Ralat

Assalamualaikum wbt

Entah apa yang terjadi pada saya kebelakangan ini. Tunggang-terbalik. Saya rayu Encik Em Osi saya itu kembali pulih. Cepat. Saya perlu kamu. Segera. Kamu tiada, saya ralat jadinya.

Posted on November 1st, 2008 by Sarah  |  18 Comments »

Carbonara Pasta Del Pollo

Assalamualaikum wbt

Ciao tutto~

Kononnya, saya ada satu niat sejak Ramadhan lalu. Setiap kali tibanya giliran saya memasak untuk kami serumah, saya hendak mencuba sesuatu yang baru. Yang belum pernah saya masak sendiri. Tapi bergantung kepada mood dan masa juga. Seperti Ramadhan yang lepas, waktu Maghrib masuk sekitar jam 8 ke 8.30 malam. Lambat. Jadi sempatlah saya mencuba sesuatu yang pelik-pelik. Ada satu hari tu, saya mencuba Udang Masak Mamak. Suka! Suka! Menjadi. Dan pada hari yang sama saya mencuba Ayam Pandan. Yang ini lagi saya suka! Pun menjadi. Saya pun ada cuba membuat kuih tradisional yang tidak dapat dibeli di sini. Saya buat Tepung Pelita dan Kuih Lapis. Pun menjadi. Seronok! Seronok!

Tetapi sekiranya berkejar balik daripada hospital dan ada banyak benda lain yang hendak dibuat selepas itu, saya masak yang biasa-biasa sajalah. Seperti minggu lepas, dengan kes hilang dokumen diri yang baru saja selesai, saya penat untuk membuat benda lain dengan bersungguh-sungguh. Jadi, saya masak Nasi Lemak saja. Tapi, inilah yang paling saya suka. Sambal ikan bilis tu wajib. Sambal yang lain kurang sikitlah kalau ikut selera saya ni. Dan sewaktu ada exam selepas raya hari tu, saya hanya menyediakan Mee Hailam saja.

Di sini, kedai makanan halal tidaklah banyak mana. Ada memang ada tapi selera tekak kita ni kadang-kala mengada-ngada hendak merasa macam-macam benda. Kalau tiba masa teringinkan pasta, kalau ke Patio, alamatnya makan pasta makanan laut sajalah. Seperti 2 minggu lepas. Kami serumah semua ke Patio. Manalah puas sangat kan kalau tak dapat ayam atau daging.

Dan petang tadi, lo ho fatto Carbonara Pasta Del Pollo, tutto! Saya berjaya menyediakan Chicken Pasta Carbonara yang menggunakan 100% resepi Italiano. Suka! Suka! Sedap! Menjadi! Huhuhu. Puji masakan sendiri pula =p Hep. Ini komen daripada rakan serumah tau. Semua kata menjadi. Waa. Keterujaan saya untuk mencuba sesuatu yang baru akan terus membara. Ewah~

Saya rasa, mesti ada yang gelakkan saya dengan lagu yang saya letak kali ni. Saya sendiri pun rasa nak tergelak. Tapi, muziknya macam buat saya rasa ringan melayang pula. Layankan sajalah mood saya kali ni ya. Hehe.

Grazie a tutti per la lettura del questo =) Arrivederci tutto!

Posted on October 30th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Ubah

Assalamualaikum wbt

Sejak saya mula ber-posting di hospital yang terkini ini sejak minggu lepas, setiap kali waktu pulang, saya akan melencong ke satu tempat ini. Saya cuba jadikan rutin harian kerana alang-alang tempat itu cuma 1 stesyen metro saja jaraknya daripada hospital saya. Tambah tolak berjalan kaki, ambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai. Kali pertama ke sana, saya berpuasa pada hari itu. Habit saya, kalau saya berpuasa, saya tidak suka bawa duit dalam tangan banyak-banyak. Ada 50 Ruble pun sudah cukup. Dan kali pertama ke sana untuk semester ini, saya bersama-sama dengan seorang kawan, Shahirah.

Hari-hari saya menyinggah ke sana. Paling kurang, saya habiskan 30 minit di sana bermula dengan menuju ke komnata omoveniya, naik ke ruang utama, duduk bersama beberapa kenalan baru dan jika tidak terkejar-kejar balik, saya sempat membaca uchebnik po relegiye. Apabila turun dari ruang utama untuk balik, saya akan melalui semula sebuah pintu pagar kecil untuk menuju ke metro. Di situlah terdapat beberapa orang makcik-makcik tua berdiri menantikan belas ihsan sedekah daripada mereka yang berkunjung. Mereka ini seagama dengan kita. Saya menghampiri mereka. Saya tahu saya tiada duit untuk diberikan kepada mereka. Saya cuma pergi ke arah mereka, saya cium tangan mereka dan peluk mereka sebagai seorang saudara seagama dan mereka balas dengan doa yang dibacakan khas untuk saya. Saya tidak dapat menyumbangkan apa-apa sebaliknya mereka menghadiahi saya doa yang sangat baik maksudnya.

Untuk kesekian kalinya semalam, saya ke sana lagi seorang diri. Sewaktu sedang menghabiskan dua muka uchebnik po relegiye, seorang makcik datang duduk di samping saya dan menyuruh saya meneruskan apa yang saya lakukan. Dia mendengar saja. Matanya basah sebaik saya berpaling melihatnya. Makcik itu bertanya nama dan umur saya. Jawab saya, zavut menya Sarah, mnye 23. Terus dia panjatkan doa untuk saya juga kerana katanya dia sendiri tidak boleh lakukan dengan lancar lagi apa yang saya lakukan tadi. Tapi setidak-tidaknya dia berusaha ke arah itu. Dan sewaktu hendak pulang, 3 orang makcik yang sama setiap hari itu masih berada di pagar kecil itu. Saya salam mereka, peluk dan kemudian dibalas dengan doa dan sapaan khabar oleh makcik-makcik tua ini. Saya minta maaf kepada mereka kerana saya bertangan kosong saja. Saya tak punya apa-apa untuk kali ini.

Dalam perjalanan menuju ke metro, saya mesej emak saya. Saya katakan apa yang terjadi. Hajat di hati terlalu hendak menghulurkan sesuatu tapi saya sendiri juga kini dalam masalah. Saya menuju ke metro dengan mata yang terkebil-kebil sebagai taktik agar air mata tidak luruh. Sampai di rumah, saya baca apa Adik Kecik saya si Khairul yang comel itu tulis di blog peribadinya:

It’s not about how much money you can make. It’s about how much money you can give.

Kesimpulan cerita ini ialah, saya mahu jadi baik. Kalau selama ini saya asyik ditemukan dengan orang yang hipokrit untuk berjalan bersama, sekarang saya nekad, walau saya seorang, saya boleh memulakan perubahan. Ya Allah, saya mahu jadi muslim yang baik. Walau hidup berseorangan, tapi bila saya berada di atas kebenaran, saya tak risau tentang apapun yang lain sebab saya tahu Allah itu sentiasa bersama. Allah itu sentiasa ada.

Nota: Nadia, awak mesti cekal!

Posted on October 29th, 2008 by Sarah  |  13 Comments »

Lima Belas

Assalamualaikum wbt

Ditag lagi. Tengah-tengah malam ni saya layankan sajalah si Jinggo-Jinggo ini. Ditag oleh Farah. Siapa Jinggo? Adik saya si Adnan tu mempunyai kawan-kawan baik yang rapat sejak zaman belajar di MMU dulu. Ada 7 orang semuanya: Adnan, Adeep, Najib, Salman, Farah, Azra dan Faezah (Kak Ngah tak silap kan wahai Jinggo sekelian?). Bila ada masa lapang, saya mesti buka blog Jinggos ini. Saya suka mengikuti perkembangan zaman belajar dan kini zaman bekerja mereka. Sesungguhnya saya cemburu melihat persahabatan mereka yang sangat erat. Saya sungguh cemburu. Mari buat tag cepat-cepat. Lepas ini kena sambung baca buku. 15 perkara pelik/habit/fakta tentang saya.

1) Suka nescafe saja.
2) Tak boleh makan benda manis sangat. Terus sakit kepala.
3) Suka tengok jari orang lain.
4) Allergic to fresh red meats namely beaf and mutton.
5) Suka cuba mengingati semula mimpi sampai berjaya.
6) Tak suka orang yang tak punctual.
7) Serius dalam kelas/hospital.
8) Suka mandi tengah malam buta. Tak mahu mengantuk.
9) Saya bercakap laju. 100 km/j. Diakui ramai.
10) Bersifat ignorant yang tegar.
11) Tak pernah guna aku-engkau. Saya guna saya-awak/kamu saja.
12) Saya geli dengan orang Melayu yang suka ber I-You sesama Melayu.
13) Saya tak reti bergambar. Semua gambar saya mesti tak menjadi.
14) Apa saya rasa, saya pendam. Bukan peluah.
15) Tak suka dipuji. Saya tak reti bezakan pujian atau sindiran. Silap-silap, saya boleh jadi tak suka pada orang yang memuji itu.

Ada sedikit info tambahan hasil selongkaran berjaya di sini dan saya tak mahu tag sesiapa.

Posted on October 28th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »

Batik Lepas

Assalamualaikum wbt

Saya menelefon katalis hidup saya Sabtu lepas. Cerianya suara emak. Bila saya tanyakan apa yang emak sedang lakukan, jawab emak, sedang membelek-belek kain batik lepas Langkawi yang diberikan oleh Mak De saya, adik emak. Saya tanya, untuk pakai dengan apa kain batik itu. Jawab emak, untuk kalau-kalau ada yang mati.

Tersentap saya. Saya di pasar waktu itu. Saya sudah rasa dada saya penuh, mata panas. Saya kata pada emak, tak sukalah cakap begini. Jawab emak, iyalah, memang itupun tujuannya. Saya kata lagi, sudah-sudah, jangan cakap lagi. Saya sudah mula tidak sedap hati. Jawab emak kemudian, iyalah, orang pakai batik lepas lilit-lilit dengan kebaya, kita buat sedia untuk tutup jenazah sajalah. Saya kata pada emak, cukuplah, jangan sebut lagi. Saya tak boleh tahan sebak. Emak pun menukar topik kepada isu-isu di rumah. Saya pun beransur reda daripada sebak yang penuh di dada. Saya sensitif dengan isu kematian sejak berada di sini.

Hari ini katalis hidup saya itu akan ke Terengganu dan kemudian ke Kuantan. Berkursus hingga Rabu nanti. Semoga emak dan ayah sihat sejahtera dan selamat dalam perjalanan pergi dan balik.

Nota: Daylight saving sudah bermula di sini. Jadi, beza waktu Moscow-Malaysia sekarang ialah 5 jam sehingga penghujung Mac nanti.

Posted on October 27th, 2008 by Sarah  |  6 Comments »