Mencari Matahari

Assalamualaikum wbt

Saya tidak tahu ke mana masa saya terbang. Pejam celik mata, terasa hari berlalu terlalu cepat pula. Tak sempat hendak menikmati hari. Pagi gelap sudah keluar ke hospital. Balik ke rumah semula, hari sudah gelap semula. Entah bila matahari muncul dan menyinar pun saya tak sempat sedar. Orang kata lucu, tapi saya rasa haru.


Hai semua. Nama saya Stewart. Saya tahu saya fotogenik. KS pun kata saya begitu. Saya cantik, fotogenit dan juga gedik. Banyak songeh. Tapi saya selalu layan KS berborak tau. Sebelum dia pergi hospital, dia berborak dengan saya. Dia bagi saya makan. Dia bagi air baru. Itu sebab saya makin suka mengada-ngada dengan KS. Sebab KS tetap akan layan saya walau gadik macam manapun saya.

Hai semua. Nama saya Mickey. Saya seorang yang pemalu. Saya tak pernah bagi peluang orang tatap wajah saya lama-lama. Saya suka tidur. Kasihan KS. Bila dia hendak bercakap dengan saya, saya buat tidak tahu saja. Bagi saya, tidur itu nikmat. Boleh membesarkan badan dan memberikan kepuasan yang terbaik untuk saya. Saya tak suka bermain roda pusing-pusing tu. Nanti badan saya tak bulat dah. KS juga yang tak suka nanti, kan. Disebabkan saya suka tidur, sampaikan hendak bergambar ni pun, KS terpaksa buka rumah saya supaya saya keluar bermain. Oh. Tidur itu memang hobi saya.

Nota 1: Penjodoh bilangan untuk manusia? Aduh. Mereka memang budak-budak di mata saya!
Nota 2: Stewart, Mickey dan The Harolds tu adalah matahari hidup saya sekarang.
Nota 3: Kan seronok kalau balik kerja ada anak menanti di rumah =p

Posted on January 14th, 2009 by Sarah  |  42 Comments »

Saya Tidak Kedekut Lagi

Assalamualaikum wbt

Tidak Kedekut #1

Selama ini saya rasa saya kedekut. Kerana kesemua pautan ke blog kesukaan saya tidak saya kongsikan di rangkaian blogroll saya. Bukan apa. Selama ini saya menjadi silent reader mereka. Memang diam sungguhlah. Saya membaca entri-entri terkini mereka menggunakan Google Reader saja. Apabila ada entri-entri yang panas-panas, barulah saya akan membaca di blognya untuk membaca komen-komen membina mahupun menjatuhkan daripada pembaca.

Tapi saya tidak mahu jadi kedekut dah. Saya kongsikan tiga buah blog kesukaan saya ini. Serius saya suka. Saya memaksudkannya secara telus. Saya sangat suka.

1) Puisi Tepi Jalan. Blog peribadi milik Kak Fynn Jamal. Sayakan pencinta bahasa yang tegar. Haruslah saya menjadi suka membaca karya-karya yang bagus dan mendidik jiwa. Tulisan Kak Fynn sangat terkesan untuk diri saya. Saya tak malu mengaku bahawa saya menangis banyak membaca apa yang ditulisnya. Kadang-kala sampai berhingus dan teresak-esak saya memuhasabah diri. Ada tazkirah yang sayup tapi mendalam. Saya yakin siapa yang mengikuti penulisannya akan bersetuju dengan apa yang saya katakan. Terima kasih, Kak Fynn. Blog Kak Fynn adalah sumber tazkirah harian terbaik untuk diri saya selama ini. Tepat mengena batang hidung dan hati. Masuk penghujung Januari ini, genap 8 bulan saya menjadi seorang yang kedekut tidak berkongsi link ini. Tapi mulai hari ini, saya akan senaraikan dalam blogroll saya. Saya mahu ramai yang mendapat muhasabah yang saya dapat daripada Kak Fynn.

2) Noktah Hitam. Blog peribadi milik Eddie. Dia menulis dengan seringkas mungkin tapi membuatkan kita berfikir dalam. Kadang-kala saya pelik kenapa dia ni terlalu kritis otaknya. Dia mengaku dirinya sebagai wicked mind tapi saya melihat blog ini sebagai bahan bacaan alternatif untuk rakyat Malaysia kerana bersifat mendidik. Ketawakah awak membaca fakta ni, Eddie? Sila jangan. Sebab itu saya sangat hormatkan awak. Sebab awak menjadi model seorang anak muda yang berfikir tentang pembangunan dan kematangan. Dan blog ini menjadi wadah saya mencari apa makna ‘menjadi pemudi negara dan agama’. Segalanya tersirat. Jadi, kena berfikir dengan dalam. Saya suka sesuatu yang mencabar otak seperti ini. Oh ya. Sudah hampir setahun saya menjadi pembaca yang kedekut kerana tidak mengongsikan link blog ini. Tapi tidak lagi. Saya mahu semua orang muda yang membaca blog saya turut membaca blog ini. Cari inspirasi di sebalik apa yang ditulisnya. Wajib. (Eh, pernah je saya kongsikan sebelum ni kan cuma tidak diletakkan di blogroll. Hehe)

3) Nurulism. Blog peribadi riang-ria milik Chika. Saya masih baru mengikuti Chika. Kira-kira dua, tiga bulan yang lalu. Tapi setiap kali saya membaca entrinya, saya mesti ketawa. Saya memaksudkannya dengan bersungguh-sungguh. Saya ketawa sampai rasa tidak cukup nafas. Seperti sekarang ini. Hidung masih selesema. Memang mustahil dapat bernafas dengan gembira. Bila ketawa dan bernafas dalam keadaan begini, boleh dyspnea jadinya. Dalam setiap yang Chika tuliskan, ada sesuatu yang terselit. Fakta dalam jenaka. Tapi memang kelakar. Semoga Chika akan terus menulis walaupun sudah kahwin nanti. Ok, Chika! Blog awak tak menjengkelkan langsung. Orang yang cemburu saja yang kata begitu.

Sila baca kesemua blog ini. Kutip ilmu, motivasi, jenaka dan tazkirah daripada mereka. Saya suka mereka. Semoga kamu semua pun suka.

Tidak Kedekut #2

Saya tiba-tiba demam semula sejak hari Sabtu malam Ahad lepas. Pagi tadi di hospital, saya melepek saja. Tanyalah kawan-kawan sekumpulan saya. Saya melepek semelepek-lepeknya di atas meja. Susah mahu tengok saya begini. Kaki saya pula asyik cramp saja. Kejang. Ya. Itu istilahnya. Ada orang sebut sebagai tangkap mengkarung. Ok. Apa-apalah. Sakitnya Ya Rabbi. Dalam pada saya hendak berjimat tidak mahu terlalu kerap menggunakan Avtoline (perkhidmatan awam berbayar), saya terpaksa juga balik menaikinya. Saya tak larat hendak berjalan jauh ke stesyen metro. Mahu menangis saya di pertengahan jalan kerana kekejangan.

Melalut pula saya ni. Balik tadi, saya sambung melepek di atas katil. Saya tertidur sampai pukul 7.30 malam. Bangun tidur saja, saya kata pada diri saya: Eh, tak boleh jadi orang yang kedekut dah. Allah marah. Mahu tahu apa saya mimpikan?

Saya berada di sebuah taman rekreasi air terjun di sebuah negara yang tak pernah saya lawati lagi. Pelik. Kerana semua yang terlibat adalah rakyat Malaysia. Tapi kami ditemukan di luar negara. Siapa yang terlibat?

Frederic Kanoute – Pemain bola sepak yang terkenal.
Hanif Mohsein – Saudara saya di Penang yang dulu juga merupakan senior saya di KISAS.
Faisal Aziz – Pacel. Senior bahas saya di KISAS.
Eddie – Pemilik blog Noktah Hitam.
Kak Salwa Salleh – Senior di KISAS merangkap kakak dorm saya dulu. Eh lupa. Merupakan isteri Abang Khairil.
Kak Fauziah – Pembaca blog saya yang sangat rapat dengan saya. Masih belum pernah berjumpa.
Ustazah Siti Nurafizah – Ustazah yang mengajar subjek Imlak dan Muthalaah saya ketika di SMA Al-Khairiah dulu. Juga merupakan isteri kepada kawan ayah.

Apa yang terjadi? Kami ini adalah satu team anak muda yang direkrut untuk menjadi tentera-tentera muda Islam yang berjuang dengan ilmu, pena, pengaruh dan kekuatan. Boleh teka siapa ketua jemaah kami? Ya. Eddie! Dialah Amir (ketua) kami. Boleh teka apa peranan setiap daripada kami?

Kami semua bergerak atas satu jemaah yang sama. Kami memperjuangkan Islam untuk semua dan keamanan yang dibawakan oleh Islam. Kami menggunakan segala kelebihan kami (setakat yang kami ada menurut mimpi) untuk mencantikkan semula nama Islam. Ustazah Siti Nurafizah dan suaminya adalah penasihat kami. Tapi, di dalam mimpi, saya lebih banyak berinteraksi dengan Ustazah saja. Lagipun, saya dah terlupa apa nama kawan ayah tu. Frederic Kanoute pula menjadi sumber insiprasi saya di dalam mimpi itu. Kerana semangatnya yang sungguh berkobar-kobar dan bersifat iltizam (istiqamah lah tu). Eddie pula sangat berwibawa. Dia menyusun strategi gerak kerja kami. Dia sangat lain daripada yang saya kenal. Macam pelajar lepasan Al-Azhar!

Saya, Kak Salwa dan Kak Fauziah ditugaskan sebagai penyebar maklumat. Sama ada berbentuk tulisan di blog atau risalah. Pacel dan Hanif Mohsein yang terkenal sebagai pendebat dan panelis forum ketika di sekolah dulu memainkan peranan sebagai jurucakap dalam sebarang program yang kami jalankan. Kadang-kala, saya dan Kak Salwa pun akan turun padang menjadi jurucakap bagi program bersama wanita. Kak Fauziah menjadi penjaga dana gerakan ini. Dialah juga yang melancarkan sebarang program berkaitan kutipan derma untuk disalurkan kepada negara-negara Islam yang memerlukan. Seperti hebat kan gerakan kami ini?

Apa kaitannya dengan kedekut? Ada satu program kami ini, ada dua orang anak kecil bernama Abdullah Badawi dan Mahathir hendak turut serta menjadi sebahagian daripada kami. Tak tipu. Nama dua orang budak lelaki itu adalah seperti yang tertulis ini. Setelah bermesyuarat, kami terpaksa menolak mereka. Saya tidak faham kenapa kesukarelawanan mereka tidak dihargai. Sebaik usai mesyuarat, muncul Ustaz Hasrizal di luar bilik mesyuarat. Katanya, jangan kedekut untuk buat benda baik bersama-sama. Selagi niat mereka betul dan ikhlas hendak bekerja bersama untuk agama, jangan dinilai perkara kedua yang kita tak nampak. Terima mereka dengan tangan terbuka. Baru Islam itu nampak mesra dan memesrakan. Jangan kita menjumudkan agama kita.

Oh. Saya sungguh tersentak dengan kata-kata itu. Semua kami, terutamanya Eddie, bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Hasrizal. Mulai dari saat itu, team kami yang kecil itu mula disertai oleh ramai sukarelawan agama. Yang bekerja untuk melihat agama kita diadun mesra dalam masyarakat dunia (bukan di Malaysia saja) dan kami berpuas hati kerana gerakan kami menjadi wadah gerakan tentera-tentera muda Islam yang bersifat berbilang kaum dan negara yang pertama di dunia.

Alhamdulillah, mimpi saya disudahi dengan laungan azan oleh Frederic Kanoute di puncak Al-Hambra. Indah kan mimpi saya? =)

Nota 1: Jangan kedekut. Allah tak suka.
Nota 2: Saya jenis yang tak memeriksa semula apa yang saya tulis/eja. Saya suka jika ada yang membetulkan apa-apa saja yang saya silap. Boleh beritahu saya secara terus di komen atau mahu tegur saya di mana-mana tempat yang relevan. Bukankah teguran atas sesuatu kesilapan itu boleh memperbaiki diri kita? =)
Nota 3: Saya tak study langsung lagi ni. Bangun tidur, saya memasak sedikit. Selepas itu, saya tidak kedekut masa bermain-main sebentar bersama Stewart dan Mickey. Tapi mereka zalim membiarkan saya bercakap seorang diri. Zalim kan? Gambar mereka masih belum ada. Mereka kaki tidur. Terkurung dalam rumah kecil mereka saja.
Nota 4: Maaf. Entri ini panjang dan merepek dan tidak diberikan amaran di permulaan cerita. Maaf bagi sesiapa yang terperangkap.

Posted on January 13th, 2009 by Sarah  |  28 Comments »

Salam Buat Si Comel

Assalamualaikum wbt

Kalau di rumah, jika saya hendak mengejut adik bertuah saya yang berdua itu bangun tidur, saya mesti akan mengetuk pintu bilik mereka, membukanya perlahan-lahan dan memberikan salam dengan nada saya yang tersendiri.

“Assalamualaikuuuuum”

Sambil itu, saya akan tersengih sendiri sebab saya sudah mula dapat menjangkakan reaksi mereka berdua apabila disentuh untuk dibangunkan, baik untuk solat Subuh atau untuk ke sekolah. Yang pasti, nada itu hanya saya gunakan untuk mengejut mereka bangun. Begitu juga yang saya gunakan untuk adik-adik saya yang sudah besar. Baik Adam mahupun Adi jika dia ada pulang dari asrama.

Percaya atau tidak, dalam pada bersendirian di sini selama dua hari ini, saya sudah berkali-kali memberikan salam dengan nada yang sama. Lagaknya, seperti ada budak kecil di dalam rumah ini. Padahal, saya hanya memberikan ucapan salam itu ketika membuka pintu bilik sebelah yang kosong semata-mata untuk menjenguk Stewart, Mickey dan Harold. Mereka semua ibarat budak-budak kecil yang comel di mata saya.

Siapa mereka? Stewart dan Mickey ialah dua ekor hamster yang dipelihara oleh Emy. Harold pula ialah seekor ikan kecil yang diperlihara oleh Diba. Saya ni memandai-mandai saja memberikan namanya Harold. Kasihan Harold tak bernama selama ni. Jadi, setiap kali saya menjenguk mereka untuk memberi mereka makan atau sengaja hendak berbual kosong, saya akan membuka pintu perlahan-lahan, seperti takut mereka terbangun daripada tidur kerana terkejut dan kemudian memberikan salam menggunakan nada biasa saya ketika mengejut adik-adik.

Sungguh. Stewart, Mickey dan Harold sangat comel. Tadi saya baru selesai memberi Harold makan malamnya. Sangkar mini milik Stewart dan Mickey pula saya usung masuk ke bilik saya. Setidak-tidaknya saya dapat melihat keletah mereka bermain pusing-pusing pada roda mini milik mereka di dalam sangkar masing-masing. Insya Allah ada peluang nanti saya tunjukkan gambar mereka.

Nota 1: Saya rindu adik-adik! Teringat semasa saya, Aiman dan Zizi mengecat bilik mereka bersama-sama. Lebih banyak buat kecah daripada bekerja. Tapi hasilnya cantik, kan!
Nota 2: Kaklong telah selamat di Mukah sana. Haha. Sekolahnya ceruk bangat! Tapi dah namapun anak tokey broadband kan. Haruslah dia dapat online setiap hari sebab ayah bekalkan sebuah broadband untuk dia. Huhu.
Nota 3: Stok Nescafe saya sudah habis semalam. Tapi saya masih belum membeli yang baru. Saya boikot produk Nestle. Tunggu esok selepas balik dari hospital baru hendak singgah di supermarket mencari kopi buatan tempatan. Minum Nescafe seperti minum darah pula. Demimu Palestin! (-_-)

Posted on January 11th, 2009 by Sarah  |  41 Comments »

Kisah Di Hospital (i)

Assalamualaikum wbt

Saya tertidur dalam keadaan nota O&G masih di tangan. Saya rasa, saya terlena sekitar jam 2.15 pagi. Masih terlalu awal berbanding biasa untuk saya tidur. Sebenarnya saya sedang menunggu jam mencecah 2.30 pagi supaya saya boleh menelefon rumah tanpa rasa bersalah mengejutkan mereka semua di pagi hari. Tapi tertidur pula. Nantilah baru menelefon. Saya tahu, mereka semua tahu saya selamat dan sihat.

Malam tadi saya membaca tentang rawatan kanser yang diterima oleh perempuan mengandung. Dalam pada itulah saya sempat berangan teringatkan cycle Oncology yang saya lalui pada bulan Oktober lalu. Di sepanjang cycle itu, kami tidak berapa dihiraukan oleh doktor kami, Dr. Sergei. Maksud saya, banyak yang terpaksa kami usahakan sendiri (bagi yang hendak berusaha). Apapun, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Saya banyak membaca di rumah dan membuat nota peribadi untuk mengatasi semula kekurangan yang ada ini.

Bila tiba di hari terakhir cycle ini, kami dikehendaki membentangkan kes kami. Sebenarnya ada dua kes yang saya uruskan. Colorectal Cancer with liver metastasis dan Cholangioma with total obstruction of bile duct. Tapi ketika membentangkan kes, saya hanya perlu membentangkan kes Colorectal Cancer saja. Selesai saja saya bercakap, doktor yang mengendalikan sesi hari itu, Dr. Alexei (doktor ini mengendalikan hampir 90% sesi bersama kumpulan saya di sepanjang cycle), memberikan saya excellent mark dengan komen: “Penerangan awak memang penerangan budak otlichny cuma satu saja. Awak bercakap terlalu laju.”” Oh, doktor. Saya tahu tu. Saya bercakap sama laju macam saya berjalan. Huhu.

Selepas itu, doktor sebenar kumpulan saya masuk. Dr. Alexei menjelaskan serba sedikit prestasi kami ketika membentangkan kes tadi dan selama cycle itu berlangsung kepada Dr. Sergei. Hampir satu kelas lepas untuk cycle ini tapi masih ada beberapa orang yang tersangkut. Kami yang sudah lepas diarahkan untuk ke bahagian belakang kelas, meninggalkan beberapa yang masih sangkut di bahagian depan kelas untuk disoal lebih lanjut.

Saya sudah lega sebab sudah lepas. Ketika Dr. Sergei menanyakan beberapa soalan tambahan kepada yang masih belum lepas, dia tidak membenarkan kami yang di belakang kelas memberikan sebarang jawapan. Doktor ini garang. Susah hendak melihat dia tersenyum. Saya yang duduk di hujung meja panjang bertentangan dengannya pun rasa kecut perut. Tapi entah macam mana, pada satu soalan yang ditanyakanya kepada yang masih belum lepas, dia mengangkat muka bertanya kepada kami yang lain pula. Disebabkan saya berada paling bertentangan dengannya, terpaksalah saya menahan muka supaya tidak tunduk semula. Jatuhlah air muka, kan. Nanti dia ingat saya hendak mengelak daripada menjawab pula (ini adalah perkara normal bagi pelajar medik: kecut perut).

Dr. Sergei tenung saya, saya tenung dia. Disebabkan yang lain masih diam, saya pun menjawablah soalan yang diajukannya. Ini terpaksa sebenarnya. Tiba-tiba dia tidak puas hati dengan hanya penerangan lisan. Dipanggilnya pula saya ke depan untuk melukiskan apa yang saya terangkan tadi. Bukan pasal apa sangat pun. Tentang segala drainage procedures berkaitan abscess (nanah) atau sebarang pathway obstruction (saluran tersumbat) di portal-biliary tree saja. Nak juga kena lukis-lukis. Saya kecut perut sebenarnya. Tapi saya terus ke depan. Saya lukiskan pada kertas yang sedang dipegangnya. Sebaik siap tiga jaluran yang saya lakarkan, terus dia berkata: Maladyets!

Saya pun melangkah semula ke tempat saya. Dalam hati waktu itu ada dua perkara yang saya rasakan. Pertama: Kenapalah kesemua rakan skumpulan saya diam. Dah saya yang terpaksa menjawab untuk menyelamatkan keadaan. Kedua: Aik, saya rasa apa yang saya jawab itu mudah saja (sebenarnya) tapi dapat juga pangkat maladyets itu.

Kesimpulannya, untuk menjadi pelajar perubatan ini kena ada dua perkara. Pertama ialah keyakinan untuk menyuarakan jawapan. Betul salah itu perkara kedua. Selalunya memang terpaksa betullah, kan. Hehe. Kedua ialah persediaan yang cukup. Yang boleh saya katakan, sepanjang hari itu, bermula dengan Dr. Alexei dan kemudian diikuti pula terjahan soalan-soalan daripada Dr. Sergei, semua jawapan yang saya berikan adalah berdasarkan persediaan yang saya buat sendiri ketika di rumah. Kalau nak tunggu setakat apa yang disuap, saya tak rasa saya boleh bergraduasi dari sini.

Boleh tak kalau saya nak perasan sikit? Sebenarnya sejak dari awal cycle lagi, saya rasa Dr. Alexei memang lebihkan saya dalam segala hal. Huhu. Tapi saya bukan menjambukan diri, ok. Prinsip saya, sekali doktor mula beri perhatian kepada saya, saya akan buktikan bahawa tanggapan pertamanya tidak salah. Saya akan cuba memberikan yang terbaik supaya doktor itu sendiri puas hati dengan tanggapan pertamanya terhadap saya dulu. Ya. Terbukti saya ini ego.

Otlichny – Excellent
Maladyets – Brilliant

Nota 1: Dr. Alexei adalah sangat comel (baca: kacak). Dia juga berkaca mata. Ketika bercakap dan tersenyum, matanya akan mengecil. Menambahkan kecomelannya (baca: kekacakannya). Ketika saya ke Dean’s Office pada bulan November lepas, saya terserempak dengannya. Oh, dia masih mengingati saya! (bunga-bunga dalam hati, kupu-kupu dalam perut)
Nota 2: Kisah ini ada siri berikutnya.

Posted on January 10th, 2009 by Sarah  |  25 Comments »

Saya Budak Berani

Assalamualaikum wbt

Di saat saya menulis entri ini, jam baru menunjukkan pukul 8.04 pagi. Di luar masih Subuh gelap. Sejuk sungguh hari ini. Angin kuat. Salji sudah mula menjadi ais di jalanan. Sudah beberapa hari salji tidak turun dengan lebat. Dan di saat ini, saya bersendirian di bilik. Juga di rumah. Dan saya akan bersendirian selama dua minggu mendatang.

Wanie telah selamat berangkat ke Korea pada hari Selasa lalu. Diba dan Emy pula telah bertolak menuju ke Itali pada hari semalam dan sekejap tadi, Fatt dan Pena baru saja berlepas menuju ke Swiss. Banyak tempat yang akan dikunjungi Diba-Emy dan Fatt-Pena. Saya? Saya masih mempunyai rutin hospital dan cuti musim sejuk saya masih belum bermula. Maka tinggallah saya seorang diri di rumah.

Ok. Entri ini sila baca dengan nada ceria. Seronok sebenarnya tinggal seorang di rumah. Tiada apa yang menyedihkan pun. Saya boleh studi sambil mendengar apa yang saya mahu tanpa perlu memakai earphone. Seronok, kan? Haha. Saya tak payah memasak. Untuk diri sendiri pun saya tak rasa saya akan makan sangat kalau tiada orang. Selagi ada roti, saya tiada masalah untuk hidup. Haha. Lagipun tak seronok makan seorang. Kalau saya masak, nanti saya yang hidang dan saya yang makan. Macam apa saja kan. Jadi, baik tak payah masak.

Saya teringat filem Taken yang kami serumah tonton bersama kira-kira sebulan setengah yang lepas. Sebaik habis menonton, mereka saling menasihati sesama mereka kerana mereka semua juga bakal bercuti ke beberapa buah negara dalam kelompok kecil. Dalam filem itu, ia berkisar tentang sindiket penculikan remaja perempuan yang mengembara dan disalurkan ke sindiket dadah dan pelacuran. Memang menyeramkan jika cuba membayangkan keadaan diri sendiri berada dalam situasi tu.

Tapi sekarang ni, sebaik saja rumah sudah kosong, perkara pertama yang saya terfikir sebaik mengunci pintu dapur tadi ialah, saya yang tidak ke mana-mana inipun boleh berhadapan dengan perkara-perkara yang sama. Duduk seorang, di negara asing juga kan, awal pagi gelap lagi sudah keluar ke hospital seorang diri. Kalau saya hendak diculik atau apa saja, boleh terjadi dalam sekelip mata. Sampai mungkin tiada yang sedar pun. Lagi dahsyat.

Lepas itu, saya boleh diseludup ke Siberia sana. Dihantar menggunakan keretapi gedek-gedek naik di bahagian kargo bersama ayam itik. Entah saya jadi apa di sana. Entah dadah apa yang diberikan kepada saya. Entah aktiviti apa yang terpaksa saya lakukan tanpa sedar. Entah masih sempurna atau tidak aurat saya. Entah kehilangan saya disedari orang atau tidak. Entah saya akan ditemui semula atau tidak.

Ok. Seram. Ini cuma imaginasi otak saya yang sangat mudah membayangkan sesuatu secara berlebihan. Takut, kan? Ok. Jangan takut. Saya tak takut pada manusia. Pintu rumah sentiasa berkunci. Segala pintu. Lampu bilik sebelah juga saya akan buka bila malam. Biar orang rasa seperti ada orang di dalamnya. Lampu bilik saya juga saya pasti akan biarkan terbuka siang malam. Haha. Nampak sangat akan tidur tak tutup lampu. Saya takut satu saja. Janganlah tiba-tiba bekalan eletrik terputus. Saya nak lari ke mana pun saya tak tahu. Seram saya duduk gelap-gelap. Nak tahu sebab apa? Sebab saya dengan mudah akan membayangkan bentuk-bentuk yang saya nampak dalam cahaya samar sebagai sesuatu. Ok. Seram. Haha.

Merepek apalah saya pagi-pagi buta ni. Bangunan hostel ini sunyi saja sekarang. Majoriti yang tinggal hanya pelajar-pelajar tahun 6. Tapi mereka nun jauh di tingkat atas. Saya seorang saja di tingkat 2 ini. Tapi di sekeliling rumah saya ada beberapa buah rumah para jejaka Arab kumis nipis badan sasa. Kalau saya butuh pertolongan, saya kira saya boleh menjerit saja.

“Ya Fahri. Fahri. Ana ihtajuka!” Hah. Mengarut apa dah saya ni. Siap ada Fahri pula. Pakai hentam saja ni. Jangan percaya ayat saya tu. Saya sudah lupa apa perkataan yang betul. Kalau ikut logik akal, maksud ihtajuka tu ialah berhajatkanmu. Hah. Tak pasal-pasal nanti saya hilang sebab kena bawa kahwin lari pula. Lagi naya! Haha.

Tengoklah. Mungkin kalau saya jemu, rajinlah saya menulis. Kalau tidak, memang saya berhibernasi dengan buku-buku sajalah. Dapat bayangkan meja studi saya sekarang bagaimana keadaannya? Penuh dengan alak solek pengantin! Hah. Tipu. Penuh dengan segala nota sebab malam tadi tertidur tanpa kemas meja. Inilah gara-gara melayankan sangat lagu Hindustan lama zaman Bobby tu. Mengantuk!

Nota: Kamu tak rasa tertipukah dengan tajuk entri kali ini? Haha. Satu-kosong!

Posted on January 9th, 2009 by Sarah  |  32 Comments »