Archive for the ‘Moscow’ Category

Selamat Datang Warga Baru Sechenov

Assalamualaikum wbt

Semalam dari pagi saya keluar rumah. Bersama Aizat, Jimi dan Zai. Menuju ke Hostel Pushkin (dulu saya tinggal di sini sewaktu tahun 1 dan 2). Kami ke sana kerana kami merupakan antara fasilitator program Induction Day untuk ke semua pelajar pre-medic dan tahun 1 di akademi saya. Ada 200 orang pelajar semuanya. Program diadakan di Kedutaan Besar Malaysia. Kami terpaksa ke Hostel Pushkin dahulu untuk membawa adik-adik ini ke sana. Mereka masih tidak tahu jalan. Ada lebih kurang 30 orang fasilitator pada hari semalam.

Teringat sewaktu saya mula-mula datang dulu. Mana ada semua program ini. Semuanya cuba-jaya sendiri. Semuanya pakai redah sendiri. Semuanya hentam ikut kata hati. Hentam sajalah cakap Rusia yang memang tak fasih lagi waktu tu. Inilah kisahnya untuk 3 batch yang pertama. Alhamdulillah kami telah lalui semua itu dengan baik.

Saya gembira dapat bertemu mereka semua semalam. Walaupun hujung minggu saya (yang sepatutnya wardah gitu :p) dihabiskan di kedutaan dari pagi sehingga petang, tapi kepuasan dapat melihat komitmen penuh yang diberikan oleh komiti Sechenov Malaysian Student Association (SMSA) betul-betul buat saya kagum. Ehem, buat ahli majlis tertinggi SMSA sesi 2008-2010, KS ucapkan tahniah atas menifesto yang kalian canangkan yang telah betul-betul dilaksanakan. Juga atas usaha kalian mendekatkan jurang yang ada antara segala jenis tajaan yang ada untuk pelajar-pelajar baru kali ni. Mantap! Terutamanya Faiz, Dalvin, Maryam, Tiha dan Jimmy Lim. Senyum seorang KS semalam bila melihat kamu semua bertungkus-lumus memastikan majlis berjalan lancar.

Buat pelajar-pelajar yang baru tiba, jangan rasa kurang sedikit pun dengan keberadaan kamu semua di sini. Moscow adalah sebuah kota yang cantik dan seronok tapi pandai-pandailah kamu semua mengurus diri, pelajaran, perbelanjaan dan jangan sampai tersalah pilih kawan. Tak dinafikan, di mana-manapun akan ada masalah yang menanti. Jadikan ini cabaran. Apa-apapun, Selamat Datang ke Sechenov Moscow Medical Academy =)

Kalau kena kacau ke, tolak-tolak dalam metro ke, pukul sikit-sikit ke dek orang Rusia tu, adatlah tu. Upsss :p

Nota: Jangan risau. Moscow ni bandar yang selamat. Akan jadi tidak selamat jika kita sendiri yang menempah nahas. Siapa suruh keluar malam-malam ke, ke kelab-kelab ke. Memanglah akan bertemu benda yang bukan-bukan. Malang terjadi di mana-mana. Sedangkan di Malaysia pun ada banyak benda buruk terjadi. Kan? =) Di mana-mana sajalah. Pokok pangkalnya balik pada diri kita ni.

Nota muhasabah: Saya tak pernah lupa untuk membaca doa keluar rumah sebaik melangkah keluar dari pintu rumah, doa naik kenderaan, istighfar dan disudahi dengan lafaz syahadah. Takut-takut ajal tiba dipertengahan jalan, kan.

Posted on September 29th, 2008 by Sarah  |  3 Comments »

Team Kuih Pushkin

Assalamualaikum wbt

Meriah sungguh majlis berbuka puasa di kedutaan hari ini. Semua pelajar perempuan batch saya, kecuali Farah dan Syima, berkumpul dan berbuka bersama. Pasti nanti kami akan rindukan kenangan bersama seperti hari ini.

Teringat dulu sewaktu tahun 1 dan 2, kami semua tinggal di Pushkin Hostel. Pelajar perempuan batch saya digelar sebagai Team Kuih Pushkin. Mana taknya. Setiap kali ada majlis berbuka puasa di kedutaan, kami semualah yang bertanggung jawab menyediakan kuih-muih tradisional. Dulu, saya terkenal dengan karipap dan cek mek molek. Eza pula popular dengan triffle buahnya. Dayah, Baiz dan Farah pula terkenal dengan buah melaka dan donut. K-run, K-reen, Auyun, Syima dan Rodo pula terkenal dengan segala jenis agar-agar, kek batik dan puding. Inilah pasukan kami. Semua kenal pada waktu itu. Hehe.

Dulu, kami juga pernah bergotong-royong membuat roti canai. Ini gara-gara semuanya teringin hendak makan roti canai. Sudahnya, kami bersama-sama membuat rotinya dan Meor diimport untuk menyediakan kuah dal. Dia memang terkenal dengan kuah dal yang sedap sehingga licin periuk!

Dan pada hari ini, kami bersama-sama menunaikan Solat Tarawikh dan Witir berjemaah bersama-sama rakyat Malaysia yang lain. Dan ini merupakan kali yang terakhir kami dapat berjemaah begini di bumi Moscow.

Kenangan ini akan saya, secara peribadi, kenang selamanya.

Nota: Selamat khatam Al-Quran untuk muslimat di Spartivnaya Hostel. Semoga usaha kita mengimarahkan Ramadhan diterima Allah sebagai amal soleh insya Allah.

Posted on September 28th, 2008 by Sarah  |  8 Comments »

Iftar

Assalamualaikum wbt

Semalam, kami berbuka dalam sebuah majlis berbuka puasa antara pelajar-pelajar JPA tahun 4 dan 2. Saya seorang saja pelajar tahun akhir yang tersesat. Nasib badanlah kalau dah namanya tinggal serumah dengan junior. Hanya sekitar 30 orang yang turut serta. Saya diberikan tugas untuk memasak lauk utama: Kari Portugis. Budak-budak rumah saya yang mencadangkan lauk itu ketika mereka merancang majlis iftar itu. Maka, semalam selepas Zohor, berperanglah saya di dapur mula menyediakan bahan-bahan untuk memasak. 4 ekor ayam saja kami gunakan sebab ada beberapa menu sampingan yang lain. Kalau berlebihan nanti membazir pula.

Mungkin ada yang tidak pernah tahu apa itu Kari Portugis, kan? Kari Portugis ini ialah sejenis lauk kari yang tidak menggunakan santan, menggunakan halia yang agak banyak dan kuahnya pekat. Untuk resepi Kari Ayam Portugis ini sebenarnya resepi emak saya. Kata emak, asalnya ialah Ikan portugis tapi emak sudah ubah suai menjadikannya ayam. Biasanya saya masak hanya untuk 6-7 orang makan tapi semalam disebabkan perlu memasak untuk 30 orang, saya menelefon Chef Noor (emak le tu) untuk memastikan kualiti dan ketulenan rasa terpelihara. Emak ingatkan langkah-langkahnya saja. Bila ada mana-mana yang emak terlupa, haruslah si anak bertuah ini yang mengingatkan emak semula. Hehe. Saya kata pada emak: Ni nak masak untuk banyak-banyak ni takut rasa lari je. Jawab emak: Alah, masak je macam biasa. Baca bismillah dan masak dengan aura. Huhu. Auralah sangat ye mak.

Jadi hari ini saya terasa hendak berkongsi resepi emak saya ni. Kari Ayam Portugis. Semalam saya dah perturunkan kepada budak-budak rumah ni (Fatt) tapi saya tuliskan di sini untuk mereka jadikan rujukan bila saya sudah tiada nanti.

Bahan-bahan (untuk seekor ayam):

15 biji bawang kecil
5 biji bawang putih
halia
2-3 batang serai
6-7 sudu cili boh
Rempah 4 beradik (kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang, buah pelaga)
Daun kari
3-4 sudu serbuk kari daging (saya guna Adabi, rasa asli gitu)
1 ekor ayam yang dipotong ikut suka
Kentang (jika mahu)
Asam jawa
Kunyit
Garam
Gula

Cara-cara memasak:

Kisar bawang kecil, bawang putih, halia dan serai (serai ni kalau dititikkan saja tak terasa, jadi baik kisar kesemuanya, nanti kuah pun pekat). Sementara itu, gaulkan ayam yang telah dibersihkan dengan kunyit dan garam. Panaskan minyak dan tumis rempah 4 beradik dan daun kari. Bila baunya sudah wangi, masukkan semua bahan yang telah dikisar tadi. Bila aroma wangi bawang sudah naik dan pecah minyak, masukkan serbuk kari dan cili boh yang sudah dibancuhkan. Tumis lagi. Bila sudah naik bau, masukkan ayam yang dikunyitkan tadi dan air asam jawa. Masukkan air sehingga ayam tenggelam dan garam-gulakan secukupnya. Hati-hati jangan sampai terlebih garam kerana tadi ayam sudah digaul garam. Masukkan kentang jika mahu. Tunggu sehingga air mengering dan kuah memekat, maka siaplah Kari Ayam Portugis.

Errr… Kalau saya dan adik-beradik, wajiblah ada kicap waktu makan. Kalau tak, memang tak lengkap. Macam malam tadi, waktu berangkat untuk iftar tu (buat di rumah pelajar lelaki), saya bawa bekal kicap dalam tupperware kecil. Huhuhu. Saya seorang saja yang makan berkicap 😉

Nota: Semalam saya berbual dengan jiran saya, Aida, orang Khazastan. Kami berbual tentang Lailatul Qadar. Untuk saling memahami, kami menyebutnya sebagai Noch Qadra (noch=malam). Menurutnya, mengikut budaya orang Khazastan, pada malam-malam terakhir ini, mereka membuka tingkap pada waktu malam dan menjamu tetamu makan. Motif? Boleh fikir sendiri rasanya kan =) Dan untuk seorang junior, Muhammad Khairul Asraf, selamat berangkat ke Ireland. Jangan lupakan kami semua di Moscow yang cantik ni =)

Posted on September 27th, 2008 by Sarah  |  11 Comments »

Mimpi

Assalamualaikum wbt

Allahumma salli ‘alaa sayyidina Muhammad wa’alaa aali Muhammad.

Hari ini hari Jumaat. Penghulu segala hari. Sepanjang Ramadhan ini, saya banyak kali didatangi mimpi yang jarang-jarang saya alami ketika bulan biasa. Dalam banyak-banyak mimpi, mimpi malam tadi paling terkesan. Entah kenapa, saya terasa seperti bukan mimpi. Terasa dekat dengan kehidupan harian dan semua yang terlibat sangat saya kenali.

Walaupun mimpi bukanlah sesuatu yang boleh kita percayai, tapi jauh di sudut hati, saya sentiasa mendoakan yang baik-baik saja untuk kesemua yang muncul di dalam mimpi saya sepanjang Ramadhan ini. Lebih terkesan, malam tadi, arwah Chik Joe saya datang bertemu saya dan berbual panjang dengannya. Semoga Chik tenang saja di sana.

Juga, saya bermimpi tentang saya di masa depan. Tak salah jika saya mendoakan begitu kesudahannya tapi saya ini cuma orang biasa yang tak punya apa-apa. Tak layak untuk saya meminta-minta kepada Allah.

Kuih yang berjaya dibuat malam tadi ialah biskut coklat chip. Tapi saya selalu panggil biskut chipsmore je. Bukannya kami semua tak ada kuih yang dibawa dari Malaysia tapi sengaja hendak merasakan suasana meriah bergotong-royong menyediakan kuih-muih. Hehe. Tapi sebenarnya saya seorang saja yang membuat kuih malam tadi. Si Fatt datang mengempeng menjadi jurugambar. Sekarang ni dia tengah obses dengan jurnal bergambar (photojournalism). Silalah raya nanti ambil gambar banyak-banyak ye Fatt =) Kami serumah ada agenda pada petang ini. Nanti kisahnya pada malam ini insya Allah.

Nota: Setiap kali Jumaat tiba, hati saya menjadi wardah gitu. Hehe.

Posted on September 26th, 2008 by Sarah  |  13 Comments »

Gian

Assalamualaikum wbt

Saya rasa sekarang saya gian. Gian hendak membaca novel-novel karya Hlovate. Walaupun di dalam novelnya mempunyai unsur-unsur pencemaran bahasa sedikit (saya ni pencinta Bahasa Melayu yang tegar), namun teknik penceritaan, susunan plot yang menarik dan selitan tazkirah-tazkirah yang boleh menyedarkan kita perkara-perkara asas sebagai Muslim betul-betul membuatkan saya tertarik dengan novelnya. Hlovate bermula dengan menulis e-novel dan kini novel-novelnya dibukukan. Tunas telah saya tamatkan. Dan oh! Saya tak sabar hendak membaca aA+bB pula.

Eh, Cik Sarah. Awak tu ada masa sangat ke bulan depan nak membaca segala benda alah ni? Hehe. Hobi tetap hobi.

Hari ni saya dapat pelepasan. Tak perlu ke hospital. Maka saya umumkan hari ni sebagai hari operasi membuat kuih raya. Yeay! Erm, boleh saya bersuasana raya dah? Teringinlah nak dengar lagu raya dah. Hehe =)

Nota untuk emak: Mak, mee hailam beres! Warna je tak cukup hitam. Kedekut kicap punya pasal. Kena berjimat. Kekekeke =p

Posted on September 25th, 2008 by Sarah  |  18 Comments »