Keras Hati
Amaran: Entri ini sangat panjang. Abaikan jika tidak suka membaca entri panjang.
Sewaktu sekolah dulu, lebih tepatnya ketika tingkatan dua, saya merupakan seorang yang sangat keras hati. Orang cakaplah macam mana sekalipun, saya tidak akan mudah terpengaruh atau ambil kisah. Begitulah lebih kurang latar belakangnya.
Waktu itu, Kaklong dalam tingkatan 3 di sidang pagi. Disebabkan dia bakal menduduki PMR, maka pihak sekolah pun kerap membuat program motivasi untuk mereka. Setiap kali kakak saya balik dari program-program ini, dia selalu menceritakan kepada saya tentang aktiviti-aktiviti menarik yang dijalankan. Contohnya solo camp, burung hantu dan lain-lain lagi. Sebenarnya, pada tahun itu, yang banyak menjalankan aktiviti untuk pelajar-pelajar ialah persatuan bekas pelajar sekolah kami yang mana kebanyakkan yang masih aktif terdiri daripada bekas pelajar tingkatan 5 tahun sebelumnya. Kaklong selalu bercerita tentang pengajaran yang dia dapat daripada setiap aktiviti-aktiviti ini. Tapi, saya yang sudah muak mengikuti program-program sebegini sedikit pun tidak terasa kehebatan atau keizzahan mengikuti program tersebut. Keras sungguh hati saya waktu itu.
Sebenarnya, punca saya keras hati sebegitu sekali ialah saya pernah diburukkan oleh beberapa orang yang terdiri daripada bekas-bekas pelajar itu sendiri. Sebab itu saya tidak suka apabila ada yang memperkatakan kehebatan mereka membuat perubahan kepada pelajar-pelajar tingkatan 3 itu. Bagi saya mereka hipokrit. Sangat hipokrit. Saya memang cukup anti dengan mereka yang hipokrit.
Ketika itu, saya dituduh mempergunakan seorang abang senior sehingga menyebabkan dia tidak lagi fokus dengan gerak kerjanya. Nauzubillah. Saya tak pernah berhubung pun dengannya. Saya tak pernah bercakap secara terus pun dengannya. Dan disebabkan cerita itu yang entah dari mana puncanya, beberapa senior tingkatan 6 atas datang menemui saya dan membasuh saya secukupnya di surau sekolah. Setakat yang saya jelas dan yakin, mereka semua adalah pelajar asrama. Maka, kesimpulan yang saya buat ketika itu ialah fitnah itu tersebar luas di kalangan pelajar asrama. Saya bukan warga aspuri tetapi 3 orang kawan baik saya tinggal di aspuri. Jadi, merekalah yang menyampaikan hal itu kepada saya. Sakit hati betul saya.
Selepas insiden saya dibasuh (di-brainwash) oleh mereka, saya menjadi sangat tegas dengan pendirian saya. Saya tak kisah apa orang lain hendak kata atau buat tapi kalau saya kata saya tak mahu, saya tetap tidak akan buat. Saya menjadi seorang yang sangat keras hati. Atau mungkin ada yang kata saya keras kepala. Tapi bagi saya yang lebih tepat ialah keras hati. Saya abaikan apa saja orang lain kata. Saya buat apa yang saya yakin betul. Saya teruskan saja hidup saya seharian di sekolah itu dengan mengabaikan muka-muka budak asrama yang tiada faedah untuk saya pandang apatah lagi mendengar nasihat kakak-kakak asrama yang bagi saya kebanyakannya adalah hipokrit.
Sekitar penghujung tingkatan 2, saya dan beberapa orang lagi pengawas sekolah sidang petang mewakili sekolah ke khemah ibadah yang dibuat secara berpusat di sebuah sekolah lain di negeri Pahang juga. Pada mulanya, saya memang berkobar-kobar hendak mengikuti program ini. Tapi sebaik tiba di sana, baru saya dapat tahu bahawa bekas pelajar sekolah saya juga turut terlibat dalam menguruskan program itu. Ego saya pun bertandang. Saya masih terasa-rasa dimarahi dan dibasuh dengan teguran tak berasas oleh kakak-kakak senior beberapa bulan sebelum itu. Jadi, di sepanjang program itu, saya menjadi seorang yang pasif. Saya jarang menyuarakan pendapat dan yang paling saya ingat, ego saya ketika malam muhasabah. Pada malam itu, semua peserta dikumpulkan di dewan besar sekolah itu dalam keadaan bergelap. Kebetulan, hari baru sudah hujan ketika itu. Pelajar lelaki dan perempuan diasingkan untuk program malam itu. Jadi, yang ada di dewan ketika itu hanyalah pelajar perempuan. Malam itu, kami semua dibasuh lagi dengan macam-macam pengisian yang pendek katanya semuanya boleh membuatkan hati yang lembut menangis. Tapi, malangnya saya tidak. Sedikitpun saya tidak menangis. Hingar bunyi dewan itu kerana pelajar-pelajar perempuan daripada latar yang berbeza ini menangis apabila mendengarkan sesi tazkiyyatun nafs itu. Kebanyakannya masih belum pernah megikuti program-program sebegini. Sebaliknya, saya siap boleh berangan duduk di kelompok antara yang terbelakang, merenung cahaya yang masuk sedikit di bumbung belakang dewan dan saya memerhatikan kelkatu yang berkumpul di cahaya itu. Saya mengelamun sendirian. Saya tak kisahkan langsung sesi menangis-menangis itu semua. Saya masih ingat kenapa saya bersifat begitu pada malam itu. Kerana yang memberikan pengisian pada malam itu ialah seorang kakak bekas pelajar sekolah saya yang saya yakin dia merupakan punca fitnah dulu itu tersebar.
Dalam hati, saya menjerit puas-puas betapa kakak itu hipokrit. Hipokrit sangat. Cakap bergegar-gear soal agama dan taubat segala ini tapi perangainya sendiri tak dicermin terlebih dahulu. Betapa egonya saya malam itu, sedikit pun saya tidak menangis. Dalam pada itu, saya persoalkan kembali diri saya. Kenapalah saya seego ini? Kenapa sedikit pun saya tidak terkesan mendengarkan apa yang dikatakan ini? Keras sangatkah hati saya? Sudah terhijab daripada maghfirah Allah kah saya ini? Kerana tanda-tanda hati orang yang dihijab Allah daripada mendapat maghfirah-Nya ialah keras hati untuk menerima teguran yang baik. Apabila balik ke bilik malam itu, saya menyesal kerana saya terlalu mengikut kata hati saya supaya mengabaikan kepiluan yang tersebar disegenap ruang dewan itu tadi. Saya menyesal sebab saya tidak dapat melembutkan hati saya untuk menerima teguran yang saya yakin ada faedahnya itu tadi. Di dalam bilik, rakan sebilik saya bertanya. Kebetulan, dia juga dari sekolah yang sama dengan saya. Tanyanya, tadi dia nampak saya diam saja, apa saya ada masalahkah. Jawab saya, saya cuma tiada mood sebab aktiviti-aktiviti ini sudah banyak kali saya ikuti sejak sekolah rendah lagi. Nah. Jawapan saya sedikit pun tidak menampakkan saya menyesal dengan apa yang saya buat tadi. Keras sungguh hati saya waktu itu.
Selepas bertukar ke sekolah di Klang pula, ketika tingkatan 4, ada dua perkhemahan islamiah yang pelajar tingkatan 4 wajib ikuti. Yang kali pertama, saya bersihkan hati. Saya kata pada diri saya, janganlah keras-keras hati lagi. Sebab sejarah bekas-bekas pelajar sekolah lama dulu sudah tiada. Sewaktu itu saya masih sangat baru di Klang. Dan saya kurang arif dengan salasilahnya lagi. Jadi, saya belajar banyak perkara baru daripada perkhemahan yang pertama. Walaupun terikat dengan jadual dan disiplin yang ketat tetapi pengisian yang saya dapat sangat berguna untuk diri saya. Paling kurang, untuk mendidik hati saya. Perkhemahan yang kedua tidak dapat saya ikuti sampai habis kerana pada hari kedua program, saya pengsan di padang aspuri dan dimasukkan ke hospital. Huhu.
Tapi selepas agak lama di sana, baru saya tahu rupa-rupanya ada beberapa orang bekas pelajar sekolah saya ke sekolah di Klang itu selepas tamat SPM. Nah. Sekali lagi saya rasa terpukul kerana saya merasakan banyak sungguh lakonan yang ada di sekeliling saya. Tapi suasana yang sangat positif, atau erti kata lainnya, biah solehah yang ada berjaya mendidik jiwa saya menjadi lembut. Ya. Hati saya lembut kembali. Tapi di sana, saya kenali pula beberapa orang rakan sebaya yang sama saja kategorinya seperti bekas pelajar sekolah lama saya dulu. Cakap bergegar-gegar tapi di sebalik semua itu, ada sesuatu yang orang lain tidak nampak.
Saya masih ingat, ketika dalam tingkatan 5, dalam saya sibuk dengan bahas dan berjalan pun seperti tidak menjejak tanah, pernah saya dipanggil ke satu blok khas ini di tengah-tengah malam buta semata-mata mereka semua ini hendak berkonfrontasi dengan saya kerana bagi mereka, saya ini membawa satu budaya baru di sekolah. Maksud lainnya ialah, keterbukaan saya dalam bahas telah diertikan sebagai maksiat dan lagha (melalaikan) oleh mereka. Kalau ada junior-junior bahas saya yang membaca entri ini, mahu saja saya panggil mereka menjadi saksi bagaimana muamalah saya bersama 2 orang budak lelaki dalam pasukan bahas itu. Bagaimana cara saya berkomunikasi dengan mereka. Bagaimana itu, bagaimana ini. Hmm. Tapi saya fikir semula, biar sajalah. Allah lebih tahu apa yang saya buat. Lagi, saya juga dikatakan bercinta dengan Ketua Pelajar sekolah yang mana pada masa itu sedikitpun saya tidak tahu menahu tentang hal itu. Saya terlalu sibuk dengan dunia bahas saya sehingga saya tidak sempat untuk ambil tahu apa yang terjadi di sekeliling saya. Sehinggalah satu hari, ketika di bilik baldi, saya menegur seorang kakak tingkatan 6 ini, sekadar berbual-bual sementara menunggu air yang diisi penuh. Tapi saya dilayannya acuh tidak acuh. Saya pelik. Saya cuba cari puncanya. Kenapa senior yang terkenal ramahnya itu tiba-tiba dingin sangat dengan saya. Kebetulan saya tinggal di dorm budak-budak sakit. Dorm ini campur. Ada pelajar tingkatan 6 juga. Saya rapat dengan kedua-dua orang kakak ini. Kak Nazifah dan Kak Maiza. Merekalah yang berterus-terang dengan saya apa sebenarnya gosip yang mereka sedang dengar. Geram betul saya. Padahal, saya sedikit pun tidak tahu menahu tentang hal itu. Setahu saya, setakat cikgu-cikgu yang melaga-lagakan kami. Itu saja. Tapi, bila sampai ke mulut orang lain, ditokok-tambah, diadun mengikut selera mereka, sudahnya saya yang dipersalahkan. Lagi, saya juga dituduh meniru untuk subjek Matematik Tambahan. Kata si penuduh itu (saya tahu dan masih ingat siapa dia), dengan kesibukan saya bersama bahas, macam mana saya boleh score 93% untuk subjek itu tanpa studi sedikit pun pada malam sebelum ujian bulanan itu dan. Saya boleh kata, ada unsur cemburu yang mendatari insiden ini kerana dalam pada saya sibuk amat dengan bahas, saya masih dapat kekalkan ranking saya sebagai nombor 1 perempuan untuk batch saya dengan keputusan 9A1 dan 2A2. Saya tahu perkara inipun lewat. Itupun kebetulan saja, saya sedang berada dalam kelas saya seorang diri sambil studi selepas waktu Asar pada suatu petang dan di kelas sebelah, ada beberapa orang pelajar sedang bercerita tentang hal ini. Jadi, saya terdengar dan dari situ, saya kembali menjadi keras hati semula. Sehinggalah kemuncaknya pada malam saya dipanggil untuk dikonfrontasi oleh 13 pelajar perempuan yang lain. Ya. Saya berseorangan dan dihadapkan kepada 13 orang yang lain yang bersatu-padu menuduh dan percaya saya terlibat dengan kes cinta (Euwwww, saya sangat geli bila teringatkan kes ini sebab sangat tidak betul. Entah mulut siapa saja yang memulakan cerita ini. Mahu saja saya menyumpah dia jadi kek waktu itu juga) dan kes meniru dan telah menjadi contoh tidak baik kepada adik-adik usrah saya. Sebetulnya, kenapa mereka mengambil keputusan untuk berhadapan dengan saya pada tengah malam itu kerana saya merupakan salah seorang naqibah (pemimpin kumpulan usrah) dan impaknya, kepercayaan dan hormatkan barisan naqibah mungkin akan goyah di kalangan pelajar tingkatan 4. Tapi, seandainya semua tahu apa yang terjadi di sebalik semuanya, lagilah akan tercalar imej para naqibah.
Pada malam itu, seorang demi seorang menghamburkan apa yang terbuku di dada mereka tentang isu itu. Saya dengar hukuman tanpa bukti daripada 13 orang. 13 orang! Dan saya sedikitpun tidak berpeluang pada mulanya untuk menerangkan apa yang terjadi. Saya macam dipersalahkan tanpa mereka sedar bahawa semuanya bermula daripa entah mulut manusia mana yang mahu tengok saya tertekan dan jatuh. Sebenarnya, yang membawa cerita itu adalah orang yang sama dengan orang yang menuduh saya meniru itu. Dan sebaik saya diberi peluang untuk memohon maaf atas apa yang terjadi, saya kata pada diri saya, kenapa perlu sya yang meminta maaf sedangkan bukannya saya buat semua itu. Saya sangat keras hati waktu itu. Sudahnya saya cuma kata:
“Korang mungkin tak sedar apa yang korang buat ini adalah zalim. Korang sikit pun tak berikan peluang untuk saya terangkan apa yang saya tahu dan korang terus kata itu-ini. Lepas sorang, sorang lagi. Korang jangan harap saya akan mintak maaf kat sini. Korang jangan harap saya nak mengalah. Dan korang jangan harap saya menangis kat sini malam ni. Korang takkan tengok setitik pun air mata saya malam ni.”
Ya. Malam itu, sewaktu segalanya sedang terjadi, sedikitpun saya tidak menangis. Saya ada bawa sebatang pen ketika itu jadi saya hanya memusing-musingkan pen itu di jari saja. Serius saya sangat terkilan dan menyampah dengan cara tak profesional yang mereka buat ke atas saya. Selepas saya katakan itu, saya bangun, turun dari blok itu, rentas padang aspuri yang keras itu dan terus balik ke bilik. Sampai di bilik, Kak Maiza masih belum tidur. Hari sudah pukul 2 pagi lebih. Sebaik Kak Maiza bukakan pintu, saya terus peluk Kak Maiza, saya menangis semahu-mahunya pada Kak Maiza. Habit saya, kalau saya sedih dan terasa hendak menangis, saya akan tidur di atas lantai. Di rumah lagilah. Waktu kecil dulu, saya siap masuk bawah katil kalau hendak menangis. Jadi malam itu, saya bentang tikar kecil saya di depan almari, saya bawa bantal saya turun dan saya sembam muka, menangis semahu-mahunya. Saya benci dunia saya di sekolah itu pada waktu itu. Saya benci semua orang yang ada kaitan dengan mereka semua itu. Saya benci dengan orang yang hipokrit dan cakap bergegar tapi diri sendiri kosong macam apa saja. Kekerasan hati saya lebur di dalam bilik sendiri pada malam itu. Saya menangis sehingga Subuh masuk.
Keesokan pagi, selesai perhimpunan ringkas pagi Khamis di Dewan Terbuka, saya terus menuju ke pejabat sekolah. Terus bertemu PK HEM. Sebetulnya, saya memang rapat dengan PK HEM saya. Dia merupakan Ketua Kontijen sekolah jika pasukan bahas sekolah perlu ke mana-mana untuk mewakili sekolah. Saya terus ke biliknya. Belum sempat saya suarakan niat saya, Ustaz Mokhtar yang mempunyai ilmu mantik (dapat membaca fikiran orang lain) ini terus berkata: Kenapa ni Sarah. Kamu ada masalah dengan kawan ye. Takpelah. Saya benarkan kamu balik. Balik kolej semula bila kamu dah tenang. Bagi saya buku kebenaran balik tu. Saya sign-kan.
Serius, saya tak dapat elak daripada menangis. Belum sempat saya beritahu Ustaz bahawa saya hendak minta izin balik rumah, Ustaz sudah terlebih dahulu tahu dan terus saja memberikan izin. Terima kasih sangat-sangat, Ustaz Mokhtar. Saya tak tahu macam mana nak cakap waktu itu. Saya kata pada Ustaz yang saya akan balik ke kolej semula pada hari Ahad (minggu itu bukan minggu balik kampung). Ustaz kata lagi, baliklah bila-bila saja saya sudah tenang. Sebelum saya keluar, Ustaz kata: Saya tahu apa yang jadi. Baliklah rehat puas-puas. Jangan kusut-kusut fikir apa orang fikir tentang kita.
Hah. Waktu itu juga air mata saya mengalir. Serius saya terkesan sangat dengan keprihatinan yang Ustaz berikan pada saya. Terus saya menuju ke asrama, kemas beg ala kadar, sumbat buku untuk bawa balik dan ambil bas pukul 10 pagi untuk ke Temerloh. Sebaik emak balik dari sekolah petang itu, semua terkejut melihat saya sudah ada di rumah. Dan sebelum saya balik semula ke sekolah pada hari Ahad itu, saya potong rambut saya pendek-pendek sebagai satu perubahan bahawa saya datang sebagai saya yang baru dan saya takkan terusik dek fe’el orang lain. Dan hati saya bertambah keras sejak itu. Sangat keras. Dan kekerasan hati saya tak pernah hilang sehinggalah saya meninggalkan sekolah itu.
Tetapi sekarang, bila sudah besar panjang ni, saya sebenarnya ada membuat silap dalam meneruskan sifat keras hati saya itu. Tiba-tiba saya teringat kata-kata seorang kawan yang memberikan tazkirah ketika cikgu tiada dalam kelas sewaktu tingkatan 2 atau 3 dulu. Dia memetik kata-kata Saidina Umar sebenarnya (saya bagi terjemahannya, dalam Arabnya pun saya masih ingat): Pandanglah pada apa yang diucapkan bukannya pada siapa yang mengucapkan.
Pada pendapat saya, tak salah kalau kita berprinsip tegas dan kukuh dengan prinsip itu selagi kita yakin kita tidak salah dan apa yang kita pertegaskan itu adalah sesuatu yang benar tapi kita kena ingat, setiap nasihat dan teguran yang datang daripada orang lain itu pasti ada baiknya untuk kita. Saya menyesal pada 2 tempat. Pertamanya ketika sangat keras hati ketika di dalam dewan pada malam muhasabah ketika tingkatan 2 dulu. Apa yang buat saya menyesal? Bila teringatkan kelkatu-kelkatu yang terbang itu akhirnya bila sayap nipis mereka tercabut, mati di lantai juga sudahnya. Saya terfikir, kalau saya tetap dengan keras hati saya, ego untuk mendengar nasihat daripada kakak itu kerana latar belakang kakak itu yang saya tidak suka, saya tidak mendapat faedah pun daripada sikap saya itu ketika itu sebab bukannya kakak itu sedang mengungkit cerita lama atau apa. Hmm. Itu perkara pertama yang saya sesalkan. Keduanya ialah ketika saya dibasuh dan dikonfrontasi oleh 13 orang kawan atas sebab yang tak munasabah. Saya kesal saya keras hati waktu itu dan membalas dengan tegas juga pada mereka. Sepatutnya saya berlembut dan waktu itulah saya patut menerangkan apa yang sebetulnya terjadi. Bukannya terus dengan ego dan pergi meninggalkan mereka begitu saja. Memang saya di pihak yang benar tapi saya tak rugi jika saya bertahan di situ dan biarkan diri saya dihakimi tapi di penghujungnya saya boleh menerangkan apa yang saya rasa, apa yang terjadi dan apa yang saya tidak suka dengan sikap mereka. Tapi, saya terlalu keras hati pada waktu itu. Hmm. Ini silap saya.
Sebab itulah, kalau ada yang bertanya tentang sekolah itu, jawapan saya hanya berkisar tentang guru-guru dan dunia bahas saya. Dunia dengan kawan-kawan, agak kurang menyeronokkan. Kerana saya jumpa ramai yang hipokrit dan saya menjadi terlalu a reserved person. Tentang apa yang terjadi ini, saya rasa hanya kawan baik saya, Faaiqah, dan teman sebilik yang rapat saja yang tahu. Juga seorang sepupu saya, Nisa. Lain daripada itu, saya tidak rasa mereka perlu tahu kerana kesannya adalah pada kesan pentarbiahan yang dibawa oleh mereka itu. Jadi, berterusanlah orang menganggap mereka itu benar belaka dan segala cerita itu juga betul semuanya.
Daripada apa yang saya tuliskan di sini, mesti ada yang berpendapat saya ini sangat ego dan terlalu rigid dengan prinsip saya. Saya bukannya ego tapi saya akui saya seorang yang sangat berpegang pada prinsip. Saya pernah lalui pengalaman yang sangat menekan emosi dan dihakimi tanpa keadilan yang sempurna jadi sekarang saya sudah tidak kisah jika ada lagi orang yang hendak buat begini pada saya. Dalam kepala saya, siapa yang masih ada pre-judgmental crisis ini sebenarnya masih terperuk bawah kategori budak-budak sekolah asrama. Nasiblah saya dua tahun saja di sana dulu. Sindrom makan nasi kawah tak sempat meresap dalam jiwa saya. Hehe.
Nota: Saya minta maaf secara terbuka buat sesiapa yang rasa terlibat dalam latar belakang cerita yang saya kongsikan ini. Ini pengalaman peribadi yang saya niatkan agar dapat membuka mata mereka yang bekerja untuk Islam supaya lebih bersifat berlapang dada, tidak menghakimi orang lain tanpa usul periksa, jaga sahsiah dan jangan rigid pada sesuatu yang dikatakan tradisi. Tradisi tidak selamanya betul dan pembaharuan tidak bermakna kita menolak yang azali dan hakiki. Dan semoga sesiapa yang bersifat keras hati macam saya dapat menilai semula sesuatu situasi itu sebelum kita terus berpegang dengan prinsip kita ini. Nanti kita juga yang menyesal di kemudian hari. Allah Ta’ala a’lam.
salam sarah
kalau nk tunggu org baik bg nasihat yg baik utk kita, pasti susah nk cari perkara baik di dunia ni.
keras hati pd prinsip asas agama. itu betul. tp keras hati pd prinsip diri yg belum tentu betul salahnya, itu perlu difikir semula kan.
awak cerita klang ke temerloh mcm dok sebelah rumah je kan. 🙂
Reply
sarah..
let bygone, be bygone..
ada hikmahnya stp yg berlaku dahulu. dan crte sarah ni, jadikan iktibar pd org lain yg suka menuduh melulu tanpa ada bukti2 yg logik. crte dahulu itu yg mjadikan diri awak ni sbg seorang sarah pd hari ini..kuat, cekal, independent..
Reply
salam….
ok saya nak start bacab entry nie..sy start baca 12.06am…
Reply
ok finish at 12.25am….macam mane nak mula ya..kes pertama masa malam muhasabah tu..rasanya semua orang akan buat macam awk kot…sebab ms tu awk belum cukup matang dalam pemikiran awk..lagi ianya melibatkan kata-kata yang tak betol ttg awk.. pasal kes 2 pulok…memang tak patut 13 org attack satu org…memang tak patut!! saya kagum dgn awk…mampu bedepan dgn 13 org hipokrit tu..dalam kes nie tak boleh salahkan awk..dia org tak tahu apa yang benar dan tak benar..kalau dia org nak judge awk..dia org patut bagi awk ruang yg cukupnya dan bawa berbincang..bukan segerombolan 13 org membasuh awk…dia org yang tak gentlewomen..tindakkan awk betol..cuba bayangkan kalau awk pun melawan cakap dia orag balik..for sure ms tu akan menjadi besar hal nie..maklum la awk seorang..dia orang 13 orang…mane mampu seorang penjelasan yang boleh puaskan semua orang tu…mesti ada je salah seorang yang tak puas hati dan memkecohkan lagi situasinya…saya sokong benar apa yang awk buat ms tu..itu bukan ego tapi tu bijak dalam tindakkan bg saya..sama la juga bila seorang tgh marah, seorang lagi baiknya duduk diam..jgn dua2 marah dan tak da penyelesaian.. kekadang kita perlu sedikit sifat ego..percaya la..tapi keegoaan kita kena la kena dgn tempat…jgn ego tak kena tempat dan orgnya sudah..tapi setiap yang berlaku ada hikmanya…pengalaman macam nie banyak mengajar awk dan mendewasakan awk…ini la di katakan HIDUP….
Reply
Astagfirullahhalazim…panjangnyer weh…penat nak scroll mouse… per pun, happy2kan diri ek…hahaha…
Reply
Salam.. erm.. lps baca entrI ni.. sy teringat satu pengalaman.. apa yg dpt dikongsi.. sy dulu juga keras hati.. juga penah “bertembung” dengan beberapa orang..
selepas beberapa lama.. saya berfikir semuala tindakan saya.. saya yakin saya dipihak yang betul.. tp adakah tindakan saya tepat.. bukan sekadar betul.. selepas itu saya merenung beberapa hadis.. sebenarnya saya biasa melihat hadis2 ini.. tetapi kali ini.. saya baca huraiannya dengan lebih teliti dan mendalam.. sy renung hadis Nabi SAW الصبر عند الصدمة الأولى (kesabaran adalah ketika mula2 mendapat kejutan).. juga hadis Nabi SAW إن الله لا يحب الفحش والتفحش (sesungguhnya Allah tidak menyukai kekejian dan menggandakan kekejian)..
saya sgt tersentuh.. walaupun sblm itu sy berusaha menjustifikasikan tindakan saya.. dan secara umumnya begitu ramai org yg menyetujui tindakan saya.. sbbnya pada waktu itu sy “menggandakan kekejian”.. dan waktu2 awal sy dlm situasi itu.. sy tidak sabar..
benar.. sekalipun kita di pihak yang betul.. adakah tindakan kita menangani keadaan itu tepat dan hikmah..
* terima kasih sarah atas entri yg panjang ini.. tapi.. erm.. selpas memabaca dgn penuh minat.. ada beberapa part yg sy tak paham.. “Sehinggalah satu hari, ketika di bilik baldi””.. err.. apa ni?
Reply