Archive for the ‘Life’ Category

Kisah Sebuah Kehidupan

Assalamualaikum wbt

Malam semalam, saya lelap mata pada jam 2.30 pagi. Itupun baru mula siap-siap untuk naik katil. Entah pukul berapa saya terlelap. Sekitar 3.50 pagi, saya sudah terjaga sebaik mendapat mesej daripada seorang kawan. Hendak tidur semula, mata sudah segar. Hati pulak cuak. Bangun sekejap. Baca nota. Sekitar 5.20 pagi, baru saya rasa mengantuk semula sedangkan saya kunci jam pada pukul 6 pagi (biasanya bangun 6.30 pagi sepanjang cycle ni). Tapi memandangkan ada exam, jam dikunci lebih awal. Malang nasib, disebabkan baru terlelap semula pada jam 5.30 pagi, saya tidak sedar jam berbunyi pada pukul 6. Dan disebabkan sudah biasa setiap hari bangun pada jam 6.30 pagi, walaupun tanpa jam, saya terbangun sendiri. Siap-siap, ulang baca nota untuk habiskan pusingan ketiga, sarapan (minum air je pun) dan bertolak ke hospital.

Alhamdulillah. Exam Trauma siang tadi, saya examted. Susah hendak terang bagaimana prosedurnya tapi pendek cerita Alhamdulillah mendapat markah yang warnanya berterbangan. Sebaik habis exam sekitar pukul 1 tengahari, saya bergegas ke Pejabat Dekan. Perlu menguruskan hal visa (untuk pulang bercuti nanti) dan ada mesyuarat bersama Puan Timbalan Dekan. Ada senggang masa kurang lebih 1 jam sebelum Pejabat Hal Ehwal Pelajar English Medium dibuka. Saya, Farah dan Faisal singgah di McCafe. Saya sekadar lalu minum Iced Cafe dan menjamah seketul muffin coklat. Itu saja.

Bergegas ke Pejabar Dekan. Uruskan visa (Alhamdulillah siap). Farah dan Faisal terus balik sebab mereka berdua tidak terlibat dengan mesyuarat itu. Saya terus menunggu di Pejabat Dekan sehinggalah mesyuarat tamat sekitar 4 petang. Misi berjaya tapi mesyuarat lanjutan bersamanya akan disambung pada Selasa depan. Aduh! Bergegas pulang (Ada insiden terjadi. Ini cerita lain kali ye. Hihi). Sampai sekitar 4.15 petang di bilik. Hanya sempat melepas lelah seketika, air pun tak sempat diteguk, terus saya berkejar ke perpustakaan pula. Wajib. Untuk meminjam buku bagi cycle baru yang akan bermula esok. Bertolak pukul 5 dari bilik dan perpustakaan akan ditutup pada pukul 6. Jadi saya berlari dari bilik menuju ke stesyen metro dan berlari menuruni escalator sedalam 150 meter ke bawah tanah. Di dalam metro tidak dapat duduk. Penuh. Orang pulang dari kerja. Kaki sudah lenguh kerana berlari dan nafas pula semput.

Tiba di perpustakaan 10 minit sebelum pukul 6 petang. Makcik-makcik pustakawan yang bekerja tergelak melihat saya. Makcik, kasihanlah saya ni. Penat tau. Saya jadi pengunjung terakhir perpustakaan petang tadi. Turun ke tingkat bawah perpustakaan untuk mengambil winter coat pada pukul 6.10 petang. Sempat menelefon seorang junior berkenaan hal PPIM. Selesai. Bergegas ke stesyen metro semula. Sambil berjalan, sambil menelefon. Perlu pulang, ada mesyuarat pada pukul 7 malam. Di dalam metro, penuh lagi. Terpaksa berdiri. Saya dapat berpegang pada palang pemegang dengan sempurna. Jadi saya tutup mata. Tidur. Sedar-sedar sudah sampai di stesyen tempat membuat pertukaran. Nasib baik ada seorang jejaka Rusia menegur sama ada saya hendak turun di stesyen itu atau tidak. Jika tidak, dia minta saya berikan laluan sebab dia hendak keluar. Oh. Saya juga hendak keluar, kata saya. Kami melangkah keluar bersama-sama ratusan lagi yang turun membuat perukaran di situ.

Sampai di stesyen tempat tinggal saya, saya keluar dan berjalan laju. Singgah di kedai runcit seketika. Terlalu haus. Wajib beli air. Nescafe X-press jadi pilihan. Lihat jam. Oh tidak! Saya sudah lewat untuk mesyuarat. Mahu telefon pengerusi maklumkan keberadaan saya di luar. Periksa kredit telefon. Oh tidak! NEGATIF! -9 ruble! Patutlah saya tidak dapat menghantar mesej sewaktu di dalam metro. Ini gara-gara menelefon seorang kawan di Malaysia sampai tak ingat dunia tadi. Saya lihat diut kecil baki tadi hanya ada 30 ruble. Saya topup telefon di mesin topup dengan 30 ruble saja. Tak pernah hayat buat begitu. Tapi cukuplah dulu. Saya menelefon pengerusi persatuan. Suruh dia teruskan dulu mesyuarat. Katanya, baru tengah berkumpul semuanya. Aik, sudah 7.30 masih belum berkumpul semua ke? Saya jalan laju-laju.

Pukul 7.40 malam saya sampai di bilik. Terus bermesyuarat. Secara online. AJK semuanya tinggal di tempat yang berbeza. Mudah begini. Sambil menyuarat, saya teguk Nescafe X-press. Habis! Mesyuarat, mesyuarat dan mesyuarat sehingga jam 10.30 malam. Saya sudah terlalu penat. Urus-urus diri. Masuk dapur, baru tersedar saya belum makan apa-apa lagi hari ini melainkan muffin coklat tenghari tadi. Saya ambil sekeping roti. Saya keluarkan serunding. Letak serunding atas roti, kepitkan roti dan makan. Makanan rasmi saya hari ini ialah muffin coklat dan roti dengan serunding. Gabungan budaya timur dan barat, kan?

Apa motif entri ini? Sebenarnya, saya hendak minta maaf sebab otak masih belum mampu untuk menulis entri review tentang pilihanraya itu. Hati membuak-buak. Tapi untuk menulis satu topik yang berat, tidak boleh sambil lewa. Saya menulis, ada kawan-kawan yang baca. Setidak-tidaknya, mesti ada ilmu yang dikongsikan. Mana boleh menulis yang sambil lewa. Ye dak? Jadi, saya minta maaf. Otak saya sudah keras untuk malam ini. Esok pagi saya akan bangun pagi. Saya akan tuliskan entri itu sebelum bertolak ke hospital. Esok cycle baru bermula. Lebih dahsyat kali ini. Kelas dari 9 pagi hingga 4.30 petang. Setiap hari. Alhamdulillah hospitalnya sekitar kawasan ini saja. Subjek Pediatrics dan Psychiatry. Permisi dulu. Saya mahu tidur. Sudah 3 malam tidur saya macam ayam main kenyit-kenyit mata dengan itik.

Selamat malam dari Moskva yang dingin. Katil bujang saya sudah memanggil-manggil.

Rabbi yassir wala tu’assir…

Posted on March 7th, 2008 by Sarah  |  8 Comments »

The Man of My Life

Assalamualaikum wbt

Di YM (bila saya online), saya dapat lihat bermacam-macam status. Fokus utama adalah status rakan-rakan sekumpulan saya. Memandangkan esok kami akan menduduki exam Traumatology, Orthopedics and Disaster Surgery (Trauma), jadi antara statusnya berbunyi:

Trauma is indeed traumatizing! (Wendy)
I can’t read Trauma anyfuckingmore! (Faisal)
Sick~ (Davina)
Preparing… (Mustaqim)
A man has to do what he has to do. (Saya)

Inilah demam exam Trauma yang sangat mencuakkan kami semua. Kenapa? Sebab Trauma memang banyak bahannya dan sungguhpun saya sudah 2 kali ulang sempurna, saya masih cuak!

Tapi apa kaitan status saya di YM itu? Tak berunsurkan exam langsung. Tadi saya lihat ayah online di Google Talk. Kurang lebih pukul 1.30 pagi di Malaysia. Itu maksudnya ayah sudah pulang ke rumah. Saya menegur. Ayah membalas. Medium kami anak beranak adalah Google Talk.

Seperti biasa, topik kami adalah tentang politik. Saya memberitahu ayah bahawa saya telah jumpa gambarnya dalam Malaysia Today dan saya telah memberikan link itu kepada Nan. Ayah kata ayah letih sekarang ni. Sebenarnya, saya sendiri baru saja tahu siapa dan apa yang ayah saya uruskan sepanjang pilihanraya ini. Itupun melalui seorang kawan yang berada di Temerloh. Dan baru semalam ayah mengakuinya sendiri ketika saya menelefon rumah. Tidak pelik ayah sangat sibuk dan suaranya masih belum elok sepenuhnya.

Selepas berbincang ringkas tentang beberapa isu, saya kata pada ayah: Mesti ayah penat kan sekarang ni. Ayah membalas semula: A man has to do what he has to do. Saya rasa hendak menangis membaca apa ayah tulis. Saya membalas: Your words are really inspiring. Dan seperti lazimnya, ayah akan berhumor: Awak ingat ayah tak gheti bermadah ka. Ayah, you are the man of my life. I’m sure you know that.

Tadi, saya baca 2 entri ini. Yang ditulis oleh kembar saya Yasir dan kanda Azwan. Kedua-dua entri ini membuatkan saya hendak menulis review saya pula tentang demam pilihanraya 12 ini. Ditambah pula dengan mesej dari Acai yang memberitahu suasana di tanah air ibaratnya seperti akan terjadi pilihanraya berdarah. Ok. Ini menakutkan. Nauzubillah. Tapi saya tak boleh berlama dengan internet. Saya ada exam. Tunggu esok. Insya Allah akan ada review ringkas dari saya pula.

Sungguhpun kata-kata ayah itu merujuk kepada tanggungjawabnya, saya guna pakai ia dalam konteks saya sebagai seorang anak dan pelajar. Berusaha yang terbaik dan memberikan yang terbaik kerana itu tanggngjawab saya. Insya Allah. Yang terbaik untuk katalis hidup saya dan the man of my life.

Di saat sedang menulis ini, saya sedang mendengar lagu Geek in the pink nyanyian Jason Mraz dari playlist. Tiba-tiba saya terdengarkan kata-katanya: From zero to hero. Mari. Mari kita jadi hero.

Posted on March 6th, 2008 by Sarah  |  16 Comments »

Katalis Hidup

Assalamualaikum wbt

Kroniknya saya sekarang. Mengalami attention deficit yang maha dahsyat. Kalau saya sedang makan pun boleh termenung sampai tak sedar rupanya sudah hampir sejam setengah melayang di angkasaraya. Inikan pula tengah belajar. 2 jam menatap nota, setengah jam lagi termenung. Kronik. Saya perlukan pemangkin atau booster untuk kembalikan saya ke dunia asal. Datanglah cepat!

Hari Rabu lepas saya ada menelefon emak saya selepas selesai exam Infectious Disease. Emak baru sudah solat Asar bersama Adik Azizi dan mahu mengajar dua adik di rumah itu mengaji pula. Emak bercerita, Adik Azizi bertanya kepada emak: Emak doa ke untuk anak-anak emak? Emak menjawab semula: Emak sentiasa doa untuk semua anak emak.

Soalan Azizi itu ringkas tapi mendalam maksudnya. Jawapan emak pula pendek tapi itulah harapan dan sumber kekuatan saya. Emak tidak pernah lupa tarikh-tarikh exam dan hari-hari penting yang akan kami adik-beradik lalui. Bila ada presentation, bila ada colloqium, bila perlu hantar laporan, case history atau final year project (FYP). Emak ingat itu semua. Emak bacakan Yaasin untuk kami, emak berdoa panjang selepas solat untuk kami. Satu hari nanti, saya nak jadi emak yang baik macam emak saya. Macam emak saya. Macam emak saya.

Kenapa saya tulis ni? Sebab emak sayalah booster yang saya perlukan itu! Emak saya adalah katalis hidup saya. Aaa… Nak nangis…

Nota: Kalau ada yang sedar, saya ada letak ads Nuffnang dan Advertlets di blog saya sekarang. Saya pun tak tahu apa kebendanya kotak gambar gerak-gerak ni. Tapi seorang kawan suruh letak juga. Dia paksa. Haha. Dia kata nanti dapat duit. Saya tak faham konsepnya macam mana. Tapi saya layan je la. Tempohnya sebulan je. Kalau saya rasa serabut, nanti saya buanglah. Ok tak? Hihi.

Posted on March 4th, 2008 by Sarah  |  35 Comments »

Sabtu dan Koir The Gaudeamus

Assalamualaikum wbt

Petang Sabtu yang lalu, saya telah diajak oleh pensyarah subjek Philosophy saya untuk menghadiri sebuah persembahan koir. Mdm. Irina Hendrihovna telah memberikan saya tiket persembahan itu sejak 2 minggu yang lalu. Dalam fikiran, saya menggambarkan koir ini pastilah membosankan kerana saya terbayangkan persembahan koir seperti di Malaysia. Namun begitu, jangkaan saya silap.


Dewannya bertaraf 4 bintang. Dan rupa-rupanya kumpulan koir yang kami saksikan itu adalah sebuah kumpulan koir profesional yang telah mewakili Rusia dalam perbagai pertandingan dan persembahan di serata dunia. The Gaudeamus. Begitulah namanya. Kumpulan koir ini telah berusia 40 tahun dan ahli-ahlinya terdiri daripada jurutera, arkitek, juruteknik komputer, pegawai bank dan ahli muzik yang telah mula aktif dengan seni koir sejak menuntut di Moscow State Technological University yang terletak di utara Moscow.
Bersempena ulang tahun ke 130 universiti tersebut, mereka mengadakan konsert khas pada 1 Mac lalu sekaligus sebagai meraikan hari pertama musim bunga mengikut kiraan kalendar (walaupun hakikatnya bumi Moscow masih bersalji). Antara lagu yang didendangkan dalam sesi pertama konsert itu ialah Mizerre, Lasciate mi morire, Stabat Mater, Ave Maria, The Mavis dan Bonzorna Madonna. Ini semua merupakan lagu-lagu karya komposer di zaman Renaissance. Dalam sesi kedua pula, lagu-lagu klasik-moden zaman sejarah cinta para bangsawan pula diperdengarkan. Jika dalam sesi pertama tiada solo utama diketengahkan, namun bagi sesi kedua ini, ada 3 orang solo hebat memperdengarkan suara mereka. Yang paling memikat hati saya adalah suara seorang graduan universiti tersebut yang baru tamat belajar tahun lalu. Suaranya boleh membuatkan dewan hening dan memberikan fokus 200% padanya. Lebih-lebih lagi dalam lagu Prende la vela dan Verano porteno.

Persembahan Koir Antarabangsa daripada The Gaudeamus ini mengambil masa kira-kira 2 jam setengah. Bermula pada jam 5 petang dan berakhir sekitar 7.30 malam. Saya terus bertolak pulang selepas persembahan kerana pada jam 8.30 malam, saya ada mesyuarat pula.

Inilah kali pertama saya menghadiri persembahan koir seperti ini. Saya cuba menaikmuatkan video-video yang saya rakamkan di Youtube tapi tidak berjaya. Nanti saya cuba lagi. Jadi ini sajalah sebahagian daripada persembahan Prende la vela yang dapat saya kongsikan.

Ups maaf. Ini promosi khas buat pelajar I.M Sechenov Moscow Medical Academy: Blog PPIM MMA telah diwujudkan. Harap rajin-rajin ke sana ye. Tak lama lagi sesi berkempen untuk lantikan AJK baru akan bermula. Sila dapatkan info terkini di sana. Nawaitu online juga boleh dibaca di sana.

Posted on March 3rd, 2008 by Sarah  |  12 Comments »

Dari Hati

Assalamualaikum wbt

Memang betul. Ada sesetengah perkara dalam hidup ini tidak perlukan kata-kata untuk menjelaskan tetapi hanya dengan perbuatan saja cukup untuk menceritakan. Dan saya tahu, saya ada banyak kekurangan untuk menyampaikan apa yang saya rasa sama ada melalui kata-kata ataupun perbuatan. Kerana bagi saya ada sesetengah perkara itu perlu ditinggalkan tak berusik tanpa perlu dijelaskan. Tapi didiamkan untuk dirasai. Saya insan serba kurang. Maafkan saya sebab masih belum khatam ilmu insani ini.

Posted on February 29th, 2008 by Sarah  |  15 Comments »