Seingat saya, sejak tingkatan 3 lagi saya mula menjadi seorang yang kuat berimaginasi. Serba-serbi saya bayangkan. Ketika itu, ada sepasang kembar keturunan Syed-Sharifah ni baru masuk sekolah saya. Maka, saya pun mula berangan bahawa saya mempunyai kembar. Lagi unik, saya membayangkan bahawa kembar saya itu seorang lelaki.
Ketika tingkatan 5, saya mengalami sedikit gangguan alam ghaib ketika di sekolah. Waktu itu saya berhenti berimaginasi sekejap. Saya selalu rasa seram jika berangankan kembar imaginasi saya itu sebab ‘benda’ itu akan menyusul tidak lama selepas itu. Saya akan rasa begitu begini, berat kaki dan macam-macam bunyi saya akan dengar. Saya kan penakut (tak guna perkataan mungkin dah). Jadi untuk mengelakkan hal-hal menyeramkan terjadi, saya elakkan daripada berimaginasi tentang apa-apa saja.
Tetapi di sini, saya mula menyambung aktiviti lama yang kuat berimaginasi dan berangan tentang sesuatu yang pelik-pelik. Kembar yang saya cipta dulu kembali wujud dalam kepala saya. Saya selalu membayangkan, kalau saya ke mana-mana seorang diri, saya tidak perlu risau apa-apa kerana kembar saya itu ada bersama saya. Dulu saya pernah menjelajah Moscow seorang diri dan serius pada ketika itu saya tidak rasa langsung bahawa saya sendirian. Kembar imaginasi saya itu ada bersama saya.
Saya tidak tahu bagaimana hendak membayangkan rupa atau sifat si kembar ini. Yang pasti, dulu saya namakannya Safuan. Dari tingkatan 3 sehingga 5. Tapi selepas tamat sekolah saya sudah tidak rasa lagi yang nama Safuan sesuai untuknya sebaliknya saya (yang dalam proses cuba membuang habit suka berimaginasi ini) telah nekad untuk tidak menamakannya apa-apa. Mungkin dengan cara itu saya akan kurang terfikir-fikir tentang kembar imaginasi saya ini.
Yang boleh saya kata, perangai kuat berimaginasi ini bertahan sehingga saya di tahun kedua di sini saja. Waktu itu saya rasa saya perlu betul-betul fokus dengan apa yang saya lakukan. Perlu matang dalam segala aspek dan perlu buang segala sifat budak-budak yang ada. Salah satunya termasuklah si kembar itu. Memang saya tak terfikir langsung dah tentang kewujudan dia dalam minda separuh sedar saya yang telah wujud bertahun-tahun dalam kehidupan saya.
Sehinggalah setahun lebih yang lalu, saya mula mengenali seseorang. Dia bukan orang lain. Orang yang dekat dalam kehidupan keluarga saya. Apabila mengenalinya, saya lihat perangainya lebih kurang seperti kembar imaginasi saya itu. Malah, dia juga seorang yang berimaginasi bahawa dia juga mempunyai kembar. Ajaib betul. Kami sebaya. Tarikh lahir kami hampir-hampir saja. Disebabkan dia lahir terlebih dahulu, jadi dialah abang dan saya adiknya.
Imaginasi saya jadi kenyataan. Kisahnya bukan setakat di sini. Kembar imaginasi saya kini bukan lagi sekadar bayangan tapi benar-benar muncul dalam kehidupan harian. Cuma masih belum ada rezeki agar yang maya menjadi nyata.
Bersambung…
Nota 1: Nama Safuan itu dulu saya beri kerana saya sukakan huruf F. Kalau dah kembar, biasanya huruf awal nama juga adalah sama, kan. Jadi, muncullah Safuan. Kebetulan, nama kembar yang nyata itu juga bermula dengan S dan mempunyai huruf F. Huhu.
Nota 2: Saya menulis entri ini kerana ditanya oleh Khairul apakah yang saya maksudkan dengan kembar imaginasi saya.