Archive for the ‘Student’ Category

Ubah

Assalamualaikum wbt

Sejak saya mula ber-posting di hospital yang terkini ini sejak minggu lepas, setiap kali waktu pulang, saya akan melencong ke satu tempat ini. Saya cuba jadikan rutin harian kerana alang-alang tempat itu cuma 1 stesyen metro saja jaraknya daripada hospital saya. Tambah tolak berjalan kaki, ambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai. Kali pertama ke sana, saya berpuasa pada hari itu. Habit saya, kalau saya berpuasa, saya tidak suka bawa duit dalam tangan banyak-banyak. Ada 50 Ruble pun sudah cukup. Dan kali pertama ke sana untuk semester ini, saya bersama-sama dengan seorang kawan, Shahirah.

Hari-hari saya menyinggah ke sana. Paling kurang, saya habiskan 30 minit di sana bermula dengan menuju ke komnata omoveniya, naik ke ruang utama, duduk bersama beberapa kenalan baru dan jika tidak terkejar-kejar balik, saya sempat membaca uchebnik po relegiye. Apabila turun dari ruang utama untuk balik, saya akan melalui semula sebuah pintu pagar kecil untuk menuju ke metro. Di situlah terdapat beberapa orang makcik-makcik tua berdiri menantikan belas ihsan sedekah daripada mereka yang berkunjung. Mereka ini seagama dengan kita. Saya menghampiri mereka. Saya tahu saya tiada duit untuk diberikan kepada mereka. Saya cuma pergi ke arah mereka, saya cium tangan mereka dan peluk mereka sebagai seorang saudara seagama dan mereka balas dengan doa yang dibacakan khas untuk saya. Saya tidak dapat menyumbangkan apa-apa sebaliknya mereka menghadiahi saya doa yang sangat baik maksudnya.

Untuk kesekian kalinya semalam, saya ke sana lagi seorang diri. Sewaktu sedang menghabiskan dua muka uchebnik po relegiye, seorang makcik datang duduk di samping saya dan menyuruh saya meneruskan apa yang saya lakukan. Dia mendengar saja. Matanya basah sebaik saya berpaling melihatnya. Makcik itu bertanya nama dan umur saya. Jawab saya, zavut menya Sarah, mnye 23. Terus dia panjatkan doa untuk saya juga kerana katanya dia sendiri tidak boleh lakukan dengan lancar lagi apa yang saya lakukan tadi. Tapi setidak-tidaknya dia berusaha ke arah itu. Dan sewaktu hendak pulang, 3 orang makcik yang sama setiap hari itu masih berada di pagar kecil itu. Saya salam mereka, peluk dan kemudian dibalas dengan doa dan sapaan khabar oleh makcik-makcik tua ini. Saya minta maaf kepada mereka kerana saya bertangan kosong saja. Saya tak punya apa-apa untuk kali ini.

Dalam perjalanan menuju ke metro, saya mesej emak saya. Saya katakan apa yang terjadi. Hajat di hati terlalu hendak menghulurkan sesuatu tapi saya sendiri juga kini dalam masalah. Saya menuju ke metro dengan mata yang terkebil-kebil sebagai taktik agar air mata tidak luruh. Sampai di rumah, saya baca apa Adik Kecik saya si Khairul yang comel itu tulis di blog peribadinya:

It’s not about how much money you can make. It’s about how much money you can give.

Kesimpulan cerita ini ialah, saya mahu jadi baik. Kalau selama ini saya asyik ditemukan dengan orang yang hipokrit untuk berjalan bersama, sekarang saya nekad, walau saya seorang, saya boleh memulakan perubahan. Ya Allah, saya mahu jadi muslim yang baik. Walau hidup berseorangan, tapi bila saya berada di atas kebenaran, saya tak risau tentang apapun yang lain sebab saya tahu Allah itu sentiasa bersama. Allah itu sentiasa ada.

Nota: Nadia, awak mesti cekal!

Posted on October 29th, 2008 by Sarah  |  13 Comments »

Rutin

Assalamualaikum wbt

Penatnya. Awal pagi gelap lagi saya dah keluar ke hospital. Naik metro, jalan kaki. Ulang-alik begini. Petang sampai saja rumah mesti terlepek kepenatan. Rehat sekejap. Lepas makan malam, solat Maghrib, menghadap buku sehingga 2.30 pagi. Nasib baik ada Fareena dan Fatt penyeri dalam bilik waktu studi di tengah malam. Hmm. Penatnya macam ni. Untuk memotivasikan diri, saya membayangkan diri saya 2 tahun daripada sekarang. Pasti lebih teruk daripada ini. Semoga rutin ini berbaloi untuk dikenang satu hari nanti.

~Off to hospital. Salam.

Posted on October 23rd, 2008 by Sarah  |  18 Comments »

Seragam Sekolah

Assalamualaikum wbt

Zaman sekolah rendah dulu-dulu, saya suka apabila hari Jumaat tiba. Dari darjah 2 sehingga darjah 6 saya berkhidmat sebagai pengawas sekolah. Sewaktu darjah 2 hingga 5, seragam saya ialah baju hijau muda pucuk pisang, kain dan tudung putih. Saya bersekolah swasta. Memang lain dari yang lainlah kan seragamnya. Istimewanya, setiap kali hari Jumaat, semua pengawas tidak berbaris di celah-celah pelajar sebaliknya berbaris panjang di belakang sekali. Terasa sedikit istimewa waktu itu.

Sewaktu darjah 6, seragam pengawas berubah. Tudung dan baju berwarna kuning dan kain berwarna biru tua. Di SMK Abu Bakar yang berdekatan (ABS Temerloh), seragam begini ketika itu ada kaitan dengan pelajar tingkatan 6 rendahnya. Hah. Kadang-kala, selepas habis kelas tambahan untuk pulang ke rumah, ada jugalah yang menyangka saya ni pelajar tingkatan 6 rendah di ABS (penelitian pada kematangan, bukan ketinggian, hehe). Istimewanya ketika darjah 6 dulu, pada hari Jumaat, kami berhimpun di dalam dewan. Ada penghawa dingin lagi tu. Jadi, semua pelajar duduk dan dengan seragam kuning-biru tua ini, para pengawas yang berkumpul di belakang kelihatan sangat bergaya. Memang boleh perasan cantiklah kiranya. Tambahan pula, kalau kita tahu secret admire kita melancarkan sesi pandang-pandang jeling-jeling pada kita. Huhu. Ini untuk orang lainlah. Bukan saya. Disebabkan saya ialah Penolong Ketua Pengawas sekolah, saya memang dikenali sebagai orang yang jangan-main-main-dengan-saya.

Sewaktu tingkatan 2, saya kembali menjadi pengawas. Kali ini sebagai Penolong Ketua Pengawas Sidang Petang. Seragam kali ini merupakan seragam yang paling feminin pernah saya rasakan sepanjang bergelar pelajar. Tudung dan kain berwarna merah jambu (yang agak terang) dan berbaju putih. Saya kurang bekenan. Jadi selalulah saya hanya berseragam sekolah biasa (tudung dan baju putih, kain hijau tua) tapi dipadankan dengan kasut hitam. Waktu sekolah rendah dulu, semua pelajar sekolah saya berkasut hitam jadi memang tak ada peluang untuk berbaju seragam biasa. Tambahan pula, seragam biasa yang berwarna biru itu hanya sempat saya gunakan ketika darjah 1 saja. Takkanlah sudah darjah 6 mahu pakai baju itu lagi. Mahu koyak-rabak jadi macam Incredible Hulk kan. Huhu. Kisahnya waktu tingkatan 2, setiap hari Jumaat, perhimpunan rasmi dibuat sebelum balik. Sekitar pukul 5.45 petang. Jadi, hari sudah redup. Seronok saja berhimpun waktu itu. Sekolah saya di atas bukit. Terasalah juga angin sepoi-sepoi daripada arah padang bertiup menyegarkan kami barisan pengawas di belakang itu. Tapi biasanya saya lebih suka berdiri di hadapan. Senang saya hendak melihat dunia. Haha. Mana tidaknya. Pelajar tingkatan 1 semuanya tinggi-tinggi!

Ketika tingkatan 3, saya masih menjadi pengawas di sekolah itu tapi kini di sidang pagi. Tahun itu, seragam pengawas bertukar warna. Tudung dan kain berwarna ungu dan baju berwarna putih. Adik saya si Adnan tu pula menjadi Ketua Pengawas Sidang Petang. Dia selalulah juga merungut bahawa warna ungu tak sesuai dengan lelaki. Ah. Alasan. Dia memang tak suka warna ungu sebenarnya. Padahal sekarang ni bila dah besar, semua warna pun boleh saja dipakainya. Oh ye. Baru saya sedar. Ketika kakak saya tingkatan 2 dan saya dalam tingkatan 1, kakak saya yang menjadi Penolong Ketua Pengawas Sidang Petang. Ha. Macam menjadi sistem penurunan kuasa mengikut heirarki keluarga pula. Huhu. Tapi sungguh. Semuanya adalah kebetulan. Apa yang seronoknya ketika perhimpunan Pagi Jumaat ialah skop tugas saya ketika itu. Saya AJK Biro Disiplin dan Perkakas. Jadi bidang tugas saya termasuklah menyediakan bendera untuk dinaikkan setiap kali perhimpunan rasmi berlangsung. Dan biasanya, selalulah saya yang kena terpacak di tepi astaka guru untuk memberikan kain bendera kepada pengawas lelaki yang bertugas. Hah. Sebenarnya saya selalu dibuli dalam kes ini. Mahu tahu kenapa? Kerana pada waktu itu, Ketua Pengawas Sekolah (Ketua Umum -KU-) yang merupakan pelajar tingkatan 6 atas menaruh hati pada saya. Muahaha. Para pengawas yang lain semua sudah mengetahuinya. Jadi mereka sengaja buli saya kerana mereka hendak lihat sesi pertukaran bendera dari tangan saya ke tangan pengawas lelaki yang bertugas. Yang jahatnya, hari-hari yang saya dipaksa bertugas itu, hari itulah juga si KU itulah yang datang ambil. Serius saya tak cakna langsung padanya ok. Dan pernah juga saya bengang dan hanya meletakkan bendera itu di atas podium tempat berucap di atas astaka itu. Ha. Ambillah sendiri nanti. Tapi bila dikenang semula, memang terasa istimewa sungguh hari Jumaat pada ketika itu. Oh ya. Sebelum menduduki PMR, saya ada mendapat kad ucapan daripada KU tau. Betul-betul pada hari Jumaat sebelum PMR bermula, sebaik selesai perhimpunan pagi Jumaat. Istimewa kan hari Jumaat saya 8 tahun yang lalu? =)

Dan ketika tingkatan 5 di KISAS, sekali lagi saya menjadi pengawas. Kami digelar Ketua Pelajar (KP). Sekali lagi saya masih berkhidmat dalam Biro Disiplin. Huh. Nampak sangat muka saya ni muka orang garang dan serius. Hakikatnya kenapa saya berada dalam biro ini adalah kerana saya seorang yang skema. Silalah ketawa. Memang itulah hakikat. Hehe. Saya tak pernah rasakan sebarang keistimewaan sepanjang menjadi KP di KISAS sebab saya sangatlah sibuk dengan 1001 jenis kerja. Termasuk aktiviti bahas yang tak putus-putus, serius saya rasakan kaki saya nak tercabut ketika bermastautin di sana. Cuma dari segi kod berpakaian, KP di KISAS perlu memakai blazer (kot biru tua gelap) ketika perhimpunan rasmi. Baju dan tudung biru muda, kain putih dan kot itu. Tapi jika hari Jumaat, saya lebih suka memakai seragam pelajar biasa kerana kainnya adalah sampin hijau yang ceria itu. Kalau saya memakai seragam biasa warna biru itu, serius saya akan rasa seperti hendak pergi berbahas. Bezanya, ketika berbahas, saya memakai skirt labuh warna biru gelap. Tak kiralah. Saya tetap tak suka memakai uniform pengawas biru itu dengan kot. Panas ok. Bukannya ada penghawa dingin di dalam dewan tu dan tak semua tempat dapat merasa hembusan angin daripada kipas. Hehe. Cuma istimewanya hari Jumaat ketika itu, saya dapat melihat kekemasan si AP saya. Huhu. Ini rahsia dulu-dulu. Dia tak pernah tahu tentang ini. Ok. Sudah. Tak boleh sebut banyak-banyak. Siapa kenal dia sila tutup mulut tau. Ini arahan ni =)

Dan hari ini juga hari Jumaat. Sekarang sudah tiada seragam pengawas yang bermacam-macam warna itu. Seragam saya sekarang ini sama saja setiap hari. Kot putih. Pasti membosankan bagi yang telah 6 tahun begini. Hehe. Dan juga menyeramkan sehinggakan ada satu sindrom yang diberi nama White Coat Syndrome. Sindrom Kot Putih. Hehe. Walaupun seragam saya kini tak menarik, tiada warna yang cantik, putih kosong saja, tapi, setiap hari Jumaat memang adalah wardah untuk saya.

Daa~

Posted on October 17th, 2008 by Sarah  |  19 Comments »

Surat: Apa Khabar Orang Kampung

Assalamualaikum wbt

Emak dan ayah,

Apa khabar semua di rumah? Ngah doakan semuanya sihat-sihat saja. Petang tadi, selesailah segala pertarungan di Oncology Hospital. Sengaja Ngah tidak khabarkan bahawa Ngah menduduki Credit Day pada hari ini. Ringkas cuma coretan untuk emak dah ayah. Sekadar hendak mengkhabarkan bahawa Ngah telah lepas dengan baik dan pembentangan kes juga dapat dibuat dengan baik. Ya. Baik pada penilaian dan kepuasan diri sendiri. Emak dan ayah jangan khuatir. Anak yang seorang ni tak memonteng sekali pun, tepati masa dan sanggup berjaga malam semata-mata hendak memastikan nota lengkap, ringkasan kes dikemaskinikan, persediaan hari berikutnya dibuat dan blog dikemaskinikan untuk ditatap oleh emak dah ayah. Nampak gayanya, emak dah ayah perlu sentiasa menjenguk ke mari agar tidak terlewat membaca repekan terkini daripada Ngah. Agak-agak, emak masih berebut PC di dapur tak dengan adik-adik? Hehe.

Emak dan ayah,

Ngah ada satu cerita yang hendak dikongsikan. Tadi, Dr. Alexei bertanyakan nama Ngah. Siapa Dr. Alexei? Dialah yang menjadi fasilitator untuk posting kali ini. Antara 10 orang, nama Ngah saja yang ditanyanya. Sarah. Jawab Ngah. Biarlah kalau orang nak kata Ngah perasan atau apa sekarang ini tapi Ngah gembira kerana kerja keras untuk posting kali ini berbaloi dan ‘dilihatnya’. Tentu emak dan ayah faham apa yang Ngah maksudkan, kan. Dengan perhatian yang diberikan oleh Dr. Alexei sejak Isnin lalu sehingga tadi, Ngah rasa segalanya terbayar, tiada apa yang menggusarkan hati lagi. Keranya jugalah Ngah rasa bersemangat untuk meneruskan posting yang lain pula dan menyudahkan tahun akhir ini dengan sebaik-baiknya. Kalau Ngah punya gambar Dr. Alexei, pasti Ngah titipkan di sini. Biar emak dan ayah kenal siapa pendorong semangat anak yang seorang ini.

Balik dari hospital petang tadi, Ngah balik bersama Azam. Dalam kami berbincang pelbagai isu, dia ada menyatakan sesuatu. Ngah terkesan dengan apa yang dia katakan. Katanya: Jadilah seperti ikan. Biar hidup di air tawar, ia tetap tidak tawar. Biar hidup di air masin, ia tetap tidak masin. Dalam maksudnya, kan. Ngah tahu emak dan ayah faham apa yang Ngah maksudkan di sini. Insya Allah, ini janji Ngah. Mahu jadi seperti ikan.

Emak dan ayah,

Cukup di sini dulu untuk kali ini. Esok Ngah akan bercuti sehari sebelum memulakan posting Autopsy yang sekejap saja tu pada hari Jumaat nanti. Kalau makan ikan patin masak tempoyak ataupun asam pedas ikan pari, jangan lupakan Ngah ya! Salam buat adik-adik di rumah. Katakan pada Adam dan Adi, doa Ngah tak putus untuk PMR dan SPM mereka.

Nota: Ayah, lucu pula bila baca email ayah. Operasi Tebuan namanya ye. Tak sangka pula sampai terpaksa panggil JPA3 untuk menurunkan sarang tebuan di atas pokok nangka di tepi garaj tu. Meriah juga nampaknya gambar-gambar ketika operasi tu ye. Maklum sajalah. Jarang-jarang ada insiden begini terjadi, kan =)

Salam dari Moscow,
Ngah.

Posted on October 16th, 2008 by Sarah  |  26 Comments »

Saya Ghuraba’

Assalamualaikum wbt

Setiap kali ulang-alik menuju ke Oncology Center yang terletak di Kashirskoe Shosse, biasanya saya bersendirian sewaktu pergi dan hanya kadang-kala berteman sewaktu balik. Sejak pertama kali berada di sana, saya terpandangkan satu papan iklan besar di tepi jalan. Ada sesuatu yang menarik perhatian.

Pada papan tanda yang pertama, tertulis perkataan Bahasa Arab. Ghuraba’ yang membawa maksud Orang Asing (The Strangers). Pada hari yang sama, dalam perjalanan pulang, saya menoleh melihat papan iklan itu lagi. Saya berseorangan ketika itu. Saya betul-betul merasakan erti keterasingan pada waktu itu. Sayalah salah seorang daripada ghuraba’ yang ada di sini.

Saya cuba untuk bertanyakan pendapat orang lain kenapa papan tanda Ghuraba’ itu diletakkan di sana tapi saya sentiasa berseorangan dalam perjalanan ke sana. Sehinggalah tadi, ketika dalam perjalanan menuju ke stesyen metro, kami berjalan berlima. Saya bertanya kepada Azam tentang hal itu. Azam ini rakan sekumpulan saya yang juga punya asas Bahasa Arab. Dia tersentap bila saya menunjukkan papan iklan berbahasa Arab itu. Dia pun teruja. Apabila saya tanyakan pendapatnya, apakah makna yang dibawakan oleh iklan itu, Azam mengatakan bahawa mungkin tiada apa-apa. Sekadar hendak meraikan bahawa di kawasan ini, ramai orang asing yang tinggal, jawabnya. Saya sekadar mengangguk sebagai respon bahawa saya mendangar apa yang dikatakannya.

Kami meneruskan perjalanan masuk ke stesyen metro dan seterusnya sebaik metro sampai, kami semua masuk ke vagon-vagon yang ada. Nasib saya, saya terpisah 2 vagon daripada 4 yang lain. Dan kali ini, saya betul-betul merasakan papan iklan itu membawa maksud yang tersendiri untuk saya. Bagi saya, papan iklan Ghuraba’ itu adalah satu pujukan semangat yang Allah ‘berikan’ kepada mereka yang selalu bersendirian agar kuat semangat dan tidak mudah putus asa. Iklan itu berlatarkan warna putih dan tulisannya hitam. Kosong begitu saja. Jadi saya menilai, setiap orang yang terasing itu sebenarnya mempunyai kekuatan dan signifikan yang tersendiri dalam dunia ini.

Kenapa saya selalu menilai sesuatu perkara itu sepelik dan serumit ini? Tapi sungguh. Bagi saya, papan iklan itu adalah satu pujukan dan semangat untuk saya supaya tak mudah mengalah dan…

Dan tak mudah menangis.

Nasyid ini nyanyian kawan saya, Ihab. Ghuraba’. Yang diberi nafas baru dan diberikan tajuk Beyond The Norm.

Posted on October 13th, 2008 by Sarah  |  10 Comments »