Assalamualaikum wbt
Tidak Kedekut #1
Selama ini saya rasa saya kedekut. Kerana kesemua pautan ke blog kesukaan saya tidak saya kongsikan di rangkaian blogroll saya. Bukan apa. Selama ini saya menjadi silent reader mereka. Memang diam sungguhlah. Saya membaca entri-entri terkini mereka menggunakan Google Reader saja. Apabila ada entri-entri yang panas-panas, barulah saya akan membaca di blognya untuk membaca komen-komen membina mahupun menjatuhkan daripada pembaca.
Tapi saya tidak mahu jadi kedekut dah. Saya kongsikan tiga buah blog kesukaan saya ini. Serius saya suka. Saya memaksudkannya secara telus. Saya sangat suka.
1) Puisi Tepi Jalan. Blog peribadi milik Kak Fynn Jamal. Sayakan pencinta bahasa yang tegar. Haruslah saya menjadi suka membaca karya-karya yang bagus dan mendidik jiwa. Tulisan Kak Fynn sangat terkesan untuk diri saya. Saya tak malu mengaku bahawa saya menangis banyak membaca apa yang ditulisnya. Kadang-kala sampai berhingus dan teresak-esak saya memuhasabah diri. Ada tazkirah yang sayup tapi mendalam. Saya yakin siapa yang mengikuti penulisannya akan bersetuju dengan apa yang saya katakan. Terima kasih, Kak Fynn. Blog Kak Fynn adalah sumber tazkirah harian terbaik untuk diri saya selama ini. Tepat mengena batang hidung dan hati. Masuk penghujung Januari ini, genap 8 bulan saya menjadi seorang yang kedekut tidak berkongsi link ini. Tapi mulai hari ini, saya akan senaraikan dalam blogroll saya. Saya mahu ramai yang mendapat muhasabah yang saya dapat daripada Kak Fynn.
2) Noktah Hitam. Blog peribadi milik Eddie. Dia menulis dengan seringkas mungkin tapi membuatkan kita berfikir dalam. Kadang-kala saya pelik kenapa dia ni terlalu kritis otaknya. Dia mengaku dirinya sebagai wicked mind tapi saya melihat blog ini sebagai bahan bacaan alternatif untuk rakyat Malaysia kerana bersifat mendidik. Ketawakah awak membaca fakta ni, Eddie? Sila jangan. Sebab itu saya sangat hormatkan awak. Sebab awak menjadi model seorang anak muda yang berfikir tentang pembangunan dan kematangan. Dan blog ini menjadi wadah saya mencari apa makna ‘menjadi pemudi negara dan agama’. Segalanya tersirat. Jadi, kena berfikir dengan dalam. Saya suka sesuatu yang mencabar otak seperti ini. Oh ya. Sudah hampir setahun saya menjadi pembaca yang kedekut kerana tidak mengongsikan link blog ini. Tapi tidak lagi. Saya mahu semua orang muda yang membaca blog saya turut membaca blog ini. Cari inspirasi di sebalik apa yang ditulisnya. Wajib. (Eh, pernah je saya kongsikan sebelum ni kan cuma tidak diletakkan di blogroll. Hehe)
3) Nurulism. Blog peribadi riang-ria milik Chika. Saya masih baru mengikuti Chika. Kira-kira dua, tiga bulan yang lalu. Tapi setiap kali saya membaca entrinya, saya mesti ketawa. Saya memaksudkannya dengan bersungguh-sungguh. Saya ketawa sampai rasa tidak cukup nafas. Seperti sekarang ini. Hidung masih selesema. Memang mustahil dapat bernafas dengan gembira. Bila ketawa dan bernafas dalam keadaan begini, boleh dyspnea jadinya. Dalam setiap yang Chika tuliskan, ada sesuatu yang terselit. Fakta dalam jenaka. Tapi memang kelakar. Semoga Chika akan terus menulis walaupun sudah kahwin nanti. Ok, Chika! Blog awak tak menjengkelkan langsung. Orang yang cemburu saja yang kata begitu.
Sila baca kesemua blog ini. Kutip ilmu, motivasi, jenaka dan tazkirah daripada mereka. Saya suka mereka. Semoga kamu semua pun suka.
Tidak Kedekut #2
Saya tiba-tiba demam semula sejak hari Sabtu malam Ahad lepas. Pagi tadi di hospital, saya melepek saja. Tanyalah kawan-kawan sekumpulan saya. Saya melepek semelepek-lepeknya di atas meja. Susah mahu tengok saya begini. Kaki saya pula asyik cramp saja. Kejang. Ya. Itu istilahnya. Ada orang sebut sebagai tangkap mengkarung. Ok. Apa-apalah. Sakitnya Ya Rabbi. Dalam pada saya hendak berjimat tidak mahu terlalu kerap menggunakan Avtoline (perkhidmatan awam berbayar), saya terpaksa juga balik menaikinya. Saya tak larat hendak berjalan jauh ke stesyen metro. Mahu menangis saya di pertengahan jalan kerana kekejangan.
Melalut pula saya ni. Balik tadi, saya sambung melepek di atas katil. Saya tertidur sampai pukul 7.30 malam. Bangun tidur saja, saya kata pada diri saya: Eh, tak boleh jadi orang yang kedekut dah. Allah marah. Mahu tahu apa saya mimpikan?
Saya berada di sebuah taman rekreasi air terjun di sebuah negara yang tak pernah saya lawati lagi. Pelik. Kerana semua yang terlibat adalah rakyat Malaysia. Tapi kami ditemukan di luar negara. Siapa yang terlibat?
Frederic Kanoute – Pemain bola sepak yang terkenal.
Hanif Mohsein – Saudara saya di Penang yang dulu juga merupakan senior saya di KISAS.
Faisal Aziz – Pacel. Senior bahas saya di KISAS.
Eddie – Pemilik blog Noktah Hitam.
Kak Salwa Salleh – Senior di KISAS merangkap kakak dorm saya dulu. Eh lupa. Merupakan isteri Abang Khairil.
Kak Fauziah – Pembaca blog saya yang sangat rapat dengan saya. Masih belum pernah berjumpa.
Ustazah Siti Nurafizah – Ustazah yang mengajar subjek Imlak dan Muthalaah saya ketika di SMA Al-Khairiah dulu. Juga merupakan isteri kepada kawan ayah.
Apa yang terjadi? Kami ini adalah satu team anak muda yang direkrut untuk menjadi tentera-tentera muda Islam yang berjuang dengan ilmu, pena, pengaruh dan kekuatan. Boleh teka siapa ketua jemaah kami? Ya. Eddie! Dialah Amir (ketua) kami. Boleh teka apa peranan setiap daripada kami?
Kami semua bergerak atas satu jemaah yang sama. Kami memperjuangkan Islam untuk semua dan keamanan yang dibawakan oleh Islam. Kami menggunakan segala kelebihan kami (setakat yang kami ada menurut mimpi) untuk mencantikkan semula nama Islam. Ustazah Siti Nurafizah dan suaminya adalah penasihat kami. Tapi, di dalam mimpi, saya lebih banyak berinteraksi dengan Ustazah saja. Lagipun, saya dah terlupa apa nama kawan ayah tu. Frederic Kanoute pula menjadi sumber insiprasi saya di dalam mimpi itu. Kerana semangatnya yang sungguh berkobar-kobar dan bersifat iltizam (istiqamah lah tu). Eddie pula sangat berwibawa. Dia menyusun strategi gerak kerja kami. Dia sangat lain daripada yang saya kenal. Macam pelajar lepasan Al-Azhar!
Saya, Kak Salwa dan Kak Fauziah ditugaskan sebagai penyebar maklumat. Sama ada berbentuk tulisan di blog atau risalah. Pacel dan Hanif Mohsein yang terkenal sebagai pendebat dan panelis forum ketika di sekolah dulu memainkan peranan sebagai jurucakap dalam sebarang program yang kami jalankan. Kadang-kala, saya dan Kak Salwa pun akan turun padang menjadi jurucakap bagi program bersama wanita. Kak Fauziah menjadi penjaga dana gerakan ini. Dialah juga yang melancarkan sebarang program berkaitan kutipan derma untuk disalurkan kepada negara-negara Islam yang memerlukan. Seperti hebat kan gerakan kami ini?
Apa kaitannya dengan kedekut? Ada satu program kami ini, ada dua orang anak kecil bernama Abdullah Badawi dan Mahathir hendak turut serta menjadi sebahagian daripada kami. Tak tipu. Nama dua orang budak lelaki itu adalah seperti yang tertulis ini. Setelah bermesyuarat, kami terpaksa menolak mereka. Saya tidak faham kenapa kesukarelawanan mereka tidak dihargai. Sebaik usai mesyuarat, muncul Ustaz Hasrizal di luar bilik mesyuarat. Katanya, jangan kedekut untuk buat benda baik bersama-sama. Selagi niat mereka betul dan ikhlas hendak bekerja bersama untuk agama, jangan dinilai perkara kedua yang kita tak nampak. Terima mereka dengan tangan terbuka. Baru Islam itu nampak mesra dan memesrakan. Jangan kita menjumudkan agama kita.
Oh. Saya sungguh tersentak dengan kata-kata itu. Semua kami, terutamanya Eddie, bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hasrizal. Mulai dari saat itu, team kami yang kecil itu mula disertai oleh ramai sukarelawan agama. Yang bekerja untuk melihat agama kita diadun mesra dalam masyarakat dunia (bukan di Malaysia saja) dan kami berpuas hati kerana gerakan kami menjadi wadah gerakan tentera-tentera muda Islam yang bersifat berbilang kaum dan negara yang pertama di dunia.
Alhamdulillah, mimpi saya disudahi dengan laungan azan oleh Frederic Kanoute di puncak Al-Hambra. Indah kan mimpi saya? =)
Nota 1: Jangan kedekut. Allah tak suka.
Nota 2: Saya jenis yang tak memeriksa semula apa yang saya tulis/eja. Saya suka jika ada yang membetulkan apa-apa saja yang saya silap. Boleh beritahu saya secara terus di komen atau mahu tegur saya di mana-mana tempat yang relevan. Bukankah teguran atas sesuatu kesilapan itu boleh memperbaiki diri kita? =)
Nota 3: Saya tak study langsung lagi ni. Bangun tidur, saya memasak sedikit. Selepas itu, saya tidak kedekut masa bermain-main sebentar bersama Stewart dan Mickey. Tapi mereka zalim membiarkan saya bercakap seorang diri. Zalim kan? Gambar mereka masih belum ada. Mereka kaki tidur. Terkurung dalam rumah kecil mereka saja.
Nota 4: Maaf. Entri ini panjang dan merepek dan tidak diberikan amaran di permulaan cerita. Maaf bagi sesiapa yang terperangkap.