Apakah Makna Ramadhan Pada Mereka?
Balik saja dari rumah Kak Zah petang semalam, saya memang terperuk dengan laptop ni je. Tak jamah nasi sikit pun. Macam biasa, selera tiada lagi. Dalam 4 hari ni, boleh kira apa sajalah yang saya jamah. Semalam saya layan movie konon-kononnya. A Lot Like Love. Bolehlah juga. Cerita lama tapi faham-faham sajalah saya ni macam mana. Memang tak tahu perkembangan terkini kalau tiada yang memberitahu. Tambah pula, saya takkan sentuh movie ke, series ke sepanjang cycle sedang berjalan. Hujung cycle baru saya melibur diri tengoklah apa saja yang hendak ditengok. Itupun tapis-tapis lagi mana yang nak tengok.
Alkisahnya, sementara saya biar movie tu buffer bagi penuh, saya (bak kata Yasir) beraya blog kawan-kawan. Saya pelik pun iya, terkilan pun iya juga. Saya tengok ramailah yang asyik kemaskinikan tiap-tiap hari pasal berbuka puasa kat sana-sini. Tu tak kisah pun. Dapat juga saya ni tahu menu-menu orang Malaya berbuka apa untuk Ramadhan kali ni. Ada yang ke hotel 5 bintanglah, bangga berbuka dengan artislah, berbuka dengan para blogger di restoran yang ditempah khaslah, cerita pergi shopping sakan tawaf satu Kuala Lumpurlah, sampai ada yang bersahur siap-siap lepas shopping sakan sebelum balik ke rumah.
Yang saya fikirkan tu ialah, kalau dah berbuka pun siapnya pukul 9 malam, termasuk berborak sakan, bergambar sakan dan macam-macam yang lain, tu belum masuk anyam ketupat semua tu, bila masa solat Maghribnya? Sadisnya saya tengok. Selama ni saya ingatkan sempena Ramadhan ni ramai yang menjaga bab-bab solat semua ni. Tapi silap la cik oi. Lepas dah beransur dari Secret Recipe, Marry Brown dan entah macam-macam tempat makan lagi, mereka ni pergi sambung shopping di jalan TAR lah pula, dekat kawasan Masjid India lah. Tarawikh pun lepas macam tu saja. Ruginya. Mereka ni tak fikir ke yang Ramadhan ni bulan rahmat yang Allah hadiahkan untuk kita mengumpul dan menternak pahala? Kalau tak nak bertadarus tu tak kisahlah. Itu terpulanglah pada masing-masing. Tapi kalau yang fardhu pun tak dijaga, dan tarawikh yang tiada pada bulan-bulan lain pun tak dikejar fadhilatnya, apakah makna Ramadhan pada mereka ye?
Bila saya tengok kehidupan yang sebegini, saya tahu, saya memang tak secocok dengan kehidupan yang begini. Tu sebab saya lagi rela tiada kawan yang jenis meriah-meriah begini daripada ada kawan tapi melalaikan. Gunanya kawan tu untuk saling mengingatkan dan tarik kita semula bila kita terleka. Leka sikit-sikit tu adatlah kan. Kita ni manusia. Tapi kalau ada kawan yang membawa kita lagi jauh, saya rasa tak rugi kalau kita jauhkan sikit daripada mereka tapi bukan melarikan diri terus daripada mereka. Kawan itu adalah sebahagian daripada tanggung jawab kita. Kalau kita lepas tangan begitu saja, bermakna kita meletakkan saham dalam apa yang mereka lakukan.
Ini cuma pandangan peribadi saya. Minta maaf kalau ada yang terasa. Saya bukan hendak mengecam sesiapa tapi jadikanlah ini sebagai muhasabah Ramadhan yang telah berlalu. Semoga Ramadhan yang akan datang, kita dapat mempertingkatkan amalan kita. Allah datangkan Ramadhan itu sebagai satu hadiah buat kita. Bulan ibadah. Bulan barakah. Madrasah untuk mendidik diri. Adalah kita ini orang yang tidak bersyukur jika kita tidak menerima hadiah daripada Allah ini dengan penuh gembira. Haa… Yang hujung ni analogi saya saja. Bukannya hadis atau apa. Nanti ada yang kata saya buat hadis baru pula. Naya lagi blog saya kena kecam tak pasal-pasal. Huhu.