Archive for the ‘Moscow’ Category

Surat: Apa Khabar Orang Kampung

Assalamualaikum wbt

Emak dan ayah,

Apa khabar semua di rumah? Ngah doakan semuanya sihat-sihat saja. Petang tadi, selesailah segala pertarungan di Oncology Hospital. Sengaja Ngah tidak khabarkan bahawa Ngah menduduki Credit Day pada hari ini. Ringkas cuma coretan untuk emak dah ayah. Sekadar hendak mengkhabarkan bahawa Ngah telah lepas dengan baik dan pembentangan kes juga dapat dibuat dengan baik. Ya. Baik pada penilaian dan kepuasan diri sendiri. Emak dan ayah jangan khuatir. Anak yang seorang ni tak memonteng sekali pun, tepati masa dan sanggup berjaga malam semata-mata hendak memastikan nota lengkap, ringkasan kes dikemaskinikan, persediaan hari berikutnya dibuat dan blog dikemaskinikan untuk ditatap oleh emak dah ayah. Nampak gayanya, emak dah ayah perlu sentiasa menjenguk ke mari agar tidak terlewat membaca repekan terkini daripada Ngah. Agak-agak, emak masih berebut PC di dapur tak dengan adik-adik? Hehe.

Emak dan ayah,

Ngah ada satu cerita yang hendak dikongsikan. Tadi, Dr. Alexei bertanyakan nama Ngah. Siapa Dr. Alexei? Dialah yang menjadi fasilitator untuk posting kali ini. Antara 10 orang, nama Ngah saja yang ditanyanya. Sarah. Jawab Ngah. Biarlah kalau orang nak kata Ngah perasan atau apa sekarang ini tapi Ngah gembira kerana kerja keras untuk posting kali ini berbaloi dan ‘dilihatnya’. Tentu emak dan ayah faham apa yang Ngah maksudkan, kan. Dengan perhatian yang diberikan oleh Dr. Alexei sejak Isnin lalu sehingga tadi, Ngah rasa segalanya terbayar, tiada apa yang menggusarkan hati lagi. Keranya jugalah Ngah rasa bersemangat untuk meneruskan posting yang lain pula dan menyudahkan tahun akhir ini dengan sebaik-baiknya. Kalau Ngah punya gambar Dr. Alexei, pasti Ngah titipkan di sini. Biar emak dan ayah kenal siapa pendorong semangat anak yang seorang ini.

Balik dari hospital petang tadi, Ngah balik bersama Azam. Dalam kami berbincang pelbagai isu, dia ada menyatakan sesuatu. Ngah terkesan dengan apa yang dia katakan. Katanya: Jadilah seperti ikan. Biar hidup di air tawar, ia tetap tidak tawar. Biar hidup di air masin, ia tetap tidak masin. Dalam maksudnya, kan. Ngah tahu emak dan ayah faham apa yang Ngah maksudkan di sini. Insya Allah, ini janji Ngah. Mahu jadi seperti ikan.

Emak dan ayah,

Cukup di sini dulu untuk kali ini. Esok Ngah akan bercuti sehari sebelum memulakan posting Autopsy yang sekejap saja tu pada hari Jumaat nanti. Kalau makan ikan patin masak tempoyak ataupun asam pedas ikan pari, jangan lupakan Ngah ya! Salam buat adik-adik di rumah. Katakan pada Adam dan Adi, doa Ngah tak putus untuk PMR dan SPM mereka.

Nota: Ayah, lucu pula bila baca email ayah. Operasi Tebuan namanya ye. Tak sangka pula sampai terpaksa panggil JPA3 untuk menurunkan sarang tebuan di atas pokok nangka di tepi garaj tu. Meriah juga nampaknya gambar-gambar ketika operasi tu ye. Maklum sajalah. Jarang-jarang ada insiden begini terjadi, kan =)

Salam dari Moscow,
Ngah.

Posted on October 16th, 2008 by Sarah  |  26 Comments »

Saya Setia Jika Awak Setia

Assalamualaikum wbt

Kamu bersedia tak jika yang kita sayang pergi meninggalkan kita? Atau, paling tidakpun, dia menunjukkan tanda-tanda hendak meninggalkan kita? Mesti sedihkan. Saya tak punya apa-apa yang lain. Kerja tiada lagi. Harta apatah lagi kan. Jadi, saya sayang apa yang saya ada dan saya mengharapkan kesetian daripada yang sayangi juga.

Tapi, sejak kebelakangan ini, saya mendapat petunjuk bahawa diri saya sudah tidak diperlukan. Atau, adakah sebetulnya saya yang tidak menghargainya? Saya pernahlah menyebut-nyebut tentang nama baru padanya. Nama yang belum pernah didengarinya sebelum ini. Tapi, saya tak sangka dia terasa hati begitu sekali.

Bangun jam 6 pagi tadi, hendak studi, saya mendapat petunjuk jelas. Ya. Dia marahkan saya. Ataukah dia cuma merajuk?Hmm. Dia merajuk agaknya. Atau, hayatnya telah tiba? Apa-apapun, terima kasih ya, awak. Awak dah banyak tolong saya selama 5 tahun ini. 5 tahun kita bersama bukanlah satu jangka masa yang singkat. Saya sayangkan awak, tau.

Jika kita terus bersama, bergandingan berdua sehingga tamat Jun depan, awaklah hadiah terindah dalam hidup saya selama 5 tahun 8 bulan di sini. Awaklah harta terpenting yang saya miliki dan awaklah penjana kualiti diri saya dan masa depan saya.

Erm… Saya mungkin tak pernah buka cerita tentang cinta hati saya ini kan? Tapi saya rasa pernah. Sikit saja dulu. Dia lebih senang tidak diketengahkan kepada umum. Kisah dan gambarnya tersurat di entri ini, nombor 16 yang istimewa itu =)

Posted on October 14th, 2008 by Sarah  |  47 Comments »

Saya Ghuraba’

Assalamualaikum wbt

Setiap kali ulang-alik menuju ke Oncology Center yang terletak di Kashirskoe Shosse, biasanya saya bersendirian sewaktu pergi dan hanya kadang-kala berteman sewaktu balik. Sejak pertama kali berada di sana, saya terpandangkan satu papan iklan besar di tepi jalan. Ada sesuatu yang menarik perhatian.

Pada papan tanda yang pertama, tertulis perkataan Bahasa Arab. Ghuraba’ yang membawa maksud Orang Asing (The Strangers). Pada hari yang sama, dalam perjalanan pulang, saya menoleh melihat papan iklan itu lagi. Saya berseorangan ketika itu. Saya betul-betul merasakan erti keterasingan pada waktu itu. Sayalah salah seorang daripada ghuraba’ yang ada di sini.

Saya cuba untuk bertanyakan pendapat orang lain kenapa papan tanda Ghuraba’ itu diletakkan di sana tapi saya sentiasa berseorangan dalam perjalanan ke sana. Sehinggalah tadi, ketika dalam perjalanan menuju ke stesyen metro, kami berjalan berlima. Saya bertanya kepada Azam tentang hal itu. Azam ini rakan sekumpulan saya yang juga punya asas Bahasa Arab. Dia tersentap bila saya menunjukkan papan iklan berbahasa Arab itu. Dia pun teruja. Apabila saya tanyakan pendapatnya, apakah makna yang dibawakan oleh iklan itu, Azam mengatakan bahawa mungkin tiada apa-apa. Sekadar hendak meraikan bahawa di kawasan ini, ramai orang asing yang tinggal, jawabnya. Saya sekadar mengangguk sebagai respon bahawa saya mendangar apa yang dikatakannya.

Kami meneruskan perjalanan masuk ke stesyen metro dan seterusnya sebaik metro sampai, kami semua masuk ke vagon-vagon yang ada. Nasib saya, saya terpisah 2 vagon daripada 4 yang lain. Dan kali ini, saya betul-betul merasakan papan iklan itu membawa maksud yang tersendiri untuk saya. Bagi saya, papan iklan Ghuraba’ itu adalah satu pujukan semangat yang Allah ‘berikan’ kepada mereka yang selalu bersendirian agar kuat semangat dan tidak mudah putus asa. Iklan itu berlatarkan warna putih dan tulisannya hitam. Kosong begitu saja. Jadi saya menilai, setiap orang yang terasing itu sebenarnya mempunyai kekuatan dan signifikan yang tersendiri dalam dunia ini.

Kenapa saya selalu menilai sesuatu perkara itu sepelik dan serumit ini? Tapi sungguh. Bagi saya, papan iklan itu adalah satu pujukan dan semangat untuk saya supaya tak mudah mengalah dan…

Dan tak mudah menangis.

Nasyid ini nyanyian kawan saya, Ihab. Ghuraba’. Yang diberi nafas baru dan diberikan tajuk Beyond The Norm.

Posted on October 13th, 2008 by Sarah  |  10 Comments »

Hari Minggu

Assalamualaikum wbt

Kelmarin, saya hanya 2 jam sempat lelapkan mata. Itupun hanya setelah 25 jam tak tidur. Awal pagi semalam sudah bangun untuk menyiapkan kuah kacang. Menjelang tengahari semuanya selesai dan saya terus tidur. Bangun saja sudah Zohor. Mengemas rumah ala kadar, bersiap dan sudah mula ada tetamu datang ke rumah.

Untuk Rumah Terbuka universiti anjuran SMSA kali ini memang meriah. Yang datang terlalu ramai sehinggakan makanan tidak cukup. Saya kasihan melihat mereka yang datang di penghujung acara. Ada juadah yang mereka tak sempat rasa. Dapat saja makanan, saya jamah hujung-hujung jari saja. Terus saya ambil keputusan balik ke rumah. Makan di sana sajalah. Rumah pun di tingkat 2 saja. Angkat kaki.

Di rumah, baru makan sedikit, saya dah berhenti. Ada 3 sebab. Pertama, kalau saya dah terlalu lapar (tak makan apa-apa langsung sejak sehari sebelum itu), saya memang akan hilang selera untuk makan bila makanan sudah di depan mata. Kedua, kerana terlalu letih. Ketiga, kegelian melihat telatah beberapa orang yang membuatkan selera makan saya terbantut. Terus saya masuk dapur untuk mengemas. Dapat panggilan daripada junior. Mereka dalam perjalanan ke sini. 9 orang. Alamak. Makanan di rumah terbuka itupun dah habis, takkan nak biarkan mereka pulang begitu saja, kan. Terus saya keluarkan ayam dari peti. Sediakan bahan-bahan untuk buat rendang. Emy tanak nasi dan Fatt sediakan bahan-bahan untuk nasi goreng. Selesai menggoreng nasi, barulah saya dapat menyentuh air. Saya minta Pena belikan. Wajib air sejuk. Sebab berperang di dapur memang sangat panas rasanya. Selepas Maghrib, kami pun makan beramai-ramai.

Selepas tetamu beredar, ada Auyun dan Kreen di rumah saya. Ini rakan 1 batch. Kami pun apa lagi. Berbincang (baca: berborak kencang) tentang isu sejagat. Homoseksualism. Masalah besar ni. Tunggu entri seterusnya untuk kupasan lanjut. Menjelang 11 malam, rumah pun kosong. Saya dah tak larat nak mandi dah. Terus tidur. Sudah 2 malam saya tidur tanpa mandi terlebih dulu. Bau dapur sudah sebati dengan bilik.

Apa saya tunggu lagi merepek-repek di sini. Hari ini hari Ahad. Saya perlu membasuh baju yang sangat banyak. Hajat asal hendak ke Kedutaan hari ini. Ada program di sana. Tapi, malas lebih dominan dan badan lenguh-lenguh. Ate kalo udah maleh tu, maleh le jugak. Ye dak? Hehe. Keknye nok gonekan. Badan kome ni dah tak ‘ghok’ nak kulu-kilir. Terkohoit dah.

Nota: Siapa faham apa saya tulis di hujung tu, memang saya tabik springlah =)

Posted on October 12th, 2008 by Sarah  |  40 Comments »

Kontradiksi

Assalamualaikum wbt

Tahun lepas, untuk Rumah Terbuka Aidilfitri Spartivnaya, saya ditugaskan memasak 9 kg kuah kacang. Waktu itu, saya masih sakit. Badan kurus. Selera tiada. 3 minggu begitu. Ramadhan yang berlalu pun terasa kurang ‘izzahnya untuk diri sendiri. Raya pun saya tak berpeluang merasa banyak benda. Berpantang. Tekak dan perut merajuk.

Tahun ini, untuk Rumah Terbuka Aidilfitri Spartivnaya, saya ditugaskan memasak 10 kg kuah kacang. Waktu ini, saya sihat wal’afiat. Badan semakin gemuk. Selera semakin naik. Sudah 3 hari terasa begini. Tapi Alhamdulillah, Ramadhan yang berlalu sangat terasa ‘izzahnya untuk diri sendiri. Raya pula saya berpeluang merasa banyak benda. Tak berpantang. Tekak dan perut sama hebatnya.

Ha, padan muka. Dah gemuk dah.

Nota: Bagi rakan-rakan yang berada di Moscow, jemputlah datang ke Rumah Terbuka Aidilfitri di Spartivnaya Hostel esok tengahari ye. Ada Nasi Kerabu tau. Hazreen dan Raimy, tahun ni KS mengulikan diri untuk kuah kacang lagi. Tahun ini lebih pedas. Selera tekak KS. Huhu. Datang tau.

Posted on October 11th, 2008 by Sarah  |  11 Comments »