Menjadi Doktor Bukan Bukti Kepandaian
Saya ada program malam ini yang memerlukan perhatian dan tindakan saya. Slot Kesihatan Wanita. Selesai mengelolakan slot ini, saya terdiam sejenak di meja sambil menikmati jus aprikot sejuk. Menarik juga menjadi Pakar Sakit Puan rupanya ya.
Tadi ketika slot itu, saya banyak mengupas tentang isu kesihatan wanita. Dari mental sehingga kesihatan dalaman yang perlu dititikberatkan oleh semua. Sewaktu bercakap tentang isu itu, kadang-kadang saya terasa seperti Ustazah Bahiyyah. Kadang-kadang terasa seperti Dr. Hamid Arshad. Multi personaliti sungguh saya malam ini.
Apabila berfikir dua kali, saya langsung tidak pernah menyimpan hajat untuk menjadi Pakar Sakit Puan. Sewaktu balik kampung ketika pulang bercuti dulu, beberapa kali Tok saya bertanyakan tentang bidang perngkhususan yang saya mahukan. Jawapan saya tetap sama sejak dulu lagi. Pakar Bedah Kardiothorasik (Cardiothoracic Surgeon) (CTS).
Dan sejak dulu jugalah Tok saya tak jemu-jemu membangkitkan isu berapa lamakah saya perlu belajar lagi untuk mencapai tahap itu. Jawab saya, lama lagi. Perlu bekerja dua tahun sebagai Housemanship (HO), disambung dengan setahun sebagai Medical Officer (MO) sebelum berpeluang mengambil exam untuk menyambung dalam bidang Cardiology (jantung) dan seterusnya menyambung lagi dalam pengkhususan tinggi di bahagian Surgery (pembedahan). Saya juga masih belum jelas dengan laluannya yang sebenar tapi secara kasar, inilah peringkat-peringkat yang perlu dilalui.
Tok mengingatkan saya bahawa saya seorang perempuan dan pastilah peringatannya berupa setinggi mana pun seorang perempuan itu pergi, dia tetap perlu beringat bahawa dia ada suami dan keluarga untuk dijaga makan pakainya. Saya tak nafikan itu tetapi tidak boleh tidak, inilah yang menjadi impian saya sejak lama dulu.
Puas juga hendak meyakinkan Tok tentang hal ini. Sebenarnya sehingga ke hari inipun Tok masih lebih suka jika saya memilih bidang yang berkaitan dengan perempuan atau kanak-kanak. Dan adalah lebih baik jika saya masuk ke bahagian pentadbiran saja. Saya bukan mahu membantah atau apa, tapi minat saya bukan ke arah itu. Langsung tidak berminat.
Saya tidak nafikan, mungkin sekarang saya sangat berhajat untuk menyambung dalam CTS. Tapi segalanya bergantung kepada prestasi dan rekomendasi daripada pegawai atasan saya nanti. Mungkin baginya, saya lebih berpotensi dalam bidang lain dan saya akan diberikan tawaran untuk menyambung pelajaran dalam bidang berkenaan atas sokongan daripadanya. Waktu itu, segalanya mungkin berubah. CTS yang saya kejar-kejar mungkin tidak akan kesampaian. Dan sekiranya saya beralih arah berada di dalam bidang sakit puan, mesti ramai yang puas hati termasuk Tok dan mungkin emak ayah saya sendiri.
Saya sendiri masih kabur apa akan terjadi pada suatu hari nanti. Dapatkah saya bergelar CTS. Sejak awal lagi sudah ramai yang menegah. Kata mereka, bidang ini susah. Tapi saya tetap berhajat ke arah itu. Saya bukan hendak membuktikan saya pandai, terlalu pandai atau berlagak pandai. Kalau saya pandai, sejak dulu lagi saya tidak perlu memilih bidang ini sebagai jalan pilihan. Baiklah saya berada dalam jurusan yang melibatkan kajian formula. Contohnya, ilmu Matematik yang amat saya minati. Entah-entah, sekarang ini saya sudahpun mempunyai Master dalam Matematik. Entah-entah, dengan kepelikan saya yang selalu bermain nombor sehingga boleh mencipta cerita daripada nombor-nombor sudahpun memungkinkan saya mencipta formula saya sendiri. Itu baru namanya bijak pandai. Tapi saya tidak. Saya tidak memilih jurusan itu dulu. Sebaliknya berada di sini memilih bidang ini.
Saya tiada apa yang hendak dibuktikan dengan memilih bidang ini tapi saya melihat bidang ini adalah jalan pilihan yang diberikan Allah untuk saya. Kalaulah Tok saya yang menanyakan soalan ini kepada saya, apa yang ingin saya buktikan dengan bergelar doktor, saya tiada jawapan yang skema. Yang saya tahu, saya hendak menjadi doktor kerana bukan semua orang di dunia ini diberikan keberanian dan kesanggupan oleh Allah untuk memikul tanggung jawab ini. Saya tidak kata saya sanggup dan berani tapi hati saya telah digerakkan supaya menjadi sanggup dan berani untuk ke arah ini.
Kalaulah hati saya tidak diberatkan untuk ke arah ini, saya rasa sekarang saya sudah berada di sebuah firma guaman di Ibu Negara, menjalani chambering saya dengan jayanya. Malangnya, Allah tidak memberikan kekuatan dan kesanggupan untuk saya berani membuat keputusan memilih untuk menjadi seperti itu suatu masa dulu.
Saya harap Tok memaafkan saya. Saya degil dan tetap keras hati mahu cuba yang terbaik untuk mencapai apa yang saya hajatkan ini. Mungkin jika saya patah sayap tidak mampu mengejar impian menjadi seorang CTS, tersungkurlah saya nanti menjadi Pakar Sakit Puan atau Pakar Kanak-kanak yang pastinya boleh memuaskan hati banyak pihak.
Berdoalah saya untuk mencapai apa yang saya mahu. Berdoalah Tok dan sesiapa saja untuk mencapai apa yang kalian mahu. Menjadi doktor itu bukan bukti kepandaian sebaliknya menjadi bukti menerima taklifan dan amanah untuk kesejahteraan insan.
