Archive for January, 2008

Monolog Bersama Iman (viii)

Episod lepas:
Monolog Bersama Iman (i)
Monolog Bersama Iman (ii)
Monolog Bersama Iman (iii)
Monolog Bersama Iman (iv)
Monolog Bersama Iman (v)
Monolog Bersama Iman (vi)
Monolog Bersama Iman (vii)

Usai solat Maghrib berjemaah bersama adik-adik serumahku, aku khatamkan empat muka Al-Quran dan kemudian menjenguk ke dapur melihat mereka semua sedang memasak. Pasti meriah jamuan potluck mereka malam ini. Ini baru bahagian mereka. Bagaimana pula dengan bahagian yang disediakan oleh pelajar-pelajar lelaki kumpulan mereka.

Lalu aku kembali ke meja studiku semula. Aku lihat di telefon bimbitku ada mesej yang kuterima. Iman pengirimnya.

“Sar, di bilik kn? Aku ke sana terus ya?”, tanya Iman yang mungkin tertunggu-tunggu informasi daripadaku sama ada telah sampai ke bilik atau tidak.

“Ye Man. Dtg la. Sy ada je kat bilik ni”, balasku semula. Aku menyiapkan diri. Memakai tudung dan sarung kaki. Wajib itu. Kalau sekadar tudung dan kakinya tidak dijaga, kurang juga kesempurnaannya di situ.

Sementara menanti pintu diketuk, aku melayari internet. Memeriksa emel dan melihat senarai rakan-rakan yang sedang online. Nama kakak dan adikku tiada. Sudah jam 1 pagi lebih di Malaysia. Pastilah mereka sudah tidur.

Tidak lama kemudian, pintu kedengaran diketuk. Aku yakin sekali itu Iman yang datang bersama duit yang hendak didermakan. Aku menuju keluar dengan membawa tabung kutipan derma untuk Palestin itu, sebahagian daripada projek Persatuan Perubatan Islam Malaysia di sini.

Aku membuka pintu dan salam dihulur oleh Iman. Pada mulanya kukira Iman sekadar hendak menyerahkan duitnya saja. Tetapi Iman menanyaku, “Sar, punya masa enggak? Aku ada benda mahu discuss ni.”

“Oh, boleh je. Ada apa ye? Ni bukan pasal orang Tunisia tu kan?”, soalku sambil menyarung selipar dan bergerak keluar. Pintu kututup untuk mengelakkan rakan-rakan serumah dilihat oleh Iman. Aurat mereka, amanahku juga. Sebenarnya Iman berhajatkan kepada Ines, kawanku yang berasal daripada Tunisia. Yang pertama kali ditemuinya pada bulan Ramadhan yang lalu. Iman selalu bertanyakan tentang Ines melaluiku sementelah aku agak rapat dengan Ines itu.

“Ya ampun. Tidaklah. Lagi mahu ditanya apa kalo beritanya tetap tidak ada. Ini aku mahu nanya’in. Kamu tahu enggak kiraan zakat penghasilan tu gimana?” Berkisar tentang zakat rupanya.

“Zakat penghasilan tu maksud awak zakat pendapatan kan?”, saya memulangkan soalan kepadanya. Untuk memahamkan maksud soalan.

“Ya, ya. Zakat pendapatanlah bagi kamu. Aku di sana sebutnya zakat profesi.”

“Baru je bulan lepas saya ada contact seorang ustaz saya dulu tanyakan pasal ni. Seingat saya dia kata kadar zakat tu ikut tempatlah. Macam di Malaysia, 2.5% daripada hasil kita. Orang yang nak kena bayar zakat ni pun kalau hasilnya cecah nilai emas lebih kurang 85 gram. Nilah setakat yang saya tahu. Kenapa ni Man? Aik. Tak kerja lagi, dah mula fikir pasal zakat ke?” Aku menjawab dan bertanya semula.

“Eh iyalah. Aku kan udah kerja di kedutaannya. Part time. Tu dikira kerja juga kan. Mati aku kalo dimakan’in hasil tak bersih. Ke neraka aku nanti. Nak jumpa kamu di syurga pun tak dapat”, jawab Iman dengan selorohnya yang tak sudah-sudah.

“Heh. Iyalah tu. Macamlah saya ni masuk syurga sangat. Tapi nanti saya confirmkan semula dengan ustaz tulah. Nanti saya bagitahu awak semula ok.”

“Oh, ok. Bagus. Kalo aku nanya’in sendiri, tahun depan pun belum tentu tahu. Kawan aku rock stars semua. Kalo ditanya, dijawabnya lain. Iyalah. Udah namanya pun star-star gitu.” Sempat pula Iman berfalsafah denganku.

Dalam pada Iman berseloroh hebat, pintu rumah hadapan terbuka dan keluar seorang lelaki Arab. Warga Lubnan. Di celah jari tangan kanannya terselit sebatang rokok. Dia berseluar sukan hitam dan bersinglet biru tua cuma. Aku memandang sekilas dan kemudian Iman turut memandang. Iman menghulurkan tangan untuk bersalaman.

Rokok bertukar ke tangan kiri dan tangan kanannya menyambut huluran salam Iman. Khabar ditanya di dalam Bahasa Rusia, biarpun hakikatnya Iman boleh bertutur di dalam Bahasa Arab sungguhpun tidak sefasih ayahnya. Iman sebenarnya berdarah kacukan. Ibunya warga Indonesia dan ayahnya berdarah campuran Indonesia-Arab. Makanya, wajah Iman tidak terlalu keindonesiaan. Kulitnya cerah dan matanya coklat cair. Andai tidak didengari slanga Indonesianya, ramai yang akan tersilap menjangka bahawa Iman merupakan bangsa Arab campuran yang sedikit Pan Asia kulitnya.

Setelah lelaki Arab itu berlalu menuju ke zon merokok, Iman berpaling semula dan tersenyum. Dari cara Iman itu, aku tahu ada sesuatu yang ingin dia katakan.

………………………………………………………………………………………………………..
Bersambung…

Posted on January 11th, 2008 by Sarah  |  22 Comments »

Makluman Ringkas

Assalamualaikum wbt

Entry lepas betul-betul menikam saya semula ya. Penat saya menjawab spekulasi kamu semua. Amboi-amboi kamu semua ni. Pantang saya termelalut sikit saja, teruk saya dikenakan ya. Nampaknya saya tidak boleh tulis begitu lagi lepas ni. Mati saya nanti. Itu baru acah-acah saja. Kalau betul-betul, lagilah teruk agaknya. 🙂

OK. Entry ini sekadar intro untuk entry seterusnya yang akan saya kemaskinikan selepas ini. Sambungan Monolog Bersama Iman. Kisah ini adalah cerpen yang saya tulis pada April 2007. Sebenarnya sudah sempurna 100% tapi atas masalah yang tidak dapat dielakkan, cerita yang saya simpan di dalam laptop lama itu hilang bersama fail-fail lain ketika laptop lama itu rosak. Sedih betul.

Jadi saya guna pakai cuti saya ini untuk menulis semula beberapa episod terakhir kisah itu. Siapa yang tidak berminat, tak payahlah baca. Nanti ada yang geli pula dengan bahasa novel-novelan yang diguna. Bak kata orang sekarang, bahasa jiwang. 🙂 (Yeke jiwang? Saya rasa itu formal). Terpulanglah pada tafsiran masing-masing. Saya akan cuba kemaskinikan setiap hari untuk memastikan hutang saya terbayar. Maafkan saya kalau ada yang jemu membaca. Nanti saya sediakan link-link pautan untuk episod-episod yang lepas.

Posted on January 11th, 2008 by Sarah  |  5 Comments »

Cinta Di Platform 5

Redup petang di kota Kuala
Membawa aku menapak ke sana
Ada wajah redup hendak kusantap
Ada mata bening untuk kutatap
Meredah kota sangguplah aku
Menuju Puduraya bertemu cintaku

Setia si wajah menunggu di bangku
Menunggu walau penatnya seribu
Tersenyum aku
Merenung balas bening matanya
Saat aku duduk di sisinya

Dunia hanya bagai kami
Duduk di situ saling mengerti
Mengerti bahasa mata dan hati

Manusia meribut yang kalut
Tidak mencuri meragut
Dunia kami yang hening
Di Puduraya itu yang bising

Tiba masa beriringan kami
Menuju bas si hijau putih
Tepat masa akan bersilih
Janji dipatri lagi
Esok masih ada buat kami
Menyambung kisah cinta di sini

Di Platform 5
Di pinggir Puduraya
Dunia kami di sebalik sesak kota Kuala

Assalamualaikum wbt

Jangan salah faham ya. Ini bukan kisah cinta saya. Sajak ini dedikasi khas buat Uncle KS (Kassim Selamat) dan isterinya. Sajak ini adaptasi daripada kisah cinta mereka yang termeterai di Platform 5, Puduraya. Walaupun kini duduk mereka tidak sama tinggi, apatah lagi berjalan berlari, namun kasih Auntie Ain buat Uncle KS tiada tandingannya walau bagaimana sekalipun keadaan Uncle KS kini. Didoakan yang terbaik buat mereka berdua. Syurga atas kasih si isteri yang setia di sisi. Jannah atas cinta suami yang tidak berbelah bahagi.

Buat muslimin semua, SALAM MAAL HIJRAH 1429. Jangan lupa ditutup tahun ini dengan bacaan doa akhir tahun dan dibuka tahun baru dengan doa awal tahun. Semalam saya melapangkan masa mengkaji semula kisah pembukaan Kota Constantinople. Semangat Sultan Muhammad Al-Fateh perlu kita contohi. Sejak akil baligh, beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat rawatib dan solat tahajjud. Lantas menjadikan beliau mempunyai ciri-ciri pemimpin yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. “Sebaik-baik pemimpin adalah sebaik-baik tentera dan rakyat” Itulah dia Sultan Muhammad Al-Fateh [untuk rujukan, ada banyak buku dan website. Tapi yang teringkas yang boleh difahami untuk rujukan: sini]. Jika dalam usia muda beliau sudah boleh mengetuai batalion perang dan pintar sekali akalnya, malulah kita yang semakin menginjak usia tetapi masih kurang pengorbanan buat agama. Sudah punya azam? Saya ada 11 tapi saya khuatir ada yang tidak tercapai. Hmm.

Nota 1: Maaf ya saya tidak dapat menjenguk rumah kawan-kawan semua sangat. Saya demam pula di kemuncak musim sejuk ini. Selepas makan malam semalam, saya terus tidur. Bangun di tengah malam untuk solat Isyak dan makan ubat sahaja. Lepas ini mahu sambung tidur semula. Sakit itu kafarah dosa kan 🙂

Nota 2: Uncle KS, lagu LOST ini buat KS dan isteri. Semoga tabah dan ceria selalu 🙂

Nota 3: Cinta saya pula di platform minyak kot, bukan di Platform 5. Ngeehee~ (Nak jugak tu! Adeh) v(^_^)v

Posted on January 9th, 2008 by Sarah  |  50 Comments »

Kindness Begets Kindness

Assalamualaikum wbt

A tiring weekend I had. I spent the whole Sunday helping my Chinese friends preparing the Hainan Chicken Rice. They asked for our help (me, Fatt and Pena) to be the quality controllers for halal part since we are free from anything. So they used my kitchen to cook and pack the orders for Muslims. (Habislah rak baru yang comel itu~)

One thing I realized most yesterday. Those who are very close to us like Cheng Yu and Guang Lin are very precise about making sure the halal-ness. I respect them for respecting that. Thank you dear friends 🙂 And sometimes, when a few guys came to the front door to pass the cooking stuffs or what, while me or Fatt were sitting at the hall without knowing they were there, so the girlfriends will tell the gentlemen to stand behind the door, not to let them seeing us without hijab. And it’s cute to listen to their steps running towards behind the door to hide themselves eventhough we were ready with our hijabs on.

But they learned one precious thing from me too. While cooking, I’m used to keep the kitchen clean and neat. So whenever I’ve got the chance to do the dishes, I’ll automatically collect the plates, tupperwares and the cutleries. Cheng Yu was amazed by that and said she’s shy with me for having the habit of ‘tunggu dululah’ which finally to her it seems so not lady like nor hygiene.

One all. I learned about the management in running business from them. And they learned about the cooking and cleanliness from me. Let’s make sure our dim sum and kuih lapis plans are on the track okay!

_____________________________________________________________

Hari buat dia:

78) It is not the wind that is blowing. It is not the flag that is moving. It is the mind that is moving.

Posted on January 7th, 2008 by Sarah  |  41 Comments »

Ingat 5 Sebelum 5

Assalamualaikum wbt

Dalam suhu serendah -17’C semalam, selesai solat zohor sekitar jam 1 tengahari, saya, Pena dan Fatt keluar ke Ikea-Mega-Ashan untuk membeli barang-barang keperluan rumah. Ikea; menyediakan barang keperluan rumah. Mega; sebuah pusat membeli-belah yang sangat besar dan Ashan; sebuah hepermarket yang besar. Ketiga-tiga tempat ini letaknya di kawasan yang sama. Berjalan sehari suntuk memang memenatkan jika tidak dirancang dengan sebaiknya. Tujuan utama kami adalah ke Ikea untuk mencari almari dapur dan barang-barang perhiasan yang lain. Sebetulnya saya tidak membeli apa-apa semalam melainkan krim pelembap muka Lumene. Itu saja.

-Malam sebelumnya itu, kami menyambut secara ala kadar hari lahir Chao Yi. I feel so connected to her because we both are Capricorns and love writing. Ini kek yang saya buatkan untuk Chao Yi (junior). Me, Wanie and Diba did the deco

Kami menaiki teksi ke sana memandangkan untuk menunggu perkhidmatan van teksi adalah sangat panjang barisannya dan suhu pula sejuk. Berbaloi saja perjalanan selama 20 minit itu dengan bayaran 200 ruble salam suhu sesejuk itu. Tempat pertama yang dituju adalah Ashan dan di sana, Fatt dan Pena telah memborong stok makanan peribadi mereka dengan banyaknya. Saya hanya ke kaunter barangan kecantikan untuk mendapatkan krim pelembap yang paling sesuai dengan kulit saya sepanjang musim sejuk ini. Saya keluar dulu menuju ke Mega memandankan mereka berdua masih belum selesai membeli barang. Tapi resit pembayaran saya di kaunter bahagian dalam telah tercicir tanpa saya sedari. Nasib baik saja saya tidak ditahan oleh pengawal. Terpaksalah saya berpatah balik dan terbongkok-bongkok mencari resit itu. Dan nasib baik juga saya jenis yang mengingati di mana saya lalu walaupun ratusan manusia padat memenuhi Ashan semalam.

Di Ikea, kami berjaya mendapatkan almari dapur yang dihajati. Harga juga sesuai. Kami klasifikasikan ia sebagai murah. Fatt dan Pena terus memborong bermacam-macam lagi barang di Ikea. Sudahnya saya duduk di atas troli yang membawa almari-yang-perlu-dipasang-sendiri-di rumah berhampiran dengan kaunter dan menelefon emak sementara menanti mereka siap. Mendengar cerita emak yang kepenatan di hari pertama sekolah dan kisah adik-adik yang kembali semula memakai baju sekolah. Semoga adik-adik Ngah rajin-rajin ye tahun ni.

-Fatt dan Pena tersadai di luar Ikea. Penuh dua troli yang ada di hadapan mereka-

Disebabkan terlalu banyak memborong barang yang hampir penuh 2 troli, kami pulang menggunakan khidmat teksi Ikea. Lebur 680 ruble memandangkan kadar bayaran adalah mengikut lokasi yang dituju. Tidak kisahlah. Asalkan saya tidak perlu bersusah payah mengangkut barang-barang ini dengan metro. Sebenarnya, memang mustahil untuk pulang dengan metro. Barang terlalu banyak.

Kami tiba semula ke rumah pada jam 9 malam. Selepas berehat meluruskan kaki yang letih asyik berjalan dan berdiri, tepat jam 12.30 malam tadi, saya dan Pena mula bertukang memasang almari dapur itu. Kebanyakan barangan Ikea memang begini. Perlu dipasang sendiri di rumah. Sudahlah almarinya berat dan kompleks. Memang menguji kesabaran betullah. Orang lain tidur, kami bising bertukang lengkap dengan tukul, screw driver dan lain-lain. Betul-betul jam 3 pagi, semuanya selesai. Kami memindahkan almari ke dapur dan mengemas dapur serba sedikit. Semakin lama, stok makanan kami serumah semakin bertambah. Pelik juga. Hendak dikata kami bawa dengan banyaknya dari Malaysia, rasanya sama saja seperti tahun-tahun sudah. Ada makanan yang beranak-pinak kot.

-OK Acai. Inilah gambar almari dapur yang saya beli tu. Jangan merungut tak tahu rupa almari dapur dah ye. Hihik-

Selesai mengemas dapur ala kadar, baru saya masuk ke bilik. Itupun tidak tidur terus. Saya dan Pena menonton sebuah filem bersama-sama. Rumah pada ketika itu sudah sunyi. Saya hanya dapat melelapkan mata selepas Subuh sekitar jam 7.30 pagi.

Notice board yang kami letakkan di dapur. Merapu je saya dan Pena di tengah malam semalam :p –

Dan siang tadi selepas solat Asar, kami bertiga meredah kawasan Baumanskaya pula untuk mencari sebuah service center untuk membaiki laptop Fatt. Sudah ketemu tapi tutup pula. Dalam website, katanya buka. Suhu hari ini pula jauh lebih sejuk berbanding semalam. Habis merah-merah hidung dan pipi kami. Kamudian kami bertiga menuju ke Novi Cheremushky pula untuk meninjau service center yang ada. Saya menghubungi buat hati saya si Adnan untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang komputer daripadanya. Rupanya adik saya yang seorang itu sedang di perpustakaan menelaah untuk peperiksaan akhir semesternya. Sorry Nan. Ngah tak tahu awak di library waktu tu!

Hampir 2 jam lebih kami di sana. Siap makan sekali. Tapi kami tidak dapat mencari sebarang kedai yang membaiki komputer. Jadinya, kami terpaksa juga ke Acer Service Center pada hari esok. Kami tiba di rumah lebih kurang pukul 9 malam.

Ya. Esok kami terpaksa keluar lagi. Ada dua pula destinasi kami kali ini. Penatnya!

Kesimpulannya, rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara. Kini kami masih muda dan sihat untuk ke hulu ke hilir aktif menjalani kehidupan. Hendak beribadah pun tiada masalah. Gunakanlah nikmat ini dengan sebaiknya. Jangan nanti bila sudah tua dan sakit-sakit, baru hendak menyesal tidak sempat hendak beribadah dengan sempurna. Satu lagi, bagi yang sedang bercuti, manfaatkanlah masa dengan sebaiknya. Janganlah setakat marathon makan, tidur, movie saja ye =) Aktif-aktifkanlah diri ya. Bagi yang di Spartivnaya, apa kata kita pergi snow boarding sama-sama minggu depan? Dengarnya ramai yang meluncur di Yugo Zapadnaya. Judin, apa kata kamu jadi master mind untuk kali ni? Hihi =)

Nota: Maafkan saya dengan lagu pilihan saya kali ini. Agak lagha sedikit tapi saya sekadar hendak mengimbau kenangan dengan seorang kawan baik pada satu masa dulu. The Reason nyanyian Hoobastank.

Posted on January 5th, 2008 by Sarah  |  46 Comments »