Assalamualaikum wbt
Selesai Asar semalam, saya nekad mahu keluar ke Ashan City. Hendak membeli barang dapur untuk rumah terutamanya beras yang sudah habis. Saya capai beg galas belakang yang jarang saya gunakan itu. Sebenarnya saya hendak ke sana dalam perjalanan balik dari hospital semalam tetapi saya mengalami gastrik dari pagi sehinggalah ke petang.
Saya bertolak kira-kira 20 minit sebelum Maghrib masuk. Saya nekad hendak juga ke sana. Bersiap ala kadar dan terus pergi. Saya membawa beg yang kosong supaya dapat mengisi barang semaksimumnya ke dalam beg galas itu untuk dibawa pulang.
Saya tiba di Ashan City lebih kurang 6.40 pm. Saya bergegas menolak troli mencari barang-barang dapur dan kemudian terus membayarnya di kaunter. Dalam masa sejam, saya berjaya menyudahkan semuanya.
Saya mengisi beg dengan paket-paket beras yang dibeli. Ada 6 paket semuanya. Maksudnya, saya menggalas balik 6 kg beban di belakang saya semalam. Dan di tangan pula, saya menjinjing seplastik besar penuh dengan barang-barang lain. Dalam 5 kg juga beratnya.
Sewaktu keluar dari Ashan, saya melihat jam menunjukkan pukul 7.40 pm. Saya berkata dalam hati, walau berat macam manapun barang saya ni, saya mesti berjalan kaki selajunya dan sampai di metro dalam masa 10 minit. Saya memecut. Tepat 10 minit kemudian, saya sudahpun berada di atas escalator untuk turun ke bawah tanah. Saya berkata lagi, 10 minit dari sekarang, saya mesti sudah sampai ke stesyen metro yang saya tuju.
Tap! Tepat pukul 8 pm, saya sudahpun sampai ke stesyen yang dituju. Ketika berada di atas escalator untuk naik ke permukaan bumi, saya berkata lagi, 10 minit lagi saya mesti dah sampai rumah. Kena jalan laju-laju ni. Nak solat Maghrib. Maka, saya berjalan laju dengan 6 kg beban tergantung di belakang dan 5 kg lagi di tangan.
Dalam perjalanan, saya terfikir, kalau di Malaysia, mustahil saya akan bersusah sebegini sekali. Barang makan boleh dibeli di mana-mana saja. Yang siap di masaklah. Tiada masalah nak kena fikir kena membeli barang dapur dan segalanya. Murah pula tu. Di sini, kena selalu berfikir tentang perbelanjaan dan masa. Kena berjalan jauh dengan barang berat dan macam-macam lagi kesusahannya. Kalau di Malaysia, boleh memandu sendiri untuk pergi membeli barang. Tempat letak kereta dan supermarket tidak jauh seperti jarak rumah dan hypermarket yang saya pergi tadi. Jadi, tiada istilah kena berjalan hampir 1 km untuk membeli barang dapur saja. Kalau malas sangat, di Malaysia, boleh pesan saja pada ayah untuk belikan itu ini.
Macam-macam yang saya fikirkan sewaktu berjalan dari Ashan ke metro. Tapi bila masuk saja metro, kerusi lengang. Saya terus duduk. Tiba-tiba ada orang buta yang berada dalam gerabak itu lalu di hadapan saya untuk meminta sedekah. Ini kali pertama saya bertemu orang buta yang meminta sedekah di dalam metro. Biasanya, orang yang cacat tangan atau kaki saja yang selalu buat begini.
Mata saya mula terkebil-kebil. Menahan air mata sebenarnya. Sesusah-susah hidup saya yang celik dan sihat ni, mengusung barang berat, berjalan jauh ke sana ke mari, saya masih jauh lebih beruntung jika hendak dibandingkan dengan orang buta itu.
Tidak bersyukurkah saya?
Bila sampai saja di rumah, Fareena berkata: KS angkat semua ni sorang-sorang je? KS tu dah lah kecik.
Dalam kepala saya hanya ada satu perkara. Kecil tak bermakna kita lemah. Biar kecil fizikal, asalkan besar semangat.
Hatta yang buta pun boleh teruskan kehidupan dalam serba kegelapan dan meraba-raba mencari arah, inikan kita yang celik dan sihat tubuh badan. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mengetahui mengapa diciptakan-Nya kita semua ini dalam saiz kehidupan yang berbeza.
Nota 1: Ketika di KISAS dulu, Cikgu Siti Arpah selalu berpesan agar merajinkan diri bersedekah pada hari Jumaat. Paling kurang, dengan memberi sebiji gula-gula kepada orang lain. Untuk kita, takkan 10 sen atau 1 ruble pun kita tak boleh berikan, kan?
Nota 2: Orang selalu kata saya kecil/rendah. Saya selalu juga terfikir, bila saya berada dalam metro seorang diri, agaknya apa yang orang keliling saya fikirkan. Budak kecik manalah yang berjalan seorang diri ni. Begitukah? Semalam saya jawab soalan Fareena dengan ayat: Act like an adult. Bagi saya, itu yang membezakan seorang budak kecil dengan orang dewasa bersaiz kecil. 😀