Archive for the ‘Life’ Category

Adik Izz

Assalamualaikum wbt

Kalau ikutkan, hampir tiada cerita tentang pengalaman mengandungkan anak kedua di blog ini. Hanya pernah sekali saya menyebut tentang anak kedua ini. Kasihan dia ye. Mama tak pernah cerita pasal dia di blog. Maafkan mama ye, adik. Mama sangat sibuk kali ni.

Hakikatnya, pengalaman mengandungkan anak kedua ini jauh lebih membuktikan anak ini juga kuat. Sekuat Izz dulu. Malah lebih banyak ujian yang kami sama-sama tempuhi.

Di awal-awal kehamilan, macam biasalah, saya punya hyperemesis tu sangatlah teruk. Sampai muntah darah berkoyan-koyan. Tapi kerja tetap kerja. Tak ada istilah MC apa bagai. Di OT, pasang IV drip untuk diri sendiri di sisi pesakit yang sedang dibius. Memang lembik habis badan. Di ICU pula, pernah saya terbaring di salah satu katil pesakit yang kosong dan menerima drip untuk hydrate diri sendiri. Bila sudah segar sikit, tiba-tiba pada malam yang sama suami memberitahu Izz tergeliat tangannya ketika bermain dengan ayahnya di rumah. Dalam pada lembik yang amat tu, saya menggagahkan diri ke bangunan lama hospital, bawa Izz untuk diperiksa di Kecemasan. Esoknya di rumah, saya ambil off pagi untuk memastikan Izz sudah kurang sakit, tiada fracture dan saya sendiri boleh berehat dulu sebelum meneruskan kerja.

Ya. Jabatan saya ni ada tiga orang MO saja waktu tu. Kawan seorang lagi pun mengandung. Kami bertiga memang tak menang tangan kalau ICU penuh dan kes OT penuh juga. Memang boleh menangis bila terlalu stress dengan kerja.

Dan seperti dulu juga, setiap kali muntah-muntah dengan teruk, muka saya akan dipenuhi petichae. Bintik-bintik pecah darah di seluruh muka. Memang muka tak siaplah kiranya. Kusam. Serabai. Tapi saya tak kisah. Lantakkan saja muka buruk. Huhuhu.

Episod muntah-muntah ni berlanjutan sehingga 20 minggu lebih. Yang paling terseksa ialah setiap kali hari yang oncall sebab bercampur dengan tekanan perasaan terpaksa meninggalkan Izz dengan suami di rumah atau kerana memikirkan Izz yang terpaksa tidur di rumah pengasuhnya jika di hujung minggu. Memang tak terkata stressnya. Saya stress sebab bilamana saya meletakkan diri saya di posisi Izz, saya merasakan Izz seakan kekurangan kasih sayang. Bila hujung minggu, ayahnya pergi kelas dan dia di rumah orang sebab mamanya pula oncall. Bukankah macam kanak-kanak terbiar saja bunyinya? T_____________T

Dan bila oncall di hujung minggu tu, memang lagi terasa kepenatannya sebab saya memang lintang-pukang bergegas menyiapkan sarapan dan lauk untuk Izz bagi dibekalkan ke rumah pengasuh dia. Petang-petang jika keadaan di ICU terkawal dan tiada kes OT, saya memang bergegas ke rumah pengasuh untuk melihat Izz. Biar sekejap dapat melihat dia, tapi saya tak mahu dia rasa dia dipinggirkan sepenuhnya. T____________T

Begitulah rutin saya. Lintang-pukang di rumah uruskan makan minum Izz sebelum ke rumah pengasuh, tunggang-langgang di OT dan ICU bersama pesakit, pergi-balik dengan pecutan F1 antara hospital dan rumah pengasuh Izz untuk melihat dia dan bila malam pula main cak-cak dengan hantu di bilik oncall. Eh???

Dan setiap senja Ahad, suami saya akan pulang dengan menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur. Saya akan membawa Izz pergi menjemputnya di terminal bas. Sebab itulah sampai sekarang ni pun, kalau Izz ternampak bas ekspres, dia akan menyebut: Ayah naik bas. Pergi belajar.

Syahdu hati…. T________T

Dalam tempoh mengandung kali ni juga, saya sangat banyak menempuh perjalanan jauh. Ada sesetengah tu sebab nak balik kampung atau pergi ke destinasi rutin bulanan kami yang lain. Tapi, banyak juga destinasi sampingan yang saya terpaksa pergi walaupun hati tersangatlah berat untuk ke sana. Sebab terpaksa berjauhan dengan anak. Saya tak sanggup. Tapi terpaksa. Dah tu nak buat macam mana.

Solusinya, contohnya ketika mewakili Hospital Kuala Lipis ke Konvensyen KIK peringkat Negeri Pahang tahun lalu di Bukit Gambang Resort, sebenarnya pengurusan hospital tak meluluskan untuk claim hotel di sana. Lantakkan. Saya usung juga suami dan anak sekali. Mahal pun mahallah. Saya tak sanggup tinggal anak berhari-hari semata-mata kerana terpaksa melibatkan diri dengan KIK ni. Sudahlah kita bersusah-payah menjayakan projek KIK itu, bila terpilih ke peringkat negeri, nak claim apapun tak boleh. Kedekut betul, dowh. *bak kata orang muda sekarang*. Walaupun ketika di sana saya memang sedang muntah-muntah dahsyat, Alhamdulillah setidak-tidaknya penyertaan sulung kami di sana membuahkan hasil. Dapat tempat kelima keseluruhan bagi kategori teknikal. Dan lebih puas hati sebab suami dan anak ada sekali di sisi.

Lagi contoh lain, bilamana saya terpaksa menghadiri cramped course persediaan untuk pengajian peringkat sarjana di Kuala Terengganu hujung bulan November dulu. Yang tu memang remuk-redam hati sebab 5 hari terpaksa meninggalkan Izz. 2 setengah hari di rumah pengasuhnya. Lagi 2 hari setengah di rumah emak ayah saya di Temerloh. Kebetulan waktu itu suami saya juga sedang sibuk dengan exam. Dia hanya dapat menghantar saya ke sana, kemudian balik ke KL dengan kapar terbang, kemudian balik ke Lipis dengan bas ekspres, kemudian emak ayah saya menjemput mereka berdua di Lipis untuk dibawa pulang ke Temerloh, seterusnya suami saya menaiki bas ekspres ke Kuala Terengganu untuk menjemput saya dan memandu pulang ke Temerloh untuk menjemput Izz, dan terus ke Kuala Lipis pada malam yang sama. Sebaik Izz melihat kami berdua tiba di perkarangan rumah emak, dia berlari sambil menjerit: Mama ayah!!!!

Menangis terus saya dan dan tu juga… T____T

Sebenarnya ada sedikit isu tentang sambung belajar ni. Hakikatnya hakikatnya hakikatnya, saya sangat berbelah bahagi untuk memohon master pada tahun lalu. Ada banyak faktor yang saya pertimbangkan. Suami masih belum habis pengajiannya, saya mengandung, keterbatasan waktu dengan keluarga, kesibukan yang pasti akan mengoyak mencarik jiwa dan terpaksa mengharungi semula stress zaman belajar dulu-dulu kala.

Saya yakin saya orang yang memang akan bersungguh-sungguh dalam apa yang saya lakukan andai kata terpilih ke program master tersebut. Macam saya yang dulu-dulu. Yang jenis pulun sampai habis. Tapi saya juga yakin, saya pasti akan mengorbankan sesuatu. Apalagi kalau bukan kualiti bersama keluarga. Dari segi masa, pengurusan anak-anak dan saya was-was bolehkah saya menjayakan penyusuan untuk anak kedua cukup sehingga dua tahun dengan keterbatasan waktu yang super dahsyat jika sedang membuat master nanti. Sudahlah oncall macam biasa, kena study lagi. Oh-hoi. Tak sanggup nak dibayangkan.

Tapi, saya teruskan juga permohonan master untuk Anestesiologi dan Rawatan Kritikal. Cita-cita nak jadi pakar tu memang sangat ada. Tapi waktu saya memohon program sarjana tu bukanlah atas sebab cita-cita saya. Tapi lebih kepada kerana saya tak tahan dengan desakan daripada konsultan saya dulu. HAHAHAHAHA. Jadi, untuk mengelakkan diri daripada dileter 24 jam, dipaksa dikerah untuk mengisi dan menghantar cepat-cepat borang permohonan, maka saya pun terpaksa buat semua itu untuk menenangkan jiwa. HAHAHAHA. Sedangkan hati tak rela pun. Harap-harap konsultan saya tak baca blog saya ni. Begitu juga dengan pakar-pakar saya yang lain. Muahaha.

Iyalah. Kalau dapat master, program akan bermula pada 1 Jun 2014. Due date bersalin pada 17 Mei 2014. Tak sanggup saya membayangkan saya hanya sempat betul-betul fokus pada anak kedua ini selama 2 minggu saja. 2 minggu tu terlalu kejap! Stok EBM lagi. Kualiti kesihatan diri sendiri lagi. Kualiti masa dengan anak-anak lagi. Kasihan suami pula yang terpaksa menanggung segala bebanan nanti. Dia pun mesti stress juga kalau tak kena gaya nanti.

Jadi, atas persetujuan bersama suami, saya isi juga borang permohonan, studi apa yang mampu untuk exam di Kuala Terengganu dan entrance exam di Kuala Lumpur, ikut saja apa yang konsultan saya harapkan tapi kalau tak dapat master ni, saya takkan kecewa walau sedikit pun. Malah gembira! Malah bahagia! Malah suami pun sebenarnya mengharapkan saya tak berjaya dulu untuk percubaan kali ini! Dan segalanya menjadi kenyataan! Sebaik keputusan saringan master peringkat kedua telah keluar, saya tidak berjaya untuk ke peringkat seterusnya. Dan saya sangat berterima kasih dengan Tuhan kerana menggagalkan saya untuk kali ini. Sebab saya ada banyak tanggung jawab lain yang lebih penting untuk saya laksanakan dulu. Sebab saya tahu kegagalan ini sangat bermakna dan besar hikmahnya buat saya dan keluarga.

Waa. Panjang dah entri ni. Tapi tak terasa nak berhenti lagi. Jadi mari sambung sikit lagi.

Dalam pada suami saya sedang bertungkus- lumus dengan semester akhir untuk pengajiannya di UPM ni, Alhamdulillah ada rezeki datang bergolek untuk kami sekeluarga. Dia telah ditawarkan bekerja dalam bidang yang sangat handy dan dekat di hatinya. Kerana bidangnya adalah 100% berkaitan remote sensing dan GIS yang sangat diminatinya. Dia bersetuju. Saya menyokong. Lalu bermulalah episod kehidupan baru untuk kami sekeluarga.

Suami saya akan memulakan kerjanya di Subang Jaya. Usia kandungan pula sudah 30 minggu lebih. Dia tidak sampai hati meninggalkan Izz dengan saya kerana natural kerja saya yang ada oncall dan terpaksa mengurus Izz seorang diri dalam keadaan sarat pasti memenatkan. Tambahan pula, sejak Izz berumur 2 tahun, kami sepakat mula menghantar Izz ke taska untuk memberinya lebih pendedahan hidup berkawan, berkomunikasi dan membuat aktiviti yang lebih educational di sana. Kebetulan pula taska itu tidak boleh menerima jagaan di waktu malam atas sebab-sebab tertentu.

Jadi, Izz pun dibawa tinggal bersama suami saya di rumah mertua di Putrajaya. Dia ke taska pada siang hari dan selebihnya Izz diuruskan oleh ayahnya setelah balik dari kerja.

Saya? Saya memang remuk-redam bermandian air mata hampir setiap hari sebab terlalu rindukan Izz. Terlalu rindu. Suami selalu memujuk: Tak apalah. Abang jaga Izz. Sayang jaga baby. Tak lama lagi kita duduk sama-sama dah.

Kadang-kadang terpujuklah juga sebab saya tahu Izz berada dalam jagaan tangan-tangan yang baik di sana. Ada ayah dia, atuk, nenek, mokde, paksu ketika di rumah dan ada teacher yang sangat berkarisma ketika di taska. Taska Izz juga sangat best. Ada pelbagai aktiviti untuk peringkat umur dia. Berkebun, lawatan ke Farm in the City, camping di MPOB dan banyak lagi. Banyak skil baru yang menyerlah pada Izz. Terutamanya dari segi komunikasi dan interaksi dengan kawan-kawan. Izz jauh lebih petah dan pandai menggunakan akal kritis. Terima kasih saya ucapkan kepada guru-gurunya di taska tersebut.

Dalam pada hidup berjauhan ini, di saat saya kembali tinggal seorang di Lipis, saya kembali muntah-muntah dengan teruknya. Setiap kali balik kerja memang melepeklah saya sebab terlalu lembik. Kalau hari oncall, terpaksa jugalah menggagahkan diri memandu di temgah malam untuk ke hospital kembali jika ada kes. Dan hampir setiap hujung minggu saya akan memandu ke Putrajaya untuk bertemu Izz dan suami. Pernah pada satu hari, suami saya kata dia hendak membawa Izz balik ke Lipis pada sebelah malamnya untuk bertemu saya. Tapi pada tengahari Jumaat itu, saya menerima panggilan telefon daripada ummi yang memberitahu Izz kurang makan di taska, badan agak dedar dan telahan ummi ialah, Izz rindukan saya.

Saya yang ketika itu baru saja selesai membeli barang keperluan untuk membuat mee goreng basah seperti yang di request oleh suami untuk dimakan bilamana dia sampai malam itu, terus menukar plan. Saya singgah di rumah, capai beg baju yang sentiasa tersedia untuk dibawa ke mana-mana dan terus memandu pulang ke Putrajaya. Penat memang tak terkata sebab saya postcall ketika itu. Saya bercakap dengan baby, kita kena bertahan, kena kuat untuk teruskan juga perjalanan itu sebab Abang Izz rindukan kita. Alhamdulillah. Di sepanjang perjalanan, adik baby tak meragam apapun dalam perut. Tak ada perut mengeras-ngeras pun. Saya selesa memandu. Walaupun hari hujan lebat yang amat sangat ketika di Bukit Tinggi, Genting Sempah sehinggalah masuk ke MRR2. Jam tak usah katalah. Tersengguk-sengguk kereta bergerak.

Sebenarnya saya masih trauma memandu dalam hujan lebat. Sebab kemalangan dulu terjadi ketika hujan lebat. Tapi apa lagi pilihan yang saya ada. Saya nak jumpa anak saya. Saya nekad nak menjemput sendiri Izz petang itu di taska. Supaya saya boleh bertemu dengan teacher di sana juga untuk bertanyakan tentang Izz. Alhamdulillah, lebih kurang 5.40 petang, saya tiba di sana. Sebaik Izz terlihatkan saya, dia datang memeluk dan berbisik “mama” di telinga saya.

Menangis terus saya di situ. T_____T

image

Dan hujung minggu itu kami habiskan bersama-sama. Bila tiba hari Ahad, selepas suami saya bertolak menuju ke kelas pada sebelah tengahari, saya pun menidurkan Izz. Selepas dipeluk cium sepuasnya, saya pun bertolak pulang ke Lipis. Ini rutin hujung minggu saya. Buat beberapa ketika. Sehinggalah pada satu hari, ketika sedang bekerja di OT, saya merasakan contraction. Semakin lama semakin regular. Pakar O&G mengarahkan saya untuk membuat CTG segera. Waktu itu saya baru hendak mencecah 35 minggu. Masih belum term lagi.

CTG reactive dan toco menunjukkan memang saya ada contraction. Masih mild. 1 in 10 saja. Tapi saya terpaksa ditahan di wad untuk tocolysis. Teringat Izz dulu pun saya mengalami prematyre contraction. Jauh lebih awal dan teruk. Alhamdulillah kali ini labor tidak progress dan os masih close. Tocolysis berjaya dan keesokannya saya dibenarkan pulang. Sepanjang dimasukkan ke wad, saya sendirian menguruskan diri sendiri dan baby. Memang di dalam kereta saya telah sediakan beg mama dan baby untuk ke hospital. Jadi saya hanya turun ke parking di basement hospital untuk mengeluarkan beg saya, beli sedikit bekalan makan minum untuk duduk di wad dan kemudian masuk ke wad dengan sendiri. Tiada yang meneman atau melawat. Sebab saya taknak susahkan suami dan keluarga saya. Saya tahu saya boleh uruskan semuanya sendiri. Sebab suami saya sendiri pun ada Izz untuk diuruskan dan emak ayah pula ada adik yang masih bersekolah untuk diuruskan.

Sebaik dibenarkan pulang dengan MC rehat seminggu, saya memandu sendiri balik ke rumah. Jiran saya ingatkan saya tak balik rumah sebab oncall tapi sebenarnya saya admitted. Senja itu saya bergerak pulang ke rumah emak ayah di Temerloh. Sampai sudah malam. Sudah sangat keletihan. Dan keesokannya suami saya sampai dengan membawa Izz bersama. Suami perlu outstation ke Sabah selama seminggu. Izz saya minta ditinggalkan dengan saya. Sebab saya hendak meluangkan masa bersamanya. Sepulangnya suami dari Sabah, barulah kami dapat berkumpul bertiga. Itupun cuma sehari saja. Pagi Ahad suami dan Izz telah bertolak balik kerana dia ada kelas di sebelah tengaharinya dan saya kembali ke Lipis kerana cuti telah tamat.

Dalam pada hidup berdua saja dengan adik baby yang sangat baik dalam kandungan, sepertimana Izz dulu, saya sempat mengkhatamkan dua kali Al-Quran. Saya teringat dulu pernah mengadu pada suami yang sangat banyak masa dihabiskan di hospital dengan kerja sehingga sangat kurang masa mengaji untuk anak kedua ini. Sampai pernah menangislah pada suami kerana isu ini. Rasa kurang pengisian rohani untuk adik baby dan diri sendiri. Rupanya, bila hiduo berasingan, Allah pulangkan semula peluang itu. Allah bagi masa banyak sangat pada mama untuk mengaji dengan adik baby, tau. Bravo adik baby! Allahummarhamna bil Quran!

Dan sebaik telah term saja usia kandungan, pada hari yang suami dan Izz ada balik ke Lipis (kerana suami saya tak bagi dah saya memandu jauh-jauh), saya merasakan baby kurang gerak. Reduced fetal movement. Memang pada hari Jumaat yang lepas di saat hanya tinggal dua orang MO saja di jabatan saya, kami super duper busy sehinggakan kami berdua bekerja sehingga ke tengah malam. Walaupun sudah mula reduced fetal movement pada malam itu, saya sedapkan hati dengan teori bahawa mungkin saya terlalu penat dan perlukan rehat.

Tapi keesokannya pada hari Sabtu, adik baby langsung tak gerak. Dari pagi sehinggalah ke petang. Selepas Asar, saya bertanyakan pendapat kawan-kawan O&G. Mereka suruh saya ke labor room stat untuk dibuat CTG dan scan. Pada mulanya CTG nampak sleeping pattern. Tapi selepas stimulation dan positioning dibuat, Alhamdulillah CTG sudah reactive. Saya dinasihatkan untuk masuk wad kerana memerlukan pantauan ke atas jantung bayi. Tapi dasar doktor keras kepala kan. Sebenarnya saya berat hati untuk masuk wad sebab suami dan Izz baru saja semalam tiba di Lipis. Tak puas lagi hadap muka mereka. Saya beri jaminan boleh datang bila-bila maaa aaja untuk repeat CTG. Pakar mengiziznkan memandangkan jarak rumah saya yang hanya 5 minit dari hospital.

Pada pukul 10 malam, saya kena ke labor room semula untuk pemeriksaan CTG. Tapi kali ini nasib tak menyebelahi saya. Keadaan jantung adik baby tidak reactive. Dah buat positioning dan stimulation pun masih suspicious lagi. Kebetulan tiada pakar Anesthesiologi yang cover pada hujung minggu kerana pakar kami yang betul sedang cuti bersalin. Dengan pasrah, saya terpaksa dirujuk ke HoSHAS kerana fetal distress.

Izz masuk ke labor room bersama ayahnya untuk menyerahkan barang-barang saya. Izz naik ke atas katil dan memeluk saya. Saya menerangkan kepadanya bahawa keadaan adik baby tidak stabil. Jantung adik baby nampak lemah. Jadi mama dan adik baby oerlu dihantar dengan ambulan ke HoSHAS dengan segera. Izz mengangguk dan berkata “okay”.

Tapi saya masih sangat sedih. Kerana baru sekejap saya bertemu mereka, saya pula yang perlu di admit. Keadaan masih 50-50 sama ada memerlukan pembedahan atau tidak di sana nanti. Dan saya juga rasa bersalah kerana kalau ikutkan, pada Ahad tengahari itu tiba giliran suami saya untuk membuat presentation thesisnya.

Dr. Maw, Pakar O&G di Lipis yang sangat keibuan itu memeluk saya. Dia menenangkan saya. Lagi cepat dapat dirujuk dan diteruskan dengan apa-apa intervention yang diperlukan segera, suami saya pun boleh cepat-cepat bergegas ke UPM untuk urusannya. Saya rasa sedikit terpujuk dan tenang. Suami saya pula berkata, dia sudah emailkan kepada pejabat dekan dan pensyarahnya berkaitan hal kecemasan yang terjadi dan meminta tarikh untuk presentation itu ditukarkan. Alhamdulillah. Maka saya pun berangkat dengan menaiki ambulans dan suami serta Izz menurut menggunakan kereta.

Sebaik tiba di HoSHAS, CTG pada mulanya masih tidak reactive. Tapi saya diberi peluang untuk makan dulu dan di hydrate dengan drip. Saya pun apa lagi. Bedal makan kurma yang ada sepaket penuh dalam beg saya ketika itu. Apabila CTG dibuat semula, Alhamdulillah sudah menunjukkan adanya acceleration dan saya tidak perlu menjalani pembedahan kecemasan caeserian section di awal pagi itu. Saya dimasukkan ke wad dan dipantau. CTG dibuat secara regular dan strick fetal kick chart. Alhamdulillah pada siang Ahad itu adik baby sudah aktif semula dan CTG juga sudah reactive.

Sebentar tadi ada satu CTG yang kurang memuaskan. Sleeping pattern. Tapi selepas diteliti oleh pakar bertugas yang suatu ketika dulu menjadi pakar idola hati saya di O&G, Dr. Jalilah, beliau membenarkan saya balik dulu, tapi masih perlu datang untuk membuat daily CTG di labor room. Lega sungguh rasa hati. Alhamdulillah.

Adik baby, setakat ni, inilah yang telah kita sama-sama lalui. Ada banyak lagi sebenarnya. Tapi mama dah tak boleh nak ingat semuanya. Tapi adik baby memang sangat baiklah. Mama pun tak ada mengidam apapun semasa mengandung kali ni. Senang ayah nak jaga kita. Haha.

Insya Allah saya mengharapkan proses bersalin kali ini juga akan dipermudahkan Allah. Dan saya berniat, berazam dan bertekad untuk menyusukan anak kedua ini dengan susu ibu sehingga genap 2 tahun seperti Izz dulu, insya Allah. Semoga Allah permudahkan segalanya!

Dan untuk yang terakhirnya, demi suami dan anak-anak tersayang, saya telah memohon pertukaran keluar daripada hospital ini. Dan pertukaran ini adalah satu perubahan besar yang akan mengubah hala tuju hidup dan kerjaya saya tapi saya yakin ia adalah yang terbaik untuk keluarga kecil kami ini.

Biarlah apa orang kata dengan perubahan yang saya buat itu. Yang pasti suami saya redha dan saya yakin pengorbanan itu yang terbaik untuk kami semua insya Allah.

image

Habis dah cerita. Nak tunggu ayah jemput keluar dari hospital dah. ^____^

Posted on April 28th, 2014 by Sarah  |  27 Comments »

Dilema

Assalamualaikum wbt

Diam tak diam dah terlalu lama blog ni ditinggalkan rupanya. Kalau ikutkan saya yang memang suka menyimpan kenangan dalam bentuk tulisan, hari-hari pun saya nak update blog. Hari-hari pun nak menulis sesuatu di sini.

Tapi naluri hati saya sebagai isteri dan ibu menidakkan semua tu. Balik saja dari kerja, tumpuan utama saya ialah keluarga. Yakni suami dan anak. Saya dah tak kisah dah hal-hal lain. Saya memang kisahkan urusan keluarga kecil kami ni saja.

Kalau hari yang oncall, saya tak tipu yang saya boleh menangis di OT atau ICU teringatkan anak di rumah. Kasihan pada suami yang terpaksa menggalas tanggung jawab di rumah menggantikan saya. Saya rasa loser. Kalah. Sebab kalau boleh saya nak laksanakan sendiri semua tugas saya.

Tapi hakikatnya tidak boleh begitu. Kerana saya juga seorang doktor yang ada tanggung jawab terhadap pesakit-pesakit saya.

Isu ini memang menjadi dilema besar untuk saya. Besar sangat. Sehinggakan memang dilema inilah yang menjadi asbab utama untuk saya mudah tertekan lalu menangis bila oncall. Rindukan anak di rumah. Kasihankan suami. Sadis anak terpaksa tidur di rumah pengasuh jika oncall di hujung minggu kerana suami tiada. Rasa tidak lengkap menunaikan tanggung jawab untuk dua orang insan itu.

Stress sebenarnya bila ada keterikatan yang terpaksa dipecah dua antara keluarga dan kerjaya. Membuak-buak sebenarnya rasa hendak berhenti, duduk rumah jaga anak dan suami dan kemudian memulakan perniagaan sendiri. Tapi bukan semudah tu saya boleh buat begini. Sebab saya ada banyak tanggung jawab buat masa ini.

Cukup dulu untuk hari ini. Ini percubaan saya menggunakan WordPress for Android. Satu applikasi yang saya harap boleh memudahkan saya untuk lebih kerap dapat menulis di sini. Di dunia saya. Sebab saya lega apabila dapat menulis di sini. Dan supaya saya ingat segala nota-nota perjalanan susah-senang hidup saya dan keluarga dalam membentuk sebuah kehidupan yang kami mahu. Sebelum pulang ke pangkuan ilahi.

image

Izz

Nota: Ada lagi ke pembaca di sini? Hmm…

Posted on April 24th, 2014 by Sarah  |  12 Comments »

Tentang Hidup

Assalamualaikum wbt

Setelah sekian lama, malam ni saya nekad nak menulis juga. Bila dah lama tak menulis, memang terasa janggal nak menulis semula. Tapi tak kira. Malam ni nak menulis panjang-panjang. Dan entri ini akan menggunakan bahasa yang santai saja ye. 🙂

Ada banyak sangat yang nak diceritakan. Nak cerita satu persatu pun rasanya mungkin tetap ada yang tertinggal. Sebab banyak sangat! Walaupun siapalah saya ni untuk kongsikan apa perkembangan terbaru hidup ni. Bukan artis kebaboom pun. Bukan pesonaliti TV ke apa. Tapi dah menjadi kebiasaan, di blog inilah saya kongsikan jatuh bangun hidup saya sejak 2005 dulu lagi. Whoaa. Lamanya dah menulis! :lol:

Diam tak diam, dah 2 tahun lebih saya berkhidmat di Kuala Lipis. Mula-mula dulu berat hati. Lama-lama dah jatuh suka. Tapi bila dah terlalu lama, dah mula kenal lalu muak dengan birokrasi pentadbiran di sini, memang nak sangat bertukar keluar secepat mungkin. Tapi buat masa ini memang ada banyak kekangan lagi.

Hospital Kuala Lipis

Hospital Kuala Lipis

Suami saya masih menyambung sarjananya di UPM. On and off kami akan berjauhan. Terutamanya pada hujung minggu. Beginilah hidup kami. Dah 2 tahun begini. Tapi dah terbiasa begitu. Dan dah boleh menerima seadanya. Jadi disebabkan dia masih berjuang dengan pengajiannya, saya fikir, baiklah saya tidak berpindah dulu. Bertahan dulu semampu boleh di sini. Sejujurnya, staf memang baik-baik belaka. Memang tak tipu. Ramah. Selalu makan sama-sama di OT. Masuk sukan sama-sama. Masuk KIK sama-sama. Yang tak menariknya ialah ketua dia atas nun. Walaupun oncall selang sehari hatta berderet beberapa hari sekali pun, itu memang bukan isunya. Sebab saya suka kerjasama daripada staf di sini yang tak pernah berkira. Tapi tak apalah. Mungkin ada hikmah yang lain kenapa Allah suruh saya bertahan lagi di sini.

Bila bercakap tentang hikmah ni, dalam 2 tahun lebih permukiman di sini, memang sudah banyak mengajar saya erti kematangan dalam kerjaya dan mengurus keluarga. Hei. Siapa kata senang untuk jadi ibu bekerjaya? Susah tau. Tapi dalam tempoh 2 tahun lebih di sini, mengajar saya untuk menjadi seorang MO yang kena banyak bertolak ansur dan belajar bekerja dalam serba kekurangan. Memang taraf hospital ini ialah hopital berpakar tapi peruntukan kewangan dan fasiliti masih banyak kurangnya jika dibandingkan dengan hospital berpakar yang lain. Itu tak cukup, ini tak cukup. Semuanya kena berjimat. Tapi tak apa. Ini persediaan kalau-kalau suatu hari nanti saya ditugaskan ke kawasan yang jauh lebih terpencil berbanding bandar ini.

Bercakap tentang hikmah ini juga, dalam tempoh 2 tahun lebih ini, ia telah menjadi tempoh untuk mempersiapkan saya untuk menjadi seorang pelajar kembali. Ya. Saya telah memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sarjana perubatan Anestesiologi dan rawatan kritikal. Dan Alhamdulillah, dengan hanya sekali saja mencuba, permohonan saya telah diterima. Saya layak untuk ke saringan seterusnya iaitu entrance exam dan interview yang akan dijalankan awal tahun depan. Kalau tiada aral dan dengan izin Allah, saya akan menjadi pelajar kembali seawal bulan Jun 2014, insya Allah. ;-)

Bila dah sebut tentang hidup sebagai seorang ibu bekerjaya, saya tahu ada saja yang kata “sendiri pilih jadi doktor, tanggunglah padahnya”. Hah. Meh cakap depan-depan saya kalau nak ke syarah panjang lebar. Jadi doktor ni bukan saja-saja menjadi pilihan saya. Hakikatnya bidang pilihan saya ialah guaman. Aishhhh. Mengungkit kisah silam pulak dah. Hahaha. :lol:

Hakikatnya, saya terpilih untuk menggalas amanah ini. Saya dipilih untuk melanjutkan tawaran dalam bidang ini 10 tahun yang lalu. Saya dah istikharah pun memang inilah yang menjadi petunjuk dari Allah. Jadi, siapalah saya untuk menidakkan, kan? Saya dah cuba yang terbaik. 6 tahun belajar, 2 tahun housemanship yang penuh pancaroba dan pengajaran. Dan dah 2 tahun setengah menjadi MO Anestesiologi. Dah rasa tua sangat dah sekarang ni. Memang bukan pilihan bijak untuk saya berpatah balik dan memulakan laluan kerjaya sebagai peguam lagi. Hahaha. Masih nak sebut jugak tu! :mrgreen:

Tapi yang saya nak tegaskan di sini ialah, bukan semua orang boleh memikul amanah ini. Ada yang dah dipilih, tapi larikan diri. Ada yang dah separuh jalan, terus berhenti. Ada yang telah selesai latihan siswazahnya, tapi tidak memikul amanah ini dengan sebetul-betulnya. Maksudnya, sebaik saja menjadi MO, they take it for granted. Hoh. Tak suka betul saya. Jangan abuse bidang dan nama yang kalian bawa tu dengan tiadanya adab yang bagus. Bidang ini memerlukan keikhlasan yang tinggi sewaktu menjalan tugas. Terutamanya bagi semua yang masih secara langsung melaksanakan kerja-kerja klinikal.

Ok. Cukup membebel pasal etika. Sebenarnya tadi nak cerita, bukan senang nak menjadi doktor yang oncall, yang ada anak kecil yang masih menyusu dan pada masa yang sama turut terlibat dengan pelbagai aktiviti sampingan yang terpaksa dilaksanakan juga.

Alhamdulillah, Izz sudah hampir mencecah 2 tahun umurnya. Dalam tempoh 23 bulan ini, Allah kurniakan susu badan yang cukup untuk saya menyusukan Izz. Biarlah beg galas saya pergi kerja tak berjenama sekali pun. Tapi setiap hari saya menggalas cooler bag dan alatan mengepam saya dengan istiqamahnya. Demi Izz. Untuk mendapat yang terbaik dalam tempoh 2 tahun ini. Insya Allah hujung tahun ini akan sempurnalah 2 tahun penyusuan Izz. Semoga masih cukup susu badan untuk saya meneruskan baki sebulan lebih ini.

Kawan Baik!

Saya ingat lagi. Dulu saya hanya mendapat cuti bersalin selama 60 hari. Saya risau tidak dapat menyediakan stok susu yang cukup untuk Izz sebelum mula bekerja. Ketika hari ketiga berpantang, saya sudah mula mengepam memandangkan saya cuak jika tidak sempat untuk mengumpulkan frozen EBM yang cukup. Saya buat perkiraan. Kalau waktu umurnya 2 bulan lebih akan minum 3 oz per feeding dan ada 7 kali feeding ketika tinggal dengan pengasuh, makudnya Izz memerlukan 21 oz susu untuk dibekalkan sehari ke rumah pengasuh. Saya kira stok yang sudah sedia ada. Masya Allah. Cuak saya membuak-buak waktu itu. Sebab stok yang ada ketika itu hanyalah cukup untuk 14 hari genap jika Izz berada di rumah pengasuh.

Stok EBM

Jadi sejak itu saya memang berhempas-pulas untuk mengumpul EBM yang secukupnya sebelum naik bekerja. Daripada menumpang susu di peti ais rumah mak, kami beli deep freezer 110L untuk menyimpan susu yang telah disejukbekukan supaya boleh bertahan sehingga 6 bulan. Kemudian berhempas pulas kami memindahkan stok susu tersebut untuk dibawa pulang ke Kuala Lipis. Alhamdulillah, sewaktu hendak kembali bekerja, stok yang terkumpul adalah 1450 oz jumlahnya. Setiap hari di tempat kerja pun saya mengepam. Cumanya, disebabkan natural kerja saya tidak boleh duduk setempat dan kebetulan waktu itu hanya 2 orang MO saja di jabatan saya, saya memang tidak dapat mengepam setiap 3 jam. Memang ke Laut Andaman jadual mengepam saya. Sedih juga. Takut susu merudum. Tapi Allah itu Maha Tahu.

Disebabkan kekangan masa, apabila berkesempatan, saya akan membuat power pumping. Kadang-kadang tu, disebabkan tak sempat langsung mengepam ketika berada di OT, sampai saja di rumah, sekali pam terus dapat 20 oz. Sambil Izz menyusu, sambil mengepam juga. Malam-malam saya bangun untuk buat power pumping di samping mengemas rumah. Bangun awal pagi untuk mengepam dan menyiapkan bekalan makanan Izz. Sebelum pergi kerja mengepam lagi terlebih dahulu. Ya. Itulah rutinya. Memang sakit pinggang, sakit belakang. Tapi saya ada suami yang Alhamdulillah sangat memudahkan urusan seharian saya. Bila saya lenguh atau sakit belakang akibat PID (Prolapse Intervertabral Disc) saya, dialah yang akan mengurut-urut belakang saya. Dan yang paling terharu, sehingga ke hari ini, tidak pernah lekang dalam doanya selepas solat agar dicukupkan bekalan susu untuk Izz Zamani sehingga berumur 2 tahun.

Izz 16 bulan

Selain daripada memberikan susu badan, saya juga menyediakan homemade food untuk Izz. Sejak berusia 6 bulan lebih, tatkala Izz sudah mula diberikan solid food, saya dan suami memang bertungkus-lumus di setiap hujung minggu untuk menyediakan puri buah-buahan dan sayur-sayuran untuk bekalan sejuk beku. Kami simpan di dalam deep freezer. Ini untuk memudahkan kerja kami di setiap pagi terutamanya hari bekerja. Setaip pagi kami hanya perlu memasak bubur nasi. Kemudiannya, puri yang telah disediakan hanya perlu dicampurkan ke dalam buburnya beserta sumber protein tertentu. Semakin meningkat umur Izz, semakin banyak benda baru yang kami berikan kepadanya. Tapi kami suami isteri memilih untuk menjadi naturalis. Kami menggunakan bahan organik untuk Izz. Kami sediakan makanan tanpa garam dan gula. Tiada sebarang vitamin, supplement atau sebarang shake whatever shake yang saya berikan kepadanya. Jika dia selsema, saya hanya perlu memberikan Izz sebiji buah oren kegemarannya dan madu, dia makan, dan keesokannya dia sudah sembuh daripada selsemanya.

Pernah juga dalam beberapa situasi bila dia sudah besar ni, kami terpaksa membeli saja untuk Izz. Itupun kerana terpaksa sangat. Contohnya di tempat yang kami pergi itu tiada sebarang lauk mentah yang boleh saya masak untuk dimakan oleh Izz. Dalam keterpaksaan kau melangkah pergi…. Dalam keterpaksaan, saya memang terpaksa membeli saja makanan atau lauk untuk Izz. Pernah ada yang menegur kenapa tak diberikan masakan masak sendiri? Eh eh eh. Kejadian yang disaksikan itu adalah sekali dalam sejuta. Jadi jangan hakimi saya berdasarkan apa yang dilihat sekali itu saja kalau tak tahu apa di sebalik rutin harian kami suami isteri memasak dan menyediakan homemade food yang fresh and healthy untuk Izz. Saya pun tak perlu nak canang pada semua apa yang saya dan suami buat. Tapi bila diadili tak tentu pasal begitu, memang boleh angin juga. Tapi sabar je lah banyak-banyak. Orang lain tak perlu tahu apa yang saya dan suami buat hari-hari untuk Izz. Plus, I don’t care if people judge me based on that. Kita sebagai mak-mak ni lebih tahu apa yang kita buat untuk anak kita masing-masing, kan? ;-)

Izz 19 bulan

Sebut pasal mak-mak ni, ni mak nak cerita perkembangan Izz pula. Izz dah besar! Tu je. Hehehe. Alhamdulillah, Izz sangat sihat dalam peliharaan kasih sayang Allah. Banyak bercakap walaupun masih pelat, sudah tahu banyak perkara, tahu ABC, tahu mengira, tahu alif ba ta, tahu minta nak makan tomato kegemarannya (hahaha), tahu pakai baju dan seluar sendiri (sob sob sob, anak mama dah besar), dan sudah partially toilet trained. Alhamdulillah atas semuanya. Oh ya. Izz juga adalah sangat comel! Hahaha. Nak sebut jugak tu! :mrgreen:

Izz 22 bulan

Dan insya Allah kalau tiada aral, tak lama lagi, Izz Zamani akan menjadi abang. Saya sekarang sedang membawa seorang lagi khalifah kecil, Alhamdulillah. Doakanlah semoga kali ini semuanya dipermudahkan (walaupun sebenarnya sekarang tengah hyperemesis yang teruk walaupun sudah 15 minggu). ;-)

Sekarang saya bersendirian di Kuala Terengganu menjalani Kursus Prasarjana di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu. 4 hari saya di sini. Remuk redam hati rindukan Izz. Rindu rindu rindu! Tak sabar untuk habiskan exam hari Selasa ni dan kemudian terus balik ke Temerloh untuk peluk, cium dan gomol Izz Zamani sepuas-puasnya.

Yeay~

Dan bye!

Hehehe.

Selamat malam Tanah Malaya dan Moskva. Hati saya masih tetap merindukan Tanah Tsar itu dan seluruh kedinginannya. :???: Dan saya doakan yang baik-baik saja untuk semua walau di manapun kalian semua berada. Allahumma amin. ;-)

Posted on November 18th, 2013 by Sarah  |  18 Comments »

Eid Mubarak 1434H

Assalamualaikum wbt

Hari ini sudah pun masuk ke 5 Syawal. Cepat betul masa berlalu. Sekadar coretan ringkas untuk kali ini. Eid Mubarak buat semua. Semoga kita semua telah berjaya menempuhi Ramadhan dengan jayanya, dengan penyudahan yang lebih baik berbanding tahun lepas. Semoga kita berpeluang untuk bertemu lagi dengan Ramadhan berikutnya.

Raya tahun ni saya bekerja. Oncall berderet-deret sejak 20 Ramdhan lagi. Banyak betul dugaannya. Apa-apapun Alhamdulillah, suami saya sangat memahami bidang tugas saya yang tak menentu ni.
IMG_20130811_090939

Tapi yang pasti, raya kali ini sangat menggembirakan sebab Izz Zamani dah besar dan dah banyak ragam rayanya sendiri! 😀

 

Nota: Saya selalu sibuk sama ada dengan kerja atau dengan aktiviti harian bersama suami dan anak. Jadi, saya lebih kerap update di Istagram saja. Siapa yang ada Instagram tu, bolehlah add saya @sarahshukor atau suami saya @thaariq. 🙂

Posted on August 12th, 2013 by Sarah  |  2 Comments »

29 Disember 2011 : Dunia Baru Kami

Assalamualaikum wbt

Ini adalah sebuah entri tertangguh kisah kelahiran Izz Zamani pada 29 Disember 2011 yang lalu. Disebabkan sudah hampir setahun lamanya, hendak memulakan semula penulisan kali ni terasa agak kekok. Belasah sajalah. Huhu. Insya Allah, saya masih ingat dengan jelas kronologi yang berlaku dulu. Nukilan ini khas untuk kenangan saya dan suami untuk Izz Zamani.

28 Disember 2011

Hari itu, usia kandungan sudah mencecah 39 minggu 3 hari. Saya ada temujanji antenatal check up yang terakhir di Klinik Desa Lebak. Ketika itu saya sudah mula bercuti dan berada di rumah emak ayah saya di Temerloh. Saya memandu sendiri ke sana. Tiada siapa di rumah ketika itu. Kalau ikutkan, jika masih belum bersalin pada due date saya, temujanji seterusnya ialah di KKIA Temerloh pada Isnin berikutnya selepas tahun baru. Sebaik tiba di rumah, saya terus ke rumah Tok yang terletak sedepa saja di depan rumah saya. Tiba-tiba saya terdengar bunyi kereta menaiki bukit rumah kami. Disebabkan hanya bertudung pendek, saya sedikit berlari masuk ke rumah Tok. Rupa-rupanya, seorang dua pupu saya balik ke rumah ibu saudaranya di sebelah rumah Tok. Termengah-mengah saya kepenatan. Selepas bermain seketika dengan Iman dan Imani, saya pun pulang ke rumah. Terus saya membuka PC dan membuat editan terakhir untuk entri Nota Untuk Anak Mama. Sambil duduk di kerusi, saya makan aiskrim. Haha. Setiap hari pun nak makan aiskrim. Nasib baik tak gemuk sangat masa mengandung. Total berat badan naik 13 kg. Kenaikan yang ideal dari berat badan asal. ;-)

Ketika itulah, saya rasa sakit pinggang mula datang secara merengat-rengat dan terus membawa ke depan. Perut mengeras. Ya. Itulah contraction namanya. Contraction yang pertama saya rasakan pada jam 11.50 pagi. Kata saya dalam hati, kalau contraction sudah regular, barulah saya akan memberitahu emak dan suami. Saya teruskan duduk di depan PC. Semakin lama, contraction semakin kerap. Mula-mula selangnya 20 minit sekali. Jadi, saya ambil keputusan untuk baring di sofa depan TV di ruang rehat dapur. Baring dalam 15 minit, saya rasa lega. Tidaklah sakit mana pun lagi. Contraction pun cuma dalam 15 ke 20 saat setiap kali datang. Dalam hati saya berkata, tak regular lagi ni. Mild saja contraction ketika itu. Jadi saya terus ke PC semula. Sambung mengedit entri itu. Dasar blogger betul, kan? Hahaha. :lol:

Dalam pukul 1 pm begitu, kadar contraction masih sama tapi saya rasakan sakitnya semakin meningkat. Saya ambil keputusan untuk berhenti online. Biasanya, jika hari yang penat oncall atau postcall, saya biasa merasakan contraction sebegitu. Untuk menghilangkannya, saya akan tidur saja. Bangun tidur, biasanya contraction akan hilang. Jadi, saya masuk ke bilik untuk tidur. Hari masih belum Zohor ketika itu.

Saya terbangun lebih kurang pukul 3.30 petang dan bergegas untuk solat Zohor. Waktu tu macam terlupa yang tadi sudah mula sakit-sakit. Ketika sedang solat, saya rasakan contraction masih ada lagi. Huuu. Sakitnya menahan contraction waktu itu. Mungkin posisi ketika itu kot. Selesai solat, saya duduk di depan TV semula. Saya membuat timing untuk mengira jarak masa antara setiap contraction. Sekali dalam masa 10 minit (1:10) selama 25 saat. Saya tersenyum. Hehe. Memang sakit tapi baru 1:10. Kalau primigravida (mengandungkan anak pertama), lambat lagi ni nak buka jalan sepenuhnya. Jadi saya duduk sambil memegang pinggang. Tak lama kemudian, emak sampai daripada menjemput Aiman dan Azizi balik dari sekolah.

Emak melihat saya yang bangun duduk beberapa kali di depan TV. Emak bertanya sama ada saya sudah rasa sakitkah. Saya menyuruh emak cool dulu. Masih terlalu awal untuk ke hospital. Huhu. Emak tu ada pengalaman bersalin 8 orang anak. Sesedap hati saja saya yang suruh emak cool dulu. Saya nekad untuk tidak beritahu suami dulu. Saya banyakkan berehat di dalam bilik saja untuk mengurangkan rasa sakit yang sedang dialami. Kalau saya bagitahu awal-awal, karang lintang-pukang pula dia balik dari Putrajaya nun. Haha~ :mrgreen:

Pukul 7.30 malam, selepas solat Maghrib, suami saya menelefon. Pada mulanya saya rahsiakan dulu. Tak mahu dia kelam kabut hendak balik waktu itu juga sedangkan saya sendiri tahu masih lambat lagi masanya. Saya cuma katakan yang saya penat dan sakit belakang. Pukul 9 malam, contraction semakin kuat. 1:10 selama 30 saat. Ok. Sekarang dah moderate. Saya dah patut bagitahu pada suami. Saya menelefonnya, saya memperincikan apa yang sedang berlaku. Tapi saya tetap meyakinkannya bahawa saya masih boleh bertahan. Terbaringlah saya di bilik seorang diri menahan sakit. Sekitar pukul 10 malam, saya keluar ke ruang TV. Ayah ada di situ. Saya katakan pada ayah, kalau-kalau saya terlalu sakit di tengah-tengah malam itu, saya meminta tolong ayah yang hantarkan ke hospital. Kemudian, saya masuk ke bilik semula untuk cuba tidur. Memang tak boleh nak tutup mata langsung. Sakit makin kuat. Huhuhu. Terbayang-bayang lagi sampai sekarang rasa merengat-rengat tu. Tapi masih moderate. Jadi saya berjalan-jalan di dalam bilik untuk mengurangkan rasa sakit. Bagi saya, terbaring jauh lebih sakit. Bila berjalan, kurang sikit rasanya. Hehe.

29 Disember 2011

Pukul 1 pagi, suami saya menelefon semula. Saya katakan, sakit semakin kuat tapi tidak ada tanda yang turun lagi. Bagi saya, sakitnya saya masih boleh tahan. Dia bertanya sama ada sempat atau tidak dia balik keesokan paginya kerana dia ada hal penting di pejabat sebelum dia mula bercuti panjang. Saya katakan, sangatlah sempat. Hahaha. :lol: Yakin sungguh saya ni kan. Tapi, seketika kemudian saya mula merasakan sakit yang semakin lama dan kuat. Lebih kurang pukul 2 pagi, saya menelefonnya semula. Saya minta dia balik malam itu juga. Contraction semakin kerap dan kuat. 2:10 selama 40 saat. Pukul 2.45 pagi dia menelefon memaklumkan dia sudahpun bertolak dari Putrajaya. Saya cuba juga untuk tidur. Tetap tidak boleh. Jadi, saya ambil keputusan untuk mandi dan kemudian ke dapur membancuh air panas untuk diminum. Dalam pukul 5 pagi, suami saya pun sampai. Kami merancang hanya untuk ke hospital selepas selesai solat Subuh supaya tidak berhutang apa-apa solat sebelum bersalin. Di bilik, suami saya tidur kepenatan, saya pula terbaring memegang pinggang dalam kesakitan. Sakit semakin kuat. 3:10 selama 40 saat.

Sebenarnya saya tidak mahu ke hospital terlalu awal kerana hendak mengelakkan ditahan di wad terlebih dahulu jika jalan masih kurang daripada 4 cm bukaannya. Masuk wad adalah a big No for me. :mrgreen: Kalau setakat contraction masih jarang-jarang, atau baru 1:10 mild to moderate, bagi primigravida, jarang sekali bukaannya sudah besar. Jadi, bertahanlah saya di rumah dulu sebelum bergegas hendak ke hospital. Pukul 6.30 pagi, selepas minum dan makan sekadar alas perut yang emak sediakan, kami bertolak ke hospital.

Sebaik tiba di Dewan Bersalin Hospital Temerloh, CTG monitoring dipasang dan kemudian saya di scan. Jantung baby kelihatan sangat reactive tetapi tiba-tiba MO itu berkata: Estimated fetal weight is about 4 kg! (Saya tak berapa percaya pada skill MO tu sebab MO tu masih sangat baru di O+G HoSHAS ketika itu). Saya cuma membalas: Ooo, yeke. Mana mungkin baru 2 minggu lepas saya di scan oleh pakar dan saiz kandungan saya ketika itu adalah borderline IUGR (anak bersaiz kecil dari usia kandungan) tiba-tiba boleh menjadi macrosomia (big baby) pula. Haha. Senyum sajalah kepada MO itu. Dan setelah bukaan jalan diperiksa, sudah 4 cm Dalam hati saya berkata: Yes! Tak payah admit ward dulu. Boleh terus ke labor room! Hehehe. :grin:

Ketika itu baru pukul 7.30 pagi. Kebetulan, labor room penuh. Jadi saya keluar dulu ke ruang menunggu bertemu suami, emak dan ayah. Ketika sedang mengalas perut sedikit dengan roti yang emak bawakan, saya menerima panggilan daripada bekas pakar saya ketika bekerja di Jabatan Bius dulu. Dr. Dalina. Katanya dia dengar cerita saya sudah in labor dan berada di labor room. Saya mengiyakan pertanyaannya. Kemudian, dia menawarkan saya untuk mendapatkan hidmat epidural. Oh. Terima kasih, doktor! Justifikasinya, saya memenuhi syarat untuk menggunakan epidural. Sudah strong contraction dan os baru 4 cm. Kalau os sudah lebih daripada 5 cm, saya sudah tak mahu semuanya.

Sekitar 8 pagi, saya sudah ditempatkan di bilik bersalin nombor 8. Seorang staff nurse yang sudah senior bertugas di situ pada pagi itu. Staff nurse Zakiah namanya. Syukur saya rasakan. Selesai saya dipasang dengan CTG monitoring, Anaesth Team yang diketuai oleh Dr. Darlina datang menemui saya di bilik itu. Selesai mereka menceritakan tentang epidural (mereka serba ringkaskan semuanya sebab saya sendiri pun seorang MO Anaesth. Hehe), saya memberi consent dan epidural pun dipasang. Kemudian terbaringlah saya di katil itu menanti os buka perlahan-lahan.

Oh ya. MO O&G yang oncall pada hari itu ialah kawan saya, Michelle. Sebelum ARM dibuat untuk memecahkan air ketuban, saya memberitahunya bahawa saya mahu menyusukan anak saya secara eksklusif dan berharap supaya tiada formula milk diberikan kepada anak saya. Jika bayi terpaksa admitted sekali pun, saya akan mengepam susu untuknya. Dia memberi jaminan akan hal itu. Ya. Hospital Temerloh adalah Hospital Rakan Bayi dan Mesra Suami. Jadi, selepas ARM selesai, suami saya pun dibenarkan masuk dan menemani saya di situ.

Di saat itu, saya mula terasa mengantuk yang teramat sangat. Mana tidaknya. Saya tidak tidur langsung pada malam sebelumnya. Jadi, selepas epidural dipasang (saya request untuk menggunakan half dose saja supaya masih boleh rasa akan sakit bersalin), baru saya rasa selesa untuk berehat sekejap sebelum bekerja semula untuk meneran nanti. Suami saya duduk di sebelah saya sambil membaca Al-Quran. Dan saya mengikut alunan Surah Yasin yang dibacakannya itu.

2 jam selepas air ketuban dipecahkan CTG tidak menunjukkan variasi yang baik. Saya sudah cuak. Ya Allah. Sehabis boleh, saya memang tidak mahu dibedah. Saya mahu bersalin secara normal. Saya meminta suami mendoakan saya dengan sangat ketika dia keluar untuk solat Zohor sekejap. Ketika CTG tidak cantik itu, puas saya cuba stimulate bayi supaya jantungnya aktif. Saya mendapat oksigen melalui nasal prong, berbaring mengiring ke kiri dan menggosok-gosok perut supaya bayi tidak berada dalam sleeping pattern. Michelle masuk ke bilik saya. Katanya, dia sudah berbincang dengan pakar oncall, Dr. Jalilah. Dr. Jalilah memberi masa lagi 2 jam sebelum keputusan dibuat semula.

Pukul 2.45 petang, Dr. Jalilah dan pasukan O&G masuk ke bilik saya. Os masih kekal 4 cm. Setelah CTG ditelitinya, Dr. Jalilah menyuruh di challenge juga dengan Pitocin untuk membantu augmentation. Tapi tidak lama. Hanya 2 jam maksimum. Dan ketika itu Dr. Jalilah menganggarkan berat bayi antara 3.4 ke 3.6 kg. Memandangkan saiz badan saya yang tidaklah terlalu besar, Dr. Jalilah terus mengarahkan supaya saya diletakkan dalam lithotomy position jika os sudah buka sepenuhnya. Ketika itu, bilik bertentangan dan sebelah saya sudah pun bersalin. Hai la nasib badan. Masuk semuanya serentak. Orang lain dah selesai, saya masih belum progres pun lagi.

Alhamdulillah. Setelah Pitocin dimulakan, CTG nampak samkin reactive. Perut terasa semakin berat ke bawah. Contraction terasa semakin kuat sehingga saya dapat merasainya. Tekak saya terasa sangat kering. Suami saya ada membawa coklat bersamanya ketika itu. Adalah salah sebenarnya jika saya makan waktu itu kerana jika sekiranya perlu menjalani Caeserean Section, lebih selamat jika saya sudah siap sedia berpuasa selama paling kurang 6 jam. Tapi, saya balun juga 1 bar coklat itu. Ayat pujuk saya kepada suami: Ni nak guna sebagai tenaga untuk meneran nanti. Hahaha.  :lol:

Dalam pukul 4.15 pm, saya meminta suami membelikan saya sebarang air jus, asalkan bukan yang jenis bersusu. Jika perlu dibedah sekali pun, saya ada masa lagi. Haha. Orang Anaesth memang selalu fikir jarak selamat makan minum sebelum pembedahan. :razz: Puas saya menunggu dia pergi membeli air. Lamanya! Ketika itu, sudah pun pukul 4.45 pm. Jalan diperiksa semula. Alhamdulillah sudah 6 ke 7 cm! Progres yang baik. Maka, saya diberi masa sejam lagi sebelum keputusan dibuat semula. Waktu itu, saya berdoa dengan sangat semoga segalanya dipermudahkan untuk bersalin secara normal dan anak saya selamat.

Pukul 5.30 pm, barulah suami saya muncul semula. Katanya, dia terpaksa menunggu di luar bilik sekejap ketika prosedur VE. Yang membuatkan dia lambat masuk semula kerana dia ke tandas dahulu kerana sudah terlalu lama sejak pagi dia langsung tidak ke tandas kerana berada di sisi saya. Huuu. Touching. Touching. Kasihan dia terpaksa menahan diri daripada ke tandas kerana menemani saya. Kemudian saya terus menyeluk laju plastik yang dibawanya. Laju saya menghabiskan sekotak air oren. Selepas habis air itu, dengan tenang saya katakan padanya: Abang, tolong panggil staff nurse tadi. Abang cakap kat dia, Sarah dah rasa nak meneran.

Haaaaa! Ambik kau. Terkejut suami saya. Dia kata, kenapa tak beritahu awal-awal. Saya pun jawab. Sebab saya haus dan nak minum air dulu baru ada feel nak meneran dengan penuh semangat. :mrgreen: Ketika staff nurse tersebut memeriksa jalan, memang betul, os sudah fully! Jam tepat pukul 5.50 pm pada waktu itu. Lalu dipanggilnya Michelle. Dan seperti yang dah dirancang sejak sebelum bersalin, sepupu saya sendiri, Nisa, yang akan menyambut anak saya. Tapi saya murah rezeki. Selain Michelle dan Nisa, di situ juga ada Zubaidah junior di Moscow dulu merangkap HO Ortho ketika itu dan juga Ili Safia, salah seorang HO yang saya rapat dengannya. Bersemangat mereka membantu memposisikan saya pada kedudukan lithotomy.

Sebaik berada saja dalam lithotomy position, contraction datang. Terasa sakit yang amat waktu itu kerana lumrahnya epidural tidak betul-betul cover sehingga ke bahagian perineum. Bergenang air mata ni. Waktu itu, suami saya sudah memangku kepala saya untuk memudahkan proses meneran seperti yang saya ajarkan dulu. Waktu sakit itu datang, saya terbayangkan muka emak saya. Ya Allah. Begini sakit yang emak tanggung rupanya. Ketika meneran kali pertama, saya dapat merasa kepala bayi yang menurun ke depan. Dalam hati saya cuba bertenang. Insya Allah, saya boleh buat. Ketika itu, Nisa, Bedah, Michelle, Ili dan staff nurse Zakiah macam pasukan sorak wanita terhebat di alaf ini. Kuat betul mereka bersuara untuk memberi semangat kepada saya. Dulu-dulu selalu buat dekat patient macam tu. Sekarang, diri sendiri yang alaminya. Hehe. :mrgreen:

Suami saya pula berkali-kali menyuruh saya untuk menarik nafas dalam-dalam dan bertenang. Apabila contraction datang lagi, saya pun meneran sekali lagi dengan sehabis daya. Terasa sesuatu yang berat sudah hampir-hampir keluar. Contraction hilang. Saya menunggu lagi. Seminit kemudian, contraction datang lagi dan saya meneran lagi. Tiba-tiba suami saya berkata dengan penuh keterujaan: Wah, sayang! Lebatnya rambut baby. Sikit lagi!

Saya pun apa lagi. Bila dengar saja yang rambut bayi lebat, saya curi nafas sementara contraction masih ada dan terus meneran dengan sekuatnya. Tiba-tiba semua pun berbunyi: Haaaaaa! Keluar dah kepala baby! Dan saya bagaikan putus nafas ketika itu. Leganya rasa ketika itu. Lega sangat. Saya pun terus mengambil nafas dalam-dalam buat kali terakhir dan kemudian meneran sekali lagi untuk mengeluarkan badan bayi pula.

Alhamdulillah. Tepat jam 6.09 petang, lahirlah anak lelaki kami dengan berat 3.26 kg! Bayi yang masih basah berdarah dan bertali pusat itu terus diletakkan di atas dada saya. Subhanallah! Waktu itu, saya terus menangis kerana kini saya sudah bergelar ibu kepada bayi lelaki itu. Terus saya cium rambut anak saya. Suami saya pula memeluk dan mencium dahi saya. Saya tahu dia sangat terkesan melihat proses bersalin itu dan dia sendiri masih terkesima melihat bayi kecil kami yang sangat putih kulitnya itu. Anak kami menangis ketika berada di atas dada saya. Saya syukur dia menangis. Itu tandanya dia dapat bernafas. Alhamdulillah Ya Allah. Alhamdulillah Ya Allah. Kemudian Nisa mengambil bayi untuk dibersihkan sementara memberi ruang untuk placenta keluar dan proses menjahit luka episiotomy.

Tapi, Allah jugalah yang Maha Merancang segalanya. Saya mengalami vaginal wall tear yang teruk. Ada empat luka dengan apex yang jauh ke dalam. Disebabkan saya masih mempunyai epidural, proses repair terus dilakukan di labor room saja tanpa perlu dibawa ke dewan bedah. Hampir 2 jam saya dijahit-jahit untuk menghentikan pendarahan. Saya kehilangan hampir 1 liter darah. Untuk bersalin secara biasa, lebih daripada 500 ml sudah dikira sebagai postpartum hemorrhage (PPH). Ketika dijahit, anak saya diletakkan di dalam cot di bawah warmer bilik yang sama. Disebabkan PPH, saya tidak dimasukkan ke wad biasa postnatal sebaliknya ditahan di HDU labor room untuk pantauan. Hemoglobin selepas bersalin juga terus jatuh menjadi 9. Hampir pukul 9 malam, barulah saya betul-betul dapat berehat. Suami saya membawakan anak saya kepada saya dan saya pun terus menyusukannya.

Hanya Allah yang tahu apa saya rasa ketika itu. Melihat anak kecil itu menyusu, sambil matanya terkatup-katup mengelak silau cahaya, saya rasa sangat syahdu! Sudah sudah menjadi seorang ibu! Lalu saya peluk dia dan saya cium pipi gebunya yang sangat mulus. Suami saya yang berada di sisi katil itu juga turut memeluk kami.

Lalu suami saya berkata: Terima kasih sayang sebab lahirkan anak abang. Terima kasih baby sebab jadi anak ayah dan mama. Saya menangis lagi. Menangis kerana terlalu syahdu dan gembira!

Keesokannya saya dibenarkan untuk dipindahkan ke wad postnatal. Selepas Solat Jumaat, saya dibenarkan pulang ke rumah. Emak, ayah, tok dan adik beradik semuanya menunggu di rumah. Dan sebelah malamnya ummi, baba dan adik-adik ipar saya datang mengjenguk ahli baru keluarga kami.

Alhamdulillah. Pengalaman mengandung dan melahirkan bayi ini telah menginsafkan saya sebagai seorang wanita. Juga telah mengajar saya menjadi lebih tabah dan kuat. Begitu juga dengan suami. Pengalaman melihat saya bersalin di depan matanya adalah sesuatu yang membahagiakan tapi prosedur menjahit itu sangatlah mengerikan baginya. ;-)

Pada hari ketujuh, kami mentahnik, mencukur rambut dan memberikannya nama. Dan pada hari ke-30, kami mengaqiqahkannya dengan seekor kambing. Kenduri kecil dibuat di rumah emak dan ayah. Seminggu selepas itu, satu bahagian lembu pula menjadi pelengkap aqiqahnya yang diarak dalam majlis selawat dan cukur jambul bersama 6 orang lagi bayi-bayi yang baru lahir di kampung saya.

Semoga Izz Zamani membesar dengan sihat, cergas tubuh badan, cerdas akal fikiran, menjadi hamba yang ‘abid, soleh kepada mama ayah, cantik rupa dan akhlaknya, berani mempertahankan agama dan boleh menghafaz Al-Quran suatu hari nanti.

Izz Zamani, terima kasih kerana melengkapkan kehidupan mama dan ayah!

Nota: Saya ambil masa hampir setahun untuk menyudahkan entri ini. Kadang-kadang saya menangis memeluk suami kerana melihat Izz terlalu cepat membesar dan sudah pandai terlalu banyak perkara. Terasa masa berlalu begitu cepat! :cry:

Posted on December 27th, 2012 by Sarah  |  15 Comments »