Kita Ini Manusia
Bangun dari tidur pagi tadi (31 Jan), saya sedar saya sedang memegang Ma’thurat saya. Tenangnya hati pada waktu itu. Saya menghabiskan 2 jam tengahari tadi menghafal semula jenis-jenis rawatan untuk beberapa penyakit. Senangnya ilmu masuk hari ini. Macam air mengalir. Kemudian saya berehat sebentar dengan membuka beberapa blog kawan-kawan.
Saya terpempan membaca perkongsian yang ditulis oleh Hidayat. Tidak pernah saya membayangkan seperti apa yang diceritakannya ini. Bacalah coretannya kali ini. Moga-moga kita dapat menilai semula diri kita. Ya. Kita manusia memang tidak pernah lari dari salah dan silap tetapi kita tidak pernah terlambat untuk berubah menjadi yang lebih baik. Dan selepas membacanya, saya terfikir apalah agaknya yang kamu semua dan rakan-rakan, baik yang sekarang mahupun kawan-kawan lama fikirkan tentang saya. Saya dengan rendah diri memohon maaf atas segala salah silap, bahasa yang kasar mahupun tindakan yang tidak menyenangkan yang pernah saya lakukan. Maaf dengan sangat.
Semalam 31 Januari 2008. Hari penyudah bulan Januari. Juga hari bersejarah buat seorang insan yang cukup penting dalam hidup saya. Kak Nuranisa Anuar. Seorang senior yang saya kenali sejak zaman sekolah dahulu. Yang sudah saya anggap seperti kakak kandung. Ketika saya masuk ke KISAS, Kak Ani sudahpun tamat SPM. Kami menjadi rapat kerana Kak Ani datang membimbing pasukan bahas ketika itu.
Selamat Ulangtahun Kelahiran yang ke-25 buat Kak Ani. Semoga redha Allah sentiasa bersama Kak Ani. Juga Selamat Bertunang buat Kak Ani dan Abang Ewan. Semoga impian Kak Ani dan Abang Ewan untuk hidup bersama dipermudahkan Allah. Nasib baik majlisnya bulan Ogos nanti. Kalau tak, saya merajuk tau Kak Ani. Nampaknya ada 2 walimah orang penting dalam hidup saya yang akan saya hadiri ketika pulang nanti. Walimah sahabat baik saya Faaiqah dengan pasangannya (juga sahabat saya) Saufi dan walimah Kak Ani dan Abang Ewan. Gembira betul saya. Mereka berdua inilah penyimpan mohor-mohor besar untuk diri saya. Sekarang tinggallah saya seorang nampaknya.
Dan pada hari ini pula (1 Februari), Selamat Hari Lahir yang ke-13 buat Adik Azizi. Ngah doakan Zizi diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan dalam menuntut ilmu dan dipanjangkan umur. Macam yang Ngah mesejkan pada Zizi, semoga Zizi jadi anak yang baik, tak tinggal solat, tak melawan kata dan rajin belajar. Ngah gembira dengar Zizi suka kelas baru Zizi ni. Walau macam mana sekalipun keadaan Zizi, Ngah sayang Zizi. Sayang dengan sangat.
Salam maaf atas segala kekhilafan diri sepanjang saya bernama Sarah buat kamu semua. Salam sayang buat Kak Ani sepanjang saya bergelar Aya dalam hidupnya. Dan salam rindu buat Adik Azizi sepanjang Ngah menjadi kakak buat Zizi.
____________________________________________________________
Hari buat dia:
85) Petikan dari Ma’thurat – Ya Allah, aku terjaga (atau tertidur) olehMu dalam nikmat afiah (keselamatan dari bencana) dan terjaganya dari rahsia-rahsia (dosa-dosa)ku. Maka sempurnakan nikmatMu, afiahMu dan penjagaanMu itu ke atasku di dunia dan di akhirat. Doa ini cukup memotivasikan hari dan tidur kita. Semoga Ma’thurat terus menjadi amalan kita semua. Motivasikan diri kita untuk rajin mengamalkannya.