉 Ups. Hopefully Mak Andak won’t be reading this.Otherwise, she will bring up the story of you asking about *tut* 13 years ago. Kelakar Ya Rabbi bila Nana dapat tahu pasal tu =p Didoakan yang baik-baik saja untuk awak di sana.

Posted on November 16th, 2008 by Sarah  |  3 Comments »

Sebulan

Assalamualaikum wbt

Hari ini genap sebulan insiden barang-barang saya dicuri. Ini bermakna, genaplah sebulan saya mendapat sumber kewangan penuh daripada emak dan ayah saya.

Sewaktu mula-mula dihantar ke sini dulu, pelajar-pelajar tajaan JPA dan MARA hanya menerima 200 USD untuk perbelanjaan sebulan. Saya pernah ceritakan di sebuah entri khas dulu tentang hal ini. Kisah bagaimana kami hidup cukup-cukup makan saja dengan duit yang ada. Itu 5 tahun dulu di mana kos hidup tidaklah setinggi sekarang.

Tapi setakat ini, sepanjang sebulan saya bergantung sepenuhnya kepada bank emak ayah saya yang punya, saya hanya membelanjakan RM600 saja dan masih lagi berbaki. Serius. Saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh hidup dalam keadaan begini. Tapi hakikatnya, saya bukan jenis orang yang makan di luar. Atau kalau diajak pun buat masa ini, saya lebih selesa menolak. Jangan harap saya hendak membazirkan duit saya sesuka hati. Saya pun bukannya jenis yang sukakan makanan ringan atau makanan sampingan seperti biskut dan kudapan yang lain. Bila teringin sangat saja baru saya beli. Untuk sarapan, siapa yang mengikuti blog saya sejak dari dulu lagi akan mengenali tabiat saya yang suka bersarapan dengan roti kosong dicelupkan ke dalam nescafe panas. Makan nasi sekali saja sehari. Lain-lain waktu, saya jarang mengunyah. Rusia ini lain. Musim sejuknya lebih lama daripada musim-musim yang lain. Kalau banyak makan, kadar glycogenolysis lebih rendah daripada kadar glycogenesis. Nanti makin gemuk pula kalau tidak diiringi senaman yang cukup.

Tadi sedang saya menjamah nasi, baru saya sedar ayah ada menghantar mesej. Tanya ayah: Duit ada lagi ka? Saya jawab: Ada berlebih lagi ni. Boleh guna hingga Jumaat depan. Dalam hati saya berkira-kira, kalau tidak berbelanja, memang boleh bertahan sehingga Jumaat depan. Tapi tadi saya singgah membeli ayam dan sayur kerana hari ini giliran saya memasak. Saya beli ayam seberat 1.3 kg. Harganya ialah 170 rubles! Sekitar RM24! Kebetulan ada Rodo dan Maryam bersama saya di kedai itu tadi. Makcik kedai memberitahu kami bahawa pada hari esok dan Isnin, harga ayam akan naik lagi. Hmm. Apalah nasib kami di sini. Harga melambung-lambung naik. Yang paling pasti, setiap kali masuk tahun baru, tarif baru untuk segala benda akan bermula. setiap tahun begini. Harga barang naik. Begitu juga harga top up kad metro, pas bas bulanan dan segala yang lain.

Kadang-kala, bila kita dalam kesempitan kewangan dan terpaksa berjimat semaksimumnya, barulah kita betul-betul menghargai susah-payah ibu bapa kita membesarkan kita selama ni. Seperti situasi saya sekarang, saya rasa tak sanggup hendak meminta pada emak ayah. Kalau sudah terpaksa sangat, barulah saya minta. Kasihan emak dengan ayah. Anaknya dah besar panjang ini pun masih perlu ditampung macam adik-adik lagi 🙁

Kalau saya sambung senarai saya tentang times that my parents stood up for me mesti saya akan menangis. Satu hari nanti saya pasti akan sambung. Ada banyak lagi yang saya hendak kenang semula susah-payah emak dan ayah sepanjang membesarkan saya.

Nota: Kesimpulannya, Moscow ini sangat mahal. Ya. Maha mahal.

Posted on November 15th, 2008 by Sarah  |  8 Comments »

Masih

Assalamualaikum wbt

Seperti yang dijangka, saya insomnia lagi malam ini. Saya kaji masa tidur saya. Memandangkan saya selalu tidur pada pukul 1 ke atas, dan terbangun semula tidak lama selepas itu, jadi saya cuba membuat teori sendiri. Seandainya tidur lagi awal tapi akan terjaga pada masa yang sama, pun sudah kira cukuplah masa tidur saya. Maka, saya pun bereksperimentasilah di tengah malam tadi.

Pukul 12.45 saya sudah menutup fail yang tebal dan meletakkan di atas para dan terus saya tidur. Tapi, selang 5 minit, saya terjaga. Waktu itu sudah hampir pukul 1 pagi. Rakan sebilik saya tidak sedap badan. Dia pening kepala dengan tiba-tiba dan hendak muntah. Saya gagahkan diri bangun dan melihat-lihat mana yang patut. Selepas menggosok-gosok sedikit belakang badannya dan menunggu sehingga dia selesai makan ubat, saya pun kembali ke katil dan cuba untuk tidur semula. Susah hendak tidur semula. Sebelum tertidur, yang saya sedar jam menunjukkan pukul 1.50 pagi. Dan pada pukul 4.45 tadi saya sudah terjaga semula. Cuba untuk tidur semula tetapi sudah tidak boleh.

Hari ini perlu ke Infectious Hospital for Pediatrics. Jauh sangat. Awal-awal dah kena bertolak. Harapnya di dalam metro akan dapat tempat duduk. Boleh tidur. Petang nanti ada latihan di Pusat Sukan di Yugo Zapadnaya. Sebelum pergi kena memasak dulu untuk kami serumah. Sampai rumah malam nanti pukul berapalah agaknya. Tapi saya target hendak berlari semahu-mahunya hari ini. Hendak menjaga stamina dan hendak memeluhkan diri ini. Musim kegemukan sudah bermula. Kalau tak bersenam, alamatnya berat boleh mencecah 50 lebih. Baik jangan. Opsyen lain, berlari turun naik tangga bangunan ini sehingga mamat Arab, Brazil dan Rusia yang selalu melepak di tepi ini muntah hijau kebosanan melihat saya lalu-lalang. Hah. Siapa suruh merokok di tepi ni. Merosakkan alam betul.

Nota: Orang lain seronok menyusun agenda cuti Sabtu Ahad, saya pula sudah mula kefobiaan akan kebosanan tahap maksimum lagi. Ironi sungguh hidup ini.

Posted on November 14th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Insomnia

Assalamualaikum wbt

Saya rasa, sejak Ramadhan yang lalu, saya kembali mempunyai masalah tidur. Jika sewaktu Ramadhan dulu, saya bangun sahur sekitar 5 pagi. Ada masanya tertidur semula selepas Subuh tapi kebiasannya memang tidak tidur kerana saya perlu berangkat awal ke hospital.

Sejak dari itu, hampir setiap hari saya akan terjaga sekitar 4.45 pagi dah berjaga sehingga Subuh masuk. Kadang-kala, saya tidak dapat berbuat apapun ketika mata tidak boleh lelap. Dan sekarang ini semakin teruk pula. Saya akan terjaga seawal 3.30 pagi. Cubalah bayangkan. Saya naik ke katil pukul 1.30 pagi. Tak sampai 2 jam tidur, dah pun terbangun semula. Subuh masuk lambat kerana sudah pun musim sejuk. Hendak studi pun tak boleh sebab otak letih, badan letih, segalanya letih tapi tidur saja yang tidak boleh. Seperti malam tadi. Pukul 1 lebih baru hendak tidur tapi sekitar 3.40 saya sudah terjaga. Cuba tidur semula, tapi tidak boleh-boleh. Sehinggalah pukul 8.30 pagi baru terlelap semula. Nasib baik hari ini rutin saya bermula jam 12. Kira sesi petanglah. Saya bangun semula pukul 10 pagi tu dalam keadaan pening. Mata pun macam panda. Eheh. Kalau hari biasa-biasa pun mata saya memang macam panda.

Kalau dulu-dulu (2004), memang logiklah saya ada masalah tidur waktu itu. Bilik saya ada sesuatu yang datang dari bilik depan di hostel lama. Hehe. Sampai 6 hari saya insomnia. Tidak tidur walau sepicingpun. Emak siap kirimlan air bacaan doa dari Malaysia. Seronok juga waktu tu. Berat badan turun sangat. Merasalah diri ini kekurusan barang sebulan.

Tapi sebenarnya, terseksa sangat bila tak cukup tidur. Otak rasa macam keras dan badan pula tak bersemangat untuk membuat sesuatu dengan aktifnya. Bilalah akan elok semula ya? Setakat yang saya sedar, insomnia saya datang setiap kali musim sejuk bertandang. Alah. Kalau saya balik Malaysia yang tiada musim sejuk pun, saya insomnia juga. Malam-malam mesti saya jadi burung hantu berjaga seorang diri. Tapi semuanya atas pilihan sendiri. Berinternet aja kerjanya kalau di rumah! Qadha’ semua mana yang patut. Huhu. Oklah. Kalau saya insomnia lagi malam ni, saya sambung rapuan saya di dunia saya ni. Daa~

Posted on November 13th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »