Archive for the ‘Moscow’ Category

Kenangan Ramadhan Di Moscow

Assalamualaikum wbt

Ketika tiba di sini pada Oktober 2003, saya merasakan Moscow ini kusam. Daun kekuningan saja. Kereta pun macam berdebu je. Saya tersilap tafsir sebenarnya. Rupanya, begitulah keadaan lazim di musim luruh. Bukannya pokok-pokoknya tak cukup zat, tapi musim luruh sudah bermula. Kereta pula macam berdebu kerana di penghujung musim panas, memang banyak debu.

Di penghujung November, Ramadhan bermula. Kebetulan hari pertama berpuasa adalah hari yang mempunyai kelas sehingga petang. Waktu itu, jarak di antara hostel dan bangunan akademik pelajar tahun satu adalah sekitar 1 jam setengah perjalanan menggunakan bas dan metro.

Pada sebelah petang, saya mempunyai kelas Biologi. Waktu itu musim sejuk sudahpun bermula. Waktu berbuka ketika itu ialah jam 4.33 petang. Saya masih ingat akan hal ini. Kelas tamat pada jam 4.30 sepatutnya tapi kami dilepaskan sedikit awal sekitar 3.50 petang. Maka saya dan kawan-kawan sekumpulan berangkat balik ke hostel terus. Sampai saja di Stesyen Bibliateka Imini Lenina, stesyen di tengah-tengah Moscow yang menghubungkan 4 laluan utama metro yang menjadi tempat pertukaran utama, jam telah menunjukkan pukul 4.25. Di dalam stesyen itu terdapat sebuah kafe kecil yang menjual makanan segera. Saya memnag tidak mempunyai apa-apa bekalan makanan seperti coklat atau apa-apapun kecuali setengah botol air mineral yang dibawa untuk buat syarat saja bila berbuka. Tapi kesemua ahli kumpulan saya yang lain tidak mempunyai apa-apa bekalan. Jadi mereka ke kafe itu dan membeli 3 cawan besar coke dan kami menunggu saja di tepi jam dinding dalam stesyen itu sehingga tepat jam 4.33. Kami 11 orang berbuka bersama dengan berkongsi 3 cawan air coke (o.5 liter secawan) termasuklah 3 orang rakan group kami yang berbangsa Cina dan India. Setelah kosong ketiga-tiga cawan, barulah kami menyambung perjalanan.

Dan pernah juga saya hanya berbuka dengan coklat Snikers (kecil) ketika berada di dalam kelas General Chemistry. Disebabkan saya bukan penggemar coklat, kebiasaannya sebatang coklat itu akan saya kongsi bersama Meor, lab partner saya. Mula-mula dulu, cikgu kami pun tak faham. Jadi kami makan curi-curi saja. Tapi setelah dia faham, dia memberikan masa rehat yang fleksibel mengikut waktu berbuka. Dan namanya adalah Fetisova, seorang cikgu yang sangat baik hati dan keibuan.

Pernah juga berbuka hanya setelah 1 jam waktu berbuka berlalu. Ini gara-gara tersekat dalam kesesakan jalan raya dalam perjalanan menuju ke hostel. Dan lazimnya, kami di sini tidaklah berbuka dengan lauk-pauk dan hidangan mewah yang lengkap dengan kuih dan sebagainya. Ada 2 benda wajib untuk menu berbuka. Lauk utama, ayam, daging atau ikan, dan sejenis sayur. Kuih hanya bergantung kepada kelapangan masa. Sewaktu tahun satu dan dua dahulu, hanya di hujung minggu saja barulah sempat hendak menyediakan manisan mulut yang semestinya adalah kuih-muih tradisional.

Saya akui, hidup di luar ni lebih mengajar untuk menghayati erti Ramadhan yang sebenar. Apabila terpaksa bersusah-payah memasak sendiri segala juadah yang kita hajatkan dan berpenat-penat memasak beramai-ramai untuk majlis berbuka puasa di kedutaan, inilah pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Nota: Saya rasa satu hari nanti saya boleh buka katering saya sendiri dah kot. Kalau memasak untuk 400 orang makan, tu rasanya dah tak jadi masalah dah. Hehe.

Posted on September 24th, 2008 by Sarah  |  6 Comments »

Season Finale Bermula

Assalamualaikum wbt

Jangan terkejut. Saya berniat untuk menyambung coret-coret saya kembali. Mempertimbangkan ini adalah tahun terakhir saya di sini yang pastinya akan menjadi satu memori yang hendak saya kenang selamanya.

Season finale kisah pengembaraan hidup di Moscow pastinya penuh suka-duka yang menjanjikan saya menjadi lebih matang dalam membina diri dan masa depan.

Nota peribadi untuk dikenang, saya di sini sedang berpuasa hari yang ke-23 di musim luruh yang sangat sejuk suhunya. Dan ini merupakan Ramadhan dan murim luruh terakhir saya untuk tempoh 6 tahun permukiman saya di sini.

Dan dalam entri ke-333 pada tanggal ke-23 Ramadhan yang jatuh pada 23 September ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke-23 buat sahabat baik saya Nurul Faaiqah Jainuddin =)

Daa~

Posted on September 23rd, 2008 by Sarah  |  16 Comments »

Berakhirnya Tahun Lima

Assalamualaikum wbt

Yeay~ Alhamdulillah. Exam telahpun berakhir pagi ini. Alhamdulillah tahun ini Allah limpahkan rezeki yang tak terhingga buat saya. Saya mendapat Excellent Mark untuk kesemua 8 subjek. Alhamdulillah. Dengan berakhirnya exam sebentar tadi, maka rasmilah kini saya bergelar pelajar perubatan tahun akhir. Macam tak percaya. Perjuangan saya hampir menuju penyudah. Tapi saya takut sebenarnya untuk masuk ke alam pekerjaan nanti.

Nasihat buat junior terutamanya adik-adik rumah saya yang akan masuk ke tahun klinikal, jangan bertangguh. Sentiasa bersedia sebelum ke kelas dan sentiasa membuat persediaan exam dari awal. Tahun klinikal bukan seperti tahun 1, 2 atau 3. Letih, padat dan tertekan.

Terima kasih buat semua groupmates saya yang sememangnya best! Hidup saya lengkap di Moscow ini kerana ada kamu semua. Sama-sama kita tempuh setahun yang terakhir ini dengan jayanya ya. Buat Faisal, Wendy, Davina, Farah, Smoque, Meor, Fizy, Mus, Thines dan Azam, selamat bercuti. Jumpa di sem depan ok. Kekalkan ke-best-an group kita (^^,)v

Thanks Faisal for the pic

Hari tu saya ada katakan yang saya ada satu berita gembira, kan? Sebenarnya, petang ini, saya, Fareena dan Fatini akan bertolak ke Vienna. Yeay! Bercuti 6 hari. Destinasi kami:

Moscow-Vienna-Prague-Budapest-Bratislava-Vienna-Moscow

Pada mulanya kami merancang untuk ke Itali. Tapi tidak kena pula dengan jadual exam kami. Jadi kami menukar rancangan. So, Vienna, here we come! Jadi, jumpa lagi Ahad depan ya!

Daa~ Salam.

Posted on June 16th, 2008 by Sarah  |  33 Comments »

Doni Donik

Assalamualaikum wbt

Pernah dengar nama Doni Donik? Lengkapnya ialah Doni Donik Guspadii. Kenal Bunga Cinta Lestari? Artis Indonesia itu? Yang cantik dan hendak berkahwin dengan Ashraf Sinclair katanya tu? Ha… Inilah adik kepadanya. Percaya ke? Saya acah aje. Hehe.

Donik Donik ialah nama bagi Dunkin Donuts dalam sebutan bahasa tempatan. Tema restaurannya sama saja. Cuma namanya ditukar mengikut bahasa sini. Menu utama tetap juga donut yang perbagai warna dan rasa itu. Sebenarna saya sudah hampir sebulan teringinkan donut di Doni Donik tapi cawangan terdekat tidak ada di shopping complex di Center yang dekat dengan rumah saya. Yang saya maklum memang ada ialah di Ramstore Belayeva. Nun di kawasan hostel lama saya dulu. Kelmarin berhajat nak ke sana tapi saya batalkan saja hajat. Sudahnya saya ke tempat lain.

Semalam, adik-adik rumah saya ini semua sudah selesai exam. Mereka sudah merdeka. Merdeka sekejaplah sebelum meneruskan perjuangan dalam tahun klinikal yang akan bermula bagi mereka pada semester depan. Saya takutkan mereka, klinikal ni penat dan susah. Jadi jangan dilupakan segala ilmu di tahun asas ini.

Sedang saya studi tengahari semalam, Fatt dan Dee hendak ke perpustakaan memulangkan buku. Saya berkira-kira, baiklah saya ikut sekali kerana saya tidak akan punya masa lain untuk ke sana. Perpustakaan agak jauh juga. Dahlah bukunya banyak. Hari panas. Turun naik metro. Memang teramat penat. Tapi kami pergi juga. Saya bersama 4 orang lagi pelajar tahun 3; Fatt, Dee, Balqis dan Yen.

Selesai di perpustakaan, saya katakan pada mereka saya mahu terus ke Ramstore Belayeva kerana sudah lama teringinkan Doni Donik. Dari perpustakaan untuk ke sana dekat saja. Selang 3 stesyen metro saja. Tiba-tiba 4 yang lain juga mahu ikut juga. Kerana di sana ada food court yang selesa. Maka berangkatlah kami.

Sebaik sampai di food court, alangkah kecewanya hati kerana Doni Donik sudah tiada lagi di sana. Rasa terkilan sekejap. Penat-penat datang tapi tiada pula. Kami duduk dulu dan sementara mereka yang lain mencari-cari menu yang mereka inginka daripada restauran-restauran yang ada, saya mengintai apa yang ada di Curry King. Tak sedap. Hati tetap inginkan donut. Saya menuju ke kedai yang menggantikan Doni Donik. Sebuah kafe. Kofein namanya. Saya ke kaunter, berdiri di sana membaca menu yang ada. Semuanya hanya nama-nama kopi. Baru selepas itu saya memandang makanannya.

Eh eh. Ada donut! Wah! Semuanya sama saja seperti yang di Doni Donik. Cuma kini ada restauran baru yang mengambil alih tempat itu tapi masih berkonsepkan seperti Doni Donik. Oh. Saya tidak tunggu lama. Saya teramat sukakan donut dengan karamel glazuria dan donut dengan krim Babarsky. Saya beli 4 biji dan secawan kopi latte. Orang lain minum ais kerana panas tapi saya masih minum yang panas kerana tekak saya masih batuk-batuk sikit. Duduk saja di meja kembali, teruslah makan sambil berborak dengan junior-junior itu. Mereka meminta pendapat dari saya tentang tahun klinikal dan bagaimana saya survive selama ini.

Kemudian kami balik. Saya ada membungkus 2 biji donut lagi. Sampai di rumah, semua sedang tidur. Tapi, atas meja saya ada secawan Mocha White Coffee dari Starbucks. Yeay. Fareena Belikan saya kopi lagi! Yang saya suka pula tu. Maka petang dan malam tadi, saya banyak studi di atas katil bertemankan Doni Donik dan kopi itu. Apa motif ye studi atas katil. Huhu.

Walaupun kalau diikutkan saya sudah terlebih kopi semalam, tapi malam tadi sebaik selepas minum secawan nescafe, saya tertidur macam tu saja. Tiada kesan menambah kesegaran langsung yang kopi boleh berikan pada saya. Tak kisahlah. Janji semalam hajat saya yang sejak sebulan dulu telah dipenuhi. Syukur Alhamdulillah.

Nota 1: Petang semalam kan, saya digoda. Digoda oleh si Fareena itu. You, I geli geleman la you. Euww… Hohoho. Rasakan Pena. Hari tu kamu kenakan KS kan =)

Nota 2: Doni Donik sudah naik harga 🙁 Naik kira-kira 30 sen. Hmm… Beli sajalah. Dah teringin kan.

Posted on June 14th, 2008 by Sarah  |  24 Comments »

Sepetang Di Tepi Para

Assalamualaikum wbt

Semalam, hampir seharian saya sendirian di rumah. Ahli rumah yang lain ada exam dan pulang lewat. Paling awal yang pulang adalah Emy dan Diba. Itupun mereka terus tidur selepas pulang. Saya memang sangat bosan kerana rumah sangat sunyi. Saya mengambil kesempatan untuk membuat persiapan intensif untuk exam pada hari esok. Selesai solat Asar, saya menyarung tudung dan memegang sedikit nota di tangan. Gayanya seperti hendak keluar saja kan. Tapi destinasi saya dekat saja. Di tepi tingkap bilik cuma.

Saya menurunkan langsir dan duduk di atas para di tepi tingkap. Sehinggakan, Emy dan Diba tidak tahu ke mana saya menghilang kerana tiada di bilik. Sedangkan, saya tersembunyi di sebalik langsir yang diturunkan. Rumah saya di tingkat dua. Sengaja saya duduk di situ. Boleh membaca sambil mengambil udara petang dan melihat orang lalu-lalang. Ada dua insiden terjadi.

Pertamanya, saya melihat sepasang suami isteri berjalan. Dari jauh, saya rasakan yang sebelah kiri dan mengikat rambut itu adalah si isteri. Bila sudah dekat dan mereka berhenti berbual dengan kawan yang ditemui di tengah jalan, baru saya tersedar rupa-rupanya saya tertukar. Yang berambut maha pendek itu adalah isterinya dan yang berambut panjang dan mengikatnya itu adalah suaminya. Kebetulan, si isteri sedang merokok dan bentuk badannya kurus sekeping seperti lelaki, sekali imbas terus saya rasakan dialah lelaki. Saya tersenyum seorang melihatkan keadaan itu. Saya terfikir, kan Islam itu sempurna. Lelaki dan perempuan dapat dibezakan kerana batas auratnya. Kalau dia bertudung dan cara berpakaian yang berbeza, dari jauhpun sudah boleh tahu yang mana lelaki, yang mana perempuannya.

Keduanya, sedang saya membaca-membaca di atas para di tepi tingkap itu, saya terlihatkan 3 orang anak muda lalu di kawasan luar bangunan. Sumpah, ketiga-tiganya kacak dan bergaya! Saya toleh melihat mereka. Dalam pada saya seakan mengelamun itu, baru saya sedar salah seorang daripada mereka sedang melihat saya di atas itu. Alamak. Saya terperangkap pula. Saya cepat-cepat alih pandangan ke arah nota. Tapi saya sudah tersenyum waktu itu kerana saya sedar lelaki yang memandang itu juga sedang tersenyum. Aduh. Malunya. Mengelamun punya pasal, saya tidak sedar saya telah merenung orang agak lama, dan direnung semula pula. Alah. Saya tahu lelaki itu jauh lebih muda. Jangan tertipu dek rupa dan ketinggian. Kalau itu yang menjadi ukuran, budak 10 tahun pun boleh saya anggap lebih dewasa daripada saya kerana ketinggiannya. Saya rasa, lelaki semalam itu umurnya sekitar 19-20 tahun saja.

Semalam suhu panas. 24’C. Terik sangat. Itu sebabnya saya duduk di tingkap. Bila panas, mata tidak mengantuk bila dengan niat duduk di bawah teriknya. Tapi angin kuat. Dari dalam bilik, saya boleh mendengar angin menderu-deru. Putik kapas pun kelihatan kencang dipikul angin berterbangan di udara. Sepanjang duduk di tepi tingkap semalam, saya dapat dengar bunyi anjing menyalak bermain-main dengan tuannya di luar sana, bunyi angin menderu dan bunyi dedaun berdesir tak henti-henti. Alam ini tak pernahnya sunyi.

Mereka semua sedang berzikir. Berzikir tak henti-henti. Lagu-lagu alam ini indah kerana semuanya melodi zikir. Tapi saya? Selepas Asar tadi duduk di atas sejadah hanya membaca Ma’thurat ringkas dan zikirnya juga sekejap saja. Sungguh, saya rasa malu pada alam dan lagu-lagu zikir mereka…

Melihat jam, sudah pukul 8.45 pm. Hari masih terang-benderang. Saya turun dari para tingkap, menyangkut tudung dalam almari dan kembali ke meja. Saya ambil buku sajak saya. Saya melukis. Gambar laut yang luas terbentang.

Posted on June 10th, 2008 by Sarah  |  18 Comments »