Monolog Bersama Iman (Finale)
Episod lepas: i-viii
Episod lepas: ix
Episod lepas: x
“Ni cerita betul ke Man?” Aku mencelah.
“Betul ke tak, itu lain kira, Sar. Dengar’in dulu sampai sudahnya.” Iman menyuruhku bersabar dahulu. Aku kembali membuat muka tekun.
“Sebelum pergi ke medan perang, laki ni janji dengan diri sendiri, habis perang, dia akan melamar perempuan ni. Dia tak mahu terlepas lagi dah. Dia dah lama tunggu. Jadi habis perang, itulah niatnya.” Aku terangguk-angguk mendengar dan membayangkan.
“Takdir Allah, dalam perang tu, laki ni terkena periuk api. Dia terselamat tapi kaki dia kena potong sebelah sebab hancur. Yalah. Periuk api. Dahsyatlah kan. Dia kena hantar balik ke kampung dia semula dan khidmat dia dengan tentera hapus sudahlah. Udah cacat kan. Sudah terkecuali daripada peranglah.” Iman berhenti seketika.
“Sejak dia duduk di kampung semula, dia dengar cerita perempuan yang tadi udah habis belajarnya di sekolah tinggi. Dia lagi amat gembiralah bila tahu tapi jadi sedih sebab dia sudah cacat. Dia rasa, budak perempuan ni mesti enggak mahu sama orang cacat gaya dia. Udahlah cacat, apa mahu dikasi makan pakai nanti, kan. Dia lagi rendah dirilah dengan diri dia yang kurang tu. Jadi, dia solat-solat minta petunjuk. Petunjuknya baik tapi dia tetap enggak mahu terus’in niat dia tu.”
“Alahai, pulak dah.” Aku menyampuk mengekspresikan rasa terkilanku.
“Sampailah satu sore, adiknya pulang dan khabar’in dia yang perempuan ni akan menikah esoknya tu. Keluarga laki ni dijemput ke walimah kecil-kecil tu. Ya, luluhlah hati laki ni. Tapi dia kuatkan semangat. Dia khabar’in hatinya, ni hikmah dia tidak melamar tempoh hari. Kerana barangkali perempuan ni udah ada calonnya. Ya, itulah laki ni fikir’in.”
“Esoknya, laki ni dan keluarga dia kunjunglah sebentar ke walimah tu. Laki ni dah redha yang memang perempuan itu bukan jodoh untuk dia. Tapi bila dia lihat siapa si suaminya, laki tu jadi sangat terkejut dan menyesal banget enggak ikut’in petunjuk yang dia dapat. Dia nyesal, Sar. Nyesal banget! Dia lalu nangis di bahu adik dia, Sar.” Iman berhenti di situ.
“Kenapa? Kenapa dia nangis? Dia sayang lagi ke pada perempuan tu?” Aku tertanya-tanya dengan sangat. Aku tahu pasti ada sesuatu yang diluar jangkaan akal lelaki itu.
“Sar, calon suami perempuan ni kudung dua-dua kakinya, Sar. Dua-dua belah! Dia duduk atas kerusi roda, Sar. Dia parah dalam accident mobil, Sar. Dan waktu perempuan ni nampak laki ni tadi datang ke walimah dia dan dia nampak laki ni merah matanya, perempuan tu pun tunduk dan menangis. Kamu tahu, Sar. Sebenarnya, perempuan ni memang hajat’in laki ni jugak. Cuma dia tunggu udah terlalu lama dan laki ni pulak udah give up sebab dia cacat. Udahnya, bapaknya terima aja pinangan orang yang baik agamanya untuk anaknya tu, Sar.” Lirih Iman menyudahkan ceritanya itu.
Aku diam saja. Aku agak terkejut dengan kesudahannya. Dan yang lebih penting, aku tidak dapat mengelaskan pada kedudukan siapakah Iman mahu meletakkan aku dalam cerita ini. Tapi yang pasti, aku tidak sedikitpun memberikan komen. Aku diam saja. Aku berfikir dengan dalam. Selepas seketika, aku bersuara.
“Man, saya yang mana satu awak maksudkan? Si askar ke, perempuannya ke, atau suami yang kudung tu?” Aku diam sekejap. “Kalau saya ada dalam tempat perempuan tu, saya akan bagitahu ayah saya terus terang saya tunggu orang lain. Bukannya seorang perempuan tak boleh menyatakan hajat. Tapi kena betul caranya kan.” Aku melepaskan keluhan di hujung ayat. Aku sedang kuat berimaginasi, cuba meletakkan diriku dalam ketiga-tiga watak.
“Kamu si askar kudung sebelah tulah, Sar. Cepat sangat deh kamu rasa kurang. Sedangkan kurangnya sikit aja. Kalo laki tu fikir’in dalam-dalam, ikut petunjuk solatnya tu, cuba dulu sebelum terus give up walau dia tu kudung, perempuan tu udah jadi isteri dia dah. Tapi yalah. Cepat sangat rasa diri tak cukup itu ini.”
“Kamu Sar, janganlah rasa kurang itu ini dari si Annas. Janganlah banding’in dia alim, warak, beriman semua tu. Dia lihat kamu perfect untuk dia. Dia tak pandang yang lain. Di mata dia, abang dia, aku, kamu udah cukup sifatnya. Usamah setuju loh Annas mahu nikah’in kamu. Susah tu mahu abangnya tu kasi green light, Sar. Rendah-rendah gaya ni cukuplah tu untuk Annas. Paras bahu dia apa, Sar.” Iman ketawa.
“Iman! Sempat lagi tu dia ni. Ish. Iman, saya sungguh-sungguh tak nak dan kalau boleh tak nak tahu dari awal pun pasal ni. Susah Man. Saya ni nampak je macam ni tapi saya tak tipikal macam tu. Saya bukan nak kata ni style orang yang tipikal ke, konservatif ke, apa ke. Tapi cuma sebab saya rasa ni belum masanya. Dan kalaulah tadi awak kata saya duduk dalam tempat askar kudung tu, saya nampak ada satu benda yang tak sama. Saya belajar lagi. Askar tu dah kerja. Sedangkan askar tu sendiri pun sanggup tunggu perempuan tu habis belajar dulu baru dia nak melamar. Saya fikir pasal banyak benda, Man. Tapi paling senang nak cakap, saya fokus dengan title student lagi ni. Sungguh saya tak nak, Man.” Aku meletakkan kata putus dengan mengkiaskan tanggung jawab sebagai pelajar menjadi alasan.
“Dan saya rasa, mak ayah saya pun tak nak berjauhan dengan saya sampai ke Syria nun. Jauh tu, Man. Dan saya sendiri tak terfikir pun pasal kahwin-kahwin semua ni sekarang. Please, Man. Cakaplah elok-elok pada Annas ye. Please…”, aku memujuk Iman supaya memahami situasiku. Aku sebenarnya tahu di mana pendirian Iman dalam hal ini. Bukan sehari akan mengenali dia. Bukan sedikit rahsia dia yang aku ketahui. Tapi aku tahu Iman juga rasa bertanggung jawab untuk menyampaikan yang terbaik bagi pihak Annas.
“Sar, kamu kenal aku kan. Aku faham sangat deh. Aku pun takut sebenarnya mahu ngomong sama kamu. Aku takut lepas ni kamu enggak percaya sama aku lagi. Tapi udah kebetulan Annas minta aku nolong dia. Usamah pun kata please sama aku. Jadi aku cubalah. Sar, aku sekarang jelas banget apa kamu fikir. Aku faham tu. Tapi untuk kata tak nak pada dia, aku rasa baik kamu kukuhkan alasan dengan istikharah, Sar.”
“Maksud awak macam mana tu?” Aku membalas.
“Aku akan tanya lagi sekali keputusan ni lagi tiga hari. Kamu dahulu’in dengan istikharah. Lalu nanti aku tanya’in lagi sekali, kamu bagi jawapan ikut istikharah. Aku yakin, kamu buat keputusan ni kerana kamu rasa Allah ada rancang yang terbaik untuk kamu, Sar. So, mesti Allah tu maha adil untuk kamu, Sar. Mesti istikharah tu sebelahi kamu nanti. Yakinlah tu, Sar. So, nanti kalau aku khabar’in Annas yang kamu nolak dia, kamu ada alasan yang baik yang datangnya dari Dia kan”, sudahi Iman sambil jari telunjuknya lurus menunjukkan ke atas sana. Aku mengangguk. Faham dan jelas. Dan terharu kerana Iman memahamiku dan cuba untuk meletakkan penolakkan itu nanti dalam keadaan yang murni. Terima kasih, Iman. Pendapatmu benar-benar pendapat seorang yang bergelar sahabat!
“Terima kasih, Man. Terima kasih.” Aku sudah tidak tahu apa untuk dikata.
“Loh, jangan nangis pulak Sar. Aku tak tolong apa-apapun ni. Aku pun lagi tersepit ni. Tak ditolong, Annas tu kawan aku. Yang di sini tak dipertimbangkan, kamu sahabat aku, Sar. Dulu, kamu yang banyak nolong aku. Ni aku nolong mana yang dapat aja. Udah-udah. Kamu jangan riso la, Sar. Ni Iman ni.”
“Iman dut!” Aku laju mencelah untuk menceriakan semula suasana. Dut. Singkatan kepada perkataan gendut yang aku namakan padanya kerana satu masa dulu di depan pegawai-pegawai Kedutaan Besar Indonesia, dia pernah memalukan aku dengan memanggil Sarah mut. Mut itu singkatan perkataan imut. Yang maksudnya comel seperti budak-budak. Bising seketika majlis berbuka puasa itu gara-gara kecohnya mulut Iman. Iman Al-Wahdy yang sentiasa disenangi ramai walau di mana dia berada.
“Ok, Sar. Aku pulang dululah. Kamu udah-udah fikir’in pasal ni. Serahnya pada Allah. Dia lagi tahu kamu. Kok tapi kalo udah solatnya tunjuk yang baik-baik, nikah ajalah, Sar. Aku untung makan nasi walimah kat sini nanti.” Iman tergelak. Gelak yang cukup besar. Agak bengang juga aku dengan kesimpulan mudahnya itu.
“Heh, apalah dia ni. Ada ke macam tu pulak. Huh, takde maknanya, Man. Ni sarah ni. Tak nak maksudnya tetap tak nak, ok.” Aku menegangkan muka. Kononnya aku geram dengannya.
“Yalah, yalah. Aku joking la, Sar. Ok, aku pulang dululah, Sar. Lapar ni. Nanti kamu masak, tak dapat punyalah hari ni.“
“Man, kalau hari ni turn saya masak, dah lama saya kasi sikit. Tapi hari ni turn housemate saya masak. Diorang ada potluck kejap lagi. Lain kali ye. Ni janji ni.” Aku mengangkat tangan kanan tanda berikrar.
“Ok. Deal ya, Sar. Aku tunggu. Haha. Makan free aku nanti. Baguslah gini, Sar.” Iman terus gelak.
“Iya, iya. Saya ingat ni. Nanti dah masak nanti, saya roger awak suruh datang ambik kat sini ok.”
“Ok, beres. Oklah. Aku balik dulu. Tenang ya. Aku tau apa doa kamu tu, Sar. Aku doa’in sama. Balik deh. Assalamualaikum.”
“Terima kasih, Man!” Aku sungguh-sungguh memaksudkan ucapanku itu. Dan salamnya kusambut perlahan. Pintu kubuka dan melangkah masuk bersama tabung derma itu menuju ke bilikku. Dari pintu dapur yang sedikit terbuka, bau masakan yang harum menusuk hidung membuatkan perutku berbunyi-bunyi.
Di bilik, aku lihat Fareena sedang menghadap buku. Menyalin nota barangkali. Aku menghampiri. “Pena, KS ada cerita nak kongsi ni. Kamu free?”
Seperti biasa, Fareenalah orang pertama yang akan kukongsikan kisah-kisah hidupku.
“Free je. Ni tengah salin note Russian Class je. Esokkan saya ada Russian je.” Fareena kelihatan bersungguh. Aku duduk di atas katilnya sambil meletakkan tabung di atas riba. Aku mencari punca cerita yang terbaik, supaya Fareena tidak pelik dan tiada siapa akan terpekik. Dengan suara yang perlahan dan penuh hati-hati, aku menceritakan segalanya pada Fareena.
“KS!!!!” Jerit Fareena. “Jangan, KS! Saya tak nak KS kahwin dengan dia. Just not yet. It is not you! Orang Arab pulak tu. Jangan, KS!” Fareena setegas-tegasnya mahu aku menolak.
“Iya, iya. KS memang tak nak pun. Kamu ni pun. Kasilah KS cerita sampai habis dulu. Ni dah jerit dulu. Nanti yang lain dengar, matilah KS. Aisshh….”, aku bersungut semula sambil menepuk lembut lututnya. Selesai aku menceritakan keputusanku dan Fareena yang berpuas hati dengan cadangan bernas Iman, aku melangkah ke tandas untuk berwudhuk.
Aku menunaikan solat Isyak diikuti istikharah. Aku berdoa, tiga kali dalam masa tiga hari sudah mencukupi untuk meyakinkanku dengan keputusanku ini, Insya Allah. Selesai menyimpan telekung ke dalam almari, aku menuju ke katil. Jam sudah hampir ke pukul 9.55. Di luar bilik kedengaran suara adik-adik rumahku sedang bersiap-siap untuk majlis potluck mereka. Aku masih belum makan apa-apa hari ini. Tapi badanku terlalu letih.
Aku wajib tidur sekarang. Jam 2 nanti aku perlu bangun untuk studi. Aku wajib. Subuh akan menjelang jam 4.15 pagi nanti. Musim sejuk memang begini. Waktu solat jauh bezanya dengan waktu lazim kita di Malaysia. Sebelum naik ke atas katil, aku menyusun buku-buku yang hendak kubaca apabila bangun nanti. Dua buah buku rujukan Surgery dan Therapy. Cycle Surgery dan Therapy akan bermula pada hari esok.
Perut terasa sangat lapar. Tapi aku nekad untuk terus tidur. Katil kunaiki, dan lampu kupadam. Dalam gelap bilik, aku memandang langit menerusi tingkap.
“Terima kasih Tuhan atas nikmat persahabatan yang kau berikan padaku dan terima kasih Tuhan atas nikmat ujian yang Kau berikan ini. Dengan ujian ini, aku mohon Kau tambahkan nikmat iman ke atasku. Dan aku mohon monolog iman hatiku ini benar dan keputusanku datangnya diiringi redha-Mu. Amin…”
Tamat
………………………………………………………………………………………………………….
Nota: Inilah kisahnya Monolog Bersama Iman. Saya minta maaf atas gaya penulisan dan penyampaian yang tidak baik. Saya bukan penulis amatur apatah lagi profesional. Saya memang ada menulis beberapa buah cerpen tapi ini kali pertama saya berkongsi secara maya. Saya tidak tahu apa pendapat kamu semua bila sudah membaca hingga ke penyudahnya. Mungkin ada yang kata, tidak nampak pengajarannya pun. Tidak nampak kemuncaknya di mana pun. Tidak nampak apa-apa signifikasinya pun. Saya minta maaf atas segala kekurangan dan kejemuan yang saya bawa di sini. Terima kasih kerana tetap sudi membaca dan memberi komentar. Jika ada yang kurang bersetuju dengan gaya penulisan, bahasa, tindakan atau kesimpulan yang saya buat dalam cerita ini, sudi-sudilah menegur saya. Saya terbuka dan boleh menerima teguran.
Nota appresiasi: Terima kasih Iman Al-Wahdy, Abang Khairil Idham (K.I), Emy, Fatt, Wanie, Diba dan Pena yang mewarnai hidup saya pada hari itu. Dan menjadi sumber saya menulis. Buat Annas, terima kasih kerana melihat diri ini istimewa. Dan maaf kerana terpaksa menolak keistimewaan itu. Maaf dengan sangat.
Nota gembira: Yeay~ Akhirnya hutang saya terlah terbayar. Alhamdulillah. Nak buat nescafe panaslah untuk raikan. Hehe. Ada yang mahu minum dengan saya? 🙂 Mari kita lihat siapa yang akan mengomen dulu kali ini *kenyit mata sikit!*