Assalamualaikum wbt
Pernah ada yang bertanya, kenapa blog saya bernama My World, Dunia Saya. Jawapan saya hanya satu. Kerana di sinilah saya dapat berkongsi apa yang saya rasakan dan dalam masa yang sama merehatkan diri saya daripada kesibukan belajar.
Saya sering bersendirian. Pergi balik dari kelas, pergi balik dari hospital, mengembara sekeliling Moscow di tahun pertama dulu dan macam-macam lagi. Bukan saya sengaja menjadi solo begini. Ada sebabnya. Pertama, kerana susah mahu berjanji dengan rakan-rakan sekumpulan waktu itu. Yang lambat, memang lambat. Ada yang awal, tapi mahu menunggu kekasihlah pula. Sudahnya saya lagi selesa bergerak secara solo. Tidak terikat dengan sebarang komitmen dan janji. Orang kata bahaya begitu pada waktu itu. Tapi Alhamdulillah saya tidak pernah berhadapan dengan sebarang kejadian yang tidak diingini. Keduanya, saya tidak mahu bergantung kepada rakan-rakan untuk membuat nota kelas, nota kuliah mahupun nota peribadi. Bukan sombong, tapi lebih selesa dan menepati cara belajar saya. Kalau kita sendiri yang sediakan, ilmu lebih lekat dalam kepala dan lebih terurus ketika hendak exam. Saya sentiasa wajibkan diri saya membuat persediaan sebelum ke kelas. Prinsip saya, saya tidak kisah orang mahu meminjam apa yang saya sediakan tapi jangan saya bergantung pada orang. Saya tidak mahu dilabel menyusahkan orang. Dan disebabkan ini, saya sudah dicop sebagai seorang yang ‘sangat berdikari’ dan ‘boleh hidup sendiri’ oleh rakan-rakan sekumpulan. Bunyinya seperti positif. Hakikatnya ada negatifnya juga. Disebabkan saya dilabel begini, kadang-kala saya dilupakan jika mereka ada nota edaran atau slide show yang penting. Juga dilupakan jika mereka ada ‘variant’ atau skema jawapan untuk apa-apa ujian. Kadang-kala, bila tiba hari ujian, saya hairan melihat mereka semua bersedia dengan skema jawapan yang sudah difotostat tetapi saya tidak tahu menahu. Apabila saya bertanya, mereka katakan bahawa semua sudah dapat, bagaimana pula saya tidak dapat. Dan konklusi yang mereka berikan: Alah, kalau kau takde pun skema jawapan tu, kau dah ready dah. Ayat ini saya ingat sampai ke hari ini. Dan terima kasih di atas respon 4 tahun yang sudah itu kerana menjadikan diri saya yang sekarang.
Sejak itu, saya memang tidak pernah bergantung harap tentang nota atau variant daripada rakan-rakan. Sedih juga jika teringat peristiwa 4 tahun lepas itu tapi saya bersyukur kerana setiap yang terjadi itu pastinya ada hikmah yang jauh lebih bernilai. Saya menjadi seorang yang sangat serius dalam pelajaran, tidak bergantung pada yang lain dan saya boleh hidup dalam apa-apa keadaan sekalipun. Inilah hidup saya setiap hari. Waktu itu, bilik saya di hostel lama tiada talian internet. Untuk mengisi masa lapang, saya suka main game Pizza Frenzy (full version), Virtual Orchestra System (VOS) dan menulis cerpen. Waktu itu, itulah dunia saya. Dan sebaik saja saya berpindah duduk di luar sekitar 2006, saya pun mula berblog. Kenapa saya berblog kerana inilah saluran lain selain daripada menulis cerpen yang semuanya saya simpan menjadi pekasam khazanah sendiri saja.
Pada mulanya, blog ini hanya saya, ayah dan tiga, empat orang kawan saja yang tahu. Tapi entah mana puncanya, lama-kelamaan, semakin ramai yang jumpa dunia saya ini. Dan sejak saya mula berblog, saya temui kenalan yang sekepala dengan saya, yang sejiwa dan semuanya mewarnai hidup saya setiap hari. Dan tak ketinggalan, ada juga yang menjadi pengacau yang sangat merimaskan sehingga pernah buat saya tertekan. Tapi saya bertahan untuk terus berblog kerana saya sayang kawan-kawan yang saya kenali melalui blog. Inilah sedikit sebanyak tentang saya dan MW. Bagi saya, MW adalah sangat penting dan istimewa kerana dengan adanya MW, saya ada kehidupan lain selain daripada buku dan persatuan.
Sejujurnya saya ada entri khas yang hendak ditulis tentang MW ini. Emak saya tahu apa yang saya hendak tuliskan, yang telah menjadi niat saya sejak 2 minggu yang lalu. Tetapi, tanpa diduga, saya terpaksa menyimpan dulu entri itu kerana tidak mahu dihubungkaitkan dengan beberapa keadaan yang sedang berlaku. Macam bercelaru kan apa yang saya katakan ini? Hmm… Sebetulnya, mood saya masih kurang baik. Saya rasa sungguh kusut sekarang ini.
Esok saya tiada di rumah. Perlu ke KL lagi. Ada mesyuarat lagi. Dan perlu ke Cyberjaya juga. Saya akan pergi naik bas saja. Ikutkan hati, saya tak mahu bermalam di KL. Saya hendak balik ke rumah pada petang esok juga. Tapi mesyuarat di Cyberjaya adalah pada sebelah petang. Sempatkah saya berkejar balik ke Pekeliling untuk bas terakhir ke Temerloh? Ini satu lagi hal. Kusut.
Saya mohon maaf kalau ada yang terasa atau tidak bersetuju dengan lontaran pendapat saya dalam entri lepas atau yang lepas-lepas. MW tempat saya mengeluarkan pendapat peribadi saya tentang perkara yang berlaku di sekitar saya, Malaysia, Moscow atau dunia secara amnya. Dan kalau tersasar, saya memang tak pandai menyorokkan apa yang saya rasa. Kadang-kala, jelas terpapar pada apa yang saya tuliskan. Andai kata ada di antara kamu yang dapat menilai mood saya dengan membaca entri kali ini, mesti ada yang dapat buat kesimpulan apa yang sedang berlaku sebenarnya.
Saya tahu ada orang yang jauh lebih faham. Emak, maaf sangat kalau Ngah teruskan juga niat Ngah tu. Selamat malam dari Temerloh. Semoga malam yang hening dihangatkan dengan tangis buat Ilahi.
Nota: Tadi saya mewarna bersama adik-adik. Saya warnakan sebuah kereta Honda EK apa entah. Adik saya kata cantik. Padahal, sewaktu sekolah rendah dulu, Pendidikan Seni saya sangat jarang dapat A dengan bintang-bintang. Biasanya hanya ‘Dilihat’ saja. Dan sebelum mereka tidur, saya ajarkan teknik mewarna menggunakan krayon dan saya potretkan sejenis seni yang pernah saya pelajari dulu. Pada kertas lukisan itu saya ukir kata-kata: I am a good Muslim. Dengan warna oren terang. Ironinya, adakah yang menulis itu betul-betul ‘good’ dalam menguruskan hidupnya sebagai seorang Muslim. Adakah yang menulis itu Muslim sepenuh masa atau part time saja? Warna oren terang itu seperti satu sindiran untuk diri saya sendiri. Jadi, apa resolusi yang patut dibuat? Hmm… Dalam entri ini, ada jawapan yang tersembunyi.