Monolog Bersama Iman (ix)
Episod lepas: Sini
“Pernah ke saya main-main dengan awak ni?”, jawabku semula. “Tapi kalau soalan tu tak kena gayanya, saya tak nak jawablah ye.” Aku tergelak kecil kemudiannya.
“Aku serius ni. Aku senyum sebab aku terfikir apa kamu akan jawab’in nanti. Tapi kalo lagi enggak mahu, tak apa-apa. Cuma jawab jujur-jujur ajalah. Tu aja yang aku mahu.” Iman membulatkan mata kononnya hendak meyakinkan aku bahawa dia serius.
“Yelah, yelah. Ada apa ye? Pasal apa? Suspen je awak ni, Man.”
“Erm, Sar. Aku ni nanya’in bukan sebab aku mahu sibuk-sibuk. Kamu kenal aku. Bukan tak pernah kita discuss pasal hal ni dulu. Kamu tolong aku banyak dah.” Begitulah muqaddimahnya.
“Eh, yelah. Tapi pasal apanya ni?”, aku memotong kerana Iman meleret terlalu lama.
“Ok, ok. Sorry, Sar. Kamu ni udah ada yang punya enggak? Aku serius mahu tahu ni! Aku ada berita mahu nanya’in ni. Aku serius sungguh-sungguh ni!” Aku tergelak kecil selepas Iman bertanya. Iman oh, Iman. Tidak sangka pula soalannya berkaitan status diriku.
Memang aku dan Iman selalu sahaja berkelahi mulut tentang hal ini. Kadang-kala, falsafah cintanya pelik. Aku selalu membangkang. Bila aku pula memberikan pendapat, dia pula membangkang. Tapi tidak dinafikan, ada banyak juga persoalan yang kami sehaluan dan sefahaman.
“Oh, la. Ingatkan pasal apalah tadi. Awak ni Man. Tak habis-habis lagi nak ungkit pasal hari tu ke? Saya dah lupa dah pasal tu. Tak ambil hati sikit pun.” Aku menegaskan tanpa menjawab persoalan pokok yang diajukan.
Kira-kira seminggu yang lalu, ketika bertemu di dewan kuliah untuk subjek Radiology, kami duduk bersebelahan. Ketika itu, Iman terlihat aku membaca sebuah novel Inggeris bertajuk I Woke Up Married. Bermula dari situ, kami berbahas tentang sanggupkah kita berkahwin dengan orang yang tidak dikenali. Penat aku dikenakan bertubi-tubi oleh Iman dek kerana jawapanku yang dia tidak berpuas hati.
Kataku, apa salahnya kalau tidak kenal sangat pun dengan pasangan itu kerana selepas berkahwin, bolehlah belajar untuk mengenalinya dengan lebih. Sejujurnya, aku sekadar berbasa-basi memberikan pendapat itu. Sekadar cukup syarat aku memberikan respon pada soalannya. hakikatnya, aku rasa untuk membina sebuah ikatan perkahwinan, biarlah kita kenal hati budinya dengan jelas supaya perkara-perkara yang tidak diingini tidak terjadi dipertengahan jalan di kemudian hari. Memang betul kita boleh mengenali pasangan dengan lebih selepas berkahwin tetapi akhlaknya walaupun bukan warna sebenar telah dapat kita hadam untuk diterima sebagai pasangan hidup. Menyesal aku kerana menjawab ala kadar padanya. Sudahnya penat aku dibebel Iman ketika waktu rehat sesi kuliah Radiology itu.
“Sar, aku lagi serius ni.” Iman menekanku semula.
“Ish. Saya takde siapa-siapa lagilah, Man. Ni kenapanya ni? Iya-iya je serius. Nanti saya juga yang kena bebel hentah apa-apa lagi. Jadi kaunselor jelah Man.” Aku menjawab sambil terkekek kecil memeluk tabung kutipan derma itu.
Iman mengacah dengan menjegilkan matanya. “Tidak main-main tidak boleh apa dia ni”, sungut Iman kemudiannya dalam slanga Indonesianya yang pekat.
“Sorry, sorry. Iya Man. Saya single je lagi. Takde oranglah yang nak pandang saya ni pun. Lagipun, siapalah yang ada sangat kat Moscow ni. Eii… Kenapanya tiba-tiba tanya pasal ni?” Aku mula berubah melihatkan air muka Iman yang separa serius. Aku bukannya apa. Kalau aku mengambil serius soalannya itu, alih-alih nanti dia akan mengenakan aku pula. Serik aku. Sifat Iman itu sudah aku hafal sejak kami mula rapat 3 tahun yang lalu.
“Sar, kalau Annas mahukan kamu, kamu mahu enggak?” Tanya Iman dengan serius.
“Ha. Annas mana ni? Mahu yang macam mana tu?” Kaget juga aku mendengar soalan Iman. Ikutkan hati, bertubi-tubi soalan yang hendak aku ajukan. Tapi kata akalku, rasional dan bertenanglah.
“Mahu ambil sebagai isterilah. Ya ampun. Mahu apanya lagi kalau udah laki namanya, Sar.” Iman mengucap panjang dengan soalan bodohku. Bodohkah soalanku? Aku rasa tidak. Aku mahukan penjelasan saja.
“Tapi Annas mana ni?” Tanyaku semula.
“Itu Annas yang duduk di situlah yang ada abang dan adiknya sekali tu, Sar!” Iman menunding ke arah pintu rumah Annas yang bertentangan dengan pintu rumah sebelahku. Hampir saja dengan rumahku. Aku merenung pintu itu dengan diam. Cuba membayangkan wajah Annas yang hampir setiap hari beriringan denganku menuju ke hospital. Wajahnya putih bersih dan berjanggut sejemput. Kaca mata yang dipakainya menampakkannya seorang yang serius. Tapi aku pernah melihatnya tersenyum dan ketawa bersama kawan-kawan di dalam dewan kuliah Neurology. Annas kacak dalam erti kata tersendiri. Atau mungkin lebih tepat menurut penilaianku bahawa dia punya wajah yang tenang dan sejuk mata memandang.
Tiba-tiba pintu rumah bernombor 212 itu terbuka. Dan Annas berdiri tegak di situ memandang kami berdua. Aku memalingkan muka buat-buat memandang pintu rumahku. Dia lalu tersenyum menghulurkan ucapan salam buat Iman dan berlalu. Mungkin dia punya agenda tersendiri.
Dan aku di situ berdiri kaku dan takut.
Dalam hatiku berkata, “Annas ni???”
…………………………………………………………………………………………………………
Bersambung…
Nota 1: Ini kisah ketika saya di tahun 4. Jangan cepat melatah lagi. Dan saya yakin pasti ada yang sudah dapat mengaitkan siapa Annas ini jika ada membaca kisah Hari Raya Haji yang lalu.
