Archive for the ‘Life’ Category

Moscow Yang Cantik

Assalamualaikum wbt

Punyalah saya berkobar-kobar hendak menulis tengah malam tadi (maklum sajalah, dah dua hari perasaan nak menulis tu tak berapa muncul), tapi saya mengalami hosting problem sekejap. Disebabkan itu, kerja saya ialah membelek-belek gambar sepanjang musim cuti ini termasuklah aktiviti kami serumah semalam.

Selepas solat Asar sekitar 2.45 petang, Wanie dan Diba sudah bertolak dulu menuju ke Pejabat Dekan kerana hendak menyelesaikan urusan visa. Jadi kami semua berpakat untuk berjumpa di stesyen metro yang terdekat saja. Saya ada meminta tolong mereka menghantarkan buku kredit (buku rekod kelas dan peperiksaan) saya ke Bahagian Pelajar.

Tapi kemudian, Diba menelefon saya mengatakan bahawa Bahagian Pelajar tidak mahu menerima buku kredit saya kerana saya tidak memenuhi semua credit hours lagi. Saya kepelikan. Kelas pun tak pernah ponteng, exam pun tak pernah pending, macam mana boleh jadi begini. Terasa bengang juga tapi saya terus bersiap dan ke sana. Rupanya ada sedikit salah faham waktu itu. Bahagian Pelajar tersalah rupanya. Ikutkan hati, memang boleh semakin moody dengan apa yang terjadi (Ya lah. Kita tak salah tapi dipersalahkan pula) tapi disebabkan ayat akhir Elena tu, saya betul-betul rasa gembira.

Dipendekkan cerita, maka saya bersama Pena, Fatt, Wanie, Diba dan Mily pun terus ke Yiponskaya Kuhniya (Japanese Kitchen) di Okhodny Ryad (Center). Aktiviti makan-makan bermula. Kadar tukaran Ringgit ke Ruble sekarang ialah RM1 bersamaan 10 Rubles. Sangat menguntungkan kami. Kalau dulu nak makan diluar, kami semua akan berkira jugalah. Jadi kedekut sangat sebab selalu buat kami rasa tak berbaloi. Elok masak sendiri dan makan puas-puas di rumah. Tapi dengan rate Ringgit-Ruble yang setinggi ini, kami rasa lapang dada bila hendak membeli barang. Bak kata kawan, terasa macam orang kaya sekejap. Sekejap sajalah. Nanti krisis ekonomi berakhir, sakitlah semula kami di sini.

dd

Kemudian kami mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di sekitar Center saja. Punyalah lama kami tidak masuk ke GUM, sebuah pusat beli-belah yang sangat berprestij di Moscow. Ya lah. Buat apa masuk pun kalau nak beli air pun buat kita berfikir 7-8 kali. Memang berprestij sungguh. Tapi kami masuk untuk berjalan-jalan saja dan menikmati hiasan dalaman bangunan itu yang sangat cantik. Konsep bangunan ini ialah bandar lama (premis-premis yang ada berbentuk tingkap dari laluan pengunjung dan bertingkat-tingkat siap dengan jambatan dan segalanya). Yang menjadikannya bukan bandar betul ialah kedudukannya di dalam bangunan. Tapi jika dilihat bumbungnya, penuh dengan lampu lip-lap gantung-gantung tu seperti yang kita rasai bila melalui depan bangunan Sultan Abdul Samad atau keadaan jalan raya ketika malam Merdeka.

cc

Kami keluar melalui pintu belakang GUM dan terus menuju ke St. Basil Cathedral yang terletak di laman Red Square. Walaupun suhu sangat sejuk semalam, tapi semangat kami untuk bergambar sakan tetaplah tidak luntur (ceh ayat!).

bb

Dan apabila telah sejuk sampai tak sanggup lagi hendak memegang kamera di tangan, tak sanggup lagi berjalan di atas muka bumi beratapkan langit (ceh lagi sekali), kami mengambil keputusan untuk singgah minum kopi panas di Coffee House di Manezh Underground Shopping Complex. Kali ini kami masuk ke bawah tanah pula. Kami berada di tingkat -3. Maksudnya, tingkat terdalam sekali di kompleks itu.

aa

Selesai minum kopi panas (macam orang tua saja bunyinya), kami pun pulang. Bila sampai di rumah, masing-masing sibuk membelek internet mahu mencari harga telefon yang mereka ada fikir-fikirkan untuk membuat perbandingan harga. Mana tidaknya! Jika dulu harga iPhone 8G di sini ialah 18000 Rubles (bersamaan RM2800) tapi sekarang dengan rate yang ada, harga 18000 Rubles itu maksudnya iPhone itu hanya RM1800 saja! Tapi saya bukan kaki kumpul gadget atau mengikuti perkembangan semasa. Cukuplah telefon saya ni boleh digunakan untuk menelefon dan menghantar mesej. Oh ya. Saya teruja tentang satu benda saja. Nokia N95 harganya hanya RM850 saja! Waiyoooo! Bulat mana melihatnya! Masya Allah. Ini memang murah Ya Rabbi ni. Ok ok. Kena mengucap banyak-banyak bila menyebut tentang benda-benda ni. Tak cukup iman, tak pasal-pasal nanti ada yang memiliki Sony Ericsson baru pula. Yang pasti, Nokia kita boikot.

Sampai di rumah, saya menerima bungkusan DHL kiriman emak ayah. Dapat kad hari lahir (cukup dah koleksi saya enam tahun di sini) beserta kad bank. Alhamdulillah. Terima kasih emak, ayah.

Kesemua kolaj gambar untuk entri kali ini adalah hasil susunan Wanie. Saya malas dan tak berseni dalam bab menyusun kolaj secantik ni. Wanie memang kreatif bab-bab ni. Kalau nak lihat lebih banyak gambar aktiviti kami sepanjang cuti musim sejuk 2009 ini, boleh baca di sini dan tengok di sini. Tapi yang terkahir ni ialah Rumah Hansel And Gretel yang saya janji-janjikan. St. Basil Cathedral dilitupi salji!

ee

Nota 1: Apa yang Bahagian Pelajar (Elena) di Pejabat Dekan katakan ialah: “Awak tu tunggu masa nak grad je dah”. Bagi saya ayat tu betul-betul menggembirakan saya! *menari mencucuk langit*

Nota 2: Saya sentiasa menyukai Moscow ketika musim sejuk. Terlalu cantik untuk mata saya. Nanti mesti saya akan merindui Moscow yang cantik ini.

Posted on February 6th, 2009 by Sarah  |  9 Comments »

Terapi

Assalamualaikum wbt

Rasanya baik saya buang moody saya ni jauh-jauh. Selama ini, saya ada dua pilihan bila saya tengah moody. Sama ada saya melawat bangku rahsia saya tempat saya selalu duduk seorang diri di depan Kremlin atau bersushi rama.

Kalau hendak ke kerusi tu, percuma saja. Tapi kalau nak pergi makan sushi, mestilah kena guna duit. Tapi memandangkan cuti dah nak berakhir, Wanie dan Diba berhajat hendak ke sana. Maka saya, Fatt dan Pena pun hendak turut serta.

Sehari lebih dah tak keluar rumah. Tak sabar rasanya nak meredah salji, bernafas dalam dingin dan lepas tu berbuka dengan sushi. Mungkin lepas tu hendak ke St. Basil. St. Basil yang dilitupi salji memang sangat cantik!

Posted on February 5th, 2009 by Sarah  |  22 Comments »

Kekosongan

Assalamualaikum wbt

Saya tiada mood sungguh untuk buat apa-apapun semalam. Bangun awal pagi dah. Sedang saya membaca nota, saya menerima mesej dari senior bahas saya sewaktu sekolah di Khairiah dulu. Mengkhabarkan berita baik darinya. Saya amat rapat dengannya tapi sayangnya melepaslah saya untuk ke walimahnya. Nampaknya, kehilangan dan kesunyian semakin dirasai.

Saya rasa macam tiada mood sungguh. Saya ke dapur dan tak pasal-pasal saya masak Nasi Lemak untuk sarapan pagi semalam. Siap dengan teh susunya. Selesai memasak, makan dengan menghadap laptop dan kemudian saya sambung membaca. Sebelum Zohor, saya terlelap sekejap. Bangun, solat Zohor, mandi, hendak solat Asar hajatnya tapi saya menerima mesej daripada seorang kawan baik di Malaysia. Oh. Seorang lagi yang akan melangsungkan walimahnya. Kehilangan dan kesunyian makin terasa.

Saya solat Asar dan kemudian duduk menekun untuk membaca semula. Tapi tak masuk. Tak boleh fokus. Perasaan tiada mood tu lebih menguasai. Berat betul rasa kepala. Saya ke dapur. Keluarkan ikan dari peti, solat Maghrib dan kemudian ke dapur semula untuk menyiang ikan, kupas bawang semuanyalah untuk menyediakan makan malam pula. Wanie dan Diba teringin nak makan Asam Pedas. Jadi semalam saya buatkanlah Asam Pedas. Sambil memasak, saya memasang radio Relax.fx kuat-kuat (guna earphones). Kalau boleh tak mahu dengar apa-apapun tentang dunia ni.

Selesai memasak, makan, berborak acuh tak acuh dengan Wanie dan Pena, sudahnya saya tidur. Waktu tu baru pukul 7 malam. Tapi saya dah tak boleh fikir nak buat apa. Daripada terus rasa moody, baik saya tidur. Yang saya geramkan pada diri saya ialah, semalam saya makan banyak sangat. Dua kali makan Nasi Lemak, petang makan nasi dengan lauk pula. Lepas tu terus tidur! Sikitpun saya tak keluar dari rumah hari semalam. Rasa nak pecah kepala ni duduk dalam rumah dan bilik saja.

Bila terbangun, ada Sha datang. Saya berbual dengan Sha dan yang lain-lain sehingga tengah malam. Sha masih belum makan. Saya mengajak Sha makan. Nah! Saya makan untuk kali yang keempat semalam! Tengah malam pula tu! Kononnya nak bersahur tapi tiga pusingan nasi sepanjang siang semalam dah lebih dari cukup untuk bekalan tenaga berpuasa hari ni. Tak sahur dengan nasi pun tak mengapa dah. Tapi gatal juga nak makan nasi.

Bertambahlah moody dengan diri sendiri. Bencinya bila ada perasaan tak sedap macam ni. Rasa berat kepala ni. Rasa buntu. Rasa nak pecah dada tak tahu nak buat apa. Nak membaca pun tak masuk. Nak bercakap dengan orang pun tak berperasaan. Tu yang jadi acuh tak acuh je bila bercakap.

Kesimpulannya, saya tiada mood. Saya budak gemuk. Saya tak suka apa yang saya fikir dan rasa sekarang ni. Saya tak sabar nak habis belajar dan lari dari kehidupan yang kosong dan entah apa-apa kat sini.

Nota: Politik Malaysia semakin hari semakin cacat. Serius cacat serba-serbi.

Posted on February 5th, 2009 by Sarah  |  10 Comments »

Kehilangan Atau Kesunyian

Assalamualaikum wbt

Menjadi lumrah dalam hidup, ada satu peringkat itu kita akan rasakan semua yang terapat dalam hidup kita mulai menjauh dan meninggalkan kita. Mereka mula membina kehidupan sendiri dan terpisah dari kita. Tanpa boleh mengatakan ‘jangan’, mereka tetap akan pergi. Kita yang tinggal ini tiada pilihan lain selain untuk mendoakan kebahagian mereka.

Jika dulu kita ada tempat untuk bercerita itu ini, berkongsi seribu satu kenangan bersama-sama, menangis ketawa bersama juga berkongsi rahsia. Tetapi sampai satu tahap itu, kita terpaksa melepas pergi semua peluang ini. Kerana mereka mulai membina kehidupan sendiri dan berkongsi segala cerita dengan orang lain. Yang jauh lebih penting.

Memang susah untuk merelakan tetapi di sudut hati kita gembira kerana mereka sudahpun bertemu dengan separuh jiwa mereka yang boleh membahagiakan mereka. Dalam kita merelakan, kita juga mendoakan. Moga-moga mereka bahagia. Moga-moga juga mereka tak lupakan kita.

Persoalan yang paling utama untuk kita, kenapa perlu ada rasa terkilan itu? Sebenarnya, apa yang paling tepat untuk menghuraikan rasa terkilan itu? Kerana kita rasa kehilangan atau kesunyian berseorangan?

Nota: Cintaku tertinggal di Malaysia.

Posted on February 4th, 2009 by Sarah  |  23 Comments »

Jangan Terkejut Lagi

Assalamualaikum wbt

Ucap tama untuk hari ini, selamat hari lahir untuk roommate saya, Fatt. Dah 22 tahun dah umurnya. Semoga dimurahkan rezeki dalam segalanya. Malam tadi kami serumah masak-masak dan menjemput kawan-kawan yang dah balik dari bercuti datang ke rumah. Buat ringkas saja.Kawan-kawan rapat saja.

Yang seronoknya, bila bertemu dengan junior-junior saya ni, banyaklah cerita yang keluar. Paling lucu, bila saya dan Wani Mohammad bersidang berdua atas katil bercerita itu ini sehingga hampir 1 pagi. Topik perbualan kami punyalah luas. Bermula dengan cerita haiwan peliharaan kucing-kucing di rumah, melompat ke cerita haiwan yang menggelikan lipas, katak pisang semua tu, terus ke cerita ular lidi, ular kapak masuk rumah, cerita macam mana kucing masing-masing mati pula, melompat pula ke cerita rumah hendak dimasuki pencuri zaman dulu-dulu dan diakhiri dengan cerita budak-budak minum ubat batuk.

Lengkap satu kitar dunia, barulah kami tiba ke topik yang boleh memberikan kesimpulan dan peringatan yang baik untuk kami. Cuba bayangkan kalau kami berhenti setakat cerita katak pisang melompat dari lubang jamban ke atas, apa faedahnya yang kami dapat ye? Nasib baik waktu kawan-kawan serumah Wani ni nak berangkat balik, kami dah tiba ke cerita ketagih minum ubat batuk tu. Ada juga pengajarannya. Hehe.

Selesai semuanya, kami mengemas meja, rumah dan dapur. Masya Allah. Banyaknya lipas bila musim sejuk ni. Serius. Esok servis racun lipas tu akan datang ke rumah untuk menyembur racun. Keadaan di sini pelik. Lipas memang banyak tapi kecil-kecil saja saiznya. Kalau nak dibandingkan dengan lipas Malaysia yang besar dan boleh terbang tu, memang jauh panggang dari api jawabnya. Lipas sini kalau ditemukan dengan lipas Malaysia memang akan merasakan kompleks inferioriti yang tinggi. Jadi tadi kami mengosongkan dapur kami kerana servis itu akan datang pagi esok dan demi kebersihan dan keselamatan pinggan mangkuk periuk kuali kami, semuanya kami pindahkan ke ruang tengah rumah.

Selepas selesai urusan pindah randah, saya mengambil pewangi rumah dan dengan sengajanya saya gunakan sebagai penyembur serangga. Haha. Berlonggok mati lipas kecil-kecil tu. Serba guna juga rupanya penyembur ni. Harum semerbak dapur saya. Selesai menyapu, masuk ke bilik dan terus hendak tidur. Tapi Fatt, Mily dan Sha baru hendak mula menekun menonton filem Rogue. Kisah buaya ganas yang telah membaham ramai orang. Saya tak berhajat hendak turut serta. Jadi saya duduk menyandar di katil hendak menyambung membaca buku The Last Tsar itu. Tapi posisi itu membolehkan saya melihat skrin laptop Fatt.

Kemudian saya baring. Dari celah kerusi dan meja belajar saya, saya dapat melihat skrin juga. Bila saya paling ke arah bertertangan, memang tidak dapat melihat apa-apa tapi suara memang jelaslah kedengaran kan. Sampaikan, saya yang dah baring tu pun dapat menerangkan apa yang terjadi kepada mereka yang menonton! Sudahnya, saya capai cermin mata, duduk di atas katil dan menonton dari jauh.

Ya Rabbi. Rasa nak tercabut anak tekak saya menonton filem itu. Asyik terkejut itu, terkejut ini. Saya yang paling jauh dari skrin. 3 meter kot jaraknya. Tapi saya yang paling selalu terkejut. Dah namapun penakut kan. Kena sergah sikit dek buaya besar tu, saya dah menjerit dah. Bila ada satu babak ni, saya dah mula ada semangat untuk menonton dari dekat (tapi saya tanggalkan pula cermin mata saya). Hahaha. Jadi saya menyelit di tepi Sha. Tiba-tiba, waktu itulah buayanya muncul. Saya terus cabut duduk di meja saya. Menonton dari jauh lagi baik untuk saya kot. Haha.

Jalan ceritanya kira baguslah juga. Cuma pelik kenapalah bantuan keselamatan lambat sangat tiba. Macam tak logik saja. Kalau dah namanya safari air, patutnya sebarang kehilangan dikesan dengan segera jika bot tidak pulang pada waktunya, kan. Ok ok. Saya bukan hendak buat review pun kat sini.

Tapi sekarang yang saya perlukan ialah air masak dan ubat batuk (Eh, ubat batuk? Baru tadi dapat pengajaran. Tapi saya bukan nak tonggak minum sampai ketagih tu. Hehe). Tekak sakit. Harap nanti saya kahwin dengan orang yang tak berapa nak berani macam saya juga. Jadi tidaklah dia ajak saya tengok cerita seram, hantu atau yang memerlukan kuasa tekak untuk menjerit ni. Menjerit dan terkejut (dan ketakutan) pada masa yang sama adalah sangat memenatkan.

Nota: Belajar tanpa terikat dengan jadual kelas adalah sangat santai. Cepat betul masuk. Alhamdulillah 😉

Posted on February 3rd, 2009 by Sarah  |  21 Comments »