Archive for the ‘Isu Agama’ Category

Bila Murtad Menjadi-jadi

Assalamualaikum wbt

Perasan atau tidak, sebenarnya masyarakat kita ini bila diprovok, dihadapkan dengan satu isu besar baru hendak tergadah. Baru hendak peduli keliling. Baru hendak melatah mengucap panjang. Tapi sebelum sesuatu itu terjadi, kita selalu terlupa hendak periksa diri sendiri.

Sebulan dua yang lepas, isu blog Adiba Ahmad yang mempermainkan Islam, mengeji Nabi Muhammad SAW dan menyamakan Islam itu dengan segala kejijikan tiba-tiba menjadi perhatian ramai. Semua panas dan berapi dengan kejian dan hinaan yang dilemparkan oleh si pembawa propaganda.

Sedangkan kalau kita sedar, keadaan mempersendakan Islam itu telah lama wujud dalam masyarakat Islam itu sendiri. Tak lama selepas blog itu ditutup, si pembawa propaganda bodoh itu menulis di tapak baru pula. Masih dengan tema yang sama. Tapi masyarakat sudah tidak sepanas kemunculan blog yang pertama. Adakah sentimen kesedaran itu wujud sacara berkala? Bila dah muak, terus tutup mata saja.

Dan beberapa hari kebelakangan ini, muncul pula blog baru. Kali ini bahasa perantaraannya adalah Bahasa Inggeris. Kali ini penulisannya lebih berani dengan mengutarakan perbandingan yang lebih ilmiah yang kononnya lebih relevan untuk membuktikan Islam itu buruk dan penuh dengan cacat-cela. Saya tak pasti bagaimana media di Malaysia menerima kemunculan blog yang ini pula. Terkejut beruk seperti kemunculan blog pertama dulu atau tidak. Tapi pendekatan blog yang terkini ini lebih merbahaya. Dia membuat perbandingan. Kalau ada yang baca dan tidak kuat aqidahnya, boleh terangguk-angguk percaya. Angguk-angguk sikit-sikit pun dah boleh terpesong aqidah. Bahaya sungguh.

Tambahan pula, bahasanya ialah Inggeris. Segala jenis bangsa pun boleh baca dan memahami. Cuma kali ini dia tidak memberatkan kepada mana-mana agama. Kononnya si pembawa propaganda kali ini mengamalkan pegangan tanpa agama. Siap ada beberapa testimoni daripada beberapa orang Melayu Murtad yang bangga tidak lagi berpegang kepada mana-mana agama. Dalam testimoni tersebut, mereka menjelaskan kejelekan yang mereka lihat wujud dalam Islam yang menyebabkan Islam itu tidak layak sama sekali untuk dipilih sebagai agama yang benar.

Saya tak teragak-agak untuk mengatakan mereka inilah yang bodoh kerana penilaian dibuat secara kasar dan bukannya dengan kajian untuk mengetahui sebab dan hikmah kenapa wujudnya syariah yang sedemikian dalam Islam.

Antaranya, dia mempertikaikan kenapa perlu memakai tudung yang baginya adalah sangat bodoh untuk dilakukan di negara yang panas lembap seperti di Malaysia itu. Katanya, tak bertudung ke, bertudung ke, potensi untuk dirosaki oleh lelaki sama saja. Hey, tak berakal sungguhlah alasan. Lagi, segala yang dipertikaikannya tentang hak suami untuk memukul isteri setelah dinasihati dan berasingan tempat tidur itu adalah sangat jelas menunjukkan bahawa dia seorang yang ‘banyak cakap dari ilmunya’.

Dengan terang-terang dia menyebut bahawa ‘suami berhak memukul isteri jika isteri tidak membuat seperti yang disuruhnya’. Hey! Dalam erti kata ini, Islam bukan membenarkan suami memukul isteri bilamana dia tidak mahu buat apa saja yang diminta oleh suami. Spesifiknya dalam kes ini ialah apabila isteri membuat kemungkaran. Bukannya bila suami suruh isteri buat sambal belacan, tapi si isteri buat budu, lepas tu suami tegur, si isteri buat lagi, pisah tempat tidur pula dan seterusnya boleh pukul terus. Bukan begitu. Dalam hal ini memukul tak disabitkan dalam kes langsung. Sebab bukan berunsur kemungkaran pun.

Hai lah manusia. Nampak sangat si pembawa propaganda ini tidak berilmu ketika dia masih Islam. Mana tidaknya. Al-Quran pun dibacanya lompat-lompat. Ada pula ibu bapa yang tidak melihat Islam sebagai jalan hidup. Pulak tu, boleh pula dia berbangga sebagai pemegang markah tertinggi dalam Pendidikan Islam sewaktu SPM dan dengan itu dia mengisytiharkan dirinya sebagai ‘seorang yang sangat faham dengan selok-belok Islam’ hanya kerana dia mendapat markah tertinggi dalam subjek tersebut. Hey hey hey. Pelik sungguhlah manusia ni.

Jadi sekarang, nak salahkan si murtad ini saja pun tak berguna. Memang cara hidupnya, didikan yang diterimanya sejak kecil tak menjuruskan dia menjadi seorang pencinta agama sebaliknya pencinta wanita, pencinta jejaka dan pencinta dunia. Jadi siapa yang patut dipersalahkan? Ibu bapanya? Ya. Itu memang. Lagi? Dirinya sendiri kerana terlalu bodoh untuk menilai yang disebaliknya? Pun ya juga. Pandai tu memang pandai dah tapi tak reti untuk berfikir. Lagi? Salahkan sistem pendidikan di Malaysia (Fardhu Ain dan Pendidikan Islam) yang menurutnya tak menggalakkannya untuk tahu lebih tentang benda yang baru? Sejak umur 7 hingga 11 tahun, asyik mengulang benda yang sama. Bosan jadinya. Pun ya juga. Salah masyarakat Muslim itu sendiri kerana tidak memperlihatkan tauladan yang baik? Mungkin ya juga.

Jadi, kesimpulannya, kes-kes murtad yang terjadi sekarang ini adalah salah kita semua. Salah bersama. Bilamana satu pihak dengan yang lain berkerjasama memperlihatkan yang buruk-buruk tentang Islam, baik dari segi tauladan, pendidikan, asuhan di rumah dan pekerti masyarakat Muslim itu sendiri, semuanya bergabung sehingga menampakkan Islam itu buruk. Ilmu tentang Islam pula tidak sampai secara menyeluruh. Hiburan dan ‘kebebasan’ yang dibawakan oleh agama lain lebih menarik hati.

Dalam bidang perubatan, ada satu sindrom ini namanya Robin Hood Phenomenon. Satu salur darah di jantung kecil saiznya kerana tersumbat. Satu lagi salur darah adalah normal. Apabila tersalah memberi ubat (Beta Blocker), saiz salur darah yang tersumbat tadi akan semakin mengecil dan darah tidak dapat melaluinya langsung. Jadi, jalan alternatif bagi darah ialah berpindah untuk melalui salur darah yang sihat tadi. Dalam kes ini, darah dikatakan telah ‘dicuri’ oleh salur darah yang kedua itu. Ini menyebabkan sebahagian tisu jantung tidak mendapat bekalan oksigen dan sebahagian yang lain mendapat oksigen yang berlebihan. Kenapa digelar sebagai Robin Hood kerana situasi ‘mencuri’ darah itu yang sinonim dalam lagendanya sebagai pencuri senyap-senyap.

Inilah situasinya sekarang. Laluan untuk orang semakin mengenal apa itu Islam sudahlah tersekat, tersumbat dengan segala macam halangan. Wujud pula jalan alternatif untuk manusia semakin mengecap kebahagiaan hidup di dunia. Mestilah ramai yang memilih jalan alternatif itu. Sudahnya, apa yang tinggal pada Islam? Semakin membusuk dan mati.

Jadi bagaimana hendak memperbetulkan keadaan ini? Betulkan diri kita sendiri, cari ilmu, kenali Islam, jadikan diri kita sebagai cermin untuk orang melihat keindahan Islam. Memang susah tapi kita kena cuba. Zaman Nabi dulu, kalau tidak Nabi sendiri yang menjadi contoh terbaik, para sahabat ketika itu pun boleh diharap untuk menjadi cerminan keindahan yang dibawakan oleh Islam. Jadi kita mesti berusaha menjadi seperti itu. Bagi yang berkuasa pula, betulkan sistem pendidikan dan sebaran maklumat. Apa guna ada kuasa tapi tak digunakan untuk membaikpulihkan mana-mana yang kurang.

Sebaliknya, jangan pula kita jadi tukang amuk, berapi membara-bara bila semua ini terjadi sedangkan di sebalik semua ini, kita juga ada sahamnya secara langsung atau tidak. Orang putih kata, let’s get back to the basic.  Kita orang yang tak putih ni pun patut aplikasikan yang sama. Ayuh!

Nota 1: Saya peminat Afgan. Suaranya sangat bagus untuk telinga dan jiwa saya. Ini lagu yang paling saya minati. Mari hayati.

Nota 2: Saya memang minat Afgan! Ah, takde kerja betul saya ni. 😛

Posted on February 2nd, 2009 by Sarah  |  41 Comments »