Selamat Sebulan, Sayang~
Assalamualaikum wbt
Pejam, celik, pejam, celik, hari ini genap sebulan kami bergelar suami isteri. Tiada lafaz yang lebih layak melainkan Alhamdulillah wa syukru lillah. Hidup terasa sangat sempurna. Walaupun berjauhan, bagi saya, inilah kesempurnaan. Sebelum saya menulis dengan lebih panjang, masih belum terlambat untuk saya dan suami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan pembaca yang mengirimkan ucapan doa barakah untuk kami berdua. Juga untuk rakan-rakan yang sudi memeriahkan majlis kami baik di Temerloh mahupun di Putrajaya. Terima kasih tak terhingga. 😉
Sebulan bergelar isteri, ada banyak perkara baru yang saya pelajari tentang suami saya. Serba-serbi baru. Yang boleh saya simpulkan di sini, bercinta selepas kahwin adalah awesome! 😉 Pada hari kenduri di sebelah pihak saya, sebelah malamnya itu juga saya terus mengikut suami pulang ke rumah keluarganya di Putrajaya. Iya. Dia bekerja pada keesokan harinya. Sadis sungguh, kan. Hehe. Di saat hendak meninggalkan rumah pada malam itu, saya sangat sebak sewaktu bersalaman dengan emak dan ayah. Pertama kali dalam hidup saya dilepaskan keluar dari rumah mengikut seorang lelaki. Dan yang pertama kali itu ialah mengikut seorang yang bernama suami. Dan selama beberapa hari bergelar surirumah untuknya di sana, saya dijaga pula oleh keluarga mertua . Alhamdulillah. Saya dikurniakan mertua yang sangat baik dan comel. Sentiasa mesra walau di mana mereka berada. Terima kasih umi dan baba! 🙂
Suami saya pendiam dan kelihatan serius orangnya. Tapi bila dengan saya, dia banyak cakap dan kelakar sebenarnya. Hihi. Kalau dia tersenyum atau ketawa, matanya sepet terus sampai tak terbuka dah. Macam Cina! Oh, comelnya dia! Dia suka kopi. Saya pun suka kopi. Tapi dia lagi suka kopi. Lebih suka daripada saya suka kopi. Eh, berbelit-belit ayat saya. Tapi memang hakikatnya dia suka kopi. Pagi-pagi sebelum pergi kerja, dia suka bersarapan dengan kopi dan karipap sardin. Kalau hari-hari makan karipap sardin pun dia kata tidak kisah. Pelik juga. Tapi memang dia suka. Suami saya tidak makan tempoyak. Tapi nasib baik dia masih makan durian. Hehe. Suami saya menitikberatkan tentang perkembangan rohani. Tentang ma’thurat, mengaji, usrah dan tarbiah. Alhamdulillah. Saya tidak salah memilih calon untuk dijadikan teman hidup saya dunia dan akhirat, insya Allah. 😉
Saya tahu saya masih berhutang dengan kamu semua tentang kisah bagaimana kami berjumpa, di mana titik pertemuannya. Insya Allah, kalau tiada aral akan menyusul dalam entri yang seterusnya. Kebetulan pula saya masih bercuti sehingga hari esok. Saya akan cuba kemas kinikan entri secepat mungkin ya.
Buat suami tercinta, selamat ulangtahun sebulan, Abang. Sarah sayang Abang dunia dan akhirat. Terima kasih kerana memberi Sarah bahagia dan syurga dunia. Dan pimpinlah keluarga kita menuju syurga akhirat. Jangan lupa balik Temerloh Jumaat ni ya. Sarah tunggu Abang balik~ 😉
Nota 1: Semua gambar adalah hasil sentuhan sahabat baik saya, Acai. Memang superb! Terima kasih sahabat 🙂 Lagi gambar di entri ini dan ini. Dan sila like Acai Jawe Photography di Facebook 😉
Nota 2: Di saat inai masih merah di jari, ada sesuatu telah terjadi. Nantikan ceritanya nanti ya. ![]()
























