Senario Malaysiaku

Assalamualaikum wbt

Semenjak kebelakangan ini, jika saya bertangguh untuk menulis sesuatu dan merancang untuk menulis di lain waktu perihal yang ditangguhkan itu, jangan haraplah saya akan menulisnya langsung. Kalau ikutkan, sudah ada tiga perkara yang saya tangguhkan. Dan disebabkan saya memang tidak berperasaan cinta yang mendalam sangat terhadap blog ini sejak kebelakangan ini, saya memang tidak berniat untuk menunaikan apa yang saya tangguhkan dulu.

Sejak DS Najib dengan rasminya naik menjadi Perdana Menteri kita yang keenam, kejutan demi kejutan dapat kita saksikan. Dimulakan dengan pembebasan 13 tahanan ISA. Juga penarikan semula arahan penggantungan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan yang dikeluarkan oleh KDN yang berkuat kuasa serta merta. Dua perkara pertama yang dilakukan ini nampaknya menyebabkan rakyat memang berlapang dada sungguh dengan DS Najib. Berbaik sangkalah tu. Tapi tak kurang juga yang berhati-hati menanti apakah pendekatan memenangi hati rakyat yang seterusnya. Dan setiap hari, rakyat bagaikan ternanti-nanti apakah lagi kejutan dan pembaharuan yang akan diterima oleh Malaysia.

Hari ini, terlalu banyak kejutan yang kita terima. Kes Altantuya. Barisan kabinet baru DS Najib. Wow banyak kali wow saya hari ini. Dari celik mata sehingga tengahari ini, berkali-kali dah wow, wow, wow. Saya tak berniat hendak mengulas panjang. Pergilah dengar berita, baca surat khabar, jenguk laman web rasmi sana sini yang meletakkan senarai penuh kabinet baru. Buat apa saya ulas pun. Tersalah tulis sikit pun dah jadi isu besar pula nanti.

Yang saya terasa lucu dan ironi ialah Khairy yang tidak wujud dalam senarai baru ini. Sebaliknya Mukhriz dan ketua-ketua sayap UMNO yang lain ada disenaraikan. Juga beberapa muka baru yang tidak disangka akan naik (bagi sayalah). Dan terasa kelakar bila melihat ada orang lama yang pernah dikeluarkan kini sudah dimasukkan kembali. Kalau orang lama dikeluarkan, itu tak apalah. Mungkin idea orang baru lebih bernas untuk diadaptasikan dalam slogan Satu Malaysia. Yang pergi ambil semula orang lama, ada alasan yang bernas tak untuk menjelaskan kenapa? Saya nak wow lagi sekalilah.

Kelakar oh kelakar.

Nampaknya Hamid Albar dah tiada. Azalina pun dah tiada. Drama bertajuk apa pula yang akan muncul di kalangan pemimpin kita nanti ya. Dah tiada jaguh wanita untuk perang mulut. Dah tiada sinikal-sinikal santai Hamid Albar. Yang ada, mungkin jawapan-jawapan tanpa sokongan ilmu oleh Zahid Hamidi dan Ahmad Shabery Chik. Kita tunggu. Kita lihat nanti apa akan jadi.

Cuma suka untuk saya nyatakan, saya bersetuju dan hendak melihat corak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri kita sekali gus merangkap Menteri Pelajaran. PPSMI mansuh boleh tak, Tan Sri? Ada berani? :mrgreen:

Atau, apakah mungkin Dafi akan terus-terusan berpolitik bagi pihak ayahnya? Ok ok. Kita tunggu. Kita lihat nanti apa akan jadi.

Kelakar memanglah kelakar. Tapi negara kita tetap negara kita. Semoga mana-mana yang negatif dalam kabinet baru ini akan dineutralkan dengan adanya positif daripada beberapa kepimpinan yang saya yakin akan menjalankan tanggung jawab mereka dengan sebaiknya.

Tapi tolonglah satu perkara wahai ahli-ahli politik negara. Buanglah sikap mengutuk hentam herdik sana sini. Nak tahu apa kawan saya berbangsa Tan Tan Tan di sini tanya? Tanyanya: Malaysia ni kecil saja. Tapi gaduh pasal politiknya tak sudah-sudah. Apa yang direbutkan sangat tu?

Ha. Jawablah. Jawab. Saya tak jawab. Saya senyum-senyum. Di akhirnya saya sudahi dengan satu kenyataan: Selagi ada duit dan pangkat, kat mana-mana pun dalam dunia ni akan ada orang yang kejarkan benda-benda ni semua.

Rasulullah S.A.W bersabda: β€œTiap-tiap seorang daripada kamu adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab ke atas orang yang berada di bawah pimpinannya. Seorang ketua negara bertanggung jawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya. Seorang isteri bertanggungj awab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang anak pula bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, begitu juga seorang hamba atau yang bekerja dengan majikan, bertanggungjawab kepada majikannya. Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungj awab ke atas apa yang dipimpinnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda: “Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggung jawab yang diamanahkan di dalamnya.” (Riwayat Muslim)


Nota 1: Ini pendapat peribadi saya sebagai rakyat Malaysia.

Nota 2: Suhu di Moscow sudah panas. Nampaknya petang ni boleh pergi jogging. Tapi daun hijau masih belum berputik. Alhamdulillah atas nikmat cuaca yang nyaman ini, Ya Allah.

Posted on April 9th, 2009 by Sarah  |  13 Comments »

Sukan Sebagai Terapi

Assalamualaikum wbt

Sebagai seorang yang berperutkan Melayu sejati, saya tidak boleh hidup tanpa nasi. Sejak pagi tadi, saya langsung tidak menjamah apa-apa melainkan sandwich tuna dan secawan kopi tengahari tadi. Itupun setelah hampir berputus asa mencari pejabat Biro Penterjemahan bersama Faisal dan Thines. Makan tahap kebulur. Sebelum itu, di sebelah paginya, saya dikehendaki membawa pesakit saya pagi tadi ke bilik pengimejan untuk prosedur Echocardiography. Ketika di dalam bilik itu, bersama seorang lagi doktor dan empat orang pelajar Rusia yang lain, tiba-tiba perut saya berbunyi. Bukan sekali. Bukan juga dua. Tapi empat kali! Malu seh.

Bila sampai ke rumah petang tadi, saya tidak sabar menunggu Fatt siap memasak. Dan sambil makan nasi di petang yang redup ini, saya melayan video-video bola di Youtube. Lamanya dah saya tak menonton bola. Rasanya, sejak TV di rumah kami ini tidak boleh mengakses ke 80 rangkaian internet TV (kerana kami sudah tidak menggunakan pakej internet yang ini), saya sudah tidak mengikuti perkembangan bola. Oh. Kenangan yang paling bersejarah semestinya sewaktu menyaksikan final UEFA antara Manchester United menentang Chalsea secara langsung di stadium Luzhniki Mei tahun lalu!

Sebenarnya ada sesuatu yang merunsingkan otak saya buat masa ini. Itu sebabnya saya layankan saja video-video bola yang entah tahun bila-bila entah ni. Dalam banyak-banyak video itu, saya teruja dengan tiga video ini. Huhu. Sudah lama rasanya tak mendengar nama Soto (hahaha). Tiba-tiba ada video jaringan daripadanya. Cayalah! Oh ya. Cerita yang merunsingkan otak saya tu lain kalilah saya ceritakan. Tengah malam nanti kot.

Video yang terakhir ini saya sudah tonton berkali-kali dengan adik-adik saya di rumah. Sehinggakan, ketika kami balik kampung di Penang pun, boleh lagi kami gelak besar walaupun dah ulang tengok sebelum itu. Si Azizi dan Aiman siap ajak sepupu sepapat gelak sekali menonton video yang ni. Nanti bila mereka dah besar panjang, mesti mereka malu dengan diri sendiri sampai tak tahu nak letak muka kat mana. Entah apalah yang lawak sangat dengan video ni pun tak tahulah. Hahaha.

Nota 1: Tadi saya duduk di tepi tingkap bilik. Di tangan memegang buku Case Files. Tapi mata mengendap budak-budak dari India bermain kriket di luar bangunan ni. Tup tup ternampaklah si Rahul budak 5th year tu ada main. Wow. Happy sat. Terlupa kerunsingan. Hahaha. :mrgreen:

Nota 2: Ha. Budak-budak 5th year tingkat 5 kat atas nun, sila jangan gelak ok. KS cop itu Rahul. Kita kidnap kasi bawak balik itu Tanah Malaya. Tengok itu Rahul punya muka, masalah boleh hilang sudah. πŸ˜†

Nota 3: Sebenarnya saya nak cakap, bila sedang tertekan, runsing atau moody, bersukan atau bersenam adalah cara terbaik untuk melampiaskan cas negatif dari badan dan emosi. πŸ™‚

Posted on April 7th, 2009 by Sarah  |  8 Comments »

Kompilasi Mnemonik

mnemonics1

Assalamualaikum wbt

KOMPILASI MNEMONIK UNTUK PELAJAR PERUBATAN

  • Sukar menghafal clinical features of ankylosing spondylitis?
  • Keliru dengan nama-nama metacarpal bones?

Usah resah lagi. Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) kini mengambil inisiatif untuk mengumpul dan mengkompilasikan senarai mnemonik dan tips-tips ringkas menghafal fakta-fakta berkaitan dengan jurusan perubatan. Kompilasi ini akan dibukukan dengan harapan membantu semua pelajar (dan pengamal) perubatan memudahkan pembelajaran dan rujukan.

Read the rest of this entry »

Posted on April 6th, 2009 by Sarah  |  14 Comments »

Diari Ahad

Assalamualaikum wbt

Petang semalam, saya ada latihan pingpong seperti biasa. Tak tahulah nak kata macam mana. Prestasi hari semalam macam mengecewakan sungguh. Inilah padahnya bila sudah dua tahun berhibernasi. Tapi prestasi hari semalam amat mengecewakan saya. Rasa hendak menangis pun ada. Tapi buat apa. Simpan air mata untuk episod kehidupan yang seterusnya lagi baik. Harapnya, saya dapat mencari rentak permainan saya yang dulu. Hayyak!

Otot bahu dan belakang saya juga sedikit cedera petang semalam. Ketegangan otot. Hendak bermain pun terasa sakit. Tapi tetap main juga. Bila sampai saja di bilik, hendak baring meluruskan badan pun terasa sakit. Positif. Positif. Insya Allah siang esok mesti sudah elok.

Hari ini posting baru akan bermula. Jadual saya tidaklah sepadat mana. Tapi seperti biasa, perlu menjelajah ke Tenggara Moscow di pagi hari. Nasib baik Subuh masuk awal sekarang ini. Jadi, termotivasilah untuk bangun awal tanpa ada alasan sampingan. Tapi sekarang ini sudah pukul 2 pagi. Apa yang saya buat masih berjaga ni?

Saya baru siap menyapu bilik, melipat dan menggosok baju serta mengemas dapur. Sudah selesai semuanya, barulah lega hendak tidur. Hah. Siapa kata ni macam tabiat murni-tapi-sebenarnya-separa-terpaksa makcik-makcik sebelum tidur, jagalah dia.

Nota 1: Hari ini sudah hari Isnin. Maknanya apa? Jeng jeng jeng. Oh. Cepatlah siang. πŸ˜‰

Nota 2: Sekali demam Facebook datang, menggila jadinya kami serumah. πŸ˜†

Nota 3: Izu, terima kasih atas panggilan jauh untuk kawan awak yang serba kecomelan ini dan sekalung TAHNIAH saya ucapkan! <—- (Sila lihat bahasa saya. Sah-sah awak kalah, Izu) :mrgreen:

Posted on April 6th, 2009 by Sarah  |  6 Comments »

Belajar Daripada Kehidupan (ii)

Assalamualaikum wbt

(I)

Setiap pagi, ada seorang tukang cuci yang akan datang ke rumah untuk membersihkan dapur. Seorang wanita pertengahan usia. Ikutkan hati, malas rasanya hendak ada hubungan langsung dengan makcik itu kerana dia suka marah-marah. Pasti ada saja yang tidak kena. Agak kasar juga orangnya. Kalau pagi-pagi sudah dimarah, habis mood satu hari akan rosak.

Habit saya, bila dia masuk ke dapur, saya tidak akan menyapanya. Biasanya pada waktu itu saya berada di dalam bilik sedang bersiap-siap. Tapi sewaktu dia hendak keluar, saya akan berada di hadapan cermin di ruang tengah rumah. Sama ada sedang memakai tudung atau membersihkan kasut. Yang saya lakukan ialah mengucapkan terima kasih. Terima kasih di atas khidmatnya membersihkan dapur dan koridor kami.

Saya masih ingat akan pesan seseorang kepada saya tujuh tahun lalu. Katanya, ucaplah terima kasih kepada siapa saja walau di mana pun kita waktu itu jika kita tahu ia perlu. Dan bagi saya, apa yang makcik itu kerjakan, layak dianugerahkan dengan ucapan terima kasih. Saya kaji perubahan mood baik pada diri saya mahupun makcik itu. Sejujurnya, saya merasakan pagi saya berkualiti dan bermanfaat apabila berkesempatan mengucapkan terima kasih kepadanya. Untuk makcik itu pula, saya lihat dia ceria bila dihargai walau hanya dengan ucapan seringkas itu.

Minggu lepas, saya keluar dari rumah pada pukul 8.10 pagi. Sedang saya melalui koridor untuk turun ke pintu keluar, saya melalui lif tengah bangunan ini. Saya terberpaling melihat ke arah lif itu ketika melaluinya kerana ternampak seseorang sedang berdiri di situ. Rupa-rupanya makcik itu yang sedang berdiri di sudut dinding itu. Saya haya tersenyum saja padanya. Dalam hati, saya sebenarnya sangat tersentuh dengan apa yang saya lihat tadi.

Makcik itu sebenarnya sudah berumur. Sekitar 50-an. Dalam umur seperti itu, dia masih bekerja kasar untuk menyara dirinya. Air mukanya ketika saya lihat itu sangat menyedihkan. Mungkin dia berdiri di situ untuk mengambil rehat. Dia buat saya terasa sayu dengan khidmatnya setiap pagi yang membersihkan dapur dan koridor untuk tingkat satu hingga tiga.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, janganlah melayani tukang cuci, tukang sapu atau siapa saja yang kita rasa tidak penting ini dengan layanan yang hina. Mereka juga manusia dan jasa mereka sangat besar untuk keselesaan hidup kita. Dengan mengucapkan terima kasih kepada mereka mungkin membawa makna yang besar untuk hati dan jiwa mereka.

(II)

Saya sedang berlari menuruni tangga escalator yang sedang bergerak. Dek kerana hendak mengejar waktu, saya terus berlari turun menuju ke bawah tanah. Sedang berlari, ada seorang perempuan dengan beg tangannya yang besar menghalang laluan saya dengan tiba-tiba. Saya terlanggar begnya. Laju saya mengucapkan: Izvinite. Maksudnya: Maafkan saya. Saya mendengar perempuan itu merengus kasar. Tapi itu bukan silap saya. Dia yang tiba-tiba menghalang laluan turun (bukan laluan berdiri) di atas escalator itu.

Sampai saja di tepi landasan, sedang menunggu metro sampai, perempuan itu tadi menunggu berhampiran dengan saya. Dia menjeling saya dari atas ke bawah. Macamlah saya ini tiada hidung, mata saya juling atau bibir saya sumbing. Saya membiarkan saja. Seminit kemudian, metro pun sampai. Kami menunggu di pintu masuk yang sama dan berdiri berdekatan saja di dalam gerabak itu.

Sampai di satu stesyen, ramai orang yang hendak turun di situ. Saya dari awal lagi sudah berdiri ke tepi, sambil memegang tiang supaya tidak jatuh dan supaya tidak menghalang laluan orang keluar masuk. Perempuan berbeg besar itu dimarah oleh seorang lelaki kerana menghalang laluan keluar orang ramai. Dia menjawab sedikit dan kemudian seorang lagi wanita di belakang lelaki itu pula yang marah kepadanya.

Sebetulnya, Stesyen Park Kultury memang sangat sibuk di waktu pagi. Orang berkejaran hendak keluar-masuk. Jika laluan terhalang, ini akan melambatkan perjalanan. Saya nampak perempuan itu tadi masih buat tidak kisah. Dua stesyen selepas itu, saya hendak turun. Saya mula bergerak menuju ke depan pintu. Perempuan itu tadi masih berdiri di tempatnya tadi. Tiba-tiba lelaki yang berdiri di sebelah kiri perempuan itu menegurnya. Lelaki itu menyuruhnya berpegang di palang di laluan tengah dalam metro itu supaya tidak menghalang orang menuju ke pintu. Perempuan itu akhirnya menurut.

Pelajaran kehidupan pada hari itu, cubalah berfikir untuk keselesaan dan kesenangan orang lain juga. Jangan rasa hendak ikut kepala sendiri saja. Tidak semestinya kepala kita ni sentiasa betul.

Nota 1: Adam sudah tukar aliran. Dia mengambil Lukisan Kejuruteraan. Semoga Adam boleh mengharunginya. Adam, ingat tawaran Ngah 2 tahun lagi ok.

Nota 2: Semalam saya mesej semua sepupu-sepupu saya sebelah Pahang. Saya tiba-tiba rindu sangat kepada arwah Chik saya. Saya mengajak mereka semua menyedekahkan Al-Fatihah untuk arwah. Saya teringat pesan Makde. Makde kata, Chik tiada anak untuk sedekahkan dia Al-Fatihah. Tapi Chik ada ramai anak saudara. Jadi, anak-anak saudara Chiklah yang bertanggungjawab untuk menyedekahkan Chik doa dari dunia.

Posted on April 5th, 2009 by Sarah  |  7 Comments »