“I’m kinda out of proper pace”
Assalamualaikum wbt
Habis saja kerja sekitar 6.15 petang tadi, saya keluar bersama Michele untuk menemaninya mencari baju kurung. Selepas itu, kami terus menuju ke sebuah restoran. Hari hujan. Kebetulan, memang sejak pagi saya tidak makan apa-apa. Memang berbunyi-bunyi perut saya. Michele pun sedang lapar. Kalau boleh, secepat mungkin kami mahu memasuki restoran itu.
Baru saja kami duduk di situ, pelayan baru saja datang menghantar menu, saya rasa ada orang berdiri di sisi kanan saya. Dalam hati saya berkata, kenapalah pelayan ini tidak mahu beredar dulu sementara menanti kami membelek-belek menu. Saya agak kurang selesa pula dengan pelayan yang begitu. Dari ekor mata, jelas saya nampak ada susuk berbaju biru nila berdiri di sebelah kanan saya. Saya berfikir seketika. Unifom pekerja restoran itu berwarna merah. Mana pula datangnya baju biru ini. Saya berpaling.
Ya Allah.
Dia. Berdiri. Di. Situ.
Saya bermuka terkejut. Dia bermuka tersenyum. Aaaaaaaa… Mana datangnya dia ni? Saya yakin sangat mata saya memang bulat mencerlang waktu itu. Saya tidak menyangka langsung dia yang berdiri di situ tadi.
Dia menyapa, bertanya khabar. Dia tidak duduk. Dia menghormati privasi yang saya dan Michele mahukan agaknya. Saya bertanya kenapa dia boleh berada di Temerloh pada hari ini. Katanya, dia saja datang menjenguk pejabatnya di sini. Kebetulan dia singgah di Public Bank untuk mengeluarkan duit dan tiba-tiba ternampak saya keluar dari kereta Michele tadi. Memang kebetulan Michele meletakkan keretanya di hadapan Public Bank tadi. Ah. Semuanya penuh dengan kebetulan.
Tidak lama dia di situ tadi. Selepas menerangkan bagaimana dia ternampak saya, dia pun meminta diri. Tidak sampai lima minit pun. Sedang saya menunggu pesanan tiba, saya menerima mesej daripadanya.
“It’s good to see you again. Unexpected. I’m kinda out of proper pace. May Allah bless you and us.”
Saya terdiam sekejap membaca mesej itu. Sekali baca macam biasa-biasa saja. Dua kali baca macam terharu pula. Tapi mesej itu saya biarkan tidak berbalas. Saya rasa dia faham. Saya memang bukan seorang pembalas mesej yang baik.
Dan Michele pula, kerjanya mengejek tak sudah-sudah. Sudah jadi macam budak sekolah rendah saja gayanya. Nasib baiklah saya memang kenal awak macam mana, Michele. Kalau tak, siaplah saya tak nak tolong waktu awak on call nanti. Huhu.
Anak Muda Yang Gigih, saya yakin awak mesti terasa lucu dengan ekspresi muka saya tadi. Jujur, saya sangat sangat sangat terkejut. Lain kali sila jangan berdiri macam pelayan di tepi meja saya dah ya. ![]()
Nota 1: Setiap kali terserempak dengannya, mesti hari sedang hujan renyai.
Nota 2: Saya suka akan ayat yang dituliskannya itu.

