Archive for the ‘Life’ Category

Resmi Hidup

Assalamualaikum wbt

Saya sengaja menyelongkar entri lama di blog lama saya. Saya hendak mencari sajak yang saya kongsikan di situ pada Disember 2007. Kenapa saya ingat ia entri Disember 2007? Sebab ada satu pelajaran hidup yang saya belajar dalam bulan itu. Sajak ini sudah lama saya tulis. Sebelum berlakunya peristiwa yang mengajar diri itu lagi.Saya kira ketika saya menlis sajak ini dulu, ada sesuatu yang saya baru belajar daripada kehidupan pada waktu itu. Jadi saya abadikan dalam bentuk sebuah sajak nasihat begini.

Resmi Hidup

Kalau di hulu sungai ribut laut terasa
padamkanlah pelita kejap
biar suram gelap
tapi terbakar tidak.

Kalau runtuh tanah yang berbukit
pasangkanlah tiang pondok
bertahan mungkin sehari saja
tapi jangan robohnya sekelip mata.

Kalau ada api yang marak panas
lari jauh-jauh, duduk diam-diam
sungguhpun api terpadam tidak
tapi sudah jinak dan hidang abu hitam.

Kalau ada hati dihulur dikongsi
jangan ambil seluruh, simpanlah separuh
terima dengan luhur dan akal
biar kenal budi, baru dikongsi kasih.

Tetapi saya kira saya silap. Saya teralpa dan pengajaran yang saya dapati dulu entah di mana saya cicirkan. Manusia tidak pernahnya lari dari masalah lupa dan alpa. Jadi saya kongsikan sajak ini di sini sekali lagi supaya andai saya lupa lagi, ada yang sudi mendekati untuk menyentap saya kembali.

Nota 1: Bagi yang tak memahami/menghargai sajak/sastera, paling habis jangan mengutuk. Masih ramai lagi yang memahami nilai dan pengajaran yang disampaikan melalui sajak. Kalau rasa memberi nasihat cara ini adalah kuno, saya rasa orang yang berkata tu tak jelas tentang etika dan nilai bahasa. Saya memang Melayu di Moscow. Saya bukan Melayu di Aussie. Yang penting saya tahu menghargai seni bahasa kita dan kiasan nasihat yang terkandung di dalamnya. Ada saya susahkan orang?

Nota 2: Ignorant~

Posted on February 11th, 2009 by Sarah  |  15 Comments »

Sudah-sudahlah

Assalamualaikum wbt

Entah macam mana, hari ini saya terjumpa sesuatu yang memeranjatkan. Ingat cerita Abang Pujaan? Rupanya dia ada blog. Dan kisahnya dia yang terkini, dia bukan sekadar peguam idaman Malaya tapi juga merupakan seorang Computer Geek. Dan dia masih dia yang dulu. Cumanya, dia yang sekarang lebih memenuhi kriteria saya. Oh tidak!

Sebu juga perut bila menjumpai zon-zon larangan yang tak patut saya jumpa ni. Tapi sebak pun ada juga. Dalam hati ada cintakah? Tidak, tidak. Saya ni orang yang dah tiada peluang. Walaupun cinta 100% sekalipun, tak berbalas tiada gunanya kan. Sedih kan bunyinya? Marilah bersedih bersama saya. Tukar ayat. Marilah menyelami perasaan saya. Belikan saya sekotak ais krim untuk mengubah mood saya, boleh?

Tapi saya tetap juga nak kata. Bunyinya macam saya masih memendam perasaan kan? 1/4 mungkin iya. Tapi 3/4 yang lebihnya tu kerana saya gembira dia berjaya dalam hidupnya.

Sarah, tunang orang tu kot ye pun. Kadho-kadholah diri tu sikit. Oklah. Saya cuma nak cerita yang saya gembira dia sudahpun mencapai segala misi dan visi yang diimpikannya dulu. Saya ni jugalah yang masih di pertengahan jalan. Eh tidak. Saya hanya tinggal 1/12 daripada perjalanan saya. Awak tengoklah saya nanti jadi macam mana. Ternganga menyesal oi. Hehe 😉

Sebelum tamat 30 minit untuk hari ini, saya sekadar nak melalut seorang diri sekejap. Kalaulah yang dulu tu tak terjadi, saya rasa dalam masa beberapa bulan daripada sekarang, blog ini penuh dengan cerita persiapan saya hendak berkahwin. Cerita tentang warna temanya. Persiapan hantarannya. Proses mencantikkan rumahlah. Sibuk uruskan urusan kenduri lagi. Seribu satu kerjalah. Tiba-tiba sedang saya berangan ni, ada orang datang menepuk belakang saya. Yang menepuk tu saya juga. Saya yang waras. Saya yang waras tu kata begini:

“Cik Kak. Jangan berkalau-kalau. Buka ruang kepada syaitan.”

Alang-alang saya yang waras dah menegur, mari saya kupaskan sedikit kenapa janganlah kita selalu berkalau-kalau. Bila kita selalu memikirkan kemungkinan yang boleh berlaku kalau kita buat yang selain daripada apa yang dah terjadi, kita membuka ruang diri untuk menyesali takdir dan menyalahkan Yang Berkuasa mengapa membiarkan sesuatu itu terjadi. Jadi, syaitan sangat suka kalau peluang besar diberikan kepanya untuk meragukan hati kita.

Hari ini saya betul-betul nak membebaskan hati saya. Pengetua saya di KISAS dulu selalu menyebut ayat ini: No if, no but. Jadi, saya tiada alasan lagi mengapa saya perlu masih ingat atau berkalau-kalau lagi. Saya kena kadho diri. Hidup itu amatlah indah untuk diterokai secara solo selagi yang boleh. Dah tak boleh nanti baru minta emak ayah carikan.

Emak, ayah, layankan sajalah anakmu ini ye. Muehehe. 😀

Nota 1: Kadho-kadho = Sedor-sedor = Sedar-sedar/sudah-sudahlah tu (loghat Temerloh)

Nota 2: I always admire intelligent talks with good observations and relevant findings. Otherwise, I’ll easily get irritated. I’ve made my point clear. Please respect me.

Posted on February 10th, 2009 by Sarah  |  9 Comments »

Celoteh Anak Beranak

Assalamualaikum wbt

Memang gian betul tangan ni. Dalam sehari, mesti rasa nak menulis blog. Tak menulis, saya pun tak tahu apa jadinya. Nantilah saya cuba. Tapi bukan sekarang. Sekarang memang rasa nak menulis. Kalau adik saya Azizi, perumpamaan yang diberikan jika tidak dapat Nescafe dalam sehari ialah: gatal badan Jiji ni. Metafora sungguh budak tu.

Hari pertama berlalu dengan baik. Banyak ilmu baru yang saya dapat daripada cycle ini, Forensic Medicine. Macam sedang menjadi penyiasat seperti dalam CSI atau paling tak pun terasa seperti Detektif Conan pun jadilah. Saya belajar menyelesaikan kes-kes yang memerlukan medical evidence untuk disahkan sesuatu kejadian itu. Kalau mati dengan patah begini begitu, apa puncanya. Kalau pecah kepala begitu begini, kemungkinan dilanggar dari arah mana. Kalau dah lama matinya, dah buruk, kering, bagaimana nak menyiasatnya.

Sekarang masih dalam sesi hadirkan diri ke kuliah saja. Belum praktikalnya lagi. Tapi bila menonton video yang disediakan ketika kuliah pun dah menarik, sesi kelas nanti lagilah menarik, harapnya. Tadi, ada belajar bagaimana nak menyiasat kes liwat. Tap! Terus teringat kes Saiful-DSAI. Tak pelik bila doktor di Pusrawi dapat membuktikan Saiful sebenarnya tak diliwat pun. Ada kaedahnya untuk semua ini dibuktikan secara sahih dan klinikal.

Sampai saja di rumah (alahai, hospital tu jalan kaki 5 minit saja dari rumah ni), saya terus menelefon emak. Saya teruja habis ni nak berkongsi dengan emak apa yang saya pelajari tadi. Dulu-dulu selalu dengar emak bercerita tentang post-mortem yang dilakukannya pada haiwan. Sekarang saya nak cerita tentang post-mortem pada manusia pula. Paling habis, saya tahu emak mesti teruja juga nak mendengar cerita saya.

Memang lama boraknya kami. Bila saya cerita itu, emak menambah ini. Bila emak pula cerita ini, saya pula menambah itu. Hubungan dua hala yang berkesan sungguhlah. Lagi pula, bila saya menerangkan tentang medical term semua ni, benda ni tak asing pada emak. Jadi bertambah seronoklah saya nak bercerita. Saya suka bercerita tentang apa yang saya pelajari di sini. Kalau boleh, saya nak orang faham macam saya faham. Tapi saya ringkaskan supaya orang boleh faham dalam masa yang singkat tapi pemahamannya mencapai tahap yang memuaskan.

Macam tadi, agaknya sebab dah terlalu biasa saya menerangkan tentang hukum tekanan darah, proses pembekuan darah , itu ini dan macam-macam lagi kepada emak, bila saya terangkan secara ringkas saja tentang hypertensive crisis dan blood clotting tadi, emak terus faham. Cayalah emak! Emak boleh upgrade daripada doktor haiwan jadi doktor manusia pulalah lepas ni. Huhu.

Cerita melalutnya pula, kami bercakap tentang hendak bekerja di mana nanti. Ini rahsia dulu. Tak seronok cakap awal-awal. Tapi punyalah sporting emak dan ayah, mereka tak kisahpun kalau saya ditempatkan jauh dari rumah. Kata emak, nanti kalau saya jauhpun dan tak dapat balik rumah, hujung-hujung minggu, emak dan ayah pun boleh ke sana. Tiada masalah tu, kata emak. Selagi ayah sihat, nak ke mana saja pun lepas. Insya Allah. Emak ayah mesti sihat. Kena sihat. Wajib sihat.

Cerita yang lebih melalutnya lagi, saya memberitahu emak bahawa saya tidak lalu makan nasi sudah 2 hari. Sentuh nasi baru sesudu, terus dah tak boleh makan dah. Sampai saya terpaksa buang sepinggan nasi saya. Dah dua kali begini. Emak mengulas. Katanya, macam diet pula. Dan sambungnya, emak dan ayah sedang mengamalkan pemakanan sihat sekarang ni. Diet protien dan sayuran-sayuran. Cayalah sekali lagi! Sudah tiga minggu berjalannya program ini. Kata emak, ayah dah turun berat badan. Cayalah ayah! Tapi ayah mana gemuk pun. Perut ayah je yang sedikit kaya-raya. Hahaha.

Maka, saya pun berniat murni mahu mencontohi emak ayah. Punyalah terbalik. Sepatutnya, emak ayah yang patut mencontohi anaknya ni. Tapi tak mengapa. Ini membuktikan emak ayah saya cuba menjadikan didikan berteraskan teladan diaplikasikan walaupun anak-anak semuanya dah besar panjang. Hehe. Sayangnya, niat dipasang tengahari tadi tak ke mana pun lagi. Pukul 10 malam tadi, tiba-tiba saja tekak saya terasa hendak makan nasi. Dah lembik-lembik dan bergetar badan kerana hypoglycemic (tidak cukup gula dalam darah jadi proses menghasilkan tenaga dengan mengguna pakai simpanan yang ada telah bermula). Jadi, saya pun makan. Saya makan nasi di malam hari! Nasi! Lauk kari ayam pula. Kari! Cubalah bayangkan. Nak diet sihat konon. Makin merepek pula jadinya.

Tunggu sajalah musim bunga tiba. Insya Allah saya hendak bersenam secara konsisten di tepi tasik berhampiran kawasan ini. Jogging sambil mendengar iPod. Eh, saya mana ada iPod pun. Ayah, nak beli iPod touch boleh? Ngehehe. Tengah murah Ya Rabbi ni (taktik mengambil hati dan mendapatkan kebenaran yang terbaik: meminta kebenaran melalui blog). Hohoho~

Sarah, berhenti merepek. Hari sudah pukul 12.35 tengah malam. Jangan pandang belakang. Kenapa jangan? Kerana nanti ada yang pandang awak semula. Euww. Seramnya. Ok. Insya Allah saya akan disiplinkan diri menghadap blog dalam 30 minit sehari. Saya mengikuti update semua yang pernah saya link-kan di blog lama dulu juga kawan-kawan di Plurk. Jangan khuatir itu. Saya subcribe kepada semuanya. Tetapi buat masa ini saya menjadi pembaca sepi lara dulu ya. Kalau berkesempatan, saya akan tinggalkan komen. Buat masa ini, keutamaan saya adalah pada urusan yang lebih penting dalam hidup saya.

Erm, semua dah baca ma’thurat? Mari tutupi hari kita dengan doa yang baik:

“Ya Allah, kini menjelmalah malam ciptaan-Mu, beredarlah siang-Mu. Inilah keluhan suara dan pinta dari para daie-Mu. Maka oleh itu, Kau ampunkanlah dosaku.”

Nota: Semakin hari terasa semakin banyak cerita yang nak diceritakan 😉

Posted on February 10th, 2009 by Sarah  |  9 Comments »

Semester Akhir

Assalamualaikum wbt

Hari ini akan bermulanya semester akhir untuk tahun akhir saya. Kembara hidup saya di sini semakin tiba ke penghujungnya. Apa yang saya rasa? Saya berkobar-kobar hendak memulakan semester baru ini.

Berkobar-kobar kerana sudah tidak lama lagi saya perlu tinggal di sini. Sudah tidak lama lagi saya akan bergraduasi. Sudah tidak lama lagi saya akan balik ke Malaysia untuk selamanya .

Mungkin kamu tak faham kenapa saya sangat teruja. Cukuplah sekadar kamu tahu saya sudah penat hidup di negara orang dan saya sudah tak sabar hendak mendapatkan semula kehidupan saya yang dah lama hilang. Kehidupan yang dekat dengan keluarga, banyak sumber motivasi dan ramai orang yang boleh menarik saya jika saya menlencong jauh.

Semoga semester ini berjalan lancar. Yang pastinya, saya akan menjadi lebih ignorant. Saya pengabai yang tegar.

Nota: Hey, ini blog saya. Spammers are not needed nor invited! Shuuuh! [Padan muka kena spam dah. Berani buat lagi. Belajarlah menghormati orang sikit. Ini blog peribadi. Not a social network blog.]

Posted on February 9th, 2009 by Sarah  |  13 Comments »

Jika Naif Tuntutlah Ilmu

Assalamualaikum wbt

Saya masih ingat lagi apa yang berlaku dalam ujian bulanan untuk kali pertama ketika saya berada dalam darjah satu. Saya bersekolah di sebuah sekolah swasta agama. Salah satunya ialah subjek Akhlak. Untuk ujian itu, semua soalannya objektif (seingat saya). Cuma soalan-soalannya semua ditulis dalam Jawi. Tulisan itu bukan masalahnya. Saya kira semua soalan-soalan yang ada ketika itu semuanya senang belaka.

Tapi, ada satu soalan yang sehingga hari ini akan buat saya tersenyum bila teringatkannya. Terutamanya ketika hendak tidur.

Soalan berbunyi: Kita disunatkan untuk tidur menghadap ke arah:

a) Sejadah     c) Kiblat

b) Dinding     d) Bantal

Kisahnya, sebelum saya berpindah ke rumah yang sekarang, saya dan keluarga menetap di sebuah rumah sewa sementara menunggu rumah kami siap dibina. Rumah sewa itu terletak berdekatan dengan rumah Tok. Di kaki bukit rumah Tok. Ketika itu saya di tadika. Rumah kami siap sekitar Ogos tahun itu juga.

Ketika di rumah sewa itu, saya ditempatkan sebilik dengan Kaklong. Katil kami saiz permaisuri kerana kami memang permaisuri emak ayah. Haha. Mengarut. Saya bersebelahan dinding dan Kaklong tidur di bahagian yang tidak berdinding. Di tepi katil kami ada ruang untuk solat. Tapi biasanya kami akan solat di bilik solat yang bersebelahan dengan pintu ke dapur. Kami kena solat di situ sebab emak hendak memeriksa bacaan dalam solat kami. Kalau salah, kena titik jari. Kalau betul? Bolehlah keluar cepat dari situ dan boleh tengok TV cerita Thailand bersiri ‘Mi Ek’. Menangis-nangis tengok cerita tu. Kalau sebelum tu dah kena titik jari sebab salah hafalan bacaan dalam solat, menangisnya tu lebih banyaklah, kan.

Kisahnya lagi, kedudukan bilik solat tu dari bilik saya hanya bersebelahan saja. Kiranya, di sebelah dinding tempat saya menyandar dari atas katil bahagian saya tidur ialah bilik solat tu. Arah kiblat di rumah itu lurus saja. Kalau masuk dari pintu utama, terus sajalah kiranya. Terus menghadap kiblat. Nak solat di beranda depan pintu rumah pun boleh juga kalau nak. Dari pintu utama juga boleh terus nampak ke pintu bilik saya.

Di dalam bilik, katil diletakkan secara melintang. Mesti penat kamu semua nak membayangkan segala rajah pintu rumah, arah katil, arah kiblat semua ni kan? Tak mengapa. Teruskan saja baca kalau larat. Bila katil diletakkan melintang dari muka pintu bilik, bermaksud arah kiblat juga sudah berubah menjadi di sebelah kanan saya jika saya berbaring. Dinding pemisah dengan bilik solat juga sudah berada di sebelah kanan saya.

Apabila tidur malam, emak terangkan dengan ayat lurusnya: Hadaplah ke kanan. Ke dinding tu. Jadi saya dan Kaklong yang masih kecil ni pun faham bahawa eloknya tidur kita tu ialah mengiring ke kanan dan menghadap ke dinding.

Dah dapat meneka apakah jawapan saya untuk soalan ujian bulanan subjek Akhlak tu? Ya. Jawapan saya ialah b) Dinding. Punyalah yakin saya menjawab soalan tu. Dalam hati saya waktu tu, saya terbayang-bayang kedudukan katil saya ketika di rumah sewa itu dulu. Terbayang-bayang keadaannya saya berbaring di atas katil saiz permaisuri zaman Puteri Hang Li Po tu. Memang yakinlah jadinya saya ni, kan. Padahal, keyakinan yang sesat lagi menyesatkan. Kalaulah emak tahu inilah yang saya bayangkan ketika menandakan jawapan saya itu, mesti saya kena titik jari lagi. Mana tidaknya. Emak mendidik anaknya tidur menghadap kiblat dan mengiring ke kanan. Yang saya percaya, tidur perlu mengiring ke kanan dan menghadap dinding.

Jadi selepas daripada ujian itu, saya dapat satu lagi ilmu. Tidur menghadap ke arah kiblat itu adalah sunat. Ada hikmahnya. Kalau-kalau kita mati dalam tidur, kita mati menghadap ke arah yang sepatutnya. Bersiap-sedia. Dan bila dah besar panjang, belajar pula bidang perubatan, saya dapat tahu pula hikmah tidur mengiring ke kanan.

Dapat mengelakkan heart and lung congestion. Situasi di mana jantung kita overload atau dilimpahruahkan dengan kitaran darah yang lebih banyak dikembalikan ke jantung ketika kita berbaring. Disebabkan kita mengiring ke kanan, proses melimpahruahkan darah ke jantung yang terletak di sebelah kiri akan terbantut. Lung congestion pula ialah situasi paru-paru kita menjadi terlebih lembap gara-gara heart congestion tadi. Paru-paru yang lembap boleh menyebabkan kita batuk dengan teruk dan semput nafas dengan teruknya di waktu malam. Sebab itu, eloknya kita tidur dengan meninggikan sedikit paras kepala daripada dada.

Hidup ini untuk terus belajar. Kalau kecil-kecil dulu penuh dengan ajaran sesat yang kepala sendiri tafsirkan (sampaikan saya pernah percaya tak gosok gigi sebelum tidur boleh mengundang lipas datang menggigit bibir sedangkan faedahnya adalah untuk kebersihan mulut dan mengelakkan caries gigi), tapi semakin kita membesar, semakin kita penuhi diri kita dengan ilmu.

Tolabal ilmu minal mahdi ilal lahdi. Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.

Dulu saya naif. Emak mesti terkejut membaca pengakuan saya yang satu ini. Emak nak titik tak jari Ngah bila Ngah balik nanti? 😉

Nota: Bila menyebut tentang rumah sewa kami tu, saya akan teringat dua peristiwa. Nan terkena kejutan elektrik yang teruk di tangannya dan kisah saya dan Kaklong belajar masak nasi sehingga terbakar tikar getah di dapur pada umur 6 dan 8 tahun.

Posted on February 8th, 2009 by Sarah  |  27 Comments »