Archive for August, 2011

My Little Caliph

Assalamualaikum wbt

Ehem ehem. Alhamdulillah. Saya kini bergelar ibu hamil 22 minggu. Sudah melepasi separuh perjalanan untuk kembara my little caliph. Alhamdulillah yang boleh saya ucapkan.

Sewaktu disahkan mengandung, waktu itu jugalah saya masih dalam tempoh sakit-sakit tengkuk akibat patah tulang tengkuk ketika kemalangan. Tidak lama selepas itu, saya mengalami komplikasi threatened abortion pula (Ugutan keguguran? Hahaha. Serius, serius. Amaran tanda-tanda hampir keguguran) disebabkan terlalu sibuk dan aktif ketika oncall. Saya mengalami pendarahan yang agak lama. Dalam hati, hampir-hampir saya berputus asa bahawa saya dan suami mungkin akan kehilangan anak ini. Waktu itu, hampir semua rakan sekerja mengatakan bahawa saya sudah keguguran. Remuk redam rasanya ketika itu.

Tapi, saya nekad dalam hati. Selagi tiada sakit yang teruk dan saya tidak nampak apa-apa ketulan yang keluar, saya yakin my little caliph masih ada lagi. Saya meneruskan ubat hormon (Duphaston) yang saya ambil selama dua minggu dan selepas di scan semula, Alhamdulillah, my little caliph masih berdenyut jantungnya! :lol:

Bermula pada usia kandungan mencecah 7 minggu, sebaik saya dan suami dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang menziarahi saudara-mara di sana, maka bermulalah episod kisah lembik seorang ibu mengandung. Tragisnya. Saya mengalami hyperemesis gravidarum (mabuk akibat perubahan hormon ketika mengandung) yang maha dahsyat. Saya mengalami muntah-muntah yang terlalu teruk sehingga mencecah lebih 20 kali sehari.

Saya bukan setakat muntah biasa yang keluar habis semua makanan dan air yang masuk ke perut. Lebih teruk daripada itu, saya turut muntah darah akibat mengalami muntah-muntah secara berterusan (Mallory-Weiss Tear). Keadaan saya memang sangat lembik. Tapi disebabkan sekarang saya sudah pun berkerja secara sistem syif di hospital, saya tidak dapat mengambil cuti. Saya hanya pernah MC selama 3 hari saja. Lagi wow (ini ayat suami saya ya), saya juga tidak pernah dimasukkan ke wad. Saya hanya setakat menerima drip (masuk air) di kecemasan sekali dan selebihnya hanya memasang branula di tangan sendiri dan masuk drip di dewan bedah (OT) selepas tamat kerja.

Selama hampir 3 bulan saya begitu. Sudahlah berjauhan dengan suami, kena bekerja tanpa cuti, badan lembik tak terkata, jadi, emak dan ayahlah yang menjaga saya. Di awal episod kelembikan bermula, setiap kali hujung minggu tiba dan sebelum suami saya pulang semula ke Putrajaya, saya akan menangis sebab sedih ditinggalkan. Di awal pagi setiap hari Isnin, akan kelihatanlah drama saya di luar rumah. Huhu. Saya jadi seorang yang cengeng. Asyik nak nangis saja. Sampaikan suami pun berat hati hendak meninggalkan saya di Temerloh. :cry:

Di awal kehamilan itu, disebabkan tidak boleh makan dan minum langsung, kadang-kadang apabila sudah tersangat lapar, saya akan meminta suami saya membelikan air oren Mirinda dan maggi dalam cawan perisa tomyam. Tak nak yang dalam bungkus. Nak yang dalam cawan saja. Tank nak perisa lain. Nak tomyam saja. Kalau stok air oren Mirinda habis, saya sanggup untuk tidak minum apa-apa yang lain sehinggalah stok air seterusnya tiba. Jika suami saya tiada, adik saya Adi yang belajar di Shah Alam kebetulan sedang bercuti ketika itu. Jadi, dialah yang menolong saya memberlikan stok air oren Mirinda, menghantar dan menjemput saya di hospital, membelikan apa-apa saja keperluan saya termasuklah mengeluarkan duit gaji, bayarkan kereta dan segala bil saya.

Jika di rumah pula, bagi hari-hari yang saya bekerja malam, emak akan menyapukan minyak di badan saya dan mengurut-ngurut tengkuk saya. Ayah pula, setiap kali dia melihat saya sudah muntah-muntah dengan teruknya selepas balik kerja terutamanya di tengah malam, dia akan bertanyakan apa yang saya teringin makan. Semestinya hanya satu permintaan saya pada ayah. Maggi ayah. Huhu. Ayah memang pandai masak maggi dengan caranya sendiri. Tak guna perencah segala bagai tu. Maggi ayah penuh dengan sayuran dan kuahnya pekat. Tapi sebaik sudah makan 3 ke 4 sudu, saya pasti akan muntah juga. Tapi setidak-tidaknya, saya rasa puas sebab dapat makan sesuatu yang tekak saya mahu. Paling mengada, saya pernah meminta maggi sup. Huhu. Apa punya resepi entah. Tapi ayah buatkan juga. Iya. Ayah memang turutkan saja apa yang saya minta itu. :lol:

Jika saya rasa sedikit segar dan terasa hendak makan nasi, satu-satunya yang boleh diterima oleh tekak saya ialah nasi goreng ikan bilis dan udang kering yang emak masak. Iya. Saya boleh makan semangkuk kalau mahu. Tapi lepas itu akan muntah semulalah. Tapi setidak-tidaknya, saya rasa puas sebab dapat makan nasi. Ada pada suatu hujung minggu itu, emak dan ayah pulang ke Penang dengan adik-adik. Tinggallah suami saya saja. Disebabkan sehari sebelum itu saya muntah darah yang terlalu teruk sehingga selepas itu langsung tidak boleh menelan hatta air masak sekali pun, dia telah memasakkan saya nasi goreng ikan bilis. Bertungkus lumus dia di dapur untuk menyediakan hidangan itu. Sebaik selesai, haaa, sampai 3 pinggan saya makan! Tapi pada sebelah malamnya, saya muntah kembali semua yang saya makan tadi dan tersadai kelembikan semula.

Yang lebih dahsyat, dalam tempoh ini juga, saya tidak boleh tidur di dalam bilik saya. Jadi, di mana saya tidur? Hehe. Saya bentangkan tilam dan merempat di depan TV di dapur rumah saya. Kawasan dapur tu luas. Bukanlah di sebelah dapur tempat tungtang-tungtang memasak tu. Kadang-kadang, apabila balik kerja, saya hanya menyuruh adik saya yang membawa masuk labcoat, tudung dan barang-barang lain ke dalam bilik. Saya pula akan terus terbaring di tilam saya. Jika suami saya balik, dengan dia-dia sekali turut kena tidur di luar. Dia pun pasrah saja mengikut saja kehendak saya. Tapi nak buat macam mana. Kalau saya masuk ke bilik, tak sampai 30 saat, saya sudah berlari ke bilik air. Memang saya tidak boleh berada dalam ruangan yang tertutup. :lol:

Begitu juga ketika di hospital. Jika berada di dalam OT, ruangan bilik untuk satu pembedahan dilakukan itu tidaklah besar mana. Jadi, hampir setiap setengah jam saya akan ke tandas untuk muntah. Allah saja yang tahu betapa sengsaranya ketika itu. Dan apabila menimbang berat, secara total berat saya turun sebanyak 6 kg! Muka saya juga mengalami perubahan teruk. Saya mengalami alahan sehingga habis merah-merah muka saya terutama di bahagian hidung dan pipi. Kalau baru lepas muntah, sampai ada keluar bintik-bintik pecah darah di muka. Semua orang pun tanya. Saya sampai dah tak larat nak jawab kenapa. Hehe.

Tetapi, pada malam Anis Tasnim dilahirkan, itulah detik transformasi untuk diri saya. Alhamdulillah. Sejak dari itu, saya sudah boleh makan, minum dan agak bertenaga untuk bekerja. Dan sebaik masuk ke bulan Ramadhan, Alhamdulillah, saya sangat berselera ketika bersahur dan berbuka. Boleh kata, sayalah orang terakhir yang akan meninggalkan meja makan setiap kali berbuka. Haha. Dan sejak sudah boleh makan dan minum ini, saya hanya boleh minum air susu saja.

Setiap minggu saya akan memastikan saya ada makan hati, kerang atau daging untuk menambah darah. Dan setiap kali bersahur, saya akan makan sayur dengan banyaknya. Entahlah. Bukannya saya paksa-paksa. Tapi memang jadi tersangat suka akan susu rendah lemak Dutch Lady, makan sayur dan hati atau kerang. Walaupun saya tidak makan ubat tambah darah langsung (saya muntah jika menelan Obimin), Alhamdulillah, hemoglobin saya tetap kekal tinggi disebabkan nutrisi saya seimbang. Terima kasih kepada emak yang rajin memasakkan sayur-sayur segar untuk saya dan terima kasih kepada suami dan ayah yang rajin membelikan stok susu saya. Jangan tak percaya ya. Sehari habis 1 liter susu saya minum tau. Dan ketika balik berpuasa di Putrajaya pula, umi memasakkan sayur-sayur untuk saya dan baba pula membelikan stok Vitagen untuk saya. Memang bertuah betul saya rasakan.

Tentang mengidam, setakat ini saya belum pernah mengidam apa-apa. Setakat teringin makan itu-ini ketika bulan puasa ni adalah. Tapi ada satu insiden, ketika itu saya di hospital. Saya seperti teringin makan biskut coklat. Balik dari kerja itu, saya singgah membeli susu di kedai. Di tepi kaunter itu saya lihat dia ada menjual biskut raya coklat yang rangup-rangup tu. Sampai ke rumah, saya teringat-ingat akan biskut itu. Bila suami saya balik, saya ada katakan padanya saya teringin nak makan biskut coklat yang rangup-rangup. Tapi pada hari itu kami tidak pergi beli pun sebab ada hal lain yang kami uruskan. Pada hari Isnin selepas suami saya pulang semula ke Putrajaya, pulang dari kerja, saya beli terus 2 bungkus biskut coklat sebab teringin nak makan punya pasal. Ikutkan hati saya nak Famous Amous. Tapi mana nak jumpa di Temerloh ni. Jadi tak bolehlah berkira sangat. Beli sajalah yang lebih kurang. Tapi bila berbuka, hanya 2 keping yang saya jamah. Aduhai. Tekak oh tekak! :mrgreen:

Kini, walaupun kandungan saya sudah mencecah 22 minggu lebih, perut saya masih sangat kecil. Sampaikan ada yang tidak sangka bahawa saya sebenarnya mengandung. Saya masih boleh memakai baju kurung saiz XS saya. Saya boleh memakai seluar jeans dengan jayanya, semua t-shirt saya masih longgar dan ditambah pula dengan tudung labuh yang saya pakai, lagilah orang tidak nampak akan perut saya ni. Hihi. Terasa diri agak comel pula. :lol:

Baiklah. Di kesempatan ini, saya dan suami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin buat semua rakan pembaca di sini. Semoga kemenangan sebulan berpuasa di bulan Ramadhan kali ini diraikan dengan penuh makna oleh semua. Elakkan pembaziran. Jaga aurat walaupun hendak bergaya di hari raya nanti ya. Dan jaga muamalah sesama saudara-mara dan tetamu yang berkunjung nanti. Jangan pakai hentam salam saja semuanya. Rugi saja kita menerima latihan sebulan di bulan Ramadhan tapi tidak betul-betul diamati.

Salam sayang buat semua. Nanti kita sambung cerita-cerita raya pula ya. Oh ya. Dan cerita-cerita patient saya yang tertangguh banyak sangat! Tak sabar nak berkongsi cerita lagi.

Nota 1: Saya puasa penuh tahun ni!Hihi. Ni adalah salah satu daripada azam tahun baru saya sebenarnya. Hihihi.  :mrgreen:

Nota 2: Tahun ni saya akan beraya di Temerloh dahulu dan kemudian pulang ke kampung suami di Batu Pahat. Tak sabar nak makan sambal goreng! :grin:

Nota 3: Sangat tak sabar nak habiskan housemanship saya. Insya Allah, 9 September ini adalah hari terakhir saya bekerja dan selepas itu akan bercuti sebelum memulakan perjalanan hidup sebagai Medical Officer (MO). ;-)

Posted on August 28th, 2011 by Sarah  |  41 Comments »

Cahaya Mata

Assalamualaikum wbt

Sekali lagi terlalu lama saya mengambil masa untuk kembali menulis di sini. Sekali lagi juga, faktornya adalah sama. Kesibukan di hospital dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Banyak juga yang terjadi dalam tempoh sebulan lebih ini. Antaranya ialah berita gembira buat keluarga saya. Sebenarnya Kaklong sudah berkali-kali memberikan hint kepada saya supaya mengemaskinikan blog. Tapi maklum sajalah. Adik dia ni kalau dah balik kerja, hanya katil yang dicarinya. Tak mandi pun tak mengapa. Janji dapat tidur. Kalau di hari cuti selepas syif malam pun, saya semestinya akan terlepek tidur di ruang depan TV di dapur. Janganlah dipaksa-paksa saya untuk bangun apatah lagi menghadap blog. Memang tipis sungguh harapan. Huhu.

Tapi sebelum itu, saya ingin mengucapkan Selamat Beribadah di Bulan Ramadhan. Tahun ini terasa masa berlalu begitu cepat. Sekarang kita sudah pun tiba ke penghujung Ramadhan. Sedihnya. Sedihnya. Sedihnya. Terlalu banyak yang masih belum sempat dilakukan. Bukan seperti zaman pelajar dulu-dulu. Ada banyak masa untuk berlumba-lumba beribadah. Tapi sejak mula bekerja dan bergelar hamba orang ni, Masya Allah, masa seperti dipendekkan dalam sehari tu. Yang penting, semangat untuk terus beribadah selagi mana sempat dan termampu itu, saya tidak akan sia-siakan.

Ok. Berbalik semula kepada berita gembira yang disambut oleh keluarga saya. Sebalik selepas saya siap menulis entri yang lalu, saya terus bersiap untuk bersiap ke hospital kerana saya bekerja syif malam pada hari itu. Ketika sedang bersiap di dalam bilik, riuh kedengaran suara adik-adik saya di luar. Rupa-rupanya ayah saya baru mendapat panggilan telefon daripada abang ipar saya, Abang Hashim, yang memberitahu bahawa Kaklong baru saja dibawa ke dewan bersalin.

Sebenarnya, Kaklong sudahpun simasukkan ke wad sejak sehari sebelum itu. Kaklong sudahpun melepasi due date nya dan sehari sebelum itu, Kaklong mengatakan bahawa bayinya kurang gerak (reduced fetal movement). Jadi, ditahan di wad dan di induce pada keesokan harinya. Pada petang hari tersebut ketika hendak di induce, rupa-rupanya jalan Kaklong telahpun buka 2 cm. Kaklong hanya perlu di induce dengan belon saja. Ketika dibawa turun pada sebelah malamnya ke dewan bersalin, ketika itu jalan sudahpun buka 5 cm.

Ayah dan emak menawarkan untuk menghantar saya ke hospital kerana hendak terus menunggu Kaklong di luar dewan bersalin. Kaklong ada menyatakan hajatnya supaya saya yang menyambut bayinya ini. Kebetulan saya bertugas syif malam di ICU pada malam itu. Setelah memastikan tiada apa yang tertunggak di ICU dan HDW, saya turun semula menemui Kaklong di dewan bersalin. Saya memberitahunya, saya tidak sibuk dan boleh menyambut anaknya lahir.

Menurut Kaklong, dia tiba di dewan bersalin pada jam 10.40 malam. Saya membuat perhitungan, untuk anak sulung dengan jalan yang baru 5 cm terbuka, Kaklong masih ada 5 ke 7 jam lagi untuk bersalin. Abang Hashim dan saya berada di sisi Kaklong setiap masa. Kebetulan, doktor-doktor yang bertugas di dewan bersalin pada malam itu semuanya kenalan saya juga. Staff nurse yang bertugas di bilik Kaklong juga adalah antara yang paling senior di situ.

Ketika contarction Kaklong sudah kerap (3:10) keadaan jantung anak yang dilihat pada CTG (cardiotocography) adalah tidak berapa memuaskan. Disebabkan itu, saya tidak boleh memberikan ubat tahan sakit kepada Kaklong untuk mengelakkan anaknya mengalami kesan sampingan ubat tersebut. Maka, bertahanlah Kaklong dengan hanya menyedut gas Entonox dan sipujuk supaya banyak membaca syahadah dan berselawat. Saya kerap mengingatkan Kaklong supaya membaca doa Nabi Yunus ketika baginda terperangkap di dalam perut ikan nun.

Saya lihat, Kaklong tidak bersuara sedikit pun. Walaupun dia sedang mengalami sakit yang amat sangat, dia sedikitpun tidak mengerang. Tapi saya dapat melihat air matanya meleleh di pipi. Allahu Rabbi. Sayu hati saya. Tapi saya memang tidak boleh memberikan ubat tahan sakit itu kepadanya. Saya mengurut-ngurut belakang dan pinggang Kaklong untuk menyelesakan dia. Waktu itu, hendak saja saya luahkan padanya, saya sayangkan Kaklong. Tak tahan saya tengok air mata dia meleleh begitu. Kaklong memang tidak banyak kerenah. Dia menurut saja apa yang saya katakan padanya. Ada ketikanya dia perlu mengiring dan ada ketikanya dia perlu berbaring lurus untuk memastikan jantung anaknya tidak lemah. Dia tetap menurut saja dalam diam sungguhpun contraction nya pada ketika itu sudah terlalu kuat (4:10).

Walaupun due untuk vaginal examination (VE) yang seterusnya adalah pada pukul 2.40 pagi (selang 4 jam selepas review yang pertama), tapi selang beberapa waktu, saya akan membuat VE untuk memastikan bukaan jalannya. Sekitar pukul 2 pagi, jalan sudah buka 8 cm. Dalam hati saya berkata: Wah, cepat juga ni. Pada pukul 2.40 pagi, saya membuat VE dan review yang dijadualkan. Bukaan jalan antara 8 ke 9 cm. Saya memberitahu Kaklong akan hal itu dan menasihatkannya supaya jangan meneran lagi untuk mengelakkan koyakan pada bibir cervix (cervical tear).

Elok saja selepas saya membasuh tangan dan berjalan keluar sekejap daripada bilik itu, staff nurse yang menjaga di bilik tersebut melaung nama saya: Doktor Sarah, kakak kata dah rasa nak meneran ni!

Saya pun berkejar masuk semula ke bilik itu, memakai apron plastik dan menyarung sterile gloves. Kaklong diletakkan dalam posisi  hendak bersalin. Saya membuat VE sekali lagi. HOYEAH! Os dah fully! Saya memberitahu Kaklong, jalannya telah terbuka penuh. Jadi saya mengajarnya teknik meneran yang betul. Saya menyuruh Abang Hashim menampung kepala Kaklong dan setiap kali contraction datang, Kaklong perlu mengangkat kepalanya, memandang perut, manarik nafas dalam-dalam, jangan buka mulut dan meneran sekuat yang mampu.

Kali pertama Kaklong meneran, terus kelihatan kepala bayinya hampir keluar. Saya menenangkannya dulu. Epi (episiotomy – guntingan kecil di bahagian perineum) belum dibuat. Kalau tak dibuat epi, ada kemungkinan akan terkoyak besar pula nanti kerana gaya-ganya bayinya nampak besar. Kali kedua Kaklong meneran, saya membuat epi dan terus selepas itu, kepala bayinya telah keluar. Wah! Saya tidak menyangka secepat itu bayinya akan keluar! Semua yang ada di dalam bilik itu menyuruh Kaklong meneran untuk mengeluarkan badan bayi pula. Kaklong meneran untuk kali yang ketiga. Badan bayi keluar separuh, Kaklong mencuri nafas pendek dan meneran penghabisnnya untuk kali yang keempat.

Alhamdulillah, bayinya selamat dilahirkan pada jam 2.53 pagi 9 Julai 2011 dan tak sempat-sempat nak menangis biarpun ketika itu badannya baru separuh saja yang keluar. Huhu. 😉

Saya meletakkan bayi Kaklong di atas badannya. Disebabkan Kaklong tu kecil saja orangnya, bayi tu sedikit tergolek ke tepi. Saya membuat jangkaan, mesti beratnya lebih daripada 3.5 kg ni. Huhu. Sebaik saja bonding selesai antara ibu dan anak, placenta (uri) telah keluar dan saya sibuk menjahit luka epi itu, bayi Kaklong dibawa untuk dibersihkan. Staff nurse itu tadi melaung daripada bilik sebelah memberitahu saya: Doktor Sarah, berat anak saudara doktor ni 3.6 kg ye. Besar budaknya. Emaknya kecik je.

Waaaa~ Tersenyum lebar saya mendengar hal itu. Hehe. Sungguh tau. Perut Kaklong kecil saja. Pakar yang melihat Kaklong di wad pun membuat estimation sekitar 2.8 kg ke 3.0 kg saja. Tetapi yang keluarnya ialah 3.6 kg! Oh ya. Jantinya apa? Hehe. Alhamdulillah. Anak sulung kaklong ialah perempuan. 🙂

Sebaik selesai semuanya, saya ke bilik sebelah untuk melihat bayi. Subhanallah. Itu saja yang boleh saya ucapkan. Terlalu bulat dan gebu. Terlalu mulus dan comel. Saya mengucup pipi anak saudara saya itu dan kemudian saya menuju ke tempat menunggu untuk bertemu emak, ayah dan juga mertua Kaklong (rumah mertua Kaklong terletak di belakang hospital saja. Ngehehe). Seketika kemudian, bayi Kaklong dibawa keluar ke tempat azan dan Abang Hashim pun mengiqamatkannya. Syahdunya rasa di dini hari itu.

Anak dini hari BERSIH itu diberi nama Anis Tasnim Binti Muhammad Hashim. 😉

Kini selepas sebulan dua minggu, berat Anis sudah mencecah 5.1 kg! Masya Allah. Dengan exclusive brestfeeding daripada emaknya, Anis membesar dengan bulat dan sihat. Hobinya minum susu, tidur menonggeng dan buat mulut bulat-bulat. Hihihi.

Sekian dulu buat kali ini. Saya sedang berada di dewan bedah ni. Kebetulan tiada kes, saya capai handphone dan menekun mengemaskinikan berita gembira keluarga saya ini. Sekejap lagi waktu berbuka. Selamat berbuka puasa buat semua dan selamat berlumba-lumba beribadah di malam-malam terakhir Ramadhan ini. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya, insya Allah.

Nota 1: Insya Allah tahun ni saya akan bercuti raya agak lama. Alhamdulillah! 🙂

Nota 2: Nantikan entri seterusnya ya! 😉

Posted on August 25th, 2011 by Sarah  |  22 Comments »