Azizi Oh Azizi!

Assalamualaikum wbt

Azizi adik yang kedua bongsu. Dia sangat menyukai Bahasa Melayu. Ini gara-gara cikgu tuisyennya, Cikgu Ros, yang sangat pandai mengajarnya subjek tersebut ketika mengikuti kelas tuisyen peribadi di rumah Cikgu Ros. Kami menyakat Azizi mengatakan dia adalah anak angkat Cikgu Ros. Pengaruh daripada tuisyen itu, dia selalu menggunakan perkataan-perkataan yang bombastik, yang jarang-jarang kita guna dalam kehidupan harian. Kalau bernasib baik, dapatlah kami mendengar dia berperibahasa dan berpepatah. Mengalahkan orang tua bunyinya!

Pada suatu petang, dalam perjalanan menuju ke hostel Adi untuk melawatnya, ayah menelefon emak. Ayah bertanya, dah nak bertolak ke tempat Adi kah. Emak mengatakan ya kerana mengikut persetujuan pagi itu, ayah menyuruh emak ke sana bertemankan saya saja. Rupa-rupanya kami berselisih dengan kereta ayah pada waktu itu jadi ayah ternampak akan kami dan menyuruh kami patah balik untuk menjemputnya terlebih dahulu. Ayah mahu ikut sekali ke sana. Lalu, Azizi yang turut ada di dalam kereta pada ketika itu berkata: Emak dengan ayah ni bagai isi dengan kuku. Air dicincang pun takkan putus.

Saya dan emak gelak besar dalam kereta. Azizi tersengih-sengih. Dia bertanya, salahkah ayat tu? Lalu dia memberikan perbahasa seterusnya: Ke yang sebetulnya muafakat membawa berkat? Mendengarkan itu, lagilah saya dan emak tergelak.

Petang semalam, emak sibuk memasak di dapur. Emak mahu membuat mee kari. Mak gembira. Kesemua kami 8 beradik akan berkumpul di rumah. Sedang emak membasuh sesuatu di singki dapur belakang, Azizi bertanya: Mak, ada apa-apa nak Zizi tolong tak? Sebaik lepas dia bertanya, dia menambah: Hehe. Zizi ni ajak-ajak ayam je. Tiba-tiba Kaklong tergelak besar. Saya pada mulanya tidak mendengar apa yang Azizi katakan. Lepas diulang oleh Kaklong, barulah saya tahu kisahnya. Saya pun tergelak sama. Habis tu apa, tanyanya. Kaklong membetulkan: Hangat-hangat tahi ayam la Zizi!

Habis kami bertiga yang ada di dapur ketika itu tergelak besar. Azizi memang begitu. Obsesif dengan segala unsur keindahan bahasa ini!

Ok. Hari ini ahli rumah saya lengkap kesemuanya. Oh, gembiranya!

Posted on July 19th, 2008 by Sarah  |  19 Comments »

Maka Inilah Dunia Saya

Assalamualaikum wbt

Pernah ada yang bertanya, kenapa blog saya bernama My World, Dunia Saya. Jawapan saya hanya satu. Kerana di sinilah saya dapat berkongsi apa yang saya rasakan dan dalam masa yang sama merehatkan diri saya daripada kesibukan belajar.

Saya sering bersendirian. Pergi balik dari kelas, pergi balik dari hospital, mengembara sekeliling Moscow di tahun pertama dulu dan macam-macam lagi. Bukan saya sengaja menjadi solo begini. Ada sebabnya. Pertama, kerana susah mahu berjanji dengan rakan-rakan sekumpulan waktu itu. Yang lambat, memang lambat. Ada yang awal, tapi mahu menunggu kekasihlah pula. Sudahnya saya lagi selesa bergerak secara solo. Tidak terikat dengan sebarang komitmen dan janji. Orang kata bahaya begitu pada waktu itu. Tapi Alhamdulillah saya tidak pernah berhadapan dengan sebarang kejadian yang tidak diingini. Keduanya, saya tidak mahu bergantung kepada rakan-rakan untuk membuat nota kelas, nota kuliah mahupun nota peribadi. Bukan sombong, tapi lebih selesa dan menepati cara belajar saya. Kalau kita sendiri yang sediakan, ilmu lebih lekat dalam kepala dan lebih terurus ketika hendak exam. Saya sentiasa wajibkan diri saya membuat persediaan sebelum ke kelas. Prinsip saya, saya tidak kisah orang mahu meminjam apa yang saya sediakan tapi jangan saya bergantung pada orang. Saya tidak mahu dilabel menyusahkan orang. Dan disebabkan ini, saya sudah dicop sebagai seorang yang ‘sangat berdikari’ dan ‘boleh hidup sendiri’ oleh rakan-rakan sekumpulan. Bunyinya seperti positif. Hakikatnya ada negatifnya juga. Disebabkan saya dilabel begini, kadang-kala saya dilupakan jika mereka ada nota edaran atau slide show yang penting. Juga dilupakan jika mereka ada ‘variant’ atau skema jawapan untuk apa-apa ujian. Kadang-kala, bila tiba hari ujian, saya hairan melihat mereka semua bersedia dengan skema jawapan yang sudah difotostat tetapi saya tidak tahu menahu. Apabila saya bertanya, mereka katakan bahawa semua sudah dapat, bagaimana pula saya tidak dapat. Dan konklusi yang mereka berikan: Alah, kalau kau takde pun skema jawapan tu, kau dah ready dah. Ayat ini saya ingat sampai ke hari ini. Dan terima kasih di atas respon 4 tahun yang sudah itu kerana menjadikan diri saya yang sekarang.

Sejak itu, saya memang tidak pernah bergantung harap tentang nota atau variant daripada rakan-rakan. Sedih juga jika teringat peristiwa 4 tahun lepas itu tapi saya bersyukur kerana setiap yang terjadi itu pastinya ada hikmah yang jauh lebih bernilai. Saya menjadi seorang yang sangat serius dalam pelajaran, tidak bergantung pada yang lain dan saya boleh hidup dalam apa-apa keadaan sekalipun. Inilah hidup saya setiap hari. Waktu itu, bilik saya di hostel lama tiada talian internet. Untuk mengisi masa lapang, saya suka main game Pizza Frenzy (full version), Virtual Orchestra System (VOS) dan menulis cerpen. Waktu itu, itulah dunia saya. Dan sebaik saja saya berpindah duduk di luar sekitar 2006, saya pun mula berblog. Kenapa saya berblog kerana inilah saluran lain selain daripada menulis cerpen yang semuanya saya simpan menjadi pekasam khazanah sendiri saja.

Pada mulanya, blog ini hanya saya, ayah dan tiga, empat orang kawan saja yang tahu. Tapi entah mana puncanya, lama-kelamaan, semakin ramai yang jumpa dunia saya ini. Dan sejak saya mula berblog, saya temui kenalan yang sekepala dengan saya, yang sejiwa dan semuanya mewarnai hidup saya setiap hari. Dan tak ketinggalan, ada juga yang menjadi pengacau yang sangat merimaskan sehingga pernah buat saya tertekan. Tapi saya bertahan untuk terus berblog kerana saya sayang kawan-kawan yang saya kenali melalui blog. Inilah sedikit sebanyak tentang saya dan MW. Bagi saya, MW adalah sangat penting dan istimewa kerana dengan adanya MW, saya ada kehidupan lain selain daripada buku dan persatuan.

Sejujurnya saya ada entri khas yang hendak ditulis tentang MW ini. Emak saya tahu apa yang saya hendak tuliskan, yang telah menjadi niat saya sejak 2 minggu yang lalu. Tetapi, tanpa diduga, saya terpaksa menyimpan dulu entri itu kerana tidak mahu dihubungkaitkan dengan beberapa keadaan yang sedang berlaku. Macam bercelaru kan apa yang saya katakan ini? Hmm… Sebetulnya, mood saya masih kurang baik. Saya rasa sungguh kusut sekarang ini.

Esok saya tiada di rumah. Perlu ke KL lagi. Ada mesyuarat lagi. Dan perlu ke Cyberjaya juga. Saya akan pergi naik bas saja. Ikutkan hati, saya tak mahu bermalam di KL. Saya hendak balik ke rumah pada petang esok juga. Tapi mesyuarat di Cyberjaya adalah pada sebelah petang. Sempatkah saya berkejar balik ke Pekeliling untuk bas terakhir ke Temerloh? Ini satu lagi hal. Kusut.

Saya mohon maaf kalau ada yang terasa atau tidak bersetuju dengan lontaran pendapat saya dalam entri lepas atau yang lepas-lepas. MW tempat saya mengeluarkan pendapat peribadi saya tentang perkara yang berlaku di sekitar saya, Malaysia, Moscow atau dunia secara amnya. Dan kalau tersasar, saya memang tak pandai menyorokkan apa yang saya rasa. Kadang-kala, jelas terpapar pada apa yang saya tuliskan. Andai kata ada di antara kamu yang dapat menilai mood saya dengan membaca entri kali ini, mesti ada yang dapat buat kesimpulan apa yang sedang berlaku sebenarnya.

Saya tahu ada orang yang jauh lebih faham. Emak, maaf sangat kalau Ngah teruskan juga niat Ngah tu. Selamat malam dari Temerloh. Semoga malam yang hening dihangatkan dengan tangis buat Ilahi.

Nota: Tadi saya mewarna bersama adik-adik. Saya warnakan sebuah kereta Honda EK apa entah. Adik saya kata cantik. Padahal, sewaktu sekolah rendah dulu, Pendidikan Seni saya sangat jarang dapat A dengan bintang-bintang. Biasanya hanya ‘Dilihat’ saja. Dan sebelum mereka tidur, saya ajarkan teknik mewarna menggunakan krayon dan saya potretkan sejenis seni yang pernah saya pelajari dulu. Pada kertas lukisan itu saya ukir kata-kata: I am a good Muslim. Dengan warna oren terang. Ironinya, adakah yang menulis itu betul-betul ‘good’ dalam menguruskan hidupnya sebagai seorang Muslim. Adakah yang menulis itu Muslim sepenuh masa atau part time saja? Warna oren terang itu seperti satu sindiran untuk diri saya sendiri. Jadi, apa resolusi yang patut dibuat? Hmm… Dalam entri ini, ada jawapan yang tersembunyi.

Posted on July 17th, 2008 by Sarah  |  44 Comments »

Melatah Eh Eh Eh

Assalamualaikum wbt

Kelmarin hari Isnin. Pukul 7 pagi rumah saya dah kosong. Lepas menyapu bawah garaj kereta tepi rumah, saya mengambil galah yang disandarkan pada pokok manggis. Saya kait buah manggis dan apa lagi. Saya bersarapankan buah manggis segarlah pagi kelmarin.

Pagi Selasa pula, saya menjenguk pokok betik di tepi rumah Tok. Ada yang sudah masak. Saya jolok dengan galah yang telah diubahsuai untuk menurunkan betik masak. Jadi, sarapan saya pagi tadi ialah buah betik segar. Ingatkan nak simpan dalam peti dan makan bila hendak makan tengahari. Tapi godaan perut terlalu kuat. Sekelip mata saya dan Mak Tam habiskan betik itu.

Sekitar pukul 10 pagi, saya baru sudah menyapu halaman. Tok Cik saya datang. Sudahnya saya, Tok Cik dan Mak Tam tercongok di bawah pokok manggis menjolok buah lagi. Datang adik saya Adlan, dia sergahnya Tok Cik saya dengan niat menyakat. Memang Tok Cik terkenal dengan kuat melatah. Lan hanya menyebut: Haa… Makan manggis! Tok Cik terus melatah dengan menyabung ayat itu menjadi panjang berjela: Oh makan manggis. Makan sorang-sorang. Eh sorang-sorang apanya. Ni ada Ani (Mak Tam) dengan Sarah. Eh Sarah duduk jauh. Ini Fatimahnya (Kaklong). Eh apa kerja Fatimah balik, dia kerja. Awok ni Lan. Eh Lan makan manggis. Eh manggis masam manis. Eh manggis ada ais. Awok ni Lan. Eh Lan kait manggis.

Haaa… Ni belum dengar semuanya lagi. Tak campur versi yang ada mengutuk, mencarut dan segala macam perkataan lagi keluar. Saya gelak mengekek-ngekek mendengar Tok Cik melatah. Tak baiknya saya. Tapi memang lucu! Bila Mak Tam menyapa Tok Cik ketika dia sedang melatah tu, lagi berjela-jela dia melatah. Yang paling menarik, di hujung latahannya pagi semalam, sempat dia berpantun 6 kerat!

Hitam-hitam si tampuk manggis,
Luarnya hitam dalamnya putih,
Kupandang hitam rasanya manis,
Lagi kupandang bertambahlah kasih,
Lagi kukasih bertambahlah sedih,
Kasihku hilang tak balik-balik.

Pantunkah? Apa-apa ajelah. Yang pasti apa yang dilatahkan oleh Tok Cik ini sangat mendalam maksudnya ok. Terdiam pula saya mendengarnya. Memang orang tua dah lebih dulu makan garam daripada kita, kan.

Pokok rambutan dah mula berputik. Nanti saya nak dengar Tok Cik berpantun versi buah rambutan pula. Hehehe.

Sejak balik cuti, saya jarang makan makanan berat untuk sarapan. Paling habis pun saya akan jamah roti dan minum nescafe. Lepas tu saya akan cari buah. Kalau stok mangga atau jambu batu tiada, saya akan kait manggis di pokok. Tak sabar tunggu rambutan memerah. Sekarang masih hijau kelat lagi. Pernah tengok rambutan jadi telur ayam? Haa… Kalau nak tengok, tunggu nanti ye. Saya akan tunjukkan. Inilah untungnya duduk di kampung dan ada banyak pokok buah di rumah. Bolehlah mempraktikkan diet yang sihat. Hahaha (~~,)v Ok. Nak tidur awal. Esok pagi mahu jogging di tasik. Jogginglah sangat ye. Balik jogging makan macam-macam. Takde maknanya kan. Hehehe =)

Nota ilmu: Pasti ramai yang tengok debat antara DSAI dengan Dato’ Seri Shabery Chik kan. Saya ni bukan siapa-siapa pun nak bercakap tentang politik (kalau saya tulis lebih-lebih, ada yang meluat pula nanti). Tapi bila mendengar perdebatan tu tadi, kita dengan jelas dan nyata dapat bezakan siapa yang berdebat dengan fakta dan siapa pula yang berdebat mengungkit-ungit cerita entah apa-apa dan lebih kepada hendak menjaga nama. Kot ye pun dah tiada modal nak dihujahkan sangat, tapi janganlah sampai memalukan diri sendiri di khalayak ramai. Awak tu Pak Menteri. Bikin malu saja apabila setiap soalan yang diajukan tidak dijawab dengan setepatnya. Ini kalau ada terjemahan ke dalam Bahasa Inggeris (nanti siaran ulangan di TV3 mesti ada terjemahan), buat malu pada 1 dunia saja ada Menteri Penerangan yang begini. Takkan Pak Menteri kita ni dikira melatah orang tua pula kot. Tak tua mana pun lagi Pak Menteri kita ni. Saya tidak pula kata DSAI betul semuanya. Tapi kredibiliti dan debat yang berteraskan ilmu dan fakta daripada DSAI benar-benar membuktikan beliau ialah ilmuan bidang ekonomi yang layak untuk dipanggil untuk membincangkan isu ini dan seterusnya pendapat ilmuan yang sebeginilah yang perlu kita pohonkan tunjuk ajar untuk mengatasi masalah yang melanda negara. Ini tidak. Ramai yang membodoh sombong.

Kalau rasa diri bukan harimau, jangan cuba mengaum. Jangan nanti dah terbuat silap, jadi seperti kasawari. Badan di luar, kepala sorok dalam pasir. Sebesar-besar bangkai gajah, takkan tertutup dek sepasang kaki semut hitam. Ok. Titik.

Posted on July 16th, 2008 by Sarah  |  37 Comments »

Lunch Date With Them

Assalamualaikum wbt

Seperti yang saya ada sebutkan dalam entri semalam, Khamis lepas ada sesuatu yang terjadi. Seawal 7 pagi saya telah bertolak dari Bangi menuju ke Jalan Ampang kerana ada mesyuarat di sana. Saya kurang arif tentang lokasinya tempat itu. Jadi saya gunakan khidmat Nan untuk GPS-kan lokasi Wisma Selangor Dredging. Saya ada mesyuarat dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang bekerjasama dengan persatuan saya untuk menjayakan program Homestay di POS Sungai Pelantok, Sungai Siput di hujung bulan ini.

Mesyuarat berlanjutan sehingga tengahari. Saya memang tidak bersarapan langsung pagi itu. Jadi sebaik selesai mesyuarat, saya dan 5 orang AJK yang lain (semuanya junior) terus menuju ke KLCC (bertentangan saja dengan wisma tu). Semuanya kelaparan. Bila dah lapar begini, mestilah hidangan berat yang menjadi pilihan. Sambil makan, kami menyambung perbincangan antara kami tentang perjalanan program. Sambil itu, sempat juga saya menembak di kiri kanan. Lama tak test power. Hehehe.

Tiba-tiba saya teringatkan lunch date bersama Kak Inah yang sepatutnya dijadualkan tengahari itu. Lalu saya menelefon Kak Inah untuk memaklumkan nampak gayanya terpaksalah dibatalkan saja kerana kami tidak sempat untuk membuat janji dengan detail. Lagi pula, saya memang sudah penat amat waktu itu. Kebetulan malam sebelum itu saya tidur sangat lewat kerana menginaikan Faiq dan berborak versi dalam gelap. Huhu.

Sebaik dapat menghubungi Kak Inah, saya memaklumkan yang saya berada di KLCC dan nampaknya janji temu kami perlu dibatalkan dulu. Alangkah terkejut saya kerana Kak Inah juga memaklumkan bahawa dia juga berada di KLCC. Kak Inah datang menjemput saya di tempat saya. Inilah pertama kali saya bertemu dengan blogger yang sangat tinggi semangat belajarnya. Kak Inah ni idola saya dalam bab study. Serius, Kak Inah sangat berdedikasi dan orangnya sangat comel! Sebaik bertemu, kami bersalaman dan saya terus memegang pipi Kak Inah. Baru saya tahu Kak Inah ada darah campuran Anak Mami rupanya! Ingatkan ada mixed Pakistan ke, Arab ke. Kak Inah mengajak saya menyertainya di Chilli’s. Ada beberapa orang kawannya menunggu di situ menurutnya. Saya pun telah selesai dengan committee board tadi. Jadi saya pun menuju ke Chilli’s. Dan alangkah terkejutnya saya kerana ada 3 orang lagi blogger yang menunggu di situ. Yang saya kenali ialah Nikli dan Ziana. Saya mengikuti blog mereka tapi sekadar sebagai silent reader. Tak beranilah tiba-tiba nak menyampuk kan. Huhu. Dan yang ketiga ialah seorang lelaki misteri. Mr. MNN. Menurut Kak Inah, Ziana dan Nikli, MNN seorang yang serius dalam blognya. Jadi setiap yang bercadang hendak bertemunya akan ketar lutut dan seram sejuk tangan (macam Nikli! Huhu~). Tapi hakikatnya MNN seorang yang sangat ramah dan pandai berjenaka! Sungguh ni tau.

Saya pula waktu itu mulanya sangatlah malu-malu. Sampaikan asyik kena tegur dek Kak Inah dan Ziana kenapalah saya asyik tersenyum seorang saja. Sebenarnya saya segan pada mulanya tu. Maklumlah kan. Semuanya sudah berkerjaya. Saya ni rasa macam budak kecil je. Tapi MNN lah yang buat saya boleh bercakap. Kebetulan, kami ada topik yang boleh dibualkan. MNN juga baru pulang dari menjelajah Eropah. Jadi, banyaklah yang kami bualkan ketika itu. Yang si Nikli pula, tak pasal-pasal mengaitkan saya dengan seseorang. Auww… Tidak, tidak. Tapi lepas semuanya jelas, barulah saya sedar betapa sekepalanya kami berlima. Dari satu cerita, macam-macam cerita lagi keluar. Saya pun tak ketinggalan! Haha. Terima kasih Kak Inah dan Ziana sebab cuba memahamkan saya situasi yang sebenar. Barulah saya tak blur dah. Dan dengan Nikli pula, topik apa lagi kalau bukan pasal kamera, kan. Saya dengan Nikon, dia dengan Olympus. Ok. Ada masa, ada rezeki, jom menembak. Saya tengah tunggu Camera Fair je ni untuk melengkapkan apa yang patut. Huhu. Gambar-gambar yang ada ni semuanya belas ihsan daripada Ziana, Kak Inah dan MNN. Saya tertinggal Sony saya di Bangi. Gambar di bawah ini, Ziana yang snap. Katanya tangan saya dan Nikli gayanya sama. Orang tengah rancak borak pasal kamera, macam tulah jadinya, Ziana. (~~,)v

MNN merahsiakan identitinya. Jadi, jangan peliklah ye melihat wajahnya digelapkan dalam gambar di atas =) MNN, you memang best lah. Tak kekok pun walaupun baru first time kenal you. And thanks for the gift =) Nikli, sila makan banyak sikit ye. Kalau hari tu Kak Inah asyik bandingkan kita siapa lagi keding, harapnya lepas ni title keding dah takde dah ye =) Ziana, thanks for the drink. Tak sangka saya boleh masuk dengan you all. Sila menabung dari sekarang untuk pusing Europe pulak nanti =) Kak Inah my sweet heart, thanks for everything. Walaupun tak plan dengan baik untuk jumpa, but we ended up meeting with the rest in such a memorable lunch =) To the 4 of you, thanks for having me that day =)

Nota rasa macam nak gelak sengal: Saya rasa lucu sungguh sebab untuk menghadiri meeting itu, saya ada banyak benda yang hendak dibawa. Jadi saya gunakan bag pack biasa tu. Sudahnya pergi lunch dengan yang lain-lain pula selepas itu. Terasa macam budak kecik sungguh. Hoho. Siap dengan fail semua. Tu nasib baik tak usung laptop je tu. Hohoho~ Bilalah eden nak kerja ni :p

Nota rasa macam nak nangis: Sepanjang siang tadi, saya memang tiada mood. Mood hilang entah ke mana je. Saya terperuk je dalam bilik. Nak balas komen di blog pun malas. Ni kan pula nak bloghop. Sorry semua.

Posted on July 15th, 2008 by Sarah  |  24 Comments »

Selamat Pengantin Baru Faaiqah Dan Saufi

Assalamualaikum wbt

Rindunya saya pada dunia saya ni. Saya menghilang hampir seminggu kerana saya ada majlis yang ditunggu-tunggu di Bangi. Majlis perkahwinan sahabat baik saya yang sudah 8 tahun jatuh bangun bersama saya. Nurul Faaiqah dan Mohd. Saufi. Saufi juga sahabat saya. Mengenalinya ketika di PASUM. Jodoh mereka kuat. Biarpun cuma 2 bulan di PASUM, akhirnya mereka bertemu kembali. Kalau nak diceritakan, banyak insiden mereka ni yang melibatkan saya. Boleh tersenyum seorang dan berair mata kalau dikenangkan kembali. Alhamdulillah. Setinggi syukur kepada Allah kerana segalanya telah selesai. Selamat pengantin baru diucapkan buat Faaiqah dan Saufi.

Saya ke Bangi pada hari Selasa lepas. Saya datang lebih awal untuk membantu Faiq dan keluarga membuat persiapan. Keluarga Faiq adalah keluarga saya juga. Petang Selasa itu, saya membantu membuat sedikit persiapan akhir hantaran dan belajar berzanji. Sebenarnya, pada malam sebelum majlis, akan diadakan majlis khatam Al-Quran dan berzanji di rumahnya. Tak semena-mena, saya disuruh berzanji sekali. Saya dapat verse ketiga. Tak panjang mana. Tapi inilah pengalaman pertama saya belajar berzanji. Nenek saudara Faiq, Atuk Inul, yang mengajar kami lagu zanji yang betul. Jadi, di atas inilah gambar sekitar majlis tersebut. Faiq memakai sepersalinan ungu. 3 orang adiknya juga turut khatam bersamanya. Selesai makan malam Selasa itu, saya balik ke Seri Kembangan. Malam itu saya tidur di rumah Ayah Long saya.

Keesokannya, saya datang semula ke Bangi. Saya membantu Faiq menyudahkan hiasan hantaran. Banyak yang saya belajar tentang persiapan majlis daripada Faiq. Kira menambah ilmu di dadalah ni. Huhu. Selepas Zohor, kami sambung berzanji dan selepas Asar, saya keluar sekejap bertemu seorang kawan. Sebelah malamnya, kami menyudahkan hantaran dan selepas Isyak, saya menginaikan Faiq. Gembira betul sepanjang menginaikan Faiq itu. Kebetulan ada seorang jiran Faiq sekali turut membantu. Cepat siapnya. Malam itu, saya dan Faiq tidur lewat. Walaupun lampu sudah dipadamkan, kami berbual di dalam gelap sehingga pagi buta. Terima kasih Faiq atas segalanya!

Keesokannya (Khamis), saya keluar rumah pada jam 7 pagi kerana perlu menghadiri mesyuarat di KL. Cerita selanjutnya tentang apa terjadi di KL, tunggu dalam entri berikutnya. Urusan saya selesai hampir jam 4 petang. Saya terus pulang ke Seri Kembangan dulu dan bermalam di situ pada malam itu. Penat sungguh hari tu. Penuh dengan kekhusyukan (mesyuarat) dan kegembiraan (tungguuuu~). Huhu. Awal pagi Jumaat, baru saya ke Bangi semula, bertemu dengan Amy dan Liyana, kemudian kami terus ke rumah Faiq. Kami memberi sentuhan terakhir pada hantaran dan yang paling gembira ialah menyediakan bunga rampai! Sebelum Asar, kami bertolak ke rumah keluarga Izu. Izu, silalah jangan marahkan saya. Kami tak sangka emak awak memang dah masak untuk kami petang tu. Huhu~ Emak ayah awak memang sangat cool =) Dan pada malam itu, berlangsunglah majlis khatam Al-Quran dan berzanji di rumah Faiq. Faiq memang berseri-seri malam tu. Saya dan Liyana menjadi orang kuat (hoho~) membantu keluarganya menguruskan majlis. Malam itu, saya bermalam di rumah Liyana. Kami bercerita itu ini jugalah sebelum terlelap. Memang penat hari tu. Sampaikan kami tak sedar tertidur macam tu saja sedang berbual-bual tu.

Dan di awal pagi Sabtu itu, saya sudah sampai ke rumah Faiq. Risau juga saya memikirkan Mak Andam yang terlewat tiba kerana ada ahli keluarganya yang sakit di hospital. Baru je saya dan Faiq nekad untuk menyolek Faiq ala kadar mengikut apa yang saya mampu, Mak Andam pun tiba. Kalau tak, entah apalah yang jadi pada muka Faiq disolek dek saya yang tak pernah pegang alak solek pun. Huhu. Sebetulnya, saya diberi mandat oleh Faiq untuk menjadi pengapitnya. Awal-awal lagi Faiq dah booked. Besar hati saya tau, Faiq =) Alhamdulillah. Sekitar 10.15 pagi, Faiq dan Saufi telah selamat diijabkabulkan. Saya pula yang terharu waktu tu. Hikss.
Persalinan pernikahan mereka berwarna krim. Selesai akad nikah, mereka kembali ke rumah untuk sesi fotografi. Kemudian, pengantin lelaki dihantar balik untuk bersiap di tempatnya dan Faiq pula bersiap di rumah sebelum tibanya masa berarak selepas Zohor. Persalinan pengantin berwarna biru terqois. Sangat cantik =) Untuk sesi fotografi, ada 3 lagi persalinan. Gown, Jawa dan dress. Sangatlah cantik tau!

Ramai rakan 1 batch di KISAS datang ke majlis kali ini. Kebetulan, ramai yang sedang bercuti. Macam reunion batch pula pada hari itu. Sangat gembira! Walaupun saya kurang sempat berbual panjang dek kerana kesibukan ke hulu ke hilir, tapi saya tetap gembira kerana dapat bertemu semula dengan kawan-kawan yang memang sudah lama tidak saya temui.

Yang paling berharga, Faiq dan saya dapat bertemu dengan seorang lagi sahabat baik kami, Hidayah Hassan. Kami bertiga dulu memang gila-gila. Waktu prep malam, orang lain study, kami bertiga berborak. Dah penat berborak, kami tertidur. Bila terbangun je, orang dah mula beredar balik ke asrama. Haha. Inilah kami bertiga dulu-dulu. Kali terakhir kami berkumpul bertiga adalah pada tahun 2004. Saya melawak pada Dayah dan Faiq. Nak tak bergambar macam kita bergambar 4 tahun sudah. Gelak besar je kami waktu itu. Kalaulah kamu semua tahu apa gaya kami bergambar tu dan cuba bayangkan Faiq dengan baju pengantin bergambar begitu lagi, memang pecah perut dibuatnya. Begitu juga Liyana. Kami berempat sekelas. Bagi saya dan Liyana, kami berdua banyak menghabiskan masa bersama kerana kami Ketua Pelajar. Liyana dan Dayah pula duduk di kumpulan meja hadapan. Saya dan Faiq budak meja belakang yang selalu tidur ketika kelas BM. Huhu. Saya yakin, tak lama lagi majlis Dayah dan Liyana akan menyusul pula, insya Allah. Istimewanya Faiq dan Dayah kerana mereka berdua berdarah kacukan Melayu-Cina dan wajah emak mereka seiras! Faiq, Dayah dan Liyana, nanti kita berkumpul lagi ya (^^,)

Faiq dan Saufi, awak berdua jangan duk ulang-ulang dah ye ayat tu. Karang tak pasal-pasal saya merajuk panjang. Hehhe. Kalau teringat balik gaya awak ajuk, saya rasa nak ketuk je awak Saufi. Huhu. Faiq, saya nak awak percaya saya tau. Terima kasih atas segalanya. Rasa nak tergelak pulak teringat mimpi malam tu :p

Haa.. Ini antara rakan blogger yang bertandang ke majlis Faiq. Yasir Tamizi, Azwan Ngali dan rakan serumah saya di Moscow, Wanie Adnan. Maksu pun ada. Tapi tak sempat pula bergambar dengan Maksu. Dengan Cik Ati tak usah ceritalah. Sejak hari Selasa lagi sudah bertemunya. Cik Ati merupakan emak saudara kepada Faiq. Mula-mula kami malu-malu. Bila dah mula kenal, rancaknyalah kami bercerita itu ini. Cik Ati sangat best! Dan kami sekepala 😉

Selamat Pengantin Baru buat Faaiqah dan Saufi. Semoga awak berdua sentiasa dalam redha Allah dalam meniti alam rumah tangga. Semoga cinta awak berdua membuahkan syurga. Insya Allah persahabatan kita akan berkekalan selamanya!

Alamak. Dah pukul 3.27am. Pagi esok ayah ajak saya ke Taman Negara. Dia ada kerja di sana. Tapi saya tengah demam. Mungkin pergi dan mungkin juga tidak. Malam yang selamat. Daa~

Posted on July 14th, 2008 by Sarah  |  23 Comments »