Rasional

Assalamualaikum wbt

Saya mengkategorikan otak saya sebagai kompleks. Cara saya berfikir sangat berselirat. Kalau sudah ada satu keputusan yang diambil, saya mesti akan berfikir sekali lagi untuk merasionalkan kata putus itu.

Contohnya begini. Beberapa hari lepas, saya menyusun semula nota-nota lama untuk subjek Obstetrics. Saya menggunakan fail plastik lutsinar sebagai fail untuk mengisi nota-nota kelas. Di permukaan atas sekali, saya tulis perkaraan OBSTETRICS menggunakan marker di atas sehelai kertas A4. Disebabkan subjek ini telah dipelajari sejak tahun 2007, kertas A4 yang dijadikan kulit fail ini telah buruk rupa. Memang buruk benarlah.Yang masih cantiknya hanyalah sampan kertas yang saya sisipkan di atasnya dan tertulis ‘From Sarah With Love’. Huhu.

Jadi, saya membuat sekeping kulit baru. Saya menggunakan marker warna lain pula. Kebetulan ketika hendak mencuba marker yang lagi satu tu, saya telah terconteng pada permukaan depan kulit lama yang sudah buruk itu. Sebelum tu saya ada mencuba dua batang marker lain tetapi saya mencontengnya di permukaan belakang kertas itu. Bila sudah siap kulit yang baru, saya tindihkan saja di atas kulit yang buruk. Di situ saya terdiam sebentar.

Otak saya menyuruh saya merasionalkan semula keadaan. Otak saya kata, buang sajalah kulit lama tu. Dah berconteng sikit dah pun di atasnya tu. Saya tarik keluar kertas itu. Kemudian, laju saja otak saya menjawab semula. Alah. Sikit saja. Lagipun dah dua tahun lebih kulit tu menjadi kulit fail ni. Simpan sajalah. Jadi saya masukkan semula. Tetapi kemudian otak saya menjawab lagi. Tapi buat berat je usung ke sana ke sini. Lagipun bukannya nampak bila dah ditindih dengan yang baru tu. Jadi, saya tarik separuh kertas itu untuk dikeluarkan. Tetapi otak saya merasionalkan semula keadaan. Alah. Sehelai kertas tu manalah berat pun. Entah berapa miligram saja beratnya. Lalu saya menyimpan semula kertas itu. Jadi, sampai ke hari ini saya masih menyimpan kulit buruk itu. Pada penilaian kedua, saya ni kan sentimental orangnya. Selagi boleh simpan, memang saya simpan. 😆

Malam semalam, sekitar 12 malam saya sudahpun naik ke atas katil. Saya baca tak masuk-masuk. Jadi baik saya tidur. Lagipun hari Isninnya cuti. Ada banyak masa untuk membaca. Tetapi saya terjaga semula sekitar 1.30 pagi. Selepas menghilangkan mamai dengan dua, tiga orang rakan di Plurk, saya menyambung bacaan. Kali ini saya menyandar di katil dan menggunakan lampu studi saja. Bilik sudah gelap memandangkan yang lain sudahpun tidur.

Saya membaca sehingga pukul 3.30 pagi lebih. Dalam pada itu, saya tertidur. Saya tidak sedarlah pula pukul berapa setepatnya saya tertidur tu. Dalam saya tidur itu, otak saya mengingatkan bahawa saya tidak membaca doa tidur lagi. Jadi saya kena bangun. Saya amat jelas dengan arahan otak saya yang masih belum mencapai lelap. Saya terbangun setelah terlelap dalam 10 minit. Saya lihat jam. Sudah 4 pagi. Saya menyambung sedikit lagi bacaan. Saya tak puas hati sebab tertidur tadi. Jadi saya berniat untuk habiskan dulu sehingga perenggan yang saya hajatkan.

Tetapi, saya terlelap lagi dalam 15 minit kemudian. Dalam tidur kali ini, saya berkali-kali diingatkan oleh otak saya supaya bangun membaca doa dulu. Jika tidak, ada perkara tidak baik akan terjadi dalam tidur saya tu. Tidur saya tidak akan sempurna. Begitulah otak saya merasionalkan semula keadaan saya yang tidur tidak membaca doa itu. Tapi saya tetap meneruskan tidur. Memang dah mengantuk sangat waktu tu.

Dalam tidur, saya bermimpi. Konon-kononnya saya sudah bekerja waktu itu. Ada satu malam, saya baru balik dari kerja. Sampai di rumah, saya menutup pintu pagar di bawah bukit dan berjalan menaiki bukit rumah. Dalam gelap malam, saya terasa diikuti. Saya yakin ada orang yang mengikut di belakang saya. Sampai di rumah, saya sedang berada betul-betul di hadapan pintu dapur rumah (kami lebih biasa menggunakan pintu dapur di tengah rumah untuk keluar masuk berbanding pintu runag tamu). Saya nampak kelibat orang menyusup di pintu depan.

Saya cepat-cepat cuba membuka pintu rumah. Tetapi tak sampai beberapa saat, orang itu datang menerkam saya dari arah belakang dan cuba menerkup mulut saya. Yang saya ingat, saya menjerit sekuat hati: Emak, ayah, ada orang nak masuk rumah!

Sekelip mata kemudian, saya terbingkas bangun. Bangun dalam keadaan terkejut. Ala-ala macam dalam drama tu. Bangun yang terus duduk atas katil, pandang keliling, usap-usap muka tu. Hahaha. Saya memandang rakan sebilik saya. Masih tidur. Saya pun baring semula dan otak saya pun mula memarahi diri saya. Itulah lagi. Siapa suruh tak baca doa. Dah ingatkan, tak buat-buat juga. Kan dah mimpi yang bukan-bukan.

Bila sudah siang, Fatt menegur saya. Katanya: KS, KS sedar tak yang KS mengigau malam tadi? Saya menjawab: Haah. Sedar. Pukul 4 lebih. KS jerit ’emak, ayah, ada orang nak masuk rumah!’. Fatt membalas kembali: Saya tak tahulah pulak apa yang KS jerit tu sebab tak jelas sangat. KS macam mumbling dalam tidur tapi kuat. Saya jawab dengan tergelak-gelak: Bukan sengaja nak mumbling tapi waktu tu mulut KS kena pekup dek orang. Haha.

Mesti Fatt pelik apa yang saya maksudkan. Dalam mimpi saya, saya kan diserang dari belakang dan orang itu menekup mulut saya. Sebab tu jeritan saya tidak jelas. Dan ketika terjaga dari tidur tu, memang saya rasa semput nafas, terbawa-bawa dek insiden menggelupur cuba melepaskan diri. Aishh. Ngeri bila diingat semula. Rasa macam nak mati tak cukup nafas.

Ok. Kembali kepada topik. Otak saya ni nampaknya semakin kuat menguasai saya. Semua benda pun dia nak rasionalkan semula. Ada kalanya baik. Ada kalanya memang menyusahkan saya. Sebab perkara yang ringkas dan mudah pun saya jadikan kompleks dan yang tidak wajib pun otak saya tafsirkan sebagai wajib. Contohnya seperti doa tidur itulah. Boleh saja kalau saya hendak hentam taram teruskan tidur tapi otak saya macam sudah ada satu mind setting yang mewajibkan membaca doa sebelum tidur. Bila saya tertinggal doa, sudahnya mimpi yang bukan-bukan pula.

Kadang-kala, saya sampai terfikir begini: Kalau saya tak bawa sehelai tudung spare ke hospital, nanti saya tak boleh masuk labour room atau OT. Jadi saya bawa. Tapi kemudian saya keluarkan semula dari beg kerana otak saya berkata saya mesti boleh masuk punyalah ke labour room dan OT dengan tudung saya ni. Tapi tak sampai seminit kemudian, saya mesti bawa semula tudung itu kerana otak saya merasionalkan keadaan dengan berkata: Padan muka nanti kalau orang lain boleh masuk OT, awak duduk seorang kat luar. Huhu. Sudah-sudahnya, untuk mengelakkan otak saya berbalah dengan diri saya sendiri setiap pagi, saya tinggalkan sehelai tudung spare di bilik salin baju khas untuk pelajar tahun 6 di hospital. Tiada nak gaduh-gaduh dah di pagi hari sama ada hendak bawa atau tak. Buat pening kepala sendiri je la Cik Sarah oi.

Adeh. Penat nak layan otak ni. Sikit-sikit suruh rasionalkan semula. Huhuhu. Petang tadi saya rehat sekejap dengan tidur sebentar. Saya baru nak tarik selimut tapi otak saya menegah dengan tujuan supaya saya rasional. Katanya: Nanti tidur terlajak sampai 2 jam baru padan muka. Laju saya menyimpan semula selimut ke bawah bantal dan saya berbaring tanpa bantal seperti biasa. Tidur di waktu sejuk tanpa selimut adalah tidak menggembirakan, kan? Otak oh otak. 🙄

Nota 1: Entri ini adalah autopost.

Nota 2: Takutnya nak final exam lagi 3 bulan! 😥

Posted on February 24th, 2009 by Sarah  |  27 Comments »

Kualiti

Assalamualaikum wbt

Saya asyik mengantuk saja sejak semalam. Baru baca seperenggan, mata sudah hampir terpejam. Yang lucunya, ini terjadi hanya setiap kali saya membaca Neurology. Nampaknya, kuat betul tulah subjek itu. Atau, adakah saya alah terhadapnya? Simtom alahan ini ke atas saya ialah mata akan mengantuk dalam masa 10 ke 15 minit selepas buku dibuka. Jenuhlah saya macam ni.

Petua doa sebelum belajar pun nampaknya tidak berkesan. Saya mengamalkan tujuh buah doa sebelum belajar. Bermula dengan surah Al-Fatihah (1:1-7), dua buah doa penerang hati (Tahaa 20:25-28), doa meminta ditambahkan ilmu yang bermanfaat, doa meminta dipermudahkan segalanya, doa cahaya petunjuk (An-Nur 24:35) dan disudahi dengan Ayat Kursi (Al-Baqarah 2:255). Nampaknya, mata saya masih lembik dilanyak syaitan. Saya kena fikirkan solusi lain untuk mengatasi masalah ini. Saya perlu tingkatkan kualiti masa, hati dan diri saya sendiri.

Hari ini saya bercuti sempena sambutan memperingati jasa kaum lelaki dalam mempertahankan negara. Ringkasnya, hari ini disambut sebagai Hari Lelaki. Jadi, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lelaki buat semua lelaki berkualiti yang ada di dunia ini. Untuk dunia, kamu adalah seseorang. Untuk seseorang, kamu adalah dunianya.

Oh. Moga-moga saya dapat membaca dengan berkualiti pada hari ini. Mata, tolonglah jangan alah dengan Neurology lagi. Menangis saya nanti, tau. 😥

Nota: A man has to do what he has to do. (Ayah, March 2008)

Posted on February 23rd, 2009 by Sarah  |  31 Comments »

Tiga Tag Sekali Harung

Assalamualaikum wbt

Sepanjang minggu ini, saya ditag oleh tiga orang yang berbeza. Saya sudah katakan kepada mereka saya akan menyelesaikannya di hujung minggu ini.

Pertamanya, saya ditag oleh Ainul. Saya mendapat anugerah Cute Blogger Award.  Tak cute pun boleh rasa cute sekejap. Hehe. Apa-apalah kan. Terima kasih. Anugerah ini disertakan dengan tag. Saya layankan sajalah. Sedang mamai lagi ni. 10 fakta tentang diri saya dan 10 orang untuk diberikan anugerah ini juga tag untuk mereka.

Saya ni dah tua dah sebenarnya. Tak sesuai langsung dah dengan tag-tag semua ni. Jadi untuk memendekkan cerita, dulu saya pernah senaraikan 15 fakta tentang diri saya di entri ini. Tapi perlukan 10 sajakan? Lagi 5 tu kira ‘beli 10 percuma 5’ lah ya, Ainul. :mrgreen:

Keduanya, saya ditag oleh Fatt di Facebook. Saya tidak aktif dengan Facebook saya. Jadi, saya memang takkan menjawab di Facebook saya. Saya diminta menyenaraikan 25 fakta tentang diri. Lagi sekali, hal fakta-fakta diri menjadi topik tag yang diminati.

Juga untuk memendekkan masa, di atas tadi kiranya sudah ada 10 fakta kan? Kita main tambah-tambah sajalah ya. Jimat ruang pun iya juga. 10 fakta boleh ambil di entri ini tadi. Lagi 8 fakta di entri ini. Dan baki lagi 7 fakta di entri ini. 10+8+7=25 kan? Ok. Selesai. Ini semuanya tag-tag lama yang pernah saya buat sejak tahun 2007. Terimalah dengan hati terbuka ya, Fatt. 😆

Ketiganya, saya ditag oleh Farah Ramlee. Segala soalan tag perlu dijawab menggunakan huruf awal nama saya.

1. What is your name: Sarah

2. A four Letter Word: Solo 😆

3. A boy’s Name: Salman (Of course I remember my twin!)

4. A girl’s Name: Shazwani (the best junior of mine!)

5. An occupation: Saxophonist (Punyalah dah tak terfikir yang lain) 😆

6. A color: Sapphire

7. Something you’ll wear: Shawl. The Arabian style. 😛

9. A food: Shaurma and shashlik :mrgreen:

10. Something found in the bathroom: Shampoo, soap and shaver

11. A place: Seoul (Because of some personal reasons. Huhu)

12. A reason for being late: Overslept. Sesak. Sesat. Huhu.

13. Something you’d shout: Aisssssshhh. Hari-hari pun ada jerit macam ni kot. Tak ikut rules dah ni. Layan sajalah ya, Farah. 😀

14. A movie title: Sepi (Puas nak fikir ni. Tak tahu dah apa yang lain)

15. Something you drink: Sok (It’s a Russian word. The meaning is juice. Hehehe)

16. A musical group: Sheila on 7 😎

17. An animal: Salamander. It has adorable eyes!

18. A street name: Jalan Semarak KL je lah.

19. A type of car: Serena

20. The title of a song: Selamat Ulang Tahun Sayang by Imran Ajmain 😉

Posted on February 22nd, 2009 by Sarah  |  13 Comments »

Identiti

Assalamualaikum wbt

Sudah pukul 2.30 pagi. Saya masih belum tidur. Balik saja dari hospital pada hari semalam, saya bertahan menunggu Maghrib masuk dan kemudian terus saya tertidur kepenatan. Saya terjaga sekitar pukul 9 malam itupun kerana mendengar bunyi orang atas bilik saya ni bertukang. Entah apa yang diketuknya pun saya tak tahu.

Saya ada membelek-belek Oxfard Handbook yang sangat sinonim dengan dunia pelajar perubatan. Tapi sungguhlah memang jemu. Baru dua, tiga muka saya baca, mata sudah kuyu. Tapi bila membaca novel sejarah Crime And Punishment karya Fyodor Dostoevsky, sampai berbelas-belas muka sekali hadap pun tak jemu-jemu. Sampai boleh terlepas stesyen metro dibuatnya kerana terlalu ralit membaca.

Kononnya, untuk menghilangkan rasa mengantuk membaca nota-nota ringkas dalam Oxford Handbook, saya menonton filem Selamat pagi Cinta. Pagi semalam, ada kawan memaklumkan di Plurk bahawa cerita itu sudah ada di Youtube. Sumpah saya kata, menyesal sungguh menonton cerita itu. Ada tiga alasan utama:

1. Tak mencerminkan identiti filem kita. Sudah jadi seperti filem Indonesialah pula. Konon-kononnya babak baca sajak segala bagai tu macam cool seperti filem Ada Apa Dengan Cinta kah?

2. Terlalu fantasi. Cinta Ilham-Julia terlalu di-alam-maya-cintamu. Takdir yang kuat ala-ala cerita Serendipity pula.

3. Saya tak suka segala aksi Sharifah Amani yang didukung atau berpakaian seksi. Memanglah itu realiti di Malaysia. Ramai yang tak kisah dah pun tentang semua ini. Tapi janganlah pula semakin ditonjol-tonjolkan di TV atau dalam filem. Semakin menggalakkan orang mengikut jejak berlagak cool dengan fesyen buruk tak cukup kain macam tu. Saya pelik betul, apa nak jadilah dengan anak-anak masa depan.

Pendek cerita, memang menyesallah menonton cerita tu. Manis tak manis sangat (baca: not so sweet). Sedih tak sedih sangat. Entah di mana kemuncak cerita pun tak tahulah. Pengajaran pun tidak jelas. Penyudah? Ya Rabbi. Lagilah saya tak tahu nak kata apa. Hahaha. 😆

Tengah malam tadi, saya menonton satu lagi filem. Wayang. Kawan saya ada menyarankan filem ini kepada saya. Saya tidak memuat turun sebaliknya menunggu saja kewujudannya di Youtube. Tadaa. Tadi saya cari-cari, sudah adapun filem itu. Tentang filem Wayang ini, mesejnya sarat dari awal cerita sehingga ke penyudahnya. Kesimpulan yang paling baik yang boleh saya berikan ialah:

1. Jangan jumud dengan sesuatu perkara termasuk agama. Dan jangan bertopengkan agama untuk memuliakan kesyaitanan diri.

2. Sifat mulia hati dan penyabar.

3. Berbaik sangka dan tidak kedekut ilmu.

Saya tak tahu nak huraikan macam mana tapi yang boleh saya katakan, sudah lama Malaysia tidak mempunya filem bermesej yang sarat dan berat seperti ini. Yang kaya dengan nilai dan pengajaran baik dari segi agama, adat dan kemanusiaan. Dalam tempoh sedekad ini, asyik filem cinta cinta cinta. Tak sudah-sudah dengan cinta saja. Kalau cinta yang membina jiwa dan ada moral yang tinggi tak apa juga. Tapi ini cinta yang kalau diteladani akan merosakkan lagi anak muda. Hancur seh.

Saya bukan hendak membuat review filem di sini. Saya hendak menyatakan pendapat peribadi saja. Kalaulah diadili kedua-dua filem ini, saya tanpa ragu akan menyatakan Wayang jauh lebih baik, bermoral, ada nilai, mesej dan lebih realistik untuk ditonton. Dan yang paling utama, Wayang lebih membawa motif filem kita wajah kita. Tiada unsur keindonesiaan gitu.

Nota 1: Email notification dan Hubungi Sarah sudah berfungsi kembali. Ada masalah hosting sikit 3-4 hari ni.

Nota 2: Semakin ramai orang di sekeliling saya membeli iPhone dan segala macam gadget yang lain. Saya tetaplah macam ni. Saya memang tak berminat sangat dengan gadget. Cukuplah seadanya apa yang saya miliki. Saya tak rasa kita kurang jika tidak up-to-date dengan semua ni kan. Bagi yang membeli kerana memerlukan, tu tak mengapalah. Tapi bagi yang membeli kerana kemahuan, tak eloklah begitu, kan. Bersederhana itukan lebih baik. 🙂

Posted on February 22nd, 2009 by Sarah  |  20 Comments »

Selamat Tinggal Kopi

Assalamualaikum wbt

Saya telah berubah. Jika dulu, sehari hidup tanpa segelas kopi, nescafe dan yang seumpama dengannya adalah tidak sah untuk saya. Itu minuman ruji. Air masak pun bukanlah seruji itu bagi saya. Tekak saya memang susah hendak menerima air masak atau air mineral di sini. Bagi saya, rasanya pelik. Untuk membolehkan saya menerima air masak, saya perlu mencampurkan air panas dan air mineral biasa. Barulah boleh diminum. Kalau tidak, saya lebih suka membancuh air dan wajiblah air itu sejenis kopi.

Tetapi sejak empat hari lalu, saya sudah berhenti minum kopi seratus peratus. Untuk mengelakkan saya terbancuh air tersebut, saya langsung tidak membeli stok susu manis baru. Jadi, saya tidak dapat membancuhnya. Bila saya menyebut kopi, saya memaksudkannya sebagai nescafe susu. Tapi sekarang saya bukannya menggunakan nescafe. Saya boikot. Saya telah bertukar menggunakan produk tempatan di sini.

Dalam tempoh empat hari ini, saya bersarapan dengan air suam. Saya suka makan sekeping roti bakar kosong ketika bersarapan. Memang pelik rasanya untuk bersarapan hanya dengan air suam begini. Tapi saya cuba merutinkannya. Alhamdulillah setakat ini masih bertahan dan saya suka dengan rutin ruji baru saya ini.

Semalam saya keluar bersama rakan serumah untuk membeli barang rumah. Kami singgah makan ringan sedikit memandangkan semuanya sedang lapar. Kalau dulu, walau apapun kedai yang saya singgah untuk makan, minuman saya hanyalah kopi. Tidak kisahlah kopi apapun. Janji ialanya sejenis kopi. Capuccino, American Coffee, Mocha, Black Coffee atau apa saja. Semalam, saya berdiri lama di kaunter. Kaunter pun kebetulan kosong. Saya memesan pancake karamel dan untuk memesan air, saya jenuh memandang keliling. Saya tidak mahu sewenangnya merosakkan rutin baru saya.

Akhirnya, buat pertama kali saya memesan jus saja. Amat jarang sekali saya memesan jus ketika minum atau makan di luar. Saya tersenyum sendiri dengan perubahan kali ini. Semoga saya bertahan dengan rutin baru yang lebih sihat untuk saya ini.

Nota 1: Buat sementara waktu, kamu tidak dapat menghubungi saya menggunakan Hubungi Sarah. Ada masalah teknikal.

Nota 2: Saya sedang bersarapan roti bakar kosong. Tapi saya teringat-ingat mi goreng yang emak selalu masak. 😥

Nota 3: Tajuk macam orang putus cinta. Huahuahua. 😆

Posted on February 21st, 2009 by Sarah  |  20 Comments »