Kisah Di Forensic Medicine

Assalamualaikum wbt

Seperti biasa, Forensic Medicine sentiasa menyajikan sesuatu yang baru untuk tatapan mata. Terlalu banyak perkara mengerikan yang baru kami semua tahu hari ini. Fakta menarik daripada doktor kami tadi, kesemua harta karun yang di bawanya ke kelas tadi adalah koleksi daripada kes sebenar yang kebanyakannya melibatkan skinhead.

Salah satu daripada ayatnya ialah: Setiap daripada skinhead memiliki ini. Sambil tangannya mengangkat satu objek tajam yang kelihatan seperti jarum tetapi saiznya berganda lebih besar. Rupa-rupanya itu ialah busur panah. Mata anak panah. Yang digunakan untuk menikam mangsa ketika serangan dibuat. Dan daripada pengalamannya, setiap mangsa yang mati tidak hanya ditikam dengan satu anak panah sebaliknya kekerapan skinhead menyerang seseorang adalah secara berkumpulan. Jadi, tusukan anak panah pada badan mangsa biasanya melebihi 20 tikaman. Segala yang kami lihat tadi membuatkan kami semua terdiam kerana tidak tahu hendak berkata apa lagi. Sudah puas ooo dan aaa setiap kali baru mengetahui fakta-fakta yang maha dahsyat berkenaan pembunuhan.

Hari ini hari tragis. Terlalu banyak yang kami pelajari tentang mati dibunuh dan membunuh diri. Menarik memang menarik tetapi mencabar ketahanan jiwa untuk bertahan menatap segala apa yang ada di depan mata. Jika minggu lepas ada belajar untuk membuat siasatan ke atas kes liwat, kali ini belajar tentang siasatan ke atas kes rogol pula termasuklah bagaimana untuk membuktikan kes itu benar-benar kes rogol atau cederakan diri sendiri untuk kelihatan seperti dirogol. Secara klinikal, kita dapat membuktikan kes ini.

Saya rasa semenjak kebelakangan ini saya terlalu banyak bercerita tentang kes jenayah yang melibatkan pembuktian secara klinikal. Kes-kes sebegini semuanya teruk-teruk. Tadi di muzium, kami bertanya kepada doktor tentang kewujudan kepala wanita di situ. Apakah kisah di sebaliknya. Menurut doktor itu, wanita itu berasal daripada sebuah keluarga kaya. Selepas berkahwin, suaminya didapati menghilangkan diri dengan segala harta yang dimilikinya. Dan tidak lama kemudian, kepala perempuan tersebut ditemui di dalam sungai. Kepala sahaja. Sudah dapat jawapannya? Bagus.

Ketika saya sampai ke hospital pagi tadi, saya terus masuk ke kelas. Saya bersendirian saja ketika itu. Saya capai tengkorak yang terletak di atas meja saya. Itu tengkorak betul. Dalam kelas kami (ataupun kelas lagi satu), ada banyak tengkorak yang dijadikan alat bantu mengajar. Kebanyakannya ada retak, lubang atau serpih di bahagian occipital ataupun parietalnya.

Saya pakaikan tengkorak yang dipotong secara transverse plane itu ke kepala. Tiba-tiba kawan saya masuk. Saya menyerengih buruk kepadanya. Saya berkata kepadanya: Rugi takde kamera. Kalau tak, boleh ambil gambar saya dengan topi keledar tengkorak ni.

Berani pula saya bermain dengan tulang belulang itu seorang diri ya. Boleh berlakon jadi heroin untuk Cannibal Holocaust ii lah kalau macam ni. Huhu. Ok. Menyimpang topik dah ni. Topik penutup hari ini. Sungguhnya demam itu sungguh tidak menyeronokkan. 🙁

Nota: Semakin seronok pula saya bercerita tentang isu medikal di sini. Jangan takut baca sudahlah ye. Huhu. 😀

Posted on February 16th, 2009 by Sarah  |  28 Comments »

Mandi Malam Dan Asthma

Assalamualaikum wbt

Sekarang tepat 12.55 pagi. Semakin lama habit mandi tengah malam saya semakin menjadi-jadi. Kalau dulu paling lewat sekitar 11.30 sudah selesai. Sekarang ni, sekitar 12.15 baru nak bersiap tutup buku untuk mandi. Kalau di rumah, saya mesti ditegur oleh emak. Emak kata, dah tengah-tengah malam sejuk ni baru nak mandi. Tak takut batuk ke. Oh. Kalau emak panjangkan lagi ceramahnya pun, saya tetap akan mandi juga.Mandi malam itu nikmat. Saya suka sejuk! (senyum lebar mata tertutup buat muka puas hati)

Sebenarnya, lain orang lain ketahanan fizikalnya terhadap cuaca sejuk. Memang ada keburukannya mandi malam kerana secara umumnya suhu pada waktu malam lebih sejuk. Penjelasan saintifik tentang larangan mandi malam ini adalah kerana proses pengecutan saluran pernafasan kita berlaku lebih aktif dengan adanya rangsangan suhu sejuk. Bronchospasm namanya. Selain proses pengecutan atau pengecilan saluran bronchus ini, lapisan dalamnya juga akan lebih aktif untuk menghasilkan cecair pelincir atau mukus.

Fungsi mukus ini adalah sebagai cecair pelindung untuk dinding dalam bronchus. Secara normalnya, mukus ini akan dibuang keluar melalui proses batuk dan pembuangan mukus ini (terutamanya di waktu pagi) boleh membersihkan salur pernafasan kita. Malangnya, bagi yang tidak tahan dengan cuaca sejuk, keadaan suhu yang rendah boleh menjadi trigger factor (faktor perangsang) yang menyebabkan mukus dihasilkan dengan banyaknya. Jadi, salur pernafasan kita akan semakin mengecil. Ditambah pula dengan bronchospasm yang terjadi yang berkadaran dengan faktor suhu ini, kes sebegini dikelaskan sebagai Bronchiol Asthma. Lelah dalam Bahasa Melayunya. Simptom yang paling mudah dilihat ialah semput nafas, batuk dengan penghasilan kahak yang banyak, postur badan yang sedikit menunduk ke depan untuk memudahkan bernafas dan pucat.

Asthma sebenarnya lebih kerap ditemui di kalangan kanak-kanak. Ketika posting Pediatric, saya kasihan sungguh melihat kanak-kanak berumur 3 ke 10 tahun yang menghidap asthma. Semput yang mereka alami menyebabkan saya rasa saya sendiri pun semput sama. Semput melihat mereka semput. Sebab saya tahu susah bagi mereka untuk bernafas dalam keadaan itu. Aktiviti harian mereka pun terbatas.

Selain cuaca sejuk, asap rokok, bulu binatang, debunga, habuk dan bermacam-macam lagi faktor peransang yang lain, ada sejenis lagi asthma yang terjadi bukan kerana faktor ini. Kes asthma ini adalah disebabkan alahan kepada sejenis ubat: Aspirin. Maka dinamakannya sebagai Aspirin-induced Asthma. Mengapa hal ini terjadi? Dengan mengambil NSAIDs, proses penghasilan sejenis metabolit (Leukotriene) menjadi dominan. Bahan ini menyebabkan segala aktiviti berkaitan dengan saluran pernafasan menjadi aktif. Ini termasuklah bronchospasam, pertambahan mukus, radang hidung dan lain-lain lagi.

Jadi saya simpulkan semula tentang kaitan mandi malam dan kesannya kepada kesihatan kita. Semuanya bergantung kepada tahap ketahanan fizikal individu itu sendiri. Kalaupun bukan mandi malam, aktiviti yang berkadaran ialah mandi hujan/berhujan. Berkenan dengan asthma ini, terdapat banyak kaedah rawatan yang digunakan sekarang. Sebagai langkah keselematan, pesakit kebiasaannya membawa inhaler mereka ke mana saja. Rawatan untuk asthma membawa matlamat yang sama: untuk mengurangkan bronchospasm supaya saluran pernafasan kembali bebas untuk membawa bekalan udara yang secukupnya ke paru-paru sama ada untuk jangka masa pendek atau panjang. Untuk serangan asthma yang kuat, pesakit wajib dikejarkan ke hospital secepatnya. Inhaler tidak lagi dapat membantu dalam kes ini.

Nota 1: Asthma adalah penyakit yang rutin di kalangan kanak-kanak.

Nota 2: Saya harap dengan perkongsian di dalam Bahasa Melayu ini dapat menambahkan lagi tahap pemahaman semua tentang mekanisme asthma. Kadang-kala, ramai yang setakat tahu asthma tu ialah semput nafas tetapi kenapa terjadinya asthma itu, masih ramai yang tidak jelas. 🙂

Nota 3: Saya pernah mendapat asthma. Sekali saja. Kerana overdose allgergic saya terhadap daging sehingga menyebabkan saya semput nafas di waktu malam. Dalam kes saya, faktor perangsang adalah makanan. Nah. Terbukti saya boleh terus mengamalkan habit mandi malam kerana saya bukannya penghidap tipikal asthma. 😀 Lagi satu, suhu di dalam rumah di sini adalah panas. Memanglah bersalji di luar sana tapi di dalam rumah, sistem pemanas berjalan 24 jam. Tambahan pula katil saya di tepi pemanas. Panas! Tapi di Malaysia saya mandi malam bukan sebab panas. Tapi sebab saya memang berjaga malam sehingga ke Subuh. Kiranya, mandi malam tu menyegarkan lagi sesi kehidupan saya di malam harilah. Huhu~ 😛

Nota 4: Sevodnia Pyatnitsa. Davaite chitaem solawat k nasyemu Proroku Muhammad SAW. (Hari ini hari Jumaat. Mari kita bacakan selawat buat Nabi kita Muhammad SAW.) “Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala aalihi wasohbihi tasliman kathira.”

Posted on February 13th, 2009 by Sarah  |  24 Comments »