Archive for the ‘Moscow’ Category

Berebut Hati

Assalamualaikum wbt

Allahumma salli ‘alaa saidina Muhammad wa’ala aalihi wa ashaabihi ajma’in.

Semalam di hospital segalanya kelam kabut. Dari A sampailah ke Z. Kalau wujud huruf lain selepas Z, pastinya kelam kabut juga keadaannya. Daripada 10 orang sekumpulan, hanya 5 orang yang datang. 5 lagi? Missing in action. Tapi memang rugi betul siapa yang terlepas sesi seminar semalam. Doktor yang mengajar itu kacak sungguh. Ini pendapat rakan-rakan sekumpulan sayalah. Mari kita lihat aksi mereka:

Ketika menganalisis CT Scan:
A: Mak aih. Wanginya doktor ni. Aku nak jadi isteri dialah.
B: Eh, mana boleh. Aku nak cop dulu. Kau lambat. Aku dah cop dalam hati dulu.
A: Shuh. Shuh. Aku yang duduk tepi dia ni.

Setelah selesai mendapat penerangan di meja:
C: Huih. Aku tengok A dengan B, korang memang teruja habis tengok doktor tu. Huyyo. Rebutlah korang ye.
A: Eh, mestilah. Kalau kita tak tunjuk, nanti dia tak sedar.
B: Aku blushing gila tadi. Kau sedar tak, doktor tu asyik tenung aku je.
(memang A dan B duduk bertentangan dengan doktor itu)
C: Ala. B, kau kantoi dengan aku tadi. Aku nampak apa kau tulis kat note kau. Kantoi!
B: Apa kau nampak?
C: Kau tulis yang pasal anastomosis tu jadi lain! Patutnya Gastroenteroanastomosis. Kau tulis shortform jadi pelik gila. Gastroentero then hujung tu gambar love (heart). Hahaha!
Kami: Ha?!! Huh. Direct flirting! Mak aih B.
S: Aik, kenapa kena ada love? (Biasanya kami gunakan simbol love sebagai pengganti perkataan heart)
C: Innocent gila kau ni S. Tu flirting la tu.
S: Perlu ke gitu sekali? Huhu.

Dalam perjalanan ke metro:
A: Aku tak boleh fokus waktu dia mengajar tadi. Aku duk asyik fikir ke lain.
B: Aku memang tak fokus langsung. Aku tengok je muka dia.
A: Korang nak tahu tak apa aku imagine? Aku terbayang, kalau aku dah duduk dengan dia, mesti aku hari-hari belajar Anat (Anatomy) balik semula. Sure aku jadi hebat gila macam dia tadi. Hahaha.
Kami: Euuuuwww. Jauh gila berangan!
F: Aku nampak satu je tadi. Muka dia macam Alex Grey’s Anatomy tu. (Jujur ni, saya memang tak kenal dan tak tahu muka Alex dalam cerita Grey’s Anatomy. Saya tak ikuti)
C: Eh korang, korang. S diam je. Takde bagi komen apa-apa pun pasal doktor tu. Entah-entah dia pun ada hati kat doktor tu.
S: Saya ni ada ke hati kat dalam ni? (Sinikal)
C: Ha! Kalau kau takde hati, kita tunggu esok. Kalau doktor tu bagi hati dia dekat kau, kau dapatlah satu hati! Seronok gila tengok cerita berebut 1 hati ni. Hahahaha! (Gelak sungguh-sungguh!)
S: Huh. Tak kuasa kome weh!

Erm. Hari ni Hari Jumaat. Penghulu segala hari. Banyakkan berselawat ye buat Rasul Junjungan kita. Setakat maklum balas yang saya dapat daripada kawan-kawan sekumpulan malam tadi, mereka semua akan hadir ke seminar hari ini awal-awal. Semuanya nak tengok muka doktor itu! Ha. Kita tengoklah ye apa akan jadi hari ini. Huhuhu. Sesi cop-mengecop akan bertambah dengan bertambahnya jumlah doktor dari kumpulan saya yang hadir. Hehe. Tambahan pula, hari ni kami akan bincangkan topik tentang Kanser Hati. Ha! Hati siapalah yang akan berkanser sebaik balik dari hospital petang nanti ye dan hati siapa pula akan berbunga-bunga =)

Posted on October 10th, 2008 by Sarah  |  7 Comments »

Gering

Assalamualaikum wbt

Selesai bersiap awal pagi tadi, saya ke dapur untuk menyediakan sedikit sarapan. Hajatnya sekadar mahu membancuh nestum. Sepanjang Ramadhan lepas, banyak kali saya bersahur dengan nestum yang saya masukkan ke dalam susu segar. Saya tak suka manis tapi saya suka susu segar. Jadi, terhasillah nestum mengikut selera kosong saya ni: Nestum dan susu segar yang tawar. Pastinya menjilat sudu di waktu sahur.

Pagi tadi, saya membancuh nestum ikut cara normal orang Malaya kita. Nestum dengan milo panas. Tapi saya takkan boleh minum milo begitu saja. Masih fobia (kisah lama di entri ini). Cika bak kata orang Temerloh. Loya tekaklah maksudnya tu. Jadi saya bancuhkan neslo. Milo campur nescafe. Wujud tak mana-mana orang Malaya yang bancuh nestum sebegini? Kalau ada, mari hantarkan resume. Nanti kita boleh berusaha sama membuka empayar rangkaian makanan segera yang menawarkan hidangan ni. Saya tak isi banyak nestum. 2 sudu besar saja ke dalam mug air tu. Sebab saya risau tekak saya akan loya juga di pagi-pagi hari ni. Mug air diusung ke dalam bilik dan sambil minum, saya membaca blog Wanie. Sekitar 7.15 pagi, air sudahpun habis dan mug juga sudah dibasuh. Tetapi, ada masalah pula muncul. Sedangkan mengikut plan, saya perlu meninggalkan rumah pada jam 7.30 pagi.

Saya loya dengan teruk. Rasa nak muntah, pahit tekak, badan rasa lembik dan seram sejuk tapak tangan. Ah sudah. Inilah penangan milo tadi. Saya tak faham-faham lagi kenapalah saya masih belum boleh dengan minuman yang sejenis ni. Itupun saya dah jadikan neslo tadi. Ada juga rasa nescafe. Tapi saya tetap tidak boleh. Tekak saya masih dapat mengesan rasa milo. Tak dapat nak tipu-tipu dengan tekak saya ni. Dia cekap. Sudahnya, saya terpaksa bergegas meninggalkan rumah pada pukul 7.45 pagi. Cemas lagi saya buat keputusan untuk tidak ke hospital saja pada hari ini tapi memandangkan hari ini hari pertama saya perlu melapor diri di Oncology Center, terpaksalah saya gagahkan diri. Sepanjang perjalanan ke hospital, tangan dan badan saya memang seram sejuk saja dan loya tetap tak hilang-hilang sehingga tengahari.

Pulang dari hospital petang tadi, saya perlu ke Pejabat Dekan. Saya bersama Meor. Dia mahu singgah makan alas perut sedikit. Jadi kami singgah di McDonald’s. Saya terus ke McCafe. Wajib minum nescafe untuk hilangkan rasa loya yang berbaki. Hari ini rekod. Rekod loya terpanjang yang pernah saya lalui. Teruknya badan saya ni. Hmm. Allah dah tarik satu nikmat dari saya. Nikmat makan benda-benda bercoklat. Ini cuma kecil saja. Bagaimana pula dengan orang lain yang Allah tarik nikmat yang besar dan penting? Anggota badan contohnya. Sebab tu kerja kita sebagai hamba ialah mensyukuri apa yang ada. Setiap yang ada pada kita adalah nikmat daripada-Nya.

Nota: Tak sabar tunggu nasi siap. Tak sentuh nasi sejak Hari Raya lepas. Asyik tiada selera saja. Moknye, anok mok ni lapor bebenor. Degil sangat ikutkan amat takde selera tu. Atekan lagi! Huhu.

Posted on October 6th, 2008 by Sarah  |  17 Comments »

Berakit-Rakit Ke Hulu

Assalamualaikum wbt

Pagi tadi, group saya ada final presentation dengan para profesor. Kena bentangkan laporan kes kamilah kiranya. Sepanjang sebulan ini, kami semua melalui posting Internal Disease (Therapy) di sebuah hospital untuk veteran perang. Seronok ketika posting di sana. Jadi setelah tamat sebulan, kami perlu menjawab soalan-soalan daripada profesor hasil laporan daripada kes yang kami dipertanggungjawabkan.

Saya menjadi orang pertama mewakili kumpulan saya yang masuk menghadap profesor. Ada 2 orang profesor yang bertugas untuk menilai kami pelajar-pelajar English Medium. Kebetulan, profesor yang saya temui itu sebilik dengan Ketua Unit Kardiologi yang menjadi pemeriksa saya ketika final exam bulan Mei lalu. Terus Ketua Jabatan itu memberitahu profesor yang bertugas bahawa saya merupakan pelajar yang menjawab exam dulu dengannya. Hah. Saya cuak. Nanti mesti ditanya banyak-banyak. Alhamdulillah. Orang putih kata: Hard work pays well. Wendy pula menjadi orang pertama yang menjawab dengan profesor seorang lagi yang mana di dalam bilik yang sama, Ketua Jabatan Perubatan sedang berada. Sebaik selesai kesemua pelajar English dan Russian Medium menjawab soalan bersama para professor, kami semua dikumpulkan di bilik Ketua Jabatan untuk mendengar sedikit ucapan daripadanya.

Alhamdulillah! Beliau telah memberikan kredit yang tinggi kepada kami sekumpulan atas prestasi yang sangat bagus berbanding pelajar-pelajar tempatan dan kerja keras kami untuk membuktikan bahawa kami boleh mengatasi masalah bahasa yang kami hadapi. Secara keseluruhannya pula, beliau sangat kagum dengan prestasi pelajar-pelajar English Medium pada tahun ini berbanding tahun lalu. Alhamdulillah!

Selesai Medical Conference tengahari tadi, kami sekumpulan ke rumah Kak Zah mengikut Meor (Meor tinggal di sana) untuk makan tengahari bersama. Makan lauk-lauk raya yang masih sangat banyak berbaki. Ini aktiviti kami meraikan kejayaan kami hari ini. Tapi ini bukan penyudah. Bak kata Ketua Jabatan tadi: Teruskan belajar. Teruskan belajar.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kalau nak naik bot laju terus, boleh tak? Hehe.

Posted on October 3rd, 2008 by Sarah  |  2 Comments »

Aidilfitri Terakhir Di Moscow 1429H

Assalamualaikum wbt

Salam Aidilfitri. Sekali lagi tahun ini kami di sini menyambut syawal sehari lebih awal dari Malaysia. Kisahnya malam raya, saya menghadiri jemaah takbir di dua buah rumah. Di rumah budak perempuan yang membuat takbir hanya sesama kami saja dan selepas itu di rumah budak lelaki batch saya. Lepas takbir, ada makan-makan. Tapi saya tak jamah. Masih terasa kenyang berbuka. Selesai semua, saya balik ke rumah dan melihat seisi rumah sudah bersiap-siap dengan baju yang dah digosok cantik.

Bangun awal pagi, kami bersiap dan bergegas ke Kedutaan Besar Malaysia di Moscow. Kami tak mahu lagi terlewat untuk mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Fatt, Wanie dan Mily menaiki teksi yang berlainan dengan saya, Pena, Diba dan Emy. Rupa-rupanya merekalah orang pertama yang tiba! Rekod sungguh. Awal kami serumah sampai. Kami ingatkan kami sudah lambat. Dan kisahnya, ramai sangat yang turun untuk solat di kedutaan. Ramai yang ada kelas atau lecture sebenarnya tapi sebelah paginya mereka masih berkesempatan untuk solat raya terlebih dahulu. Mantap. Memang meriah. Selesai solat raya, semua berpusu-pusu hendak menjamu selera. Saya dan angkatan pelajar tahun akhir berlenggang saja dulu. Bagi peluang kepada adik-adik. Dan sudahnya kami semua tak dapat makan. Hidangan yang disediakan pada pagi semalam tak mencukupi kerana pihak kedutaan sangkakan tidak ramai yang dapat hadir untuk solat raya. Sebelum bertolak pagi semalam, saya hanya minum setengah gelas nescafe saja. Huhu. Lapar memang lapar. Tapi kami semua yang tak dapat makan tu redha je. Hampir kesemua pelajar tahun 6 tak dapat makan. Selepas itu, semua pelajar pun balik tapi sebelah petangnya mereka pasti akan datang lagi kerana Rumah Terbuka Kedutaan Malaysia akan bermula pada pukul 4 petang.

Kami pelajar tahun akhir semuanya ke laman belakang kedutaan. Sesi bergambar sakan. Maklum jelah. Ada ramai yang berkamera gedabak-gedabak kan. Kesemua pelajar tahun akhir universiti saya berbaju raya berona emas. Itu tema kami se-batch kali ini. Untuk pelajar tahun akhir RSMU pula mereka berona merah terang. Itu tema pilihan mereka. Maka berkumpullah kami di laman belakang dan kemudian ke dewan utama untuk sesi fotografi bersama Dato’ Duta. Tepat jam 12 tengahari, sebuah bas khas pun tiba di laman kedutaan. Siapa boleh eka untuk apa?

Haaa! Kami pelajar-pelajar tahun 6 telah menempah sebuah bas selama 4 jam untuk membawa kami ke 3 destinasi utama iaitu Kremlin, Victory Park dan Moscow State University untuk sesi fotografi! Yeay! Sangat meriah. Sangat menggembirakan. Sangat menarik perhatian juga. Hehe. Sebaik sampai saja di Kremlin, kami semua dikerumuni oleh pelbagai bangsa di kawasan lapang di depan St. Basil tu. Semua sibuk-sibuk nak ambil gambar kami semua. Yang menggeramkan, ramai yang mengerumi itu berbangsa Tan Tan Tan tu. Entah Tarjikistan, ada Uzbekistan dan macam-macam Tan yang lain. Serius saya cakap, mesti gambar-gambar hasil sesi di Kremlin kurang memuaskan hati. Jurugambar yang bertugas (Paan dan Hazwan – pelajar tahun 4) pun tak berpuas hati. Ada juga pelancong Itali dan Perancis yang menyapa dan bertanya tentang kami. Siap nak bergambar bagai dengan kami semua. Huhu. Eksotik sungguh terasa diri semalam. Yang jadi tumpuan semestinyalah pelajar-pelajar perempuan yang berkebaya asli dan nyonya yang ala-ala diva gitu. Hehe. Sungguh ni. K-run, K-reen, Rodo, Lisa dan Syima memang diva habis semalam!

Destinasi kedua ialah Victory Park (Park Pobedy). Kami keluar dari bas tanpa memakai jaket dan PADAN MUKA kami semua sebab kawasan lapang tu ternyata sangat sejuk! Tapi disebabkan nak mendapatkan gambar-gambar yang cantik dengan baju raya masing-masih yang pelbagai fesyen tu, sangguplah jua kami bersejuk-sejukan menggeletar tak ingat dunia. Siap berpelukan lagi saya dengan Dayah sebab sejuk sangat. Huhu. Destinasi terakhir ialah Moscow State University (MSU). Kami diturunkan di tepi Moscow River dan kemudiannya di depan bangunan MSU itu. MSU terletak berhampiran saja dengan kedutaan. Sesi di sini dipercepatkan kerana semuanya sudah tak tahan sejuk. Kami semua terus pulang ke kedutaan untuk solat Zohor dan seterusnya menjadi antara yang terawal menyerbu makanan di Rumah Terbuka kali ini!

Saya jamah sikit saja. Sangat sikit. Air pun setengah gelas je minumnya. Lepas tu kami semua pelajar tahun 6 ni duduk-duduk berborak dan bergambar jelah kerjanya. Pelajar lelaki batch saya memang kaki kamera. Hampir kesemuanya. Seronok bertukar-tukar idea tentang fotografi dan mencuba jaya pelbagai teknik baru. Merepek-repek pun iye juga. Hehe.

Pukul 6, kami bergerak bersama-sama menuju ke rumah Kak Zah, Pengarah Tourism Malaysia di Moscow. Dia menjemput semua pelajar tahun 6 ke rumah terbukanya. Memang kami rapat dengan Kak Zah ni. Sampai di sana, sudah ramai juga pelajar tahun 6 yang lain sudah tiba terutamanya pelajar Cina dari Hostel Kahovs. Makanan banyak sangat. Tapi, satu jenis pun saya tak jamah. Saya hanya menyudu sikit saja puding dari mangkuk Syima. Saya hanya minum air teh susu je. 2 kali pula tu. Huhu. Kat rumah Kak Zah ni tak sah kalau tiada yang berkaraoke. Gempita dibuatnya. Budak-budak rumah saya tak datang ke kedutaan waktu sesi Rumah Terbuka kerana mereka ada majlis makan-makan di rumah kawan mereka. Dan mereka tiba di rumah Kak Zah pun dah pukul 8 malam dah. Selesai Maghrib, saya dah mula rasa penat dah. Pandang kiri, pandang kanan, pakat-pakat dengan pelajar tahun 6 yang lain, maka sekitar 9.30 begitu kami pun berangkat pulang. Saya sampai di rumah lagi 5 minit ke pukul 10 malam.

Wah. Raya kali terakhir di Moscow inilah raya terpanjang yang pernah saya lalui. Dari awal pagi sehingga malam. Dan sepanjang 6 kali menyambut Aidilfitri di Moscow, raya kali terakhir inilah yang paling meriah, penuh kenangan dan menggembirakan. Semalam saya berkepit je dengan kawan baik saya, Nadia. Suaminya Alif ada kelas sehingga tengahari. Saya yakin, tiada seorang pun pelajar tahun 6 yang tidak gembira pada hari semalam. Serius, saya akan rindukan awak semua!


Nota 1: Farah, Faisal, Meor, Smoque, Fizi, Azam, Eza, Baiz, Dayah, Mus, Rodo, Syima, Auyun, K-run, K-reen, Aizat, Pil, Mubin, G-lid, Asrul, Faiz, Nazlin, Posto, Lutfi, Nadia, Lisa, Ain, Munir, Al, Zahir, Zharif, Jetman, Anip, Farid, Che’ Din, Anul, Amin dan Jas,sengaja saya tulis nama awak semua supaya saya takkan melupakan awak semua sampai bila-bila =)

Nota 2: Semoga perjalanan keluarga saya pulang ke Penang baik-baik saja insya Allah.

p/s: Gambar-gambar yang ada ini dari kamera saya. Hasil sesi fotografi saya belum ada lagi. Nanti tengoklah kalau rajin saya kemaskinikan semula.

Posted on October 1st, 2008 by Sarah  |  9 Comments »

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1429H

Assalamualaikum wbt

Posted on September 30th, 2008 by Sarah  |  13 Comments »