Archive for the ‘Life’ Category

Isu Nursing In Public (NIP)

Assalamualaikum wbt

Nursing in public (NIP) atau menyusukan anak di khalayak umum tiba-tiba saja menjadi satu isu besar sejak kebelakangan ini. Media dan beberapa blogger handalan yang tidak memahami konsep NIP ini telah menyonsangkan lagi isu ini dan menidakkan praktikalnya NIP ini di negara kita. Saya cuma hendak meluruskan semula salah faham dan ‘dakyah’ yang dibawakan oleh blogger bernama Mantot menerusi blognya cursingmalay.blogspot.com yang telah mencemuh ibu-ibu yang NIP ibaratnya tidak tahu malu dan merelakan aset mereka ditonton ramai.

Saudara Mantot, saya hendak memberi sedikit pencerahan kepada saudara tentang isu ini secara terbuka agar pada masa yang sama, perkongsian ini juga boleh dihadam oleh pembaca-pembaca yang lain. Ibu-ibu yang menyusukan anak adalah diumpamakan sedang memberi anak makan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang menyusukan anak secara eksklusif untuk 6 bulan yang pertama, susu ibulah satu-satunya makanan untuk anak mereka. Saya amat yakin dengan ibu-ibu muslimah yang NIP ini sangat menjaga aurat mereka. Ada pelbagai kemudahan pada masa ini yang memudahkan untuk NIP dengan penuh berakhlak. Selain nursing wear, tudung yang labuh dari dada, nursing cover, shawl, poncho, ring-sling dan pelbagai jenis baby-wearing yang lain juga boleh dijadikan pelindung untuk menutup aurat dengan sebaiknya. Malah, ada kalanya sehingga orang tidak sedarpun bahawa mereka sedang menyusukan anak.

Mengapa tidak digunakan saja nursing room yang disediakan?

Malangnya, di Malaysia ini, bukan semua tempat awam termasuklah pusat beli-belah ada menyediakan nursing room. Jika ada sekalipun, nursing room itu sebenarnya ialah changing room untuk menukar lampin bayi. Atau dalam erti kata lainnya, ianya sama seperti tandas. Jika kita sendiri, mahukah kita makan di dalam tandas dengan melihat dan membau sesuatu yang kurang enak yakni najis? Sama juga dengan anak kita. Ibaratnya, kita menyusukan anak kita di dalam tandas dalam keadaan yang tidak hygiene sama sekali. Tapi jika terpaksa seperti si ibu tidak memakai pakaian yang sesuai untuk NIP, hanya nursing room sajalah pilihan yang tinggal.

Dalam situasi lainnya, jika ada nursing room sekali pun tetapi nun jauh dari tempat mereka berada, dan anak sudah menangis melalak hendakkan susu, sanggupkah dibiarkan anak tersedu-sedan menangis sehingga dapat mencari nursing room itu? Sedangkan pemakaian si ibu ketika itu sesuai digunakan untuk NIP saja?

Tanggung jawab seorang ibu tetap sama walau di mana kami berada. Anak memang menjadi keutamaan. Jika terjamin aurat tidak akan terdedah dan suami mengizinkan, sudah menjadi kewajipan pula untuk ibu itu teruskan NIP saja anak itu di situ saja.

Saya malu bilamana Saudara Mantot mengatakan orang lelaki bila melihat ibu-ibu sedang NIP tidak lagi memikirkan mereka sedang memberi anak makan tetapi yang difikirkan oleh mereka ialah tentang saiz aset ibu-ibu tersebut. Very narrow and dirty minded, bak kata suami saya.

Seharusnya, kaum lelaki memberi sokongan supaya pelaksanaan syariah menyusukan anak ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Bukat setakat beri sokongan, tolong jaga pandangan juga bagi yang selalu berfikiran negatif dan kotor-kotor itu.

Berkenaan dengan ibu-ibu yang menghantar gambar mereka menyusukan anak ke majalah-majalah tertentu itu, saya sendiri juga tidak setuju. Itu salah mereka kerana kurang ilmu agama bahawa sudah jatuh hukum haram mereka menunjuk-nunjuk sebegitu.

Jadi, mari kita fahami semula definisi NIP itu apa. Menyusukan anak secara terbuka di khalayak umum bagi menjayakan penyusuan susu ibu selama 2 tahun mengikut garis panduan Quran dan Sunnah. Jelas sekali, gambar-gambar yang saudara tohmahkan di blog itu adalah jauh tersasar daripada definisi dan konsep asas NIP.

Bagi kaum ibu pula, saya pernah bertanyakan pendapat seorang rakan usrah saya yang merupakan seorang ustazah, juga seorang yang menyusukan anak. NIP boleh dilaksanakan bilamana 3 perkara ini dapat dipatuhi:

1) Dengan izin suami
2) Aurat terpelihara dengan sempurna
3) Bukan dengan niat bangga diri kerana dapat menyusukan anak

Andai kata terpelihara ketiga-tiga hal ini, nah, silakanlah. NIP lah di mana saja yang kalian mahu! Peliharalah diri kita ketika NIP itu dengan rasa malu sebagai perisai kita tidak terlanjur membuat sesuatu yang di luar batasan.

Saya tahu status ini mungkin tidak akan dipersetujui oleh semua. Tapi, cuba renungkan kisah ini. Kita membahaskan keadaan NIP di pusat beli-belah, restoran dan tempat awam lain yang berkemungkinan menyediakan nursing room untuk kegunaan ibu-ibu menyusukan. Tapi, dengan mata kepala saya sendiri saya pernah melihat, seorang ibu yang sedang berniaga kuih di pasar, duduk bersila di atas lantai, berlitupkan kain batik di dada hingga ke bahagian belakang, sedang mengalunkan selawat ketika menyusukan anaknya yang berada di sebalik kain batik itu.

Ha, Saudara Mantot. Awak nak suruh puan itu berlari pergi cari nursing room di tengah-tengah pasar tu ke? Siapa nak jualkan kuih cari sumber pendapatan untuk keluarganya?

Fikirlah secara logik dan rasional. Yang lebih praktikal, marilah desak kerajaan kita supaya menyediakan lebih banyak nursing room yang sempurna untuk kegunaan kaum wanita. Jangan hanya pandai menuduh NIP ini keji dan perbuatan tak berasaskan malu sebaliknya fikirlah secara positif kenapa NIP ini perlu dan masih rasional untuk diaplikasikan buat masa ini.

Last but not least, I SUPPORT NURSING IN PUBLIC (NIP) WITH PROPERLY COVERED AURAH!

Ikhlas,
Dr. Sarah Shukor
http://sarahshukor.com
A muslimah mother doctor who practices NIP whenever necessary.

P/S: Mantot, saya follow blog awak sejak tahun 2007. But when it comes to this issue and you sarcastically made fun of NIP, kata hanya orang tak malu saja yang buat, I really against you on that. Please reconsider to sharpen your mind on the definition of NIP. Thank you.

Posted on November 12th, 2012 by Sarah  |  42 Comments »

Penat

Assalamualaikum wbt

Sekarang jam dah menunjukkan pukul 3 pagi. Saya masih berjaga untuk menyudahkan kerja-kerja rumah. Selepas itu buka laptop untuk menghantar email berkaitan kerja ke JKNP Kuantan. Sambil itu saya mengepam susu untuk stok Izz Zamani. Siang hari pula bekerja macam biasa dan saya sekarang sedang passive oncall selama hampir 40 hari berderet. Fuuuuh~

Penat. Memang saya penat. Penat sangat. Kalau ikutkan rasa nak mogok sebab penat. Penat ulang-alik sana-sini lagi. Penat kerja. Penat uruskan keluarga. Penat oncall. Kalau ikutkan hati, memang boleh patah semangat.

Tiba-tiba saya teringat kisah sewaktu saya tingkatan 3 di SMA Al-Khairiah Temerloh. Dalam masa seminggu lebih, saya sibuk dengan bahas, syarahan dan bola jaring. Tak lekat di rumah pun sebab terpaksa keluar ke daerah-daerah lain bersama pasukan sekolah. Selesai semua perkara dalam masa seminggu lebih itu, saya sibuk semula dengan bahas peringkat negeri.

Jadi, pada suatu hari tu, saya meluahkan rasa hati saya kepada cikgu bahas saya, Cikgu Zaiton (I miss you, cikgu!). “Cikgu, saya rasa penat sangat.”

Nak tahu apa cikgu saya buat?

Dia datang dari belakang saya, tepuk saya di bahu kiri dan berkata:

“Cuba fikir, awak penat sebab awak fikir awak buat semua ni untuk siapa? Kerana apa? Kalau awak fikir awak buat dan cuba harungi semua ni sebab awak nak berjaya, bila awak kalah, awak akan rasa berganda-ganda penat. Kalau awak menang, awak akan rasa hilang penat tu sekejap je. Tapi kalau awak buat semua ni sebab awak tahu orang lain perlukan awak, awak akan rasa kepuasan tu bila hasilnya tu menyenangkan dan menggembirakan mereka semua. Kalau berkorban tu boleh membahagiakan, kenapa pilih untuk tidak, kan?”

Sekejap tadi, saya rasa nak menangis bila teringatkan kata-kata Cikgu Zaiton. Antara kesemua pilihan jawapan yang ada, saya pilih yang terakhir. Saya yakin, dulu, ayat terakhir itu juga yang menajadi pilihan saya.

Ok. Nak tidur dah. Esok nak bangun awal pagi untuk siapkan bekalan makanan Izz, gosok baju, pergi kerja, oncall, mengepam, ………. And the list goes on...

This is just a self reflection for myself. Stay strong, Sarah. You just need to be so. Even when you cry loud inside despairing your tiredness, you just need to stay strong.

Selamat 8 bulan, Izz Zamani. Mama dan ayah sayang Izz!

Nota: Malam ni, blog ni kembali menjadi dunia saya macam dulu-dulu. I just like it to stay that way. 😉

Posted on August 29th, 2012 by Sarah  |  10 Comments »

Selamat Setahun Bercinta

Assalamualaikum wbt

Sedar-sedar sudah setahun menjadi isteri kepada Ahmad Thaariq. Ya Allah. Sekejapnya masa berlalu.

Abang, terima kasih atas segalanya selama setahun kita hidup bercinta bersama. Setahun bersama, kita dah pun bertiga. Terima kasih atas segala cinta dan pengorbanan Abang buat Sarah dan Izz.  Sarah mahu terus hidup bercinta bertahun-tahun lamanya dengan Abang dan anak-anak, sampai syurga.

Abang selalu kata Abang sayangkan Sarah. Sekali pun Abang tak luahkan, Sarah tahu itu semua. Kerana yang paling romantis Abang lakukan setiap hari ialah, Abang sentiasa menyebut nama Sarah dalam garapan doa selepas solat.

Selamat setahun bercinta, Abang. Ini cuma permulaan. Kita ada masa depan yang jauh lagi untuk diukir dan dibentuk menjadi nota cinta penuh barakah. Semoga kita sama-sama dapat membentuk keluarga kita tanpa berpaling sikit pun dari jalan Allah.

Sarah tak perlu nak ucapkan kata cinta buat Abang di sini. Kerana Abang tentu tahu, cinta Sarah itu lebih daripada apa yang dapat diucap atau ditulis. Cinta itu hanya boleh Abang rasa dan hayati dengan hati. 😉

Posted on March 12th, 2012 by Sarah  |  23 Comments »

Izz and Anis

Assalamualaikum wbt

Izz met Kakak Anis during his first holiday trip to Penang. Kakak Anis was so garang! She tried her best to slap Izz on his face. Better not to put them together for the time being. 😉 Haha. Later, when our sweet Anis already knows how to appreciate Izz existance as a little brother (cousin), we will see more of them together ya.

Just a short update for now. Sarah said, she wanted to update something tonight. Let’s wait and see whether can she make it or not.

Till then!

-Thaariq-

 

Posted on March 9th, 2012 by Thaariq  |  10 Comments »

Katil Nombor 17

Assalamualaikum wbt

Wah. Tajuknya macam cerita seram saja. Jangan risau. Takkan tegak bulu roma membaca kisah ini. Ini cuma kisah berkaitan bekas pesakit saya di Temerloh dulu. Kisah yang bila dikenang kembali, boleh bergenang air mata saya.

Sebenarnya sudah lama saya hendak berkongsi kisah ini dengan semua. Tapi sungguh, saya tiada kesempatan. Kisahnya terjadi sekitar Februari hingga April yang lalu. Alang, seorang lelaki berketurunan Orang Asli yang berumur di awal 30-an. Alang dimasukkan ke wad surgical lelaki selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sebaik pulang dari kerja di pusat penebangan balak. Kemalangan itu berlaku sekitar jam 2 pagi.

Setelah diresusitasi di Jabatan Kecemasan, dia telah dihantar naik ke wad dalam keadaan intubated. Maksudnya, dia bernafas menggunakan alat bantu pernafasan (ventilator). Dia tiba di wad sekitar jam 7 pagi di saat para HO sedang sibuk membuat review pagi di wad. Dia mengalami intracranial bleed (ICB) dan beberapa kecederaan yang lain. Namun disebabkan ICU penuh, dia tidak dapat dipantau secara rapi di sana, sebaliknya hanya dimasukkan ke wad biasa saja.

Saya masih ingat, pada pagi itu, kawan saya, Michelle, yang oncall. Di Jabatan Pembedahan Am (Surgical), HO yang oncall perlu membuat review di acute cubicle, kubikal yang menempatkan pesakit-pesakit tenat yang memerlukan pantauan penuh dan rapi. Kelam-kabut Michelle hendak memastikan semua pesakit di kubikal itu habis di review semuanya termasuk kes baru yang tiba-tiba saja sampai di pagi hari itu. Sebaik saja pakar tiba pada jam 8 pagi itu, semuanya bertumpu di katil Alang, untuk mendengar apa kisahnya si Alang ini dimasukkan ke wad dalam keadaan begitu.

Ketika itu, Alang berada dalam keadaan yang agak menggelupur (restless) walaupun intubated kerana tiada sedation diberikan sepenuhnya kepada Alang. Pakar yang sedang membuat round terus menghubungi Pakar Bius oncall pada hari itu dan cuba mendapatkan sebuah katil di ICU untuknya. Setelah berbincang itu dan ini, akhirnya Alang berjaya ditempatkan di ICU. Saya telah diarahkan untuk memindahkannya ke sana bersama beberapa orang jururawat yang lain.

Hampir tiga minggu lamanya Alang berada di ICU. Banyak yang terjadi di sana. Pada suatu hari, ketika sedang makan di pantri wad, Michelle bertanya kepada saya tentang keadaan Alang di ICU. Saya juga tidak berapa pasti akan keadaannya kerana sepanjang dua minggu itu, saya hanya bertugas dan oncall di wad surgical lelaki saja. Tiba-tiba pada petang itu, kami mendapat tahu bahawa Alang akan dipindahkan ke wad semula. Kebiasaannya, kes-kes yang dipindahkan keluar daripada ICU disebabkan pesakit sudah beransuh pulih. Jadi besar kemungkinan Alang juga begitu.

Ketika dia tiba semula ke wad, keadaannya masih intubated tetapi sudah sedar dan menurut kata. Cuma keadaan paru-parunya pula yang mengalami komplikasi. Maka, dia sekali lagi ditempatkan di acute cubicle, katil nombor 17. Saya oncall pada hari itu. Jadi saya pergi terus ke katilnya untuk mendapatkan cerita penuh segala perkembangan Alang ketika berada di ICU. Saya perlu tahu semua itu kerana jika ada apa-apa yang terjadi, sayalah yang bertanggung jawab kerana sayalah yang oncall. Sekitar jam 7 malam itu, saya perlu mengambil darahnya. Saya pergi mendapatkannya dan memaklumkannya bahawa saya perlu mencucuknya untuk mengambil darah.

Alang kelihatan seakan-akan menjeling saya. Saya tahu, dia tidak mahu dicucuk. Dia kelihatan agak marah tapi dia tidak dapat berkomunikasi menggunakan suaranya. Saya memujuknya dengan menyatakan saya berjanji hanya akan mencucuknya sekali saja. Akhirnya dia seakan-akan pasrah saja. Sejak hari itu, kesemua HO yang oncall sudah kenal dengan perangai Alang. Kami terpaksa memujuknya dulu sebelum mengambil darah supaya dia tidak agresif.

Kadang kala saya lihat ada seorang dua ahli keluarganya yang datang melawat. Faham-faham sajalah. Mereka Orang Asli. Hidup susah. Bukan senang-senang mereka hendak mendapatkan pengangkutan untuk datang ke hospital. Pada suatu hari, saya berkesempatan bertemu dengan isteri Alang. Saya berbual-bual dengannya. Katanya, mereka mempunyai dua orang anak. Kedua-duanya perempuan. Isterinya tidak bekerja. Hanya Alang seoranglah yang menanggung mereka sekeluarga dan juga ibu bapa mereka. Sedih saya mendengarnya. Menurut isteri Alang, hendak tak hendak, Alang perlu sembuh kerana ada ramai yang bergantung kepadanya.

Pada ketika itu, saya memandang Alang. Alang hanya membalas semula pandangan saya itu dengan sayu. Dalam hati saya berkata: Agaknya, Alang dapat bertahan sehingga ke hari ini sebab dia tahu dia ada banyak tanggung jawab. Serius. Saya rasa sangat syahdu pada ketika itu.

Sebetulnya, ada banyak perkara yang terjadi kepada Alang sepanjang dia berada di wad. Dia pernah asystole (jantung berhenti berdenyut) sebanyak dua kali, dimasukkan-dikeluarkan-dimasukkan semula ke ICU beberapa kali dan mengalami komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru yang teruk. Disebabkan itu, Alang terpaksa menjalani chest physiotherapy yang kerap dalam masa sehari untuk membantu mengeluarkan kahak dan lendir daripada paru-parunya.

Tapi, ahli fisioterapi hanya datang sekali saja dalam masa sehari itu. Selebihnya, Alang bergantung kepada doktor dan jururawat untuk melakukannya. Semua ini berlaku sebelum saya mula cuti kahwin pada Mac yang lalu. Ketika itu, saya terlalu banyak oncall secara selang sehari untuk memastikan cuti kahwin saya diluluskan. Jadi, pendek katanya, saya menghabiskan terlalu banyak masa menjaga Alang dan mengikuti perkembangannya dari hari ke hari. Saya masih ingat akan kata-kata pakar saya pada satu malam yang saya oncall: “Please do aggressive and intensive chest physio for him.”

Haaa. Saya pun apa lagi. Sejak hari itu, saya sangat kerap melalukan chest physio kepadanya. Tahu tak bagaimana chest physio dilakukan? Saya perlu mengetuk-ngetuk dada Alang di bahagian depan dan belakang menggunakan tangan dan diikuti dengan menyedut kahaknya menggunakan suction tube yang dimasukkan melalui tiub di tekaknya. Saya tahu Alang kesakitan dan sudah tidak larat diperlakukan begitu setiap hari. Tapi apakan daya. Ini yang terbaik untuk memastikan kahak Alang dapat dikeluarkan dengan kerap bagi mengelakkan keadaan paru-parunya teruk kembali.

Pernah Alang mengeluarkan bunyi-bunyi yang menyayat hati ketika saya sedang membuat chest physio ke atasnya. Saya sedih. Siapa yang tidak kasihan, kan. Tapi saya memang terpaksa. Tapi saya katakan pada Alang: “Alang, awak kena kuat. Awak kena sihat. Kesian kat isteri dan anak-anak awak yang tunggu awak tu kan.” Dengan berkata-kata begitu, Alang pasti akan memberi kerjasama. Bukan sekali dua saya melihat air matanya meleleh menahan segala kesakitan dicucuk, diketuk-ketuk dadanya dan dimasukkan suction tube ke tekaknya. Terlalu banyak kali!

Sehinggalah pada suatu hari, saya oncall lagi pada hari itu. Ketika hendak membuat chest physio ke atasnya, saya berbual-bual dulu dengannya walaupun dia tidak boleh membalas walau sepatahpun apa yang saya ucapkan. Saya cuma mengambil inisiatif berbual begitu untuk mendapatkan kerjasamanya dan pada masa yang sama, inilah cara untuk mendapatkan kepercayaannya supaya membenarkan saya membuat segala prosedur itu. Ketika sedang menyediakan suction tube dan membuka suction, saya berkata: “Alang, kalau awak dah sihat nanti, saya belanja awak nasi ayam, tau.” Tiada respon daripada Alang. Cuma dia tidak menghalang saya memasukkan tiub itu ke tekaknya.

Selepas itu, saya mula bercuti kahwin selama seminggu. Sebaik kembali bekerja selepas bercuti, saya bertugas di wad surgical perempuan pula. Oncall pun hanya di sana saja. Kemudian, saya terlibat dalam kemalangan pula dan bercuti selama lima hari pula. Sebaik kembali bertugas, Michelle memberitahu saya, Alang sudah di extubated (dikeluarkan tiub pernafasan daripada tekaknya) dan tidak perlu menggunakan ventilator lagi. Saya oncall pula pada hari itu. Jadi saya tidak sempat hendak pergi melihatnya di wad lelaki.

Dua hari selepas itu, saya oncall di wad kanak-kanak dan periferi untuk kes-kes surgical. Sekitar jam 6 petang, saya singgah sebentar di wad lelaki. Semata-mata untuk melawat Alang. Menurut Michelle, Alang telah dipindahkan ke subacute cubicle. Ketika diberi arahan oleh pakar untuk memindahkannya ke kubikal yang kurang tenat ini, kesemua staf di wad itu bertepuk tangan. Semuanya gembira kerana Alang sudah terlalu lama dirawat sebagai pesakit yang tenat di acute cubicle. Ibaratnya, dialah Tok Batin di wad itu! Mana tidaknya, dia sudah berada di katil nombor 17 itu sejak bulan Februari lagi. Sudah hampir 3 bulan dia berada di sana!

Ketika saya sampai, saya terus menuju ke katil barunya. Seorang jururawat sedang membuat dressing ke atasnya. Saya terus ke hadapan katilnya. Wah! Terkejut saya melihatnya. Dia sedang duduk di atas katilnya sambil tersengih lebar melihat saya. Jururawat itu bertanya dengan nada berseloroh kepada Alang: “Ha. Kenal ke siapa ni, Alang?” “Kawan”, jawab Alang sambil tersenyum lebar lagi. Tergelak besar saya dan jururawat itu.

Saya berbual-bual sedikit dengannya. Suara Alang serak-serak kasar kerana terlalu lama dia menggunakan tiub pernafasan di tekaknya. Kecederaan pada peti suaranya pasti tidak dapat dielakkan. Saya terharu melihat keadaan Alang yang sudah pulih sebegitu sekali. Dia betul-betul seorang yang bersemangat tinggi. Saya rasa, keadaan hidup dan tanggung jawab yang dipikulnya yang menyebabkannya betul-betul kuat semangat untuk pulih. Saya rasa, kalaulah tiada sesiapa di situ, mungkin saya akan ketawa sambil menangis. Alang adalah pesakit yang saya jaga hampir 3 bulan lamanya!

Sebelum saya berlalu pergi, Alang menegur saya: “Mana nasi ayam?”

Hahahaha. Kali ini saya betul-betul tergelak besar! Alang oh Alang. Awak memang seorang pejuang!

Salam Maal Hijrah 1433 Hijrah. Marilah kita berhijrah menjadi yang lebih baik daripada sebelumnya. Mari kita membentuk diri kita menjadi pejuang!

Nota 1: Terlalu sibuk dalam masa 2 minggu ini. Tak sempat nak update blog. :roll:

Nota 2: Terima kasih kepada semua yang sudi singgah di blog ini. ;-)

Nota 3: Kepada adik-adik jurusan perubatan yang ramai bertanya tentang studi dan dunia pekerjaan, saya akan cari masa untuk menjawab soalan adik-adik semua dalam satu entri nanti ya. ;-)

Posted on November 27th, 2011 by Sarah  |  30 Comments »