Misteri Doa-doa Cinta
Saya pelik sungguh. Setiap kali ada saja entri yang berbaur rahsia hati ni, mesti ramai je yang bertanya macam-macam, meneka macam-macam. Seakan saya ini terlalu misteri. Mari saya bongkar misteri Doa-doa Cinta.
Dua hari lepas, saya menghantar mesej kepada si dia. Bertanya khabar dan apa aktivitinya ketika itu. Tapi tidak berbalas. Saya pun sudah mula terfikir macam-macam. Saya ada buat si dia berkecil hatikah? Saya ada mengabaikan mesej-mesej si dia kebelakangan inikah? Saya cuba ingat kembali. Saya tak pernah tak membalas mesejnya, kalau terlewat tu adatlah kan. Kadang-kala saya sedang di hospital. Kalau email, walau sependek mana yang ditulisnya, saya balas juga dengan penuh ceria. Tapi apabila mesej saya tidak berbalas semalam, saya nukilkan sajak itu, Doa-doa Cinta. Saya kenal sangat dengan si dia ini. Dia tak boleh melihat saya merajuk hati, memendam rasa sedih sendirian, membawa diri tak tentu hala atau lebih tepat berayat-ayat sastera dalam mengekspresikan perasaan saya. Si dia pasti akan menghubungi saya untuk memastikan keadaan saya stabil atau sebetulnya, si dia ini hendak mengetahui duduk perkara yang sebenar sehingga boleh menyebabkan saya seperti ini: patah hati.
Jadi, saya umpan si dia dengan sajak membawa diri ini. Sayangnya, umpanan saya kali ini tidak mendapat respon daripadanya. Langsung. Fikir saya, mungkin si dia tidak membuka blog sajak saya itu (saya tulis sajak itu pada 4 November, hari yang saya tidak mendapat balasan daripadanya). Saya tunggu sejam, dua jam 3 jam dan akhirnya tengahari tadi, saya ambil keputusan untuk letakkan sajak itu di blog ini pula. Saya tunggu lagi hingga ke petang, pun tiada juga respon daripadanya. Dalam hati, saya fikir, mungkin si dia sudah faham benar dengan taktik saya. Sudahnya, saya juga yang beralah. Demi rindu, demi ingin mendengar khabar dan demi mendapatkan penjelasan sebenar mengapa si dia tidak membalas mesej saya, akhirnya saya nekad menelefon si dia.
Saya: Assalamualaikum. Kat mana ni?
Si dia: Wa’alaikumussalam. Kat luar ni. Tengah beli barang. Baru je tengah nak balas mesej semalam. Tiba-tiba dapat call pulak ni.
Saya: Yeke? (Sejuk hati sikit masa ni. Kira macam cairlah kononnya. Hehe)
Si dia: Iye. Ni tengah beli makanan sikit di R&R. Rojak buah. Lepas ni nak baliklah.
Saya: Kenapa tak balas mesej semalam? Orang dah puas tunggu. Dah risau dah apasallah tak balas mesej.
Si dia: Busy sangat. Musim exam kan. Minggu depan nak ke Dusun Eco Resort pulak. Ada camping pulak kat sana.
Saya: Oo yeke. Hmm.
… dan berlanjutan beberapa minit lagi sehingga kredit telefon habis…
Selepas tamat panggilan, baru saya dapat jawapannya kenapa umpanan saya melalui sajak putus hati ini tidak mendapat layanan daripadanya. Rupanya, si dia sibuk. Musim peperiksaan di mana-mana saja sekarang ini. Dan kenapa entri siang tadi tidak dibacanya lagi kerana dia masih di luar membeli barang. Mungkin masih belum berkesempatan untuk online di rumah.
Tapi, detik hati kami sentiasa sama. Di saat saya sangat teringatkannya, si dia pasti teringatkan saya juga. Seperti tadi, sedang saya berhajat hendak menelefonnya, si dia pula sedang menulis mesej untuk membalas mesej saya. Suka~ Hihik.
Si dia itu memiliki separuh daripada jiwa saya dan saya tahu si dia itu mencintai saya sepenuh hatinya. Dan, saya juga mencintai si dia itu dengan sepenuh hati saya juga. Si dia itu ialah…
Emak saya!
Hehehe. Lain yang saya hendak umpan, lain pula yang terumpan. Untuk Falin, Critical Thinker, Penjejak Malam, Cikgu Jawe, Shamsul, Bro. ASHAR dan Izu, saya bukan berjiwa-jiwa ye. Tiada maknanya saya nak berputus hati. Bercinta pun idak. Hoho. Ok. Kisah tamat. Tak usah ungkit-ungkit dah. Hehe.
Nota: Lagu kali ni memang tak boleh blah langsung =p Ni lagu rock kapak zaman saya sekolah rendah ni. Rasa terngiang-ngiang lagi. Bila saya buka Imeem untuk cari lagu tadi, saya gunakan kata kunci ‘merajuk’. Terus tersenarai lagu ni. Mak aih. Macam apa lucunya. Tapi tak kira. Saya letak juga. Memang rasa nak tergelak lagi ni. Kalau dengar sampai rangkap akhir tu, lagilah lucunya. “Andainya kasih aku merajuk, adakah mungkin engkau memujuk”. Emaknya, nak ke emaknya pujuk anak bertuah sorang ni ha? Huhuhu. Mahunya sakan emak ayah saya gelakkan saya kali ni =p