Archive for the ‘Life’ Category

Anak Muda Yang Gigih

Assalamualaikum wbt

Entri ini ditulis pada 14 Ogos 2008 yang lalu. Baru sekarang saya rasa hendak kongsikan di sini.

Selama ini saya pernah menjadi pembaca sebuah blog yang dimilik oleh seorang lelaki muda yang bekerja sebagai Pereka Hiasan Dalaman. Dia memiliki sebuah syarikat sendiri dan saya boleh mengkategorikannya sebagai anak muda yang sangat berjaya, berkerjaya, kaya-raya dan bermotivasi tinggi. Saya sendiri kagum dan kadang-kadang mendapat semangat apabila melihat betapa dia bersungguh-sungguh mengusahakan perniagaannya itu. Sayangnya hanya satu yang saya kurang suka tentangnya. Dia terlalu bermewah dengan hidupnya yang semamangnya berasal dari sebuah keluarga yang kaya-raya. Cuba bayangkan, untuk hujung minggu yang tiba-tiba dia rasakan bosan, dia terus terbang ke Dubai semata-mata untuk membeli-belah.

Dan yang sebetulnya, kenapa saya mula membaca blognya suatu masa dulu kerana saya dapat tahu yang dia tinggal dan bekerja di bandar yang sama dengan saya. Mulanya saya ingatkan dia anak jati tempat kami. Tapi tak pernah sekali pun dia menyebutkan nama tempat dia berada itu kerana hendak menjaga status kononnya. Tapi bagaimana saya tahu itu adalah Temerloh berdasarkan gambar-gambar yang banyak di blognya. Ada gambar Esplanade yang cantik di tepi Sungai Pahang tu dan macam-macam lagi termasuklah lokasi kawasan rumah rakit yang menjadi lambang Sungai Pahang di Lurah Semantan itu. Dan disebabkan gambar itu, saya pernah meninggalkan komen padanya. Peristiwa ni hampir setahun setengah yang sudah. Dan waktu itu saya tidak tahu bahawa dia jenis yang agak dingin orangnya. Terutamanya dengan orang yang biasa-biasa seperti saya ni. Dahlah tak berkerjaya lagi, ‘orang tempatan’ pula tu.

Read the rest of this entry »

Posted on April 10th, 2009 by Sarah  |  106 Comments »

Kuiz Bahasa Pahang

Assalamualaikum wbt

Saya asyik rasa tidak sedap hati saja sejak dua hari lepas. Kalau perut boleh rasa sebu, hati boleh rasa apa ya? Senak? Ah, merepek. Pemusnah bahasa betul. Ni bangsa apa saya ni? Kalau Melayu-Malaysia, guna bahasa yang elok sikit, Sarah. Malu Tok Bahaman tengok cucu dia macam ni. Kita menulis, orang membaca. Silap cara, rosak bahasa. Rosak bahasa, hilang bangsa.  Kalau dah hilang jati diri bangsa, siapa lagi nak perjuangkan? Ehem. Tolong hapuskan PPSMI tu sekali. Terima kasih. :mrgreen:

Hari ini, entah kuasa sihir mana yang datang, untuk menghilangkan rasa tidak sedap hati itu, saya menjawab beberapa kuiz di Facebook. Ketawa-ketawa jugalah seorang diri. Bukan sengaja nak ketawa seorang tapi memang tiada orang dalam rumah waktu itu. Takkan saya nak usung laptop duduk di koridor dan bergelak ketawa dengan jiran saya Mat Arab yang suka merokok di tangga tengah tu kan.

Ada satu kuiz itu tajuknya Sejauh Manakah Pengetahuan Anda Tentang Loghat Pahang. Cukup menarik. Sebabnya, memang tidak ramai yang tahu bahawa orang Pahang mempunyai dialek yang tersendiri. Saya masih ingat, dulu saya ada menulis entri tentang Bahasa Pahang. Ramai yang terkejut mengetahui fakta itu. Siap ada yang tercengang dengan kewujudan perkataan-perkataan yang berbunyi pelik. Pernah dengan pedo’oh? Tak rok? Nak kone? Gone ni? Nak kulu? Nak kilir? Lagu kerbau balak bantut, kucing makan panggang? Hahaha. Mesti ramai tergeliat lidah nak menyebut ni. Tu belum lagi kalau tok guru dengar. Mesti ditegurnya tak cukup dengung dan lain-lain.

Maka, saya pun menyuruh Kaklong menjawab kuiz itu. Kemudian diikuti oleh Nan. Sah-sahlah mereka pun mendapat keputusan Anak Jati Pahang. Padahal Kaklong tu bukannya lahir di Pahang. Tapi Kaklong memang mempunyai kuasa semula jadi mahir mengambil hati kawan-kawan, bakal mertua dan orang di sekelilingnya dengan berbual menggunakan loghat Temerloh yang hebat.

Nan mengomen. Katanya: Kalaulah Tok Cik yang buat soalan-soalan untuk kuiz tu, habis mampus kita semua. Fail!

Saya membalas: Tambah pula kalau Tok Cik pakat buat soalan-soalan tu dengan Wan De (Tok Asyik, Syafiq tu). Entah perkataan dari ceruk mana keluar!

(Tok Cik dan Wan De ialah nenek saudara kami, Asyik dan Syafiq ialah dua pupu kami.)

Ketahuilah anda, Bahasa Pahang adalah unik dan mempunyai banyak perkataan yang tersendiri. Mari uji tahap pengetahuan kamu tentang Bahasa Pahang dengan menterjemahkan ayat di bawah ini. Boleh pilih satu jawapan saja ok. Tinggalkan jawapan di ruang komen. Saya akan berikan jawapannya dalam entri baru nanti. 😉

Ate kabo tadi dah tak cakne. Keknya nok jugok bertaki. Aok kena pedo’oh dek dia je. Bukannya dia nok bela balik. Dia buat kelakor lain lagi ade la.

a) Kata-kata yang dikhabarkan adalah tidak ceria. Tapi dia tetap nakkan keknya itu yang berkati-kati. Entah-entah kek tu ada peluh dia je. Bukannya dia nak beri balik duit. Nanti dia nak buat kelakar lain ada la.

b) Atan khabarkan tadi, dia dah tiada. Keknya juga semua nak beli. Awak kena berusaha lebih kalau nak yang dia. Bukannya dia senang-senang nak bagi balik. Nanti awak ingat dia buat kelakar lain pula.

c) Tadi kata dah tak hirau. Tapi nak juga terus bertikam lidah. Awak ni kena tipu oleh dia je. Bukannya dia nak baiki semula. Dia buat benda lain pula ada la.

d) Atan kata tadi awak tak hirau. Keknya dah habis sekati. Awak kena berdolah-dalih sikit dengan dia tu. Bukannya dia senang-senang nak bagi balik. Dia pergi buat kelakar yang lain pula ada la.

Ehem. Jawab. Jawab. 😀

Nota 1: Mak Andak kena buat kuiz tu di Facebook tau. Suruh anak-anak Mak Andak buat juga ok. Kita tengok hasilnya nanti. Huhu~

Nota 2: Nisa, awak boleh jawab ke tak ye? Jangan blur je sudahlah ye. 😆

Nota 3: Adam, Azizi dan Aiman sah-sah memang pakar dah. Tapi Adi, Ngah was-was jugak la. Adi, apa jawapan awak untuk ayat kat atas ni? 😆

Posted on April 9th, 2009 by Sarah  |  62 Comments »

Sukan Sebagai Terapi

Assalamualaikum wbt

Sebagai seorang yang berperutkan Melayu sejati, saya tidak boleh hidup tanpa nasi. Sejak pagi tadi, saya langsung tidak menjamah apa-apa melainkan sandwich tuna dan secawan kopi tengahari tadi. Itupun setelah hampir berputus asa mencari pejabat Biro Penterjemahan bersama Faisal dan Thines. Makan tahap kebulur. Sebelum itu, di sebelah paginya, saya dikehendaki membawa pesakit saya pagi tadi ke bilik pengimejan untuk prosedur Echocardiography. Ketika di dalam bilik itu, bersama seorang lagi doktor dan empat orang pelajar Rusia yang lain, tiba-tiba perut saya berbunyi. Bukan sekali. Bukan juga dua. Tapi empat kali! Malu seh.

Bila sampai ke rumah petang tadi, saya tidak sabar menunggu Fatt siap memasak. Dan sambil makan nasi di petang yang redup ini, saya melayan video-video bola di Youtube. Lamanya dah saya tak menonton bola. Rasanya, sejak TV di rumah kami ini tidak boleh mengakses ke 80 rangkaian internet TV (kerana kami sudah tidak menggunakan pakej internet yang ini), saya sudah tidak mengikuti perkembangan bola. Oh. Kenangan yang paling bersejarah semestinya sewaktu menyaksikan final UEFA antara Manchester United menentang Chalsea secara langsung di stadium Luzhniki Mei tahun lalu!

Sebenarnya ada sesuatu yang merunsingkan otak saya buat masa ini. Itu sebabnya saya layankan saja video-video bola yang entah tahun bila-bila entah ni. Dalam banyak-banyak video itu, saya teruja dengan tiga video ini. Huhu. Sudah lama rasanya tak mendengar nama Soto (hahaha). Tiba-tiba ada video jaringan daripadanya. Cayalah! Oh ya. Cerita yang merunsingkan otak saya tu lain kalilah saya ceritakan. Tengah malam nanti kot.

Video yang terakhir ini saya sudah tonton berkali-kali dengan adik-adik saya di rumah. Sehinggakan, ketika kami balik kampung di Penang pun, boleh lagi kami gelak besar walaupun dah ulang tengok sebelum itu. Si Azizi dan Aiman siap ajak sepupu sepapat gelak sekali menonton video yang ni. Nanti bila mereka dah besar panjang, mesti mereka malu dengan diri sendiri sampai tak tahu nak letak muka kat mana. Entah apalah yang lawak sangat dengan video ni pun tak tahulah. Hahaha.

Nota 1: Tadi saya duduk di tepi tingkap bilik. Di tangan memegang buku Case Files. Tapi mata mengendap budak-budak dari India bermain kriket di luar bangunan ni. Tup tup ternampaklah si Rahul budak 5th year tu ada main. Wow. Happy sat. Terlupa kerunsingan. Hahaha. :mrgreen:

Nota 2: Ha. Budak-budak 5th year tingkat 5 kat atas nun, sila jangan gelak ok. KS cop itu Rahul. Kita kidnap kasi bawak balik itu Tanah Malaya. Tengok itu Rahul punya muka, masalah boleh hilang sudah. 😆

Nota 3: Sebenarnya saya nak cakap, bila sedang tertekan, runsing atau moody, bersukan atau bersenam adalah cara terbaik untuk melampiaskan cas negatif dari badan dan emosi. 🙂

Posted on April 7th, 2009 by Sarah  |  8 Comments »

Diari Ahad

Assalamualaikum wbt

Petang semalam, saya ada latihan pingpong seperti biasa. Tak tahulah nak kata macam mana. Prestasi hari semalam macam mengecewakan sungguh. Inilah padahnya bila sudah dua tahun berhibernasi. Tapi prestasi hari semalam amat mengecewakan saya. Rasa hendak menangis pun ada. Tapi buat apa. Simpan air mata untuk episod kehidupan yang seterusnya lagi baik. Harapnya, saya dapat mencari rentak permainan saya yang dulu. Hayyak!

Otot bahu dan belakang saya juga sedikit cedera petang semalam. Ketegangan otot. Hendak bermain pun terasa sakit. Tapi tetap main juga. Bila sampai saja di bilik, hendak baring meluruskan badan pun terasa sakit. Positif. Positif. Insya Allah siang esok mesti sudah elok.

Hari ini posting baru akan bermula. Jadual saya tidaklah sepadat mana. Tapi seperti biasa, perlu menjelajah ke Tenggara Moscow di pagi hari. Nasib baik Subuh masuk awal sekarang ini. Jadi, termotivasilah untuk bangun awal tanpa ada alasan sampingan. Tapi sekarang ini sudah pukul 2 pagi. Apa yang saya buat masih berjaga ni?

Saya baru siap menyapu bilik, melipat dan menggosok baju serta mengemas dapur. Sudah selesai semuanya, barulah lega hendak tidur. Hah. Siapa kata ni macam tabiat murni-tapi-sebenarnya-separa-terpaksa makcik-makcik sebelum tidur, jagalah dia.

Nota 1: Hari ini sudah hari Isnin. Maknanya apa? Jeng jeng jeng. Oh. Cepatlah siang. 😉

Nota 2: Sekali demam Facebook datang, menggila jadinya kami serumah. 😆

Nota 3: Izu, terima kasih atas panggilan jauh untuk kawan awak yang serba kecomelan ini dan sekalung TAHNIAH saya ucapkan! <—- (Sila lihat bahasa saya. Sah-sah awak kalah, Izu) :mrgreen:

Posted on April 6th, 2009 by Sarah  |  6 Comments »

Belajar Daripada Kehidupan

Assalamualaikum wbt

Ulang-alik saya ke hospital setiap hari sentiasa dipenuhi dengan gelagat manusia. Saya suka memerhati dan berfikir. Insiden yang terkesan di hati, saya akan teladani. Apa yang kurang memberangsangkan, saya akan cuba jauhi. Ini cara saya belajar daripada kehidupan.

(I)

Ketika lalu di hadapan bangunan pentadbiran di sebelah bangunan hostel ini, kelihatan beberapa orang berpangkat besar sedang merokok secara berjemaah di hadapan muka pintu utama. Mereka semuanya muda-muda dan masih tegap bergaya. Saya yakin, mereka bukan calang-calang orangnya. Bangunan di sebelah ini sentiasa dikunjungi oleh bangsa asing dari seluruh dunia atas urusan kerja.

Apa yang buat saya melihat ke arah mereka bukanlah kepulan asap rokok yang bulat-bulat keluar dari mulut mereka. Bukan juga gelak tawa berdekah-dekah itu. Tetapi saya melihat ke arah dua orang daripada mereka yang secara sengaja membaling puntung rokok itu ke atas lantai di hadapan mereka. Mungkin itu perkara biasa kerana tukang sapu akan membersihkan semula kawasan merokok itu. Tetapi, apa yang buat saya terus memandang tingkah empat orang lelaki muda itu ialah, dengan kewujudan seorang pakcik tua yang bekerja sebagai tukang sapu di situ, perbuatan itu adalah sangat tidak sopan. Pakcik itu mengaut puntung rokok yang dicampakkan tadi dan sejurus selepas itu, seorang lagi lelaki membaling puntung rokoknya pula. Saya terdiam. Saya berjalan perlahan saja ketika itu sambil memandang ke arah lelaki-lelaki itu dan juga pakcik tua yang memegang pengaut sampah itu.

Empat orang lelaki itu terus berbual dan pakcik itu masih diam saja. Saya akui, memang itu kerja pakcik itu. Tetapi tindakan mereka semua dengan sengaja membuang puntung rokok itu sedang pakcik itu berada di hadapan mereka adalah sangat tidak sopan. Saya merasakan keadaannya sangat ironi waktu itu. Antara persoalan usia dan adab. Juga kemanusiaan dan belas kasihan. Ketika betul-betul melintas di hadapan pakcik itu, yang saya mampu lakukan untuk menyejukkan hatinya ialah senyum. Moga-moga dia tidak terasa dirinya dihinakan kerana masih ada orang biasa ini yang memberi senyum padanya.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, setiap orang ada harga diri dan hak untuk dihormati.

(II)

Ketika sedang menunggu tram di tepi jalan dalam perjalanan balik dari hospital, ada seorang lelaki mabuk jatuh di atas jalan raya. Saya dan kawan-kawan dapat melihat kejadian itu. Lalu lintas agak terganggu semata-mata untuk menunggu lelaki itu dipindahkan ke tepi. Yang nyata, lelaki itu mengalami transient alcoholic paralysis akibat pengambilan alkohol yang berlebihan. Saya pasti, kalau kami semua mendekatinya, baunya adalah sangat busuk.

Kawan lelaki tadi (mungkin juga abangnya) cuba mengangkatnya bangun dan membawanya ke tapi. Tetapi dia terlalu berat dan lembik untuk dipaksa berdiri. Kakinya sudah hilang deria rasa dan ototnya juga lemah (paresis) yang bersifat sementara. Dia memang terkulai saja di situ. Kepalanya saja yang terangguk-angguk. Tiba-tiba, datang seorang lelaki muda yang menyeberang ke tengah jalan itu dan menolong lelaki seorang lagi tadi untuk mengangkat si mabuk itu. Dia menggunakan pendekatan yang garang dan memaksa. Dia paksa lelaki mabuk itu untuk berdiri. Dia papah dan mengusung lelaki itu ke pondok bas di tepi jalan.

Di pondok bas itu, lelaki itu didudukkan dan lelaki yang segar itu terus menyalami si lelaki muda yang datang menolong. Lelaki muda itu kemudiannya ke kiosk menjual air di tepi pondok bas itu. Dia membeli sebotol air mineral dan membawanya kepada lelaki mabuk itu. Saya kira dia hendak memberi lelaki itu minum. Sebaliknya, dia membasuh muka lelaki mabuk itu dan berkata: Kalaupun kau tak malu pada diri sendiri, tapi malulah pada negara. Semua orang tu (sambil menunjuk kepada kami pelajar-pelajar antarabangsa yang berdiri berhampiran dengan mereka) tengok kau. Buat malu negara sendiri je. Ubahlah diri tu biar orang hormat sikit.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, jangan kita malukan diri sendiri. Maruah diri, bangsa, negara dan agama adalah amanah yang kita kena jaga.

(III)

AA: Tahu tak kita dah ada PM baru?
ZZ: PM baru? Bila nak ganti?
AA: Eh, dah tukar dah pagi tadi. Tak tahu ke?
ZZ: Ooo. Yeke. Diorang ada buat pihanraya ke untuk lantik PM baru?
AA: (Apakah manusia ini?) Mana ada pilihanraya. Ni kan sistem lepas kuasa terbaru yang dah jadi tradisi dah kat Malaysia. Dulu Mahathir lepaskan pada Paklah. Ni Paklah lepaskan pada Najib pulaklah.
ZZ: Najib la yang jadi PM kita ni?
AA: Aduh! Ye la. Habis tu siapa?
ZZ: (Senyum busuk)
AA: Ikutlah sikit perkembangan negara. Benda penting yang jadi sejarah negara pun tak tau, ni payah ni.
ZZ: (Terus tersenyum busuk)

Pelajaran kehidupan hari itu, walau di bumi manapun kita berpijak, walau langit apapun yang dijungjung, ingatlah asal usul dan hargailah negara. Perkara bersejarah beginipun tak dihiraukan. Tarik kewarganegaraan nanti, baru tahu.

Nota 1: Kehidupan adalah sesi persekolahan yang sarat dengan pengajaran.

Nota 2: Semoga ada perubahan demi perubahan yang DS Najib boleh bawakan untuk Malaysia. Kerja kita, berdoa sajalah. Buat masa ini saya masih positif. Sudah termaktub dengan rasminya itulah PM kita yang ke-6. Semua ini mesti ada hikmahnya.

Posted on April 4th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »