Archive for the ‘Life’ Category

Adat Hidup

Adat meraut buluh,
ada yang luka, ada yang sembuh.

Adat memasang jerat,
ada yang lepas, ada yang dapat.

Adat memakan lada,
ada yang pedas, ada yang terasa.

Adat meniup arang,
ada yang menyala, ada yang padam.

Adat memberi peri,
ada yang puji, ada yang keji.

Nota: Tak semua yang kita buat serba mengena di mata orang lain.

Posted on December 26th, 2008 by Sarah  |  28 Comments »

Dari Kerana Mata (iii)


Assalamualaikum wbt

Setiap pagi, aktiviti pertama saya sebaik bangun dari tidur ialah mengemas katil. Saya tidak suka katil yang berselerak dan tidak kemas tarikan cadarnya. Tetapi sejak dua pagi yang lalu, perkara pertama yang perlu saya buat sebaik bangun dari tidur ialah mencapai cermin mata di atas meja di tepi katil. Kemudian barulah saya meneruskan dengan aktiviti yang lain.

Sejak dua hari lalu, mata saya menjadi kabur dengan teruknya. Sehinggakan, tulisan yang berada 1.5 meter jaraknya dengan saya dalam keadaan saya memakai cermin mata amat susah untuk saya baca. Saya menyedari hal ini pada pagi Isnin lepas. Saya bangun dari tidur, memandang skrin laptop dan semuanya terlalu kabur. Mungkin perlukan masa untuk proses adaptasi cahaya. Saya mencapai cermin mata dan selepas 10 minit berlalu, keadaannya masih begitu. Puas saya kebil-kebilkan mata. Tetap juga tiada perubahan.

Saya memandang lantai. Tinggi rendah yang berbeza. Pandangan mata kiri jauh lebih dalam dan kabur. Selepas seketika baru saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Di sebelah petangnya, saya menjenguk Wanie memasak di dapur. Saya mengadu padanya (ceh, saya ni manja betul dengan Wanie) bahawa saya tidak dapat membaca senarai barang yang dilekatkan dengan fridge magnet pada peti ais. Jaraknya hanya 1.5 meter atau kurang. Saya meminta Wanie menyebutkan apakah perkataan itu. Bacanya: Tepung Kentucky. Aduhai. Hanya selepas itu baru perlahan-lahan mata saya dapat menangkap bentuk-bentuk huruf yang ada.

Saya keluarkan kesemua cermin mata yang saya ada. Dua daripadanya memang saya selalu guna secara selang-seli. Yang ketiga pula adalah cermin mata ketika di tahun 4 dulu. Ketiga-tiganya tidak dapat membantu saya melihat dengan jelas dan selesa. Oleh sebab itu, hampir sehari suntuk saya pening kepala pada hari semalam.

Apa nak jadi ni. Makin teruk pula mata ni. Saya harap, kali ini ia bersifat sementara. Mungkin hal ini terjadi kerana pada hari Ahad lepas, saya bersama team saya mengadakan perbincangan selama 5 jam di dalam cahaya samar kerana menggunakan projector. Semoga mata saya semakin tahan lasak selepas ini. Ayuh, mataku! =p

Nota 1: Saya ke pasar selepas Maghrib semalam. Rasa macam tak nak masuk rumah semula. Suhu sejuk yang sangat nyaman. Sukanya~ Huhu.
Nota 2: Ada sesiapa boleh meneka di mana lokasi gambar di atas? =)

Posted on December 24th, 2008 by Sarah  |  21 Comments »

The Unspoken Freedom

Assalamualaikum wbt

Sejak datang ke sini, saya menikmati satu kebebasan. Yang tak dapat diluahkan dengan kata-kata. Kebebasan yang menyenang dan menenangkan hati. Saya pernah menulis di dalam salah sebuah buku sajak saya: The Unspoken Freedom. Waktu itu, saya memaksudkannya sepenuh hati. Kebebasan yang saya tidak rasai suatu masa dulu.

Mesti kecewa hati emak ayah saya membaca apa yang saya tuliskan di sini. Bertenang dulu. Bukan itu maksud saya. Bukan kebebasan dari sudut kehidupan mahupun sosiobudaya. Tetapi lebih dalam dari itu.

1. Di sini saya bebas membawa diri saya sebagai seorang Melayu-Muslim yang tidak perlu berpada-pada terikat dengan pandangan orang lain. Contohnya, saya boleh solat di mana-mana saja jika tidak sempat pulang ke rumah. Telekung bukan satu kewajipan. Saya bebas untuk solat dengan seluar dan baju yang saya sedia pakai. Jeans pun jeans lah. T-shirt pun t-shirt lah. Bukannya saya pakai yang ketat-ketat dan pendek-pendek. Semuanya cukup syarat untuk solat. Serik. Saya dimarah oleh seorang makcik kerana solat tanpa menggunakan telekung ketika di Malaysia dulu. Kebetulan ketika itu saya memakai jeans dan blaus labuh. Tiada salahnya. Tapi setiap pasang mata di dalam surau R&R itu memandang tajam kepada saya. Saya bukan penjenayah agama pun. Cuma di situ ada satu keluarbiasaan yang dipandang sebagai kesilapan.

2. Saya bebas mengenakan tudung saya dengan apa cara sekalipun tanpa perlu kisah sama ada warnanya sepadan atau tidak dengan baju saya. Memang jaranglah saya buat begini tapi jika ada kalanya tidaklah padan sangat warnanya, tiada siapa yang kisah (hehe, saya memang tak kisah pun). Bagi mereka di sini, tudung itu sekadar yang kita gunakan untuk menutup kepala. Bukan untuk berfesyen segala. Kerana mereka tahu saya bertudung kerana saya seorang Islam. Kalau di Malaysia, alamak, orang dah menjeling seribu makna!

3. Saya bebas untuk membiarkan muka kelihatan seperti budak-budak dengan lipatan tudung yang kurang kemas atau ‘tidak bulat’. Kalau di Malaysia, orang pandang-pandang kita banyak kali kerana tidak lawa pada mata mereka. Orang sini tidak kisah. Bagi mereka, asalkan ada benda yang tutup kepala budak ni macam biasa, itu sudah kira beres. Mana mereka tahu cantiknya bertudung tu macam mana. Stail lipatannya macam mana dan lain-lain lagi. Tapi sebolehnya saya sentiasa memastikan tudung sentiasa kemas. Imej kenalah dijaga, kan.

4. Saya bebas menjadi diri saya. Saya sentiasa ada talian hayat untuk mengelakkan orang yang saya tidak senangi daripada terus menghubungi diri. Jika di Malaysia, sentiasa saja ada cara nombor telefon atau segala jenis cara komunikasi yang lain disebarluaskan oleh kawan-kawan kita. Tanpa izin. Saya rimas. Sebab saya tidak suka berada di dalam keadaan sesak dan diperhatikan. Di sini, saya sungguh bijak menjadi orang halimunan. Huhu. Tidak faham? Tak mengapa. Tak penting sangat ni.

5. Ada beberapa hobi yang tidak dapat saya laksanakan secara terbuka ketika di Malaysia. Kerana orang suka mengadili saya secara percuma kerana saya dan latar belakang saya. Jadi, saya biarkan hobi itu terselindung. Dan di sini hobi itu lebih bersifat terbuka. Eh, tidak juga. Masih tertutup juga. Cuma saya zahirkan diri saya bukan sebagai saya. Sungguh terasa kebebasannya. Ada yang faham? Bagusnya. Cekap ya kamu ni =)

The Unspoken Freedom

There are times
there are people
longing for freedom.
There are people who stay
even when the time washes away.
There are people who leave
even when freedom is almost to lead.

There would be strife
fetter a greater life
to agree what the world disagrees
to set you free from all the tyrannies.

If it is a fear you would dispel
come by dear I tell you a spell
though it’s hard to cast off
but we may try to cut the handcuff.

So long the freedom is hidden
so long it is left unspoken
there can be no right in the twisted sight
thus so long to the dazing light.
When the rhyme ends
the unspoken freedom begins
to rise in.

Sarah
Pushkin Hostel
15 December 2004
(sekarang saya rasa sajak ini sangatlah buruk) =p

Nota 1: Baru tersedar bahawa sajak itu sudah berusia 4 tahun lebih! Saya tulis ketika di tahun 2 dulu. Punyalah dah lama!
Nota 2: Saya tak kisah makan ais krim tercomot sedikit di pipi bila di sini. Tapi kalau di Malaysia, err, saya makan ais krim dalam rumah saja. Hohoho. (Jenuh saya cuba ingatkan ada tak saya makan ais krim sambil berjalan-jalan bila dah besar panjang ni di Malaysia. Memang tiada! Aduhai…)
Nota 3: Ada benda dalam kehidupan kita yang kita kena ubah tapi tak bermakna kita berubah.
Nota 4: Ini nota penting. Hehe. Saya sudah mula ber-Plurk. Let’s join me! Hehe.

Posted on December 23rd, 2008 by Sarah  |  32 Comments »

Moscow Dan Isu Keselamatan

Assalamualaikum wbt

Elok saja selesai Subuh, saya terus ke dapur untuk memasak. Saya ada group discussion bersama team saya hari ini. Saya ditugaskan memasak. Senang saja. Buat nasi lemak sambal ayam. Habis cerita. Sedang saya memasak, telefon saya berbunyi. Panggilan dari emak dan ayah.

Saya memberi salam dua kali, orang di sebelah sana masih tidak mendengar suara saya sebaliknya masih berbual sesama mereka. Dan saya terdengar apa yang mereka bualkan. Dan saya sudah mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Tambahan pula, masih gelap pagi lagi di sini ketika itu. Apa halnya emak dan ayah hendak menelefon. Saya terdengar mereka berbual begini:

Ayah: Dia tak tahu lagi kot pasal ni.
Emak: Kena cakap elok-eloklah kalau macam tu.
Ayah: Terkejut dia nanti.
Saya: (Cuak menanti)

Bila saya hulurkan salam ketiga, barulah mereka sedar saya sudah menjawab panggilan. Emak pun konon-konon cool memulakan perbualan dengan ceria. Ada gelak-gelak, suara ceria-ceria. Lalu emak pun menanyakan tentang keadaan di kawasan rumah saya di sini. Saya kata baik-baik saja semuanya. Barulah selepas itu emak menceritakan tentang berita yang didengarinya berkenaan letupan bom di sebuah pasar di Moscow yang menyebabkan ramai yang cedera parah. Saya sedikit terkejut. Emak bertanya, ada tak kemungkinan itu adalah pasar berhampiran rumah saya. Lagipun emak teringat cerita saya bahawa setiap Sabtu dan Ahad kami selalu ke pasar. Emak, kami ke pasar hampir setiap hari tau. Hehe.

Saya sudah tergelak-gelak. Emak cuak kalau-kalau pasar itu adalah yang berhampiran dengan rumah ini. Jawab saya, saya sendiri pun masih tidak tahu apa-apa tentang hal letupan itu. TV tak buka, radio pun tak dengar. Yang pasti, bukan pasar yang berdekatan ini. Malam semalam saya tidur sangat lewat. Tiada satu apapun kekecohan yang terjadi. Memang mustahil pasar ini. Lagi pula, pasar yang berdekatan ini adalah pasar yang paling dekat dengan Center of Moscow. Inilah juga pasar termahal dan paling sibuk ketika hari minggu. Pasar ini mempunyai pengurusan yang baik. Dari segi kebersihannya sama ada pasar luar atau yang di dalam bangunan. Pasar ini ada standardnya yang tersendiri. Hal-hal keselamatan juga insya Allah terjamin di sini.

Selesai memaklumkan pada emak ayah apa yang sepatutnya, saya berjanji akan memberitahu jika ada apa-apa perkembangan terkini (tapi saya tak sempat mesej atau telefon pun kerana sangat sibuk sepanjang hari). Sedang menunggu sambal yang ditumis, yang masuk ke bilik membelek-belek laman berita utama di Rusia. Utra.ru masih tiada berita terkini. Pelik sungguh. Sudahnya saya buka Rian.ru dan The Moscow Times. Barulah kedapatan berita tentang hal ini.

Seperti yang dijangkakan, kes letupan ini adalah kegiatan Skin Head. Kali ini, kes bom buatan sendiri. Saya malas hendak ulas lanjut tentang hal ini. Mesti ramai yang tertanya-tanya, selamat ke tidak Moscow ni. Banyak sungguh dengar kes itu ini. Meletup sana, meletup sini. Bunuh sana, bunuh sini. Pukul sana, pukul sini. Yang boleh saya katakan, kita tak cari pasal, kita tak tempah nahas, kita mungkin terselamat. Mungkin sajalah. Bukan 100% terkecuali. Ada yang innocent pun merasa juga sedebik dua.

Moscow ini selamat sebenarnya. Saya tak tipu. Tapi lumrahlah kalau ada yang ditakdirkan berhadapan dengan ujian sebegini. Di Malaysia sekalipun, ada juga kes ragut, pukul dan yang lebih menakutkan rogol. Di sini tiada langsung nak takut tentang rogol-rogol semua ni. Mereka menghormati perempuan jauh lebih baik daripada orang kita sendiri (atau kerana bila-bila saja mereka boleh dapat perempuan mereka dengan percuma?). Hehe.

Tapi apa-apapun, nah ini dedikasi khas untuk si Skin Head: “Bengong kau Skin Head! Bikin adrenaline rush saja! Apa kau ingat botak tu menarik? Apa kau ingat memukul orang tu macho? Kau silap besar. Kaulah manusia paling huduh dengan satu tindikan di tepi mata beserta tatu naga yang buruk rupa. Hah. Kau memang huduh wahai Skin Head. Dahlah busuk dalam metro pagi-pagi dengan kot bau masam seribu cuka. Ketiak masam tak reti nak shave pakai deadorant segala. Kau bengong, huduh dan busuk wahai Skin Head!” (Haha. Skin Head tak faham Bahasa Melayu!)

Nota 1: Saya bagi amaran, jangan tanya apa-apa tentang keselamatan, Skin Head dan sebagainya. Saya sangat malas dan tak suka nak jawab. Moscow ni selamat. Kalau tak bernasib baik saja baru terkena. Kat mana-mana pun sama saja hal ini.
Nota 2: Kes letupan itu berlaku di selatan Moscow. Jauh dari kawasan saya yang di tengah-tengah Moscow ini tapi agak berdekatan dengan sebuah hostel lain milik uni saya.
Nota 3: Saya dengar lagu You Belong To Me lebih dari 100 kali dah kot hari ni!
Nota 4: Esok kelas pukul 11. Horray~

Posted on December 22nd, 2008 by Sarah  |  17 Comments »

Indulgence

Assalamualaikum wbt

– Malam tadi terkena kejutan elektrik di dapur. Kebas jari telunjuk kanan.
– Malam tadi juga terkena minyak panas di lengan kiri. Ada kesan tompok merah.
– Malam tadi buat Brownies ‘Indulgence’ Ala-Mode. Gemuk tapi bahagia betul rasa.
– Malam tadi juga saya habiskan ais krim vanila coklat dalam peti. Makin gemuk lagi.
– Ada orang buat hal dengan saya. Dan saya terpaksa korbankan sesuatu.
– Sekarang tak tidur-tidur lagi sedangkan esok kena bangun awal pagi.
– Esok kena memasak.
– Esok jadual penuh.
– Esok tak dapat tengok futsal. Heroes ada main.

Kafarah apa yang sedang saya lalui ini.

Nota: Once bitten, twice shy. Lesson learnt.

Posted on December 21st, 2008 by Sarah  |  22 Comments »