Archive for the ‘Memory’ Category

Diari Seorang Sarah

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah internet sudah berfungsi semula. Terima kasih Asyiq Raffali sebab tolong kami semua malam semalam. Tapi, sekarang saya tidak berlaptop. Laptop saya dihantar kepada seorang kawan untuk diformat semula (bukan sebab rosak tapi sebab saya mahu install Vista English version). Gembira sebab nanti saya dapat gunakan versi English semula.

Tadi saya ada mesyuarat persatuan. Terasa jahatnya saya sebab kerja biro saya banyak yang tidak dapat memenuhi target dan tergendala lagi. Tidak lama lagi sudah hendak Mesyuarat Tahunan dan perletakan jawatan akan dilakukan. Saya sedih! Sebab saya tahu saya tidak memberikan yang terbaik dalam projek yang saya usahakan ketika cuti lepas. Ikutkan hati, rasa hendak menangis. Berkali-kali saya turun naik bangunan Dekan untuk membincangkan hal ini. Tapi sia-sia. Pendek cerita, saya sedih! Sungguh ni. Saya sedih!

Ketika mesyuarat, saya disegaringatkan semula dengan beberapa tugasan yang perlu saya ambil perhatian sebelum berakhirnya penggal saya. Ada dua program yang perlu diambil perhatian (kertas kerja, rancangan rapi dan tidakan susulan). Banyak yang menyebabkan saya tergendala dengan kerja-kerja pengemaskinian ini. Tiada internet buat seketika dan telefon lama dulu rosak dan saya kehilangan banyak nombor penting. Teman sebiro saya pula jauh dari sini. Dan banyak pula masalah komunikasi timbul. Kesimpulannya, saya ada banyak kerja yang perlu saya sudahkan. Saya bukan mengeluh. Tapi dengan menulis di sini, menjadi ingatan supaya saya lebih bersungguh-sungguh menyudahkan dua kerja yang ada ini. Dan sebelum balik bercuti musim panas nanti, (gayanya seperti) ada 1 program yang perlu saya uruskan sebab idea asal datangnya dari saya (uwaaaa). Tak mengapa. Bila ada program besar dalam cuti, baru rasa terisi masa cuti. (Kak Tikah, sila beri tunjuk ajar sebab Akak dah biasa dengan program dengan orang asli semua ni. Saya nak bekerjasama dengan Akak secara total. Saya serius ni. Akak ada banyak link dengan jabatan-jabatan yang terbabit, kan? Harap jadi kenyataan.) Kesimpulan sekali lagi, saya ada banyak benda untuk diuruskan!

Semalam, saya bertembung dengan sahabat saya itu ketika menuju ke tandas untuk mengambil wudhuk. Sewaktu terpandangkan mukanya, air mukanya tiba-tiba berubah manis. Tidak keruh dan garang seperti sebelumnya. Memang ketika itu saya sedang tersenyum kecil teringatkan insiden lucu di dalam kelas ketika sedang makan dengan kawan-kawan. Jadi, seolah-olah saya telah memulakan proses damai itu. Dan ketika hendak pergi menemui pesakit, kami berbual sedikit. Sedikit saja. Tapi setidak-tidaknya, kami sudah boleh berbual, kan. Ya. Saya gembira dengan dinamika positif ini. (Saya rasa, dia mungkin membaca tulisan saya yang dulu.)

Pagi tadi saya mengemas-ngemas dua buah rak buku saya. Penuh dengan buku. Sampaikan saya tepaksa mengalihkannya ke dalam dua buah kotak (ikea yang lawa) supaya fail-fail dan buku-buku perlbagai disiplin itu tersusun rapi. Senang saya hendak ambil dan senang juga adik-adik rumah ni hendak mencari nota saya. Hehe. Saya ni bank nota. Ketika mengemas, saya terjumpa diari/buku lama yang saya coretkan kisah-kisah menarik dalam kehidupan di tahun 2 dalam bentuk cerpen. Saya baca semula kesemua cerita yang ada. Ada 17 buah! Dan ada banyak kisah saya dan sahabat saya itu. Nanti kalau saya rasa baik hati, saya kongsikan kisah-kisah yang ada ya. Tapi ada ke yang nak tahu kisahnya? Macam tak menarik je kan.

Posted on February 17th, 2008 by Sarah  |  19 Comments »

Kehilangan

Assalamualaikum wbt

Dulu saya pernah ada seorang kawan baik. Yang sangat baik, rapat dan memahami. Sejak tahun pertama, itulah orang yang paling saya percayai di sini. Sewaktu cuti musim sejuk tahun kedua, itulah teman saya belajar secara maksimum untuk persiapan peperiksaan Anatomy. Dan begitu juga sebaliknya bagi dia. Berkongsi nota, menegur kalau malas dan mendengar bebelan saya adalah perkara lumrah kalau dia buat perangai.

Di saat duit JPA masuk lambat, kami pernah berkongsi duit mana yang ada (emak masukkan duit untuk saya) dalam tempoh hampir sebulan. Sama-sama ke pasar membeli barang dan memotong perbelanjaan bulan itu untuk berjimat. Susah senang bersama-sama pada waktu itu.

Ketika saya menyewa di luar, dialah teman yang paling banyak menolong ketika saya susah. Banyak betul dugaan ketika di tahun tiga. Tapi seronok. Susah senang itulah yang membuatkan saya menghargai dia sebagai sahabat baik saya di sini. Hampir setiap hari akan bergayut di telefon menceritakan ‘perkara terkini’ dengannya. Macam-macam terma yang kami cipta yang hanya kami fahami. Botol, Daging, Ikan, Air, Hot-hot eh dan macam-macam lagi. Lucu sungguh. Dia pandai dan rajin memasak. Kagum betul saya. Jadi, selalulah saya dapat makan apa-apa yang saya hajatkan (sebab dia bagi peluang saya membuat permintaan). Roti canai, murtabak, popia dan macam-macam lagi. Oh ya. Kami berdua pernah terkenal sebagai pembuat kuih cek mek molek seawal kedatangan kami di sini! Dulu, jika saya buatkan roti canai, dia akan buatkan kuahnya. Semua tahu, kuah dalnya sangat sedap.

Mulai tahun keempat, tidak tahu di mana salah silap hujung pangkalnya, kami mulai menjauh. Jika sedikit tak mengapa saya rasa. Tapi ini terpisah yang bagaikan ada tembok tinggi. Sehinggakan, jika kami bertembung mata dan mata pun ibaratnya satu perkara janggal. Inikan pula berborak mesra.

Jujurnya, saya sedih. Saya sedih bila dia sakit, saya tidak meletakkan haknya sebagai sahabat pada tempatnya. Saya sedih sebab persahabatan kami ibaratnya sudah tidak wujud langsung. Dan saya rasa seperti mustahil untuk dapat menyambung kembali persahabatan seperti dulu.

Aduh. Melankolik pula cerita kali ini. Sebenarnya saya tidur awal malam tadi dan bangun pagi ini, saya teringatkan dia. Sebenarnya dari semalam saya asyik teringatkan kisah persahabatan sekerat jalan ini. Saya fikir-fikir semula di mana silapnya. Tapi tak tahulah pada siapa dan di mana punca semua ini terjadi. Benda dah nak jadi, tak dapat buat apa juga kan.

Tapi, memang lumrah kehidupan, tak semuanya kekal sampai bila-bila. Berhadapan dengan kehilangan adalah sesuatu yang perlu kita hadapi dengan kuat hati. Biarpun sekarang kita rasa kita sudah berada dalam zon selesa kita sendiri, bersiap sedialah menghadapi sebarang bentuk kehilangan yang bakal mendatang lagi.

Saya juga sedang mempersiapsediakan diri untuk rasai kehilangan lagi…

Posted on February 13th, 2008 by Sarah  |  35 Comments »

Memori Seorang Guru

Assalamualaikum wbt

Terasa hendak berkongsi kisah ketika baru tamat SPM. Ceritanya bermula setelah ayah memberitahu Kak Long dan saya bahawa Guru Besar sekolah rendah di kampung saya itu meminta jasa baik kami berdua mengajar kelas intensif Matematik dan Bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar tahun 6 pada setiap hujung minggu.

Ketika itu, Kak Long baru saja tamat matrikulasinya dan sedang menunggu panggilan kemasukan ke universiti. Ketika hari pertama, kami berdua berjalan kaki saja meredah jalan pintas menuju ke sekolah yang hanya terletak bersebelahan dengan rumah (kira-kira 200m dari rumah). Sebaik sampai, saya masih ingat, kerani di pejabat memanggil kami dengan gelaran Anak-anak Encik Shukor. Mungkin dia sendiri keliru mana satu Fatimah, yang mana satu Sarah. Sebetulnya, orang kampung saya yang tidak dapat membezakan kami hanya akan memanggil kami dengan gelaran Siti saja. Sudah cukup bagus jika ada yang tahu yang mana satu Kak Long, yang mana satu Kak Ngah.

Saya sebenarnya hendak mengajar Matematik tetapi Guru Besar menyuruh saya mengajar Bahasa Inggeris dan Kak Long pula mengajar Matematik. Ada dua kelas tahun 6. Jadi saya dan Kak Long akan bergilir. Jika pada waktu pertama saya mengajar Kelas A, Kak Long akan mengajar di Kelas B dan kemudian kami akan bertukar kelas.

Saya sangat kasihan dengan keadaan anak-anak kampung itu. Pendedahan mereka terhadap Bahasa Inggeris sangat kurang dan terbatas. Dalam salah satu sesi bersama mereka, saya masih ingat saya terpaksa mengulang ajar asas Bahasa Inggeris yang termudah. Sedih saya mengenangkan itu. Dan terasa sangat bersyukur kami adik beradik berada dalam keadaan yang jauh lebih baik kerana bersekolah di tempat lain, bukan di kampung.

Apa yang paling tidak boleh saya lupakan ialah di saat beberapa orang pelajar yang nampak macho dan matang bertanya: Ni nak panggil Cik Sarah ke Teacher? Amboi. Sangat berani budak-budak zaman sekarang ye. Saya garang ketika itu. Tapi Kak Long jauh lebih garang. Atas faktor itu, kami dihormati oleh mereka semua dan ada juga yang takutkan kami atas ketegasan kami itu.

Saya masih ingat 3 orang daripada mereka semua. Adib dan pasangan kembar Hasan dan Husin. Adib ini berkawan dengan adik-adik saya. Rumahnya di tepi bukit rumah saya. Sebelum menjadi cikgu intensif di sekolahnya lagi, saya sudah mengenali Adib. Hasan dan Husin pula adalah 2 orang murid yang menyerlah di dalam kelas. Bukan kerana kebijakannya tetapi kerana kenakalannya. Saya kadang-kadang sampai mati kutu apa hendak dibuat pada mereka berdua. Lebih-lebih lagi Hasan. Adiknya Husin kurang agresif berbanding Hasan. Tetapi kini hanya Husin yang tinggal. Hasan telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya kira-kira 2 tahun yang lalu. Menurut adik-adik saya, kini Husin sudah tidak senakal dulu dan lebih sopan tingkahnya.

Saya dan Kak Long mengajar di sana kira-kira 2 bulan saja. Pada hari terakhir kelas, saya mendapat hadiah daripada murid-murid saya. Hadiahnya standard anak-anak kampung saja. Saya mendapat buka nota kecil, beberapa batang pen dan sebuah penanda buku yang dibuat daripada kad manila dan benang panas yang terukir ‘Teacher Sarah’. Saya sangat terharu. Kerana saya disayangi mereka rupanya.

Saya menamatkan khidmat saya di situ setelah mendapat tawaran ke (matrikulasi) Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan Kak Long pula mendapat tawaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya tidak lama di PASUM. 2 bulan setengah saja kerana selepas itu saya mendapat tawaran biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke sini. Dalam tempoh 2 bulan lebih itu, saya agak kerap pulang ke rumah. Selang dua minggu, saya mesti akan pulang. Saya menaiki bas ekspres kerana jarak Temerloh-Kuala Lumpur hanya mengambil masa kurang daripada 2 jam saja. Pada suatu hari, sebaik turun dari bas apabila tiba di rumah (bas harian Syarikat Tanjung Keramat yang melalui Jalan Triang), Adib sedang berada di pondok bas di bawah bukit rumah. Dia duduk di atas basikalnya pada waktu itu. Sebaik ternampakkan saya yang hendak melintas jalan, saya sudah mendengar Adib memberi salam sambil tersengih-sengih kepada saya dengan ucapan: Eh, Teacher. Assalamualaikum Teacher.

Saya menjawab salam. Sebaik sampai berhampiran Adib sebelum saya mendaki naik bukit rumah saya, saya katakan padanya: Panggil Kak Ngah semula pun OK je, Adib. Adib membalas semula: Panggil Teacher lagi best lah. Saya tersenyum saja. Sepanjang perbualan pendek itu, saya melihat Adib menarik-narik hujung seluar tiga sukunya yang menampakkan sedikit lutut. Dia malu pada saya agaknya kerana ketika mengajarnya dulu, saya pernah mengingatkan, dalam menuntut ilmu, Allah jangan kita lupa. Solat kena jaga, aurat kena jaga kalau mahu ilmu kita berkat. Saya tersenyum saja sebelum berlalu. Saya tahu saya tidak perlu menegur lagi kerana reaksinya saja sudah memberitahu bahawa dia sedar akan salahnya itu. Sehingga ke hari ini, Adib kadang-kala berkunjung ke rumah saya kerana dia berkawan dengan adik-adik lelaki saya. Sudah anak teruna dia kini.

Apabila keputusan UPSR tahun itu keluar (2003), saya sudahpun berada di sini. Melalui Sufyan adik saudara saya, saya mendapat tahu bahawa Adib mendapat 4A 1B. Alhamdulillah. B-nya bukan Bahasa Inggeris sebaliknya adalah Sains. Apa-apapun, saya mengucapkan tahniah melalui adik saudara saya saja.

Kini telah 5 tahun berlalu. Kesemua bekas anak murid saya dahulu kini berada dalam tingkatan 5. SPM pula yang menanti mereka. Buat kesemua bekas pelajar tahun 6A dan 6B Sekolah Kebangsaan Lebak, Temerloh sesi 2003, Teacher Sarah ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya dalam SPM pada tahun ini dan juga kehidupan masing-masing. Juga Al-Fatihah buat arwah Hasan.

Kini, saya bukan lagi seorang guru. Saya beralih arah. Jika ada rezeki, satu hari nanti mereka semua akan memanggil saya Dr. Sarah pula, insya Allah. Bagi Kak Long pula, dari seorang lulusan Kimia Tulen, dia kini sedang memenuhi hasratnya untuk menjadi seorang guru. Saya kira, pengalaman pertama kami mengajar di sekolah itu benar-benar meninggalkan kesan dalam dirinya sungguhpun ketika itu, kami berdua mengajar tanpa mendapat sebarang upah. Semoga niat kami berdua membantu anak-anak kampung itu diterima Allah sebagai amal jariah. Walau siapapun saya kini, saya harap mereka semua masih mengingati saya sebagai Teacher Sarah.

Nota: Saya terkenangkan seorang guru Bahasa Inggeris yang paling terkesan dalam hidup saya; Puan Hasanah. Puan Hasanah merupakan seorang sukarelawan yang datang mengajar kelas tambahan Bahasa Inggeris ketika saya sekolah rendah. Saya ada berjumpa dengannya 2 tahun yang lalu ketika membuat praktikal elektif di Hospital Temerloh. Ketika itu, saya bertugas di Bahagian Kecemasan bersama Dr. Min Tyen. Puan Hasanah datang sebagai pesakit luar dan kebetulan bertemu Dr. Min Tyen untuk mendapatkan konsultasinya. Dia terkejut mengetahui saya kini sedang mengikuti kursus perubatan dan terharu kerana saya masih mengingatinya sungguhpun sudah 10 tidak berjumpa. Dua hari berikutnya selepas tamat sesi di hospital, saya terserempak sekali lagi dengannya di sebuah kedai makan. Dan kali ini, Puan Hasanah memeluk erat saya. Dan membekalkan saya sebungkus karipap untuk dibawa pulang.

Posted on January 27th, 2008 by Sarah  |  59 Comments »

Kisah Si Bodoh

Assalamualaikum wbt

Suatu ketika dahulu, saya pernah sangat bodoh. Saya tidak tahu perkataan apa yang patut saya guna walaupun saya benci mengatakan diri saya bodoh. Tetapi itulah hakikat. Lama saya biarkan diri terikat dengan kebodohan itu. Sebab saya tidak tahu dan tidak matang untuk mengatur kaki melangkah keluar dari kebodohan yang saya cipta itu. Mungkin kerana saya masih anak-anak dan tidak punya suara untuk berterus-terang. Kalau boleh diundurkan masa, saya mahu berada semula di suatu ketika dulu di saat sebelum kebodohan itu bermula.

Ada dua sebab saya mahu kembali ke waktu itu. Pertamanya kerana saya harapkan saya lebih matang membuat keputusan pada waktu itu. Agar tidaklah saya terpenjara dalam kebodohan itu. Kebodohan yang buat jiwa saya sakit tanpa mereka yang terlibat tahu bahawa saya tidak bersalah dan saya tersepit. Mereka tidak tahu itu! Kedua kerana saya harapkan insan-insan yang terlibat dalam kebodohan ini lebih berani dan tidak meninggalkan semuanya untuk saya tanggung seorang diri bertahun-tahun. Empat tahun. Ya. Empat tahun. Kenapa mereka itu semuanya lari tutup mata? Kenapa tidak mahu berdepan dengan saya yang saya kira jauh lebih matang dalam menghadapi hal ini daripada mereka? Kenapa dibiarkan masa menentukan semuanya? Penakutkah? Atau mahu meletakkan salah sepenuhnya kepada saya? Saya tidak pernah menipu mereka dan saya sangat jujur dalam meletakkan siapa saya pada masa dan ketika itu. Kenapa sudahnya saya yang dibiarkan dan akhirnya mencipta kebodohan yang saya sesalkan sekarang.

Saya kesal, sedih tetapi cerita bodoh itulah yang menjadikan diri saya yang sekarang. Jadi dalam pada itu, saya berterima kasih kepada mereka yang meletakkan saya dalam kebodohan lampau. Kerana membolehkan saya membezakan yang mana rasa, yang mana jiwa. Yang mana kawan, yang mana teman. Yang mana jahat, yang mana sahabat.

Beberapa hari yang lalu, saya telah menjalankan tanggungjawab saya sebagai sahabat. Sungguh saya ikhlas. Saya hargai mereka sebagai sahabat sungguhpun mereka tidak mengiktiraf apatah lagi tahu akan apa yang saya sempurnakan itu. Semoga mereka tidak terleka dan mengulangi penderaan yang pernah mereka lakukan. Semoga mereka tahu di mana untuk menghentikan sebuah pertanyaan.

Buat mereka semua, belajarlah daripada sejarah. Jangan dikelek ke masa hadapan. Yang sudah tu sudahlah. Biarkan sejarah tinggal dengan sebuah noktah. Bukan koma yang ada sambungan. Saya minta maaf atas apa yang terjadi biarpun saya bukanlah punca segala. Saya tahu kamu tidak pernah tahu tentang hal ini. Saya bukanlah punca segala. Jadilah kita sahabat semula. Semoga persahabatan yang pernah wujud dulu, dijernih dan dihidupkan semula. Itu doa saya untuk tahun ini.

Pada hari ini genap empat tahun kita hidup dengan sejarah yang tidak sudah itu. Saya mahu kamu terus sebagai sahabat. Jangan pergi!

Nota: Sajak baru ada di blog lagi satu. Sabut Di Tengah Laut.

Nota 2: Menghayati hikmah Al-Baqarah 2:216 – Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

Allah Taala A’lam…

Posted on January 4th, 2008 by Sarah  |  26 Comments »