Selamat Tahun Baru Cina

Assalamualaikum wbt

Sewaktu sekolah rendah, keluarga saya mempunyai kenalan rapat yang merupakan sebuah keluarga Cina. Keluarga Hiu. Kami adik beradik memanggil mereka Uncle Hiu dan Aunty Hiu. Uncle Hiu sebenarnya merupakan pegawai insuran yang selalu berurusan dengan keluarga saya. Setiap kali hari raya, tidak sah jika dia tidak datang berkunjung. Kalau ada Laksa Penang yang emak masak, dia takkan serik untuk makan walau pedas macam mana sekalipun asalkan kicap turut disertakan.

Apabila tiba Tahun Baru Cina, kami akan ke rumah mereka pula. Makan biskut, minum air macam-macam warna, makan limau sampai siap dibekalkan untuk dibawa balik dan dapat ang pau merah. Memang seronoklah kan kalau dapat ang pau. Sebenarnya memang tak sabar nak balik setiap kali ke rumahnya. Bukan sebab tak suka berada di situ tapi sebab tak sabar nak tahu berapa ringgit yang terisi dalam ang pau yang dihulurnya. Tapi sejak saya ke sini, saya memang sudah tidak bertemu dengan Uncle Hiu lagi.

Seorang lagi kawan ayah yang selalu ke rumah ialah Uncle Yap. Dia merupakan seorang kontraktor. Rumah kami pun dialah kontraktornya. Dia selalu ke rumah kami. Kadang-kadang tu tujuannya bukan sekadar hendak melawat tapi hendak memeriksa keadaan rumah kami kalau-kalau perlu dicat barukah, berhajat hendak menambah apa-apakah. Orang berniaga memang selalu fikir begitu kan.Padahal rumah saya masih elok sempurna.

Uncle Yap ni jenis yang mengambil berat. Bila dia datang, dia suka bertanya pasal pelajaran. Tanya periksa nombor berapa. Tanya nanti besar nak jadi apa. Bila dia tahu kami adik beradik dapat nombor sekian-sekian, dia akan bagi nasihat suruh belajar pandai-pandai supaya tak susah di hari muka. Suka betul dia bagi nasihat begini. Sampai dah boleh hafal dialognya. Kalau Uncle Hiu sangat berbudi bahasa orangnya tapi kelihatan moden, Uncle Yap pula masih pekat dengan segala dialek Hakka-nya dan begitu juga dengan cara berpakaiannya yang betul-betul tipikal Cina.

Tapi saya suka Uncle Yap. Dia ni juga mesti datang beraya ke rumah pada hari raya. Kalau dia datang beraya, kami pun dapat duit raya. Dulu-dulu dapat RM2 tu dah cukup banyak kan. Seronoklah rasa. Duduk dalam rumah pun boleh dapat duit raya. Uncle Yap ni kalau datang ke rumah, dia usung habis semua anak-anak lelaki dia, kaum kerabat dia sekali. Dulu saya ingat lagi nama anak lelakinya yang bekerja dengannya tu. Tapi sekarang sudah lupa. Dia selalu panggil saya Amoi saja. Tu sebab dulu saya ingat namanya. Bayangkanlah. Saya mengenali mereka semua ini sejak berumur 6 tahun ketika rumah saya sedang dibina.

Tapi sekarang pun saya sudah tidak mendengar cerita mereka. Yang saya tahu, Uncle Yap tidak berapa sihat. Dia kuat merokok. Saya pernah terserempak dengannya di hospital dulu.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada Uncle Hiu dan keluarga, Uncle Yap dan keluarga, Uncle Pajak Gadai sebelah kedai ayah dulu, Uncle Patrick kawan emak di Boss Optical, Esther dan Justin kawan-kawan rapat saya di sini dan juga dua kawan baik saya, Faaiqah dan Hidayah Hassan, yang kedua-duanya mempunyai darah keturunan Cina dalam keluarga mereka.

Buat Farah Ramlee yang juga merupakan anak campuran Melayu-Cina, Kak Ngah gembira atas penghijrahan yang awak lakukan sempena Tahun Baru Cina kali ini. Semoga Allah merahmati kamu dan jalan yang kamu pilih ini. 🙂

Nota 1: Saya sakit tengkuk. Tak dapat nak menghadap laptop sangat membaca blog kawan-kawan.

Nota 2: Selamat datang kepada yang baru menemui blog ini. Sepuluh jari disusun sekali lagi (masihlah saya kena ucapkan ni selagi penemuan tak sudah-sudah ni masih terjadi). 😉

4 Responses to “Selamat Tahun Baru Cina”

  1. diya says on :

    huhu. kuat jugak ingatan kak sarah boleh ingat pasal uncle2 tu. kenangan masa umur 6 tahun diya, masih lagi terhad. happy chinese new year juga untuk mereka =D

    Reply

    Sarah Reply:

    Diya, KS memang suka mengingat benda. Kenangan waktu umur 4-5 tahun pun insya Allah ada yang KS ingat lagi 😀

    Reply

  2. Farah says on :

    thanks kak ngah…hehe azam tahun baru cina..pelik pulak Farah rasa heheh….but thanks again for your support k?? Selamat Tahun Baru Cina jugak… =D

    hurm…agak-agak muka Farah jadi macam orang mualaf tak?? hehehe…nantikan di next post Farah…heheh…

    Reply

  3. acai yang comel says on :

    Selamat tahun baru cina untuk sesapa yang menyambutnya..:)
    teringat kat kawan2 belajar dulu..separuh kelas sy adalah pelajar cina..

    Reply

Leave a Reply