Archive for the ‘Life’ Category

Kisah Hari Satu Sembilan Satu

Assalamualaikum wbt

Saya: Hello, assalamualaikum.
Emak: Wa’alaikumussalam. Ngah, happy birthday.
Saya: Eh, emak. Thank you, mak. Alamak mak! Dah pukul 7.30 dah! Ngah baru bangun je ni. Ya Allah, mak. Ngah dah lambat sangat ni nak ke hospital.

Apa punya nasiblah saya hari ini. Pukul 7.30 baru terjaga dari tidur. Itupun nasib baik emak menelefon. Tapi tujuan emak adalah untuk mengucapkan selamat hari lahir. Bergegas saya bangun urus diri, solat Subuh, menggosok labcoat dan scrub (letih sangat malam tadi sehingga malas hendak menggosok awal-awal), beri ikan makan dan berlari ke stesyen metro.

Keluar saja dari stesyen metro, salji sedang turun dengan lebatnya. Bila salji turun, kita susah hendak berjalan. Hendak buka mata pun terhad. Tapi hari ini saya berlari. Hebat tak hebatnya saya hari ini, saya berlari tak jatuh pun tau. Sampai di cloakroom, salin scrub dan terus menuju ke tingkat 10. Saya lihat jam sudah pukul 9.10 pagi. Terlewat 10 minit dah ni. Tiba-tiba doktor saya kelihatan sedang berjalan di luar bilik kami. Saya mengucapkan selamat pagi dan meminta maaf kerana terlewat. Dia senyum saja. Wah. Saya bernasib baik nampaknya!

Di hospital pun seronok juga hari ni. Kami ke OT dah melihat Vaginal Hysterectomy. Satu prosedur membuang uterus (rahim) melalui faraj (dan bukannya melalui major operation di bahagian abdomen [Abdominal Hysterectomy]). Saya dan Farah berdiri bersebelahan dengan Assistant Doctor kami. Dia sedang menyambung dalam bidang ini. Dia banyak menerangkan tentang prosedur ini kepada kami. Tapi sudahnya kesimpulan saya dah Farah hanya satu: Ya Rabbi, sakitnya. Huhuhu. Kami sebenarnya membayangkan keadaan pesakit itu selepas selesai nanti (post-operative period).

Ok. Cukup dulu. Saya hendak studi. Terima kasih semua atas ucapan yang diberikan. Saya telah mendapat hadiah yang paling istimewa daripada adik saya, Adnan. Yang paling tidak akan saya lupa ialah entri khas daripada Wanie dan video yang disediakannya untuk saya. Lejut saya menangis. Perit-perit tekak tahan air mata. Terima kasih Wanie. KS sayang kamu!

Nota 1: Balik rumah tadi, eletrik tiada. Saya berlari melihat The Harolds. Ketiga-tiganya mati kerana bekalan oksigen mereka terputus. Entah dari pukul berapa eletrik tiada. Sedihnya saya!
Nota 2: Ya ampun. Muka budak-budak sungguh saya dalam video tu. Tapi kesemua lagu yang Wanie gunakan adalah lagu kesukaan saya. Menangis lagi tadi waktu menonton video tu.
Nota 3: Terima kasih Auyun, Faiz, Aizat, Glid, Asrul, Mubin, Nazlin dan Iku!
Nota 4: Penat ni. Baru sampai dari airport.

Posted on January 20th, 2009 by Sarah  |  28 Comments »

24 Tahun Menjadi Sarah

Assalamualaikum wbt

Hari ini genap 24 tahun hidup di dunia. Moga-moga lebih rezeki yang Allah berikan pada tahun ini juga yang mendatang. Moga-moga tamat belajar tepat pada masanya. Moga-moga ditempatkan di hospital yang memuaskan. Moga-moga kesihatan semakin baik. Moga-moga hidup semakin tenang. Moga-moga ibadah semakin terjaga. Moga-moga sempat berbakti untuk emak dan ayah.

Terima kasih emak atas didikan yang diberikan. Terima kasih ayah atas kekuatan yang dipinjamkan. Emak dan ayah adalah harta paling berharga yang Ngah miliki di dunia ini. Terima kasih kerana membesarkan selama 24 tahun ini.

24 tahun menjadi Sarah adalah satu pengalaman yang tiada bandingan. Ada pahit di tangan kiri tapi sentiasa ada manisnya di tangan kanan. Terima kasih Ya Tuhan atas nikmat umur yang dipanjangkan.

Posted on January 19th, 2009 by Sarah  |  81 Comments »

Happy Birthday!

Happy Birthday to Ngah!

P/S :- Last minute buat nie, mujur sempat siap (GMT +8)

By: Xanda

Hadiah hari lahir buat saya daripada adik saya, Adnan. Bertuah sungguh saya ada adik macam dia ni 😉 Terima kasih, Nan. Awak buat Ngah gembira sangat. Akhirnya impian Ngah tercapai.

Posted on January 19th, 2009 by Sarah  |  2 Comments »

Hidup

Assalamualaikum wbt

Pagi ke hospital macam biasa. Pernah rasa malas nak ke kelas? Pagi tadi saya sangat malas. Sebab kepala terlalu pening. Petang ada janji dengan kawan di Center. Balik dari hospital terus ke Center. Dalam perjalanan baru sedar duit dalam tangan sudah sangat sedikit. Telefon ayah. Meminta simpati. Tak sampai 15 minit, ayah mesej. Duit sudah masuk. Terima kasih ayah.

Sampai di Center, kawan masih belum sampai. Kepala terlalu pening. Turun ke food court mencari kopi. Terduduk kepeningan. Makan ubat. Kawan sampai. Terus menuju ke Yiponskaya Kuhnia. Sampai di sana, seorang pelayan datang ke meja kami. Dia tenung saya, saya tenung dia. Dia cam saya sebenarnya. Isnin lepas pun saya ke sana.

Borak-borak. Makan-makan. Solat. Bincang-bincang. Fikir-fikir. Makan-makan. Solat. Rancang-rancang. Kami pun balik.

Minggu ini kerap pula telefon digunakan dan berbunyi. Semua orang penting dalam hidup: Faaiqah, Sarah Fazalul, Salman, Akak, Yasir, Acai, Nadia dan Kak Inah. Gembira. Mereka semua memang penyeri kehidupan. Cuma untuk Nadia dan Kak Inah, tak sempat nak dihubungi semula. Tunggu dah top up ya.

Nota 1: Selamat hari lahir buat Siti Sarah Fazalul Rahiman (16 Januari) dan Tok Halimah (17 Januari). Semoga Sarah dan Tok panjang umur insya Allah.
Nota 2: Pening kepala menjadi-jadi kerana kesan sampingan ubat.
Nota 3: Entri tak bermakna, kan? Komen untuk 2 entri lepas akan dibalas kemudian jika berkesempatan. Pening lagi ni. Tapi saya masih hidup.

Posted on January 17th, 2009 by Sarah  |  11 Comments »

Kena Marah

Assalamualaikum wbt

Bangun tidur pagi ini, saya teringat bahawa seluar jeans, blaus dan tudung masih belum digosok. Bergegas saya menyelesaikan kerja ini sebelum berkejar memberi The Harolds makan. Saya lihat balang airnya samar-samar. Subuh pun belum masuk lagi waktu itu. Fikir sekejap, lalu saya ambil keputusan untuk membasuh balangnya dulu. Tiba-tiba terlamalah pula membuat kerja itu. Sampai tak sedar pintu rumah diketuk oleh makcik cleaner yang datang hendak membersihkan dapur.

Saya bukakan pintu. Makcik itu terus laju menuju ke pintu dapur. Saya yang sedang terkejar-kejar hendak bersiap sebab sudah agak lewat untuk bertolak dipanggil oleh makcik cleaner itu. Dia bertanya, kenapa saya mengunci pintu dapur. Garang sungguh suaranya. Saya menjawab, saya tinggal seorang. Kalau saya tak kunci, tiba-tiba kalau ada orang masuk melalui pintu dapur sebelah sana, siapa yang susah. Tak pasal-pasal selepas itu makcik cleaner itu bising memarahi saya. Katanya, menyusahkan dia saja yang mengusung baldi dan alat menyental yang lain terpaksa bersusah sedikit untuk membuka kunci pintu dapur.

Ya Allah. Bengang sungguh saya waktu tu. Adakah patut saya yang dimarahnya sedangkan apa yang saya buat itu untuk tujuan keselamatan diri? Saya masuk bilik air dengan muncung panjang dan saya mengomel di dalam Bahasa Melayu. Biarlah dia nak kata apapun. Saya buka semula pintu bilik air dan menuju ke dapur. Saya katakan padanya, esok lusa tak datang pun tak mengapa. Saya dah bersihkan dapur tu awal-awal lagi. Bersih berkilat. Tak payah dia susah-susah datang.

Terus saya masuk bilik untuk mengambil kot saya. Dan waktu itu jugalah dia sudah mula hendak keluar dari rumah. Tiba-tiba dia berpusing dan menyambung bebelannya pada saya. Katanya, kalau tak mahu dia datang membersihkan dapur esok lusa, jangan guna dapur tu. Nanti kalau kotor dan tak dibersihkan, admin akan memarahinya pula. Ya ampun. Dah tu selama ni dia tak datang tu, siapa yang bersihkan dapur tu? Jiran rumah sebelah? Jangan harap. Dapur tu berkilat bersih sebab saya dah bersihkan sepanjang makcik tu tidak datang. Entah cuti apa lama sangat jadinya. Saya tak membalas. Saya biarkan saja. Boleh hilang mood pagi-pagi kalau dilayankan sangat makcik ni.

Saya berjalan super laju ke metro dan dari metro ke hospital. Memang agak terlambat. Sudahlah saya perlu berjumpa doktor saya dulu pagi ini. Sampai saja, salin scrub, naik tingkat 10, tunggu doktor datang dan saya memberitahunya bahawa saya perlu ke poliklinik pelajar di Kievskaya hari ini. Tak ada masalah. Dia lepaskan saya keluar pada pukul 10.30 pagi.

Janjitemu saya di poliklinik pada jam 11.30 pagi. Tapi saya terlewat sampai. Hampir 11.45 baru saya mejenguk di unit Heamatology di tingkat 3. Aduh. Sekali lagi saya kena marah. Bertahanlah saya mendengar bebelan seorang jururawat di situ. Saya terlewat kerana jalan sesak. Menyesal rasanya saya naik avtoline. Tapi kalau jalan kaki ke stesyen metro, jauhlah pula. Pasti akan lambat juga.

Selesai mengambil keputusan ujian darah saya yang lalu, saya menuju ke bilik rawatan. Doktor menanti di sana untuk konsultasi. Nah. Sekali lagi saya kena marah. Kena bebel dari A sampai Z untuk setiap yang tertera pada kertas keputusan ujian darah saya.

Hemoglobin 9.8
Platelet 145

Ada yang faham kenapa saya kena bebel oleh doktor? Tahniah.

Serius tiada mood untuk buat apa-apa dah lepas tu. Hajatnya, disebabkan dapat balik awal (tengahari saya dah sampai rumah), saya hendak memasak. Sekarang, nak buat apa-apapun dah tak lalu.

Nota 1: Sistem dapur rumah saya bergabung dengan rumah sebelah. Pendek cerita, jiran rumah sebelah boleh mengakses ke rumah saya melalui dapur. Mereka semuanya berbangsa Kazakhstan, Ukrain dan Russia sendiri. Sebab tu saya sentiasa mengunci pintu dapur. Tak logikkan makcik tu marah-marah saya pagi-pagi begitu. Nasib baik saya jenis tak menjawab. Kalau tak, berapi dapur pagi tadi.
Nota 2: Ah, memang tak ada mood! (-_-)

Posted on January 15th, 2009 by Sarah  |  26 Comments »