Assalamualaikum wbt
Wah. Tajuknya macam cerita seram saja. Jangan risau. Takkan tegak bulu roma membaca kisah ini. Ini cuma kisah berkaitan bekas pesakit saya di Temerloh dulu. Kisah yang bila dikenang kembali, boleh bergenang air mata saya.
Sebenarnya sudah lama saya hendak berkongsi kisah ini dengan semua. Tapi sungguh, saya tiada kesempatan. Kisahnya terjadi sekitar Februari hingga April yang lalu. Alang, seorang lelaki berketurunan Orang Asli yang berumur di awal 30-an. Alang dimasukkan ke wad surgical lelaki selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sebaik pulang dari kerja di pusat penebangan balak. Kemalangan itu berlaku sekitar jam 2 pagi.
Setelah diresusitasi di Jabatan Kecemasan, dia telah dihantar naik ke wad dalam keadaan intubated. Maksudnya, dia bernafas menggunakan alat bantu pernafasan (ventilator). Dia tiba di wad sekitar jam 7 pagi di saat para HO sedang sibuk membuat review pagi di wad. Dia mengalami intracranial bleed (ICB) dan beberapa kecederaan yang lain. Namun disebabkan ICU penuh, dia tidak dapat dipantau secara rapi di sana, sebaliknya hanya dimasukkan ke wad biasa saja.
Saya masih ingat, pada pagi itu, kawan saya, Michelle, yang oncall. Di Jabatan Pembedahan Am (Surgical), HO yang oncall perlu membuat review di acute cubicle, kubikal yang menempatkan pesakit-pesakit tenat yang memerlukan pantauan penuh dan rapi. Kelam-kabut Michelle hendak memastikan semua pesakit di kubikal itu habis di review semuanya termasuk kes baru yang tiba-tiba saja sampai di pagi hari itu. Sebaik saja pakar tiba pada jam 8 pagi itu, semuanya bertumpu di katil Alang, untuk mendengar apa kisahnya si Alang ini dimasukkan ke wad dalam keadaan begitu.
Ketika itu, Alang berada dalam keadaan yang agak menggelupur (restless) walaupun intubated kerana tiada sedation diberikan sepenuhnya kepada Alang. Pakar yang sedang membuat round terus menghubungi Pakar Bius oncall pada hari itu dan cuba mendapatkan sebuah katil di ICU untuknya. Setelah berbincang itu dan ini, akhirnya Alang berjaya ditempatkan di ICU. Saya telah diarahkan untuk memindahkannya ke sana bersama beberapa orang jururawat yang lain.
Hampir tiga minggu lamanya Alang berada di ICU. Banyak yang terjadi di sana. Pada suatu hari, ketika sedang makan di pantri wad, Michelle bertanya kepada saya tentang keadaan Alang di ICU. Saya juga tidak berapa pasti akan keadaannya kerana sepanjang dua minggu itu, saya hanya bertugas dan oncall di wad surgical lelaki saja. Tiba-tiba pada petang itu, kami mendapat tahu bahawa Alang akan dipindahkan ke wad semula. Kebiasaannya, kes-kes yang dipindahkan keluar daripada ICU disebabkan pesakit sudah beransuh pulih. Jadi besar kemungkinan Alang juga begitu.
Ketika dia tiba semula ke wad, keadaannya masih intubated tetapi sudah sedar dan menurut kata. Cuma keadaan paru-parunya pula yang mengalami komplikasi. Maka, dia sekali lagi ditempatkan di acute cubicle, katil nombor 17. Saya oncall pada hari itu. Jadi saya pergi terus ke katilnya untuk mendapatkan cerita penuh segala perkembangan Alang ketika berada di ICU. Saya perlu tahu semua itu kerana jika ada apa-apa yang terjadi, sayalah yang bertanggung jawab kerana sayalah yang oncall. Sekitar jam 7 malam itu, saya perlu mengambil darahnya. Saya pergi mendapatkannya dan memaklumkannya bahawa saya perlu mencucuknya untuk mengambil darah.
Alang kelihatan seakan-akan menjeling saya. Saya tahu, dia tidak mahu dicucuk. Dia kelihatan agak marah tapi dia tidak dapat berkomunikasi menggunakan suaranya. Saya memujuknya dengan menyatakan saya berjanji hanya akan mencucuknya sekali saja. Akhirnya dia seakan-akan pasrah saja. Sejak hari itu, kesemua HO yang oncall sudah kenal dengan perangai Alang. Kami terpaksa memujuknya dulu sebelum mengambil darah supaya dia tidak agresif.
Kadang kala saya lihat ada seorang dua ahli keluarganya yang datang melawat. Faham-faham sajalah. Mereka Orang Asli. Hidup susah. Bukan senang-senang mereka hendak mendapatkan pengangkutan untuk datang ke hospital. Pada suatu hari, saya berkesempatan bertemu dengan isteri Alang. Saya berbual-bual dengannya. Katanya, mereka mempunyai dua orang anak. Kedua-duanya perempuan. Isterinya tidak bekerja. Hanya Alang seoranglah yang menanggung mereka sekeluarga dan juga ibu bapa mereka. Sedih saya mendengarnya. Menurut isteri Alang, hendak tak hendak, Alang perlu sembuh kerana ada ramai yang bergantung kepadanya.
Pada ketika itu, saya memandang Alang. Alang hanya membalas semula pandangan saya itu dengan sayu. Dalam hati saya berkata: Agaknya, Alang dapat bertahan sehingga ke hari ini sebab dia tahu dia ada banyak tanggung jawab. Serius. Saya rasa sangat syahdu pada ketika itu.
Sebetulnya, ada banyak perkara yang terjadi kepada Alang sepanjang dia berada di wad. Dia pernah asystole (jantung berhenti berdenyut) sebanyak dua kali, dimasukkan-dikeluarkan-dimasukkan semula ke ICU beberapa kali dan mengalami komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru yang teruk. Disebabkan itu, Alang terpaksa menjalani chest physiotherapy yang kerap dalam masa sehari untuk membantu mengeluarkan kahak dan lendir daripada paru-parunya.
Tapi, ahli fisioterapi hanya datang sekali saja dalam masa sehari itu. Selebihnya, Alang bergantung kepada doktor dan jururawat untuk melakukannya. Semua ini berlaku sebelum saya mula cuti kahwin pada Mac yang lalu. Ketika itu, saya terlalu banyak oncall secara selang sehari untuk memastikan cuti kahwin saya diluluskan. Jadi, pendek katanya, saya menghabiskan terlalu banyak masa menjaga Alang dan mengikuti perkembangannya dari hari ke hari. Saya masih ingat akan kata-kata pakar saya pada satu malam yang saya oncall: “Please do aggressive and intensive chest physio for him.”
Haaa. Saya pun apa lagi. Sejak hari itu, saya sangat kerap melalukan chest physio kepadanya. Tahu tak bagaimana chest physio dilakukan? Saya perlu mengetuk-ngetuk dada Alang di bahagian depan dan belakang menggunakan tangan dan diikuti dengan menyedut kahaknya menggunakan suction tube yang dimasukkan melalui tiub di tekaknya. Saya tahu Alang kesakitan dan sudah tidak larat diperlakukan begitu setiap hari. Tapi apakan daya. Ini yang terbaik untuk memastikan kahak Alang dapat dikeluarkan dengan kerap bagi mengelakkan keadaan paru-parunya teruk kembali.
Pernah Alang mengeluarkan bunyi-bunyi yang menyayat hati ketika saya sedang membuat chest physio ke atasnya. Saya sedih. Siapa yang tidak kasihan, kan. Tapi saya memang terpaksa. Tapi saya katakan pada Alang: “Alang, awak kena kuat. Awak kena sihat. Kesian kat isteri dan anak-anak awak yang tunggu awak tu kan.” Dengan berkata-kata begitu, Alang pasti akan memberi kerjasama. Bukan sekali dua saya melihat air matanya meleleh menahan segala kesakitan dicucuk, diketuk-ketuk dadanya dan dimasukkan suction tube ke tekaknya. Terlalu banyak kali!
Sehinggalah pada suatu hari, saya oncall lagi pada hari itu. Ketika hendak membuat chest physio ke atasnya, saya berbual-bual dulu dengannya walaupun dia tidak boleh membalas walau sepatahpun apa yang saya ucapkan. Saya cuma mengambil inisiatif berbual begitu untuk mendapatkan kerjasamanya dan pada masa yang sama, inilah cara untuk mendapatkan kepercayaannya supaya membenarkan saya membuat segala prosedur itu. Ketika sedang menyediakan suction tube dan membuka suction, saya berkata: “Alang, kalau awak dah sihat nanti, saya belanja awak nasi ayam, tau.” Tiada respon daripada Alang. Cuma dia tidak menghalang saya memasukkan tiub itu ke tekaknya.
Selepas itu, saya mula bercuti kahwin selama seminggu. Sebaik kembali bekerja selepas bercuti, saya bertugas di wad surgical perempuan pula. Oncall pun hanya di sana saja. Kemudian, saya terlibat dalam kemalangan pula dan bercuti selama lima hari pula. Sebaik kembali bertugas, Michelle memberitahu saya, Alang sudah di extubated (dikeluarkan tiub pernafasan daripada tekaknya) dan tidak perlu menggunakan ventilator lagi. Saya oncall pula pada hari itu. Jadi saya tidak sempat hendak pergi melihatnya di wad lelaki.
Dua hari selepas itu, saya oncall di wad kanak-kanak dan periferi untuk kes-kes surgical. Sekitar jam 6 petang, saya singgah sebentar di wad lelaki. Semata-mata untuk melawat Alang. Menurut Michelle, Alang telah dipindahkan ke subacute cubicle. Ketika diberi arahan oleh pakar untuk memindahkannya ke kubikal yang kurang tenat ini, kesemua staf di wad itu bertepuk tangan. Semuanya gembira kerana Alang sudah terlalu lama dirawat sebagai pesakit yang tenat di acute cubicle. Ibaratnya, dialah Tok Batin di wad itu! Mana tidaknya, dia sudah berada di katil nombor 17 itu sejak bulan Februari lagi. Sudah hampir 3 bulan dia berada di sana!
Ketika saya sampai, saya terus menuju ke katil barunya. Seorang jururawat sedang membuat dressing ke atasnya. Saya terus ke hadapan katilnya. Wah! Terkejut saya melihatnya. Dia sedang duduk di atas katilnya sambil tersengih lebar melihat saya. Jururawat itu bertanya dengan nada berseloroh kepada Alang: “Ha. Kenal ke siapa ni, Alang?” “Kawan”, jawab Alang sambil tersenyum lebar lagi. Tergelak besar saya dan jururawat itu.
Saya berbual-bual sedikit dengannya. Suara Alang serak-serak kasar kerana terlalu lama dia menggunakan tiub pernafasan di tekaknya. Kecederaan pada peti suaranya pasti tidak dapat dielakkan. Saya terharu melihat keadaan Alang yang sudah pulih sebegitu sekali. Dia betul-betul seorang yang bersemangat tinggi. Saya rasa, keadaan hidup dan tanggung jawab yang dipikulnya yang menyebabkannya betul-betul kuat semangat untuk pulih. Saya rasa, kalaulah tiada sesiapa di situ, mungkin saya akan ketawa sambil menangis. Alang adalah pesakit yang saya jaga hampir 3 bulan lamanya!
Sebelum saya berlalu pergi, Alang menegur saya: “Mana nasi ayam?”
Hahahaha. Kali ini saya betul-betul tergelak besar! Alang oh Alang. Awak memang seorang pejuang!
Salam Maal Hijrah 1433 Hijrah. Marilah kita berhijrah menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Mari kita membentuk diri kita menjadi pejuang!
Nota 1: Terlalu sibuk dalam masa 2 minggu ini. Tak sempat nak update blog.
Nota 2: Terima kasih kepada semua yang sudi singgah di blog ini.
Nota 3: Kepada adik-adik jurusan perubatan yang ramai bertanya tentang studi dan dunia pekerjaan, saya akan cari masa untuk menjawab soalan adik-adik semua dalam satu entri nanti ya.