Archive for the ‘Photos’ Category

Hijau

Assalamualaikum wbt

Saya ini budak kampung. Lahir di kampung (tak sempat dibawa ke hospital) dan membesar pun di kampung. Nasib saja bersekolah di bandar sejak kecil. Bila remaja, tercampak ke Klang dan kemudian terhumban ke Moscow. Saya mula tinggal di rumah saya ini sejak 17 tahun lalu. Rumah ini dibina oleh emak dan ayah pada tahun 1991. Saya di tadika. Dan sejak itu, keliling rumah saya dipenuhkan sedikit demi sedikit dengan pokok pelbagai jenis. Saya rasa, kalau rumah saya tiada pokok-pokok ini semua, pasti lain keadaannya dan suasana tidak sehijau dan setenang sekarang.

Pokok langsat di tepi rumah. Berbuah tak putus-putus.

Pokok limau kasturi di belakang rumah. Dulu saya panggil ini pokok Kaklong. Sebab sewaktu kecil dulu, pokok ini di bawah seliaan Kaklong. Saya ada sebatang pokok belimbing madu dan Nan pula sebatang pokok jambu batu. Tapi pokok saya dan Nan telah ditebang kerana akarnya memecahkan longkang belakang rumah. Terlalu besar.

Langsat di belakang rumah. Pokok ini menggantikan tapak pokok belimbing saya.

Ada yang tak kenal ini pokok apa? Ini pokok pinang. Tumbuh di tepi pagar belakang rumah.

Ini pula pokok kunyit. Kalau perlukan daun kunyit, kutip saja dari pokoknya.

Bunga pokok palma. Bertandan-tandan penuh malayut di pelepahnya.

Pokok kelapa gading. Pokok yang ini renek saja. Belum cukup tua. Tumbuhnya di hadapan rumah. Pokok kelapa biasa tak usah ceritalah. Terlalu banyak. Siap ada sarang burung tempua bergayutan lagi.

Jejarum merah di laman hadapan, bersebelahan bunga pagar.

Jejarum kuning di laman hadapan, berhampiran pokok manggis.

Bunga ini kami panggil bunga pasir. Entahlah nama betulnya apa. Kami pakai sebut je sebab bunga ni selalu tumbuh di kawasan berpasir. Bunga ini kembang di waktu hari masih berembun saja. Gambar ini adik saya, Adam, yang ambil.

Rambutan juga sudah banyak berjuntaian. Adam yang rajin mengait dan memanjat setiap petang. Kalau ada Adi, dialah yang paling rajin mengumpulkan buah-buahan yang ada di sekeliling rumah.

Isi rambutan yang dikupas seperti telur ayam. Ingat yang saya katakan dulu? Mesti ada yang tahu bagaimana hendak membuatnya. Renyah sedikit. Baik tak usah buat. Sudahnya masuk ke mulut juga, kan.

Manggis si hitam manis. Ini hasil pokok tertua yang ada di depan rumah, antara rumah saya dan rumah Tok. Di sinilah saya selalu berkumpul bersama Mak Tam dan Tok Chik. Ada 3 batang lagi pokok manggis. 2 di hadapan rumah, sebatang lagi di tepi pokok nangka di sebelah garaj.

Si raja duri. Kami kenduri durian pada malam semalam. Semua ahli rumah di bukit letaknya rumah saya berkumpul di beranda rumah saya. Ayah sengaja beli banyak supaya kami dapat berkumpul makan beramai-ramai. Tadi petang, Mak Tam sediakan pulut dan kuah serawa durian. Makan sewaktu hujan, fuh… Syurga!

Untuk merasakan dunia kita tenang, kita memang memerlukan persekitaran yang bersih dan hijau. Dan untuk mendekati dan berinteraksi dengan alam yang hijau, kita perlulah diam. Daa~ Salam.

Posted on July 23rd, 2008 by Sarah  |  45 Comments »