Archive for the ‘Holiday’ Category

Alangkah Indah Kalau Ada Anak

Assalamualaikum wbt

Bangun pagi hari ini, saya rasa sangat selesa. Celik Mata sebelum azan Subuh. 6.30 Subuh pun masuk. Selesai solat, saya ada banyak lagi masa sebelum bertolak. Sempat bermain-main bersama Stewart dan Mickey. Alangkah indah kalau ada anak, kan.

Bertolak macam biasa dan sampai awal. Tak lama di hospital hari ini. Kami diberikan tanda tangan sebagai tanda telah lengkap credit hours untuk posting kali ini dan dibenarkan pulang. Maka, dengan rasminya bermulalah cuti musim sejuk saya. Saya tak bertangguh. Balik terus. Singgah pasar, membeli sedikit barang dapur dan makanan si kecil berdua di rumah tu. Alangkah indah kalau ada anak, kan.

Bila saya kata saya singgah membeli barang dapur, bunyinya seperti saya hendak memasak, kan. Sebenarnya saya balik rumah dan kemudian memanaskan lauk dan nasi semalam. Semalam adalah kali pertama saya makan nasi dalam tempoh dua minggu ini. Berat badan semestinya turun (Serius teringat Nadia dan Faiq. Mereka juga seperti saya. Kita sahabat sehati sejiwakah?).

Bila sedang makan, saya menerima mesej daripada emak. Selepas dibalas sekali, emak kemudian menyudahkan mesejnya. Mesejnya pendek tapi dipenghujungnya ada pesanan penting.

“Take care. I miss my girls.”

Ya Allah. Emak rindukan saya dan Kaklong. Sedih kan? Saya pun rindukan emak juga…

Nota 1: Alangkah indah kalau ada anak, kan. Tapi kalau anak-anak berjauhan, mesti rindu di hati emak ayah tu tak terkata. Untuk anak-anak yang duduk jauh dari ibu bapa, jangan lupa hubungi mereka. Jangan malu menjadi yang memulakan menunjukkan kasih sayang. [Untuk impak yang lebih berkesan, sila dengar nasyid di sebelah. Boleh senyum, boleh menangis, boleh rasa nak belajar tak tidur-tidur, boleh rasa nak balik rumah sekarang juga. Hehe]
Nota 2: Saya nak buku. Saya nak buku. Saya nak buku untuk mengisi masa cuti ni! Nampaknya kenalah mengeluarkan duit untuk membeli buku cerita baru. Adoi. Duit lagi. Kepada junior-junior yang ada membaca blog ni, kalau sesiapa yang mempunyai novel Inggeris yang berkaitan dengan sejarah atau seni, silalah maklumkan. KS sangat berminat dan berhajat untuk meminjam. Terima kasih!

Posted on January 21st, 2009 by Sarah  |  26 Comments »

Kari Portugis Emak

Assalamualaikum wbt

Apabila melihat keadaan rakan-rakan serumah yang demam, saya teringat ketika beberapa hari sebelum pulang ke Moscow semula di penghujung Ogos lepas. Saya demam panas ketika itu. Pada hari hendak bertolak balik, emak saya bercuti sehari. Ketika itu hari Rabu. Emak membawa saya ke Pekan Sari Rabu di Durian Tawar. Punyalah semangat emak hari itu, bersungguh-sungguh emak menyuruh saya membeli apa saja yang saya teringin hendak makan.

Yang saya ingat, saya membeli Nasi Lemak daun pisang, Kuih Tepung Gomok, Tepung Pelita, Dodol Kukus dan Kuih Cara Manis. Semua ini antara kuih tradisional yang saya suka. Emak membeli ayam. Kata emak, emak hendak masak Kari Portugis. Emak tahu, saya memang sangat suka lauk istimewa emak ini.

Sebaik tiba dari Pekan Sari Rabu itu, saya terus melepek di depan TV saja. Demam saya makin teruk. Apa yang saya beli di pasar tadi hanya sedikit yang saya jamah. Separuh bungkus Nasi Lemak dan Dodol Kukus. Tepung Gomok hanya saya cubit sikit-sikit, Kuih Cara hanya satu yang saya makan dan Tepung Pelita yang paling saya suka pula tak sedap langsung yang saya beli pagi itu. Tapi sekitar 11.30 pagi, emak sudah siap memasak lauk. Saya pun apa lagi. Terus menjamah nasi. Dalam pada demam itu, bertambah saya makan lauk Kari Portugis yang emak masak.

Selesai makan, saya tertidur. Selepas Zohor baru bangun dan bersiap-siap untuk kali terakhir. Ayah sampai di rumah sekitar pukul 3. Selepas siap memasukkan beg ke dalam kereta, kami pun bertolak menuju ke KLIA. Dalam perjalanan, kami singgah mengambil Kaklong di rumah sewanya. Sampai di KL, jalan sangat sesak. Hujan pula tengah lebat. Sepanjang perjalanan, saya tidur saja. Pada mulanya, saya berhajat untuk berborak panjang dengan Kaklong. Sangat jarang kami dapat meluangkan masa bersama di sepanjang cuti lepas tapi lain pula jadinya. Emak ada membawa bekal nasi berlaukkan Kari Portugis yang dimasaknya. Emak tak mahu saya kempunan agaknya.

Selepas mengambil Adnan di Seri Kembangan, kami terus ke KLIA. Kami sudah terlewat waktu itu. Ayah memecut laju. Kami di belakang pula buka bekal yang emak bawa dan kami adik beradik makan bersama-sama di dalam kereta. Tak perlu berhenti makan di mana-mana dah kerana memang kami kesuntukan waktu. Kami suap menyuap antara satu sama lain. Sambil itu, puji-puji emak kerana resepi emak ini memang tiada tandingannya. Yang lagi lucu, kami siap bawa bekal kicap kerana kami adik beradik wajib makan kari dengan kicap. Huhu.

Selesai makan, saya menelan ubat. Ini ubat demam Adnan sebenarnya. Seminggu sebelum itu dia pulang ke rumah dalam keadaan demam teruk. Saya pun kebas saja ubatnya. Tak payah ke klinik. Sebaik saya selamat boarding dan menelefon ayah menyatakan saya sudah selamat di atas kapal terbang, saya mematikan telefon dan terus tidur. Demam saya kali itu berlanjutan sehingga seminggu selepas sampai di sini.

Hari ini saya isytiharkan sebagai hari melepek di atas katil saja. Sebenarnya saya demam sejak malam tadi. Disebabkan saya ni selalu sangat sakitnya, bekalan ubat memang sudah ada. Saya tak sukalah batuk. Sakitnya rasa tekak. Rasa nak cabut sekejap tekak ni. Dah sihat nanti pasang semula. Hehe.

Yang pasti, setiap kali demam, saya teringin makan Kari Portugis. Wahai perut dan tekak, sila bersabar menunggu esok ya. Walaupun tak dapat yang emak masak, esok saya akan cuba penuhi hajat awak ya.

Posted on January 2nd, 2009 by Sarah  |  41 Comments »

1 Januari 2009

Assalamualaikum wbt

Saya tidak mahu ketinggalan mencoret sesuatu pada tarikh ini. 1 Januari 2009. Saya pernah ceritakan dulu, saya sukakan nombor satu. Bagi saya nombor satu adalah nombor yang istimewa. Termasuklah bulan satu, plat kereta bermula dan diakhiri dengan satu dan kalau boleh, nombor rumah pun saya suka kalau ianya bermula dan diakhiri dengan satu. Kebetulan, rumah saya pun bernombor 1100. Cantikkan nombor rumah saya? Hehe.

Tahun baru saya kali ini sangat tidak mengecewakan. Sebenarnya pagi tadi rumah saya terputus talian internet. Kami tidak menambah nilai akaun kami lagi untuk bulan ini. Sengaja kami semua tidak keluar untuk ke mesin top up di kedai berhampiran kerana tengaharinya kami bercadang untuk keluar. Waktu keluar itu baru cadangnya hendak membuat bayaran. Jadi di sebelah paginya saya menonton Twilight yang digilai ramai tu. Tapi separuh jalan saja. Saya tidak terasa hendak menonton sampai habis lagi waktu itu.

Selesai Zohor, kami ber-Asar pula dan sekitar 2.15 petang, saya megikut junior-junior saya pergi ke satu tempat. Tetapi hanya saya, Fareena, Fatt dan Diba yang pergi kerana Wanie dan Emy demam di rumah. Mily juga turut sama. Sebenarnya ini plan budak lelaki. Semuanya junior. Afi, Asyiq, Anep, Mun dan Paan. Saya sajalah yang terlajak umur di kalangan mereka semua. Haha.

Ke mana kami pergi? Dekat saja. Dua stesyen saja dari tempat kami. Gorky Park namanya tempat itu. Gorky Park ini merupakan antara taman tema tertua di Eropah Timur (sejak 1928). Ada sebuah lagu (saya lupa nama kumpulan itu) yang memahatkan nama Gorky Park di dalam lagunya. Tujuan kami ke sana ialah untuk meluncur ais. Ice skating. Sepanjang musim sejuk, kawasan lapang di taman tema ini diratakan saljinya dan dijadikan lapangan meluncur terbuka untuk orang awam. Sangat luas!

Ada dua orang di antara kami yang baru pertama kali hendak belajar meluncur. Adatlah kalau jatuh-jatuh dan tergolek tiga empat kali. Kalau tak jatuh, tak terasa nikmatnya bermain tu. Di taman itu, lagu-lagu dipasang kuat. Antara lagu yang berkali-kali diulang pasang ialah lagu Believe Me yang dinyanyikan oleh Dima Bilan, antara penyanyi terbaik di Rusia. Lagu ini telah memenangi Eurovision 2008 dan dalam video klip lagu ini ada peluncur ais Rusia, Plushenko, yang turut beraksi.

Hari ni, memang puas saya meluncur. Sudah lama tidak meluncur sebebas dan sepuas ini. Kebetulan, kesemua junior ini jenis yang meriah-meriah orangnya. Kami meluncur bersama orang tempatan dan luar yang turut menghabiskan masa bersama keluarga di sana pada hari ini. Saya paling suka melihat kanak-kanak meluncur. Sudahlah badan bulat-bulat dibalut pakaian tebal. Tapi meluncurnya punyalah laju. Bila terjatuh bergolek-golek, sedikitpun mereka tidak menangis. Kibas-kibas seluar, terus menyusup laju hilang di celah orang ramai yang nyata jauh lagi tinggi daripada mereka.

Tadi saya teruja melihat dua orang lelaki yang boleh menari-nari mengikut lagu-lagu yang dipasang. Antaranya lagu Believe Me dan Daddy Cool. Cayalah! Tapi saya tak reti nak buat aksi hebat-hebat. Setakat memecut biasa tu bolehlah. Lainlan Afi, Asyiq dan Fareena. Mereka bertiga ni sudah sangat cekap. Kami yang perempuan tadi menamatkan sesi kami lebih awal kerana hendak solat Maghrib di dalam bangunan. Sudah tidak tahan hendak bersejuk di luar. Ok. Saya sudahi dengan gambar-gambar saja.

Sedang bersiap sedia

Ada adik Ana Raffali dalam gambar ini, Asyiq Raffali (last, in black)

Keretapi terpanjang hari ini!

Bukti saya selalu dikenakan oleh Fareena budak nakal tu =p

Yang perempuan semuanya sedang kesejukan

Nota 1: Bila sudah sampai rumah, baru saya habiskan menonton Twilight. Saya tak rasa Edward Cullen itu kacak (-_-) Saya lagi suka pada ayahnya yang sangat tenang. Haha.
Nota 2: Dalam perjalanan balik, Afi bertanya: KS, berapa tinggi KS? Saya menjawab sekian-sekian tingginya dan bertanya kenapa. Afi membalas semula: Tadi waktu KS kat tepi saya dan KS menunduk, saya rasa KS macam budak kecik. Haha. Saya terasa awet muda dan comel. =p
Nota 3: Selamat hari lahir buat groupmate saya Fizy! (2 Januari)

Posted on January 2nd, 2009 by Sarah  |  39 Comments »

My Holiday Routine

Assalamualaikum wbt

At the moment, I am 100% agree with my ayah. Too much holiday will slow down our momentum to work. I was lazying around for the past two days. I did revise my notes and all but it didn’t seem enough to satisfy me. Since Embassy of Malaysia held an open house celebrating the belated Eid Adha, so I just agreed to tag Fareena and Wanie to go there. Nothing much we did. Eating, chatting, eating some more, chatting some more and on the way back, we had some snow fight. There’s nothing more professional I could do other than this. I am dead bored with my holiday routine. I still have one more day left to kill. I can’t wait to go to hospital again this Tuesday. Ah no. I sound like so nerdy.

Note 1: Ayah, Uncle Isa’s son (Alumni SMSPP) sent his warmest salam to you.
Note 2: I’ll write something more beneficial later.
Note 3: Please suggest me what should I do tomorrow. I don’t want to be a dugong in my room.

Posted on December 29th, 2008 by Sarah  |  19 Comments »

31 Julai 2008

Assalamualaikum wbt

Cerita 1
Tengahari tadi saya keluar ke bandar untuk ke bank. Menaiki bas saja. Kan saya pernah nyatakan dulu bahawa saya tidak tahu tambang dari rumah saya ke pusat bandar kerana jarang menggunakan bas. Jadi tadi saya menyediakan RM2 kerana seingat saya tambangnya sama ada RM1.10 atau RM1.30. Sebaik saya turun dari bukit rumah saya, terus ada bas. Saya menahannya dan sebaik naik, saya menghulurkan RM2 itu. Pakcik itu berkata: Takde syiling ke, dik? Saya jawab tiada. Sebetulnya ada tapi terperosok di dalam beg sandang belakang yang saya suka bawa itu. Lalu pakcik itu membalas: Ambik la lagi seringgit tu. Awak ni RM1.10 je. Kecik lagi. Saya pun mengucapkan terima kasih dan terus duduk. Kepala saya ligat berfikir. Eh, seingat saya, untuk bas berhawa dingin, RM1.10 untuk kanak-kanak. Saya terus tersengih seorang. Saya ni dikategorikan sebagai kanak-kanakkah? Hehe. Mentang-mentanglah saya bawa beg sandang belakang saja tadi, terus saya ni disangka budak-budak pula :p

Cerita 2
Dah lama tidak menangis bersungguh-sungguh. Tadi petang memang saya menangis sangat-sangat. Sampai basah kuyup muka dan terisak-isak. Bukannya apa. Saya memang sangat bengang, geram, sakit hati dan terkilan jika keberadaan saya di sebuah negara yang bernama Rusia dibanding-bandingkan dengan orang lain yang menuntut di US, UK, Australia atau di tempat-tempat lain. Yang saya sedihkan, yang membanding-bandingkan itu bukan orang lain. Orangnya dekat dengan saya. Kalau dulu saya di tahun pertama atau kedua dan saya diberi provokasi yang sebegini, saya memang boleh goyah dengan keputusan untuk meneruskan perjuangan hidup di Rusia. Tapi sekarang saya sudah di tahun akhir. Lagi mahu diteruskan dengan provokasi yang sebegitu. Siapa yang tidak geram. Bila saya balik rumah, saya menangis sambil menghidangkan makanan untuk emak berbuka. Bila saya masuk ke bilik air untuk membasuh muka dan kaki, ayah yang mungkin terdengar saya menangis keluar dari bilik dan bertanya kepada emak. Saya tidak tahulah apa yang emak jawabkan pada ayah. Yang pasti, saya sudah lama tahan sabar dengan beberapa orang itu yang seperti tidak pernah jemu hendak buat saya rasa rendah diri sebab dihantar belajar di Rusia. Untuk pengetahuan semua, sewaktu interview dengan JPA dulu, saya sendiri yang menamakan Rusia sebagai negara pilihan pertama. Saya ada alasan yang tersendiri. Jadi, apa masalah dia? Kalau saya yang dikatakan kolot kerana memilih Rusia sebagai tempat pilihan, saya rasakan orang sepertinya yang kolot kerana masih melihat Rusia itu sebagai sebuah negara Komunis atau apa. Sepatutnya sebagai orang yang dekat dengan saya, dia sepatutnya memberi saya semangat dan motivasi. Lebih-lebih lagi saya cuma ada kurang dari setahun saja lagi untuk tamat. Tapi tidak pernah sekalipun saya merasakan diberikan motivasi atau semangat atau apa saja yang berbentuk positif dan membina olehnya. Oklah. Dia tidak pernah membawa manfaat kepada saya. Jadi tak perlu saya ambil kisah dengan apa yang dikatakannya.

Cerita 3
Tadi adik-adik saudara dari Dungun balik ke rumah Tok. Begitu juga dengan keluarga Mak Andak yang baru tiba dari Egypt. Maka malam ini berkumpullah 3 orang Nana di rumah ini. Bak kata Syakira, ada 3 orang Kakak Nana. Nabiha Farzana (Nana 1), Nurul Jannah (Nana 2) and Ngah Sarah (Nana 3). Kepada Nini, Sila jangan jealous ye. Malam ni Nana dikerumuni oleh si kenit-kenit ini. Habis SMS Nana pun diorang baca. Huhu.

Cerita 4
Saya rasa nak berhenti berblog. Macam dah tiada mood… Kalau saya nak update pun, tengok keadaan dululah.

Nota 1: Mohd. Shamsul Amir, nama awak disebut-sebut oleh adik-adik saudara saya ni. Kredit yang baik-baik diberikan kepada awak. Hehe.

Nota 2: Hidayah, cepat-cepat sembuh ok. Semua risau pasal kaki awak tu. Mak awak asyik sebut-sebut aje.

Posted on August 1st, 2008 by Sarah  |  44 Comments »