Assalamualaikum wbt
Semalam terasa hendak berdiam diri sekejap kerana masalah internet yang masih belum selesai. Tapi kebetulan dapat menggunakan talian wireless jiran. Semalam saya mengulang kaji subjek Gynaecology, Sakit Puan dalam bahasa kita. Terasa padat semula kepala dengan ilmu. Jadi topiknya hari ini berkaitan dengan permasalahan wanita. PMS dan senggugut.
Premenstrual syndrome (PMS) ini adalah sindrom yang dihadapi oleh wanita yang belum mencecah menopause. Dalam bahasa secara literalnya boleh diterjemahkan sabagai Sindrom Premenstruasi. Pendek ceritanya, dalam kitaran normal yang dihadapi wanita (kira-kira 21-35 hari), sebelum mencecah genapnya kitaran itu (kira-kira seminggu atau beberapa hari sebelumnya), hampir 80% wanita akan menghadapi PMS.
Antara yang dialami adalah emosi yang tidak stabil, berpeluh, muka dinaiki jerawat, tertekan, keletihan yang ketara, insomnia, lebih banyak berdiam diri dan yang paling ketara ialah meningkatnya selera makan. Semua ini terjadi disebabkan perubahan hormon yang berlaku mengikut fasa kitaran wanita.
PMS bukan senggugut. PMS ialah tanda-tanda yang dirasai oleh wanita sebelum kitaran tiba. Senggugut pula ialah permasalahan yang dihadapi ketika sedang menghadapi menstruasi terutama pada 3 hari pertama. Antara yang dialami ialah sakit dan rasa tidak selesa di bahagian pinggang dan ke bawah, kurang selera makan, sakit belakang, betis dan tumit kaki, insomnia dan tertekan. Wanita yang menghadapi senggugut juga biasanya dikaitkan dengan beberapa masalah lain seperti anemia disebabkan kehilangan banyak darah ketika menstruasi itu. Kebiasaannya senggugut bergantung pada kitaran normal yang dilalui oleh seseorang itu dan juga keturunannya.
Kenapa saya memfokuskan tentang isu PMS dan senggugut ini? Biasanya wanita yang PMS dan senggugut dikatakan panas baran dan emosi. Benar. Ini kerana level serotonin yang meningkat. Tapi fokus utama saya ialah tentang cara menghadapi masalah ini. Sungguhpun berada dalam keadaan tertekan dan emosi, para wanita harus bijak untuk menanganinya. Bersenam adalah cara terbaik untuk mengadaptasikan perubahan yang berlaku ketika PMS dan senggugut. Dengan bersenam juga emosi dan panas baran dapat dikurangkan. Selain menjaga pemakanan, mengelakkan ambilan caffein yang tinggi dan mengambil bekalan vitamin, bersenamlah satu-satunya cara natural untuk mengurangkan rasa sakit ketika sedang menstruasi dan untuk mengawal emosi.
Bagi kaum lelaki pula, toleransi dan hemah cuba memahami sindrom yang dihadapi oleh wanita ini sangatlah dihargai. Ini sudah fitrah mereka. Janganlah pula ditegur-tegur jerawat sebutir yang naik di muka mereka. Memang akan makin melentinglah jawabnya. Cubalah menjadi suami, abang atau rakan yang memahami lebih-lebih lagi ketika mereka senggugut. Bak kata seorang pakar yang pernah saya bekerja dengannya di Hospital Temerloh, sakit ketika senggugut ibaratnya ketika bersiap sedia untuk bersalin.
Dengan itu saya membuat kesimpulan bukan senang hendak menjadi wanita. Dengan PMS dan senggugut ini sebenarnya menjadikan wanita unik dan kuat. Hanya yang bijak dan gagah dapat melaluinya dengan bijak dan gagah jua.
Nota: Dilema politik negara kita sedang menghadapi PMS agaknya. Boleh rujuk sini. Dengar hujah Encik Azwan dan kerabat-kerabatnya di sana. Hebat. Moga-moga dalam kitaran baru nanti, tiada senggugut melanda dan hasilnya selepas kitaran baru akan muncul seorang yang bijak dan gagah. Bukannya yang kurang pandai dan lemah. Oh. Sinikal juga ya saya ni. Hehehe. Ok. Mahu angkat kaki dulu. Nanti saya diserbu. *Masuk bawah selimut nak tidur dah. Dah habis study dah untuk hari ni* 🙂
_____________________________________________________________
Hari buat dia:
84) Fool me once, shame on you. Fool me twice, shame on me.