Assalamualaikum wbt
Beberapa hari lepas, saya ada bermain teka-teki dengan Azam, rakan sekumpulan saya, ketika di hospital. Salah satu daripada soalan yang diajukan oleh Azam, saya panjangkan kepada adik saya di Malaysia. Adik saya ni penuh dengan humor orangnya. Sengaja saya hendak melihat sejauh mana akalnya berfikir untuk menjawab soalan itu. Saya jangka, Adi akan menjawab sepantas kilat. Tapi agak lama saya menunggu, dalam perjalanan balik dari hospital barulah dibalasnya.
Sebaik terbacakan jawapannya, saya tergelak seorang. Jawapannya tidak seperti dia yang selalu. Terlalu skema dan logik. Luar biasa pula Adi kali ini. Dalam hati saya membuat kesimpulan. Budak-budak lepasan SPM memang beginilah agaknya. Otak masih skema. Huhu.
Sampai di rumah, Adi ada menghubungi saya semula. Bunyinya seakan merajuk sebab saya tidak membalas mesejnya semula. Saya sedang memasak sebenarnya pada waktu itu. Sewaktu jam sudahpun menunjukkan pukul 11.45 malam di Malaysia, saya terus menelefon Adi. Tapi tak pula berangkat. Dan keesokkan harinya, saya menelefon Adi sekali lagi untuk menebus kesalahan tidak membalas mesejnya.
Rupa-rupanya, Adi sedang berbuka puasa dengan emak pada waktu itu. Dia berpuasa nazar katanya. Sempatlah saya berseloroh itu ini dengannya. Saya menegurnya, kenapa dia gelak berbeza dengan dulu. Saya kata, macam nyah saja. Dia lagi gelak. Sabar betullah budak ni. Dia kata, takkanlah nak gelak berdekah-dekah. Tak sopan langsung. Aiseh. Saya lagi rela dia tergelak besar daripada gelak seperti itu. Bila saya menegur, lagi dibuat-buatnya gelak itu. Sabar banyak-banyak, Sarah.
Tadi saya menelefon rumah. Hajatnya hendak bercakap dengan emak. Tapi Adi yang menjawab. Katanya, dia yang baru balik dari kerja pun pelik. Rumah kosong. Tidak tahulah emak dan adik-adik ke mana. Lalu, berbual lamalah saya dengan Adi. Dalam pada berbual itu, kami merancang satu projek untuk dijayakan bersama. Apa projeknya, ahha! Itu kena tunggu.

Yang saya ingat, saya ceritakan tentang perbalahan Kaklong dan Adnan di Facebook tentang gambar waktu kecil-kecil dulu yang saya tag dengan nama mereka. Masing-masing mengatakan diri masing-masing paling comel. Laju Adi membuat kesimpulan: Awak ni macam tak tahu je, Ngah. Diorang tu mana nak mengalah. Mesti nak mengaku diorang lagi comel. Hahaha. Ambil sekali, Kaklong, Nan!
Informasi terkini tentang keluarga di rumah:
1. Rumah sedang diubah suai (lagi!). Ada cat sana sini sikit-sikit. Tukar semua pintu. Emak ayah ni macam nak buat kenduri besar saja gayanya.
2. Emak kata, raya tahun ni mesti meriah. Sebab semuanya ada. Kaklong pun sudah membeli tiket kapal terbang untuk balik bercuti raya nanti. Wah! Maju, handal, tangkas, cekap dan amanah betul Kaklong!
3. Adi kata, business ayah maju sekarang ni. Alhamdulillah.
4. Ayah bagi gaji/upah yang agak besar untuk Adi. Ini bagi sayalah. Huhu. Tapi yang bagusnya, duit minyak untuk kereta Kaklong yang digunakannya, dia tanggung sendiri. Bagus ni.
5. Adi sedang menunggu panggilan kemasukan ke universiti. Moga-moga dipermudahkan Allah.
6. Adlan sudahpun bekerja. Kerja elok-elok ya, Lan. Nanti nak kena ambil exam untuk naik lagi.
7. Adam mengambil aliran Akaun. Nampaknya, dialah yang pertama sekali mengambil aliran ini di kalangan kami semua.
8. Adik yang masih bersekolah tu semuanya tuisyen. Habislah emak! 😛
9. Adi kata, malam ni mereka semua akan bergelap untuk Earth Hour. Saya bertanya, akan berlilinkah mereka nanti. Jawabnya, buat apa. Sejam saja. Nak bergelap, biar gelap terus. Bila lagi nak buli adik-adik ikut suka hati. Weh, salah guna kuasa betul Adi ni! Ayah, baik ayah suruh Adi jadi imam solat Isyak malam ni. Lepas tu, suruh dia conduct wirid lepas solat Isyak tu lama-lama sikit. Kata dulu selalu jadi imam di asrama kan. 😀
Apakah tanggung jawab kita sebagai seorang anak? Berusaha menjadi yang terbaik untuk keluarga kita dalam apapun bidang yang kita ceburi, mendoakan kesejahteraan serta kebahagiaan ibu bapa dan keluarga kita. Juga menjaga maruah keluarga secara total. Jika pincang satu, kita patut malu untuk menghadap ibu bapa kita dan Allah suatu hari nanti.
Ya Allah. Semoga adik-adik saya menjadi insan berguna untuk keluarga, bangsa dan agama.

Nota: Kadang-kadang internet boleh menjadi sangat menjengkelkan. Percayalah.